{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Boikot peniaga naikkan harga

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

Ahmad Said melihat produk roti di gerai jualan dalam Karnival Usahawan Mega Zon Timur di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 4 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan peniaga di negeri ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya terutama ketika musim cuti sekolah.

Beliau berkata, sikap tamak mereka akan menjejaskan kemasukan pelancong dan memberi imej tidak baik kepada negeri ini.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai memboikot restoran yang didapati menjual makanan pada harga keterlaluan.

"Masalahnya, makanan bukan barang kawalan dan ada orang tengah ambil 'untung atas angin'. Makanan laut di Kuala Lumpur pun lebih murah jika dibandingkan di Terengganu.

"Harga makanan dan industri pelancongan ini memang ada kaitan. Tapi itulah, kadang-kadang orang kita terperangkap. Sudah masuk kedai terus pesan makanan, tak tanya (harga). Lepas itu baharu garu kepala," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Zon Timur melibatkan 100 usahawan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di Dataran Shahbandar, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud, wakil Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) merangkap Pengerusi Jawatankuasa karnival berkenaan, Mohd. Ishak Zakaria dan Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Karnival selama empat hari itu pertama kali diadakan melibatkan tiga negeri serentak berbanding sebelum ini yang cuma diadakan di peringkat negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad berharap usahawan menjadikan karnival tersebut sebagai platform memperluas perniagaan mereka selain meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Kalau boleh setiap kali musim cuti sekolah, Mara juga boleh mengambil inisiatif memanggil semua usahawan bumiputera ini berkumpul untuk menjual produk masing-masing. Kita alu-alukan," katanya.

Polis Terengganu tubuh pasukan pantau maklumat fitnah, hasutan

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

KUALA TERENGGANU 4 Jun - Polis Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi memantau penyebaran maklumat berbaur hasutan dan fitnah menerusi media sosial yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat di negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, unit itu menjalankan pemantauan 24 jam bagi mengesan sebarang gejala itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

"Walaupun belum ada kes yang dilaporkan berlaku setakat ini, kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memantau perkembangan media baru khususnya di internet.

"Unit ini akan memantau laman-laman yang didapati mempunyai unsur hasutan sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap pengendalinya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai pergerakan pasukan tentera siber pembangkang yang dikenali sebagai Red Bean Army yang melancarkan serangan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter serta YouTube khususnya di negeri ini.

Jamshah mengingatkan penggiat media sosial agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang diterima mereka.

Katanya pengamal media sosial harus peka dengan persekitaran kerana maklumat sedemikian mudah tersebar serta membawa kesan psikologi yang besar dalam kalangan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Jamshah memberitahu, siasatan mengenai kes perhimpunan haram membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di sini baru-baru ini kini hampir selesai.

"Kita akan maklumkan semula perkembangan kes tersebut sebaik sahaja siasatan telah selesai sepenuhnya," katanya.

Loker4u mudahkan pesakit ambil ubat

Posted: 04 Jun 2013 11:17 AM PDT

KOTA BHARU 4 Jun - Pesakit yang memerlukan ubat secara berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini tidak perlu lagi beratur di farmasi untuk mendapatkan ubat kerana hospital tersebut kini menyediakan perkhidmatan Loker4u kepada mereka.

Ketua Pegawai Farmasi HRPZ II, Fatimah Abdullah berkata, Loker4u adalah satu sistem yang semua ubat susulan yang diperlukan setiap pesakit akan diletakkan dalam loker khas yang disediakan dan mereka hanya perlu mengambil ubat masing-masing di dalam loker berkenaan.

Menurut beliau, pihak hospital akan memberi setiap pesakit kunci untuk mereka membuka loker berkenaan tanpa perlu beratur panjang di farmasi yang boleh memakan masa sehingga beberapa jam.

"Loker4u beroperasi sejak Februari lalu, merupakan salah satu perkhidmatan baharu yang memberi nilai tambah kepada pesakit.

"Setiap pesakit memenuhi kriteria dan berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini akan didaftarkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Fatimah berkata, Loker4u memudahkan pesakit mengambil ubat susulan di loker yang terletak di pintu utama Farmasi Pesakit Luar.

"Setiap pesakit berdaftar akan diberikan kunci dan loker persendirian yang kunci tersebut hanya dimiliki pesakit dan pihak hospital.

"Sebanyak 40 unit loker disediakan untuk 80 pesakit kerana setiap loker, kami menyediakan dua kunci," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan itu memberi kelebihan dan kebebasan kepada pesakit terutamanya kepada golongan bekerja kerana mereka tidak perlu tergesa-gesa ke hospital semata-mata untuk mengambil ubat.

"Pesakit diberi tempoh seminggu untuk mengambil ubat pada bila-bila masa dan tidak bergantung kepada masa operasi kaunter farmasi.

"Sekiranya pesakit gagal mengambil ubat pada tempoh diberikan, pesakit dihubungi untuk mengambil ubat di kaunter pandu lalu kerana loker berkenaan akan digunakan untuk pesakit lain," katanya.

Katanya, pihak hospital akan menambah bilangan loker yang sedia ada sekiranya mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pesakit untuk menggunakan perkhidmatan itu.

"Setakat ini, seramai 34 pesakit menggunakan perkhidmatan ini dan saya berharap bilangan tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa.

"Kami jangkakan, loker tersebut dapat diisi sepenuhnya pada bulan depan terutamanya kepada pesakit yang tinggal di kawasan berhampiran," katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan Loker4u turut menyertai pertandingan Konvensyen Inovasi dan Kualiti Farmasi 2013 peringkat Kebangsaan di Negeri Sembilan, 10 Jun ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat