Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 04 Jun 2013 04:17 PM PDT "Orang jauh dikenang-kenang,
Hanya terkenang pada yang satu, Mula berkenal kemudian bertunang, Di atas pelamin sama bersatu". Busana pengantin adalah luahan cita rasa fesyen dan keperibadian ratu sehari. Begitupun, kata pereka muda berbakat besar, Rico Rinaldi Tono, 26, menerusi pengalamannya, rata-rata pengantin memiliki cita rasa 'standard' iaitu inginkan sepasang helaian memukau, tetapi tidak keterlaluan. Cita rasa pelanggan itu lantas diluahkan Rico menerusi busana pengantin di bawah himpunan busana pengantinnya, Atelier Rinaldi. Beliau mengambil kiasan 'Im not a Princess not yet a Queen' atau 'Saya bukan puteri, belum lagi permaisuri' sebagai inspirasi rekaan. Mengulas lanjut, kata Rico, kiasan itu mengambil kira seorang pengantin yang tidak mahu rekaan terlalu ringkas tetapi tidak mahu juga rekaan keterlaluan menonjol.
Hasilnya, 12 busana anggun dan serba mewah ini, menjadi suatu impak terkini dalam rekaan busana pengantin pereka yang dinobatkan sebagai pemenang Pereka Muda Terbaik Anugerah Pereka Tenun Berita Harian (APTBH) FFKL 2011. "Busana kali ini adalah koleksi pengantin yang melambangkan signature busana pengantin Rico Rinaldi. Rekaan baju ringkas dan mudah digayakan ini banyak menggunakan fabrik sifon, renda Perancis, satin pengantin, sutera crepe dan satin sutera. "Saya masih menerapkan elemen kemelayuan, baju kurung dan kebaya adalah antara rekaan yang diberi suntikan baru dalam koleksi ini," katanya yang mengambil masa kira-kira tiga bulan bermula daripada melakar hingga himpunan ini siap direalisasikan. Cita rasa baru Menampilkan potongan mengikut bentuk badan pemakai, tetapi Rico mementingkan keselesaan. "Saya sering sarankan wanita mengenai potongan pengantin lebih manis sekiranya tidak terlalu seksi dan terlalu terdedah. Saya percaya potongan sebegini akan kelihatan lebih anggun di mata tetamu majlis," katanya mengenai busana pengantin ideal. Atelier Rinaldi, diperkenalkan sejak dua tahun lalu, menjadi sebutan ramai khususnya golongan muda yang inginkan gaya menonjol tetapi sederhana dan tidak keterlaluan. Garapan sentuhan berseni dapat dilihat pada setiap busana rekaan khususnya penekanan terhadap perincian ditonjolkan. Hakikatnya penampilan Atelier Rinaldi bukan untuk menyaingi pereka lain sedia ada, sebaliknya menambah keceriaan dalam persada fesyen tempatan yang kecil tetapi menarik ini. Untuk memberi rangsangan kepada industri busana pengantin, selain daripada meletakkan label Rico Rinaldi Kuala Lumpur ke tahap yang lebih tinggi dan kukuh. Pemenang Piala Seri Endon 2009 yang juga graduan Limkokwing University dalam jurusan Seni Rekaan Fesyen dan Peruncitan ini, tidak disangkal kehadirannya merancakkan industri fesyen negara. Sungguhpun baru lima tahun menceburkan diri dalam dunia glamor ini, tetapi garapan ideanya membenihkan cita rasa dan idea baru dalam dunia rekaan fesyen. Beliau pernah mendapat peluang mengikuti kursus di 'London Fashion School of Art' dalam jurusan 'Customized Pattern Making and Fitting'. Kata Rico, koleksi ini boleh ditempah secara terus dalam rekaan yang sama atau boleh diolah mengikut cita rasa dan konsep perkahwinan tertentu. Ia ditawarkan bermula harga RM3,000. INFO:
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |