Berita Harian: Mutakhir
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Mutakhir |
PRU13: Keselamatan, kedaulatan jadi penekanan utama BN Sabah - Najib Posted: 24 Apr 2013 03:00 AM PDT KENINGAU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) meletakkan soal keselamatan dan kedaulatan Sabah sebagai pertimbangan tertinggi kerana ia merupakan perkara yang amat penting bagi rakyat Sabah ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, mesej jelas harus disampaikan kepada rakyat Sabah mengenai komitmen dan keprihatinan kerajaan BN untuk memastikan aspek keselamatan dan kedaulatan negeri itu sentiasa terjamin.
"Sebagai Pengerusi BN saya perlu memberi jaminan bahawa di bawah BN, kita akan melakukan segala yang terdaya dan termampu untuk menjamin keamanan dan kedaulatan Sabah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Najib berkata demikian selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Kompleks Sukan Keningau. Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga calon Parlimen Keningau. Mengakui insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna memberi kesan besar di hati rakyat Sabah, Najib sekali lagi memberi jaminan bahawa soal keamanan di negeri ini akan ditangani dengan ketegasan dan kesungguhan.
Najib berkata, isu itu bukan sahaja ditekankan beliau, tetapi semua pemimpin BN untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan BN mampu menangani isu itu dan mengembalikan keamanan khususnya di pantai timur Sabah. "Setiap kali bila kita sentuh soal keselamatan dan kedaulatan Sabah, kita tengok sambutan orang ramai secara spontan (menyokong) dan memberi tepukan yang kuat...jadi memang soal itu penting dan dekat di hati rakyat," katanya. Terdahulu Najib dalam ucapannya mengulangi keyakinan bahawa Sabah akan tetap menjadi simpanan tetap BN. Berpegang pesanan hikmah Allahyarham ayahandanya supaya melaksanakan tugas kepada negara dengan penuh amanah, Najib berkata kerja keras yang dilakukan adalah demi memenuhi amanahnya kepada rakyat. Tegasnya kata-kata hikmah itu bagaimanapun bukan hanya untuk dirinya sahaja, tetapi juga relevan kepada semua pemimpin BN yang lain. Menyentuh mengenai kerusi Parlimen Keningau, Najib menyifatkan Pairin sebagai pemimpin yang mempunyai prinsip dan tidak mementingkan jawatan. Sebaliknya kata Najib, Pairin yang digelar 'huguan siou' atau ketua suku kaum Kadazandusun dilihat amat mengutamakan keperluan rakyat. "Seharus pemimpin begini yang kita perlu pertahankan...kalau saya yang bukan orang Kadazan boleh hormat huguan siou, tak kan orang Kadazan tidak boleh hormat," katanya. Najib juga berharap masyarakat Keningau akan memberi sokongan padu untuk calon BN bagi kerusi Parlimen Keningau dan tiga Dewan Undangan Negeri di bawahnya. Keningau mempunyai 43,691 pengundi dengan majoriti kira-kira 66 peratus merupakan kaum Kadazandusun Murut. Tiga DUN di bawah Parlimen itu ialah Tambunan yang ditandingi Pairin, Bingkor yang diwakili calon muka baharu Kennedy Jie John dan Liawan oleh Datuk Sairin Karno. - BERNAMA
|
PRU13: Populariti dan usaha Najib bantu calon Baling raih sokongan Posted: 24 Apr 2013 02:54 AM PDT BALING: Populariti dan kerja keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak banyak membantu calon-calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) di Baling dalam meraih sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini. Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim berkata, beliau sendiri amat terkejut pada mulanya apabila melihat generasi muda sudah mula menyokong kepimpinan Najib dan BN.
"Calon di Baling, contohnya Harun (Abdul Aziz) di kerusi DUN Kupang, bukanlah calon yang terkenal di sini, namun oleh sebab beliau dalam payung BN, bila turun ke padang, nampak sangat mereka (generasi muda) begitu bersemangat untuk menyokongnya," katanya ketika ditemui di sini. Katanya, soal calon tidak sangat menjadi isu di Baling kerana populariti Najib, yang juga Pengerusi BN itu sendiri cukup untuk BN memenangi PRU13 ini. Namun, Abdul Azeez yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Baling, berkata yang paling penting ialah kerja dan akujanji yang sudah dibuat oleh Perdana Menteri, untuk diselaraskan sehingga ke peringkat akar umbi supaya manfaatnya dapat dinikmati. "Insya-Allah, saya yakin BN mampu menawan semula Kedah berdasarkan kepada trend semasa, kerana saya juga bertanding pada 2008, namun tewas. Kali ini saya diberi peluang kali kedua untuk bertanding.
Abdul Azeez berkata, generasi muda ini melihat pemerintahan PAS selama lima tahun bermula 2008, tidak mendatangkan perubahan positif kepada negeri Kedah. "Kita sudah beri peluang kepada kerajaan PAS, dan mereka tidak dapat mengurus tadbir dengan baik. Mereka bukan sahaja tidak mampu mentadbir negeri Kedah ini, malah perbalahan antara Menteri Besar dan Exco Kerajaan negeri sendiri tidak dapat diselesaikan," katanya. Katanya, pemerintahan PAS di negeri Kedah tidak menjurus ke arah kebajikan rakyat malah ia akhirnya menghancurkan lagi apa yang ada. Abdul Azeez mengambil contoh aktiviti pembalakan yang tidak dikawal oleh kerajaan negeri Kedah, yang mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Baling. "Saya masuk di situ (kawasan banjir), mereka sendiri berkata kepada saya," Datuk, cukuplah, kami akan bagi kepada Datuk (Baling) janganlah buat seperti mana orang PAS buat"," katanya sambil menambah anggota PAS sendiri pun sudah serik dengan pemerintahan PAS. "Kami akan tunaikan janji. Kami ingin menjadi wakil rakyat kepada semua, bukan hanya kepada anggota Umno dan BN sahaja, malah kepada semua penduduk Baling.
Pada PRU 2008, BN menang di kerusi DUN Bayu, namun tewas kerusi Parlimen Baling, DUN Kupang dan DUN Kuala Ketil. Pada PRU13, Abdul Azeez dicabar bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad yang mewakili PAS. Bagi kerusi DUN, DUN Bayu merupakan pertembungan antara calon BN Datuk Azmi Che Husain yang juga penyandang DUN itu dengan Mahmud Yaakob (PAS) manakala di DUN Kupang Harun Abdul Aziz (BN) menentang penyandang Johari Abdullah (PAS). DUN Kuala Ketil pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) G. Krishnan, penyandang Md Zuki Yusof daripada PAS dan Mohd Khairul Azhar Abdullah (BN). - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |