Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 23 Apr 2013 02:00 AM PDT Pengarah Eksekutif World Parkinson Coalition, Elizabeth Polland (kiri) bermesra dengan pesakit pada majlis minum petang sempena April Bulan Kesedaran Parkinson Dunia anjuran Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. PELBAGAI ujian dibuat mengatakan tiada apa masalah pada tangan. Saya tidak puas hati lalu mendapatkan pendapat kedua dari hospital lain. Memang langsung tidak terlintas di fikiran bahawa saya sebenarnya sudah mengalami simptom pesakit Parkinson," cerita Samuel yang ditemui di majlis minum petang sempena April Bulan Kesedaran Parkinson Dunia anjuran Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Akhirnya, selepas mendapatkan pandangan lebih 10 orang doktor baru Samuel mengetahui dirinya kini penghidap parkinson. Begitupun Samuel tidak mahu menjadikan penyakit yang dialaminya satu halangan untuk melangkah ke hadapan. Sebaliknya dia terus menambah ilmu menerusi bahan bacaan dan Internet. Parkinson hanya melibatkan kemerosotan pada pergerakan fizikal. Penyakit ini yang biasa kita dengar melibatkan getaran pada tangan, tapi pada saya tidak terjadi begitu. Selepas dua setengah tahun mengalaminya boleh dikatakan amat mencabar minda bukan saja diri saya malah ahli keluarga juga. Akibat penyakit ini pergerakan saya amat terbatas. Hendak pakai baju sendiri pun payah. Adakalanya tak boleh dan kaki tidak boleh diangkat sebab terlalu lemah," ujarnya yang kini menjadi Presiden Persatuan Parkinson Cawangan Perak. Samuel tidak berseorangan menghadapi parkinson pada usia 45 yang boleh dikategorikan agak muda. Ramai lagi yang mengalami masalah sepertinya. Di Perak sahaja terdapat 40 pesakit yang mendaftar dengan persatuan dan wanita berusia 35 tahun adalah yang paling muda menghidapinya. Dikawal dengan ubat Ketua Jabatan Perubatan di Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Datin Dr. Norlinah Mohamed Ibrahim berkata, parkinson terjadi apabila satu sel kimia di otak yang dipanggil dopamin berkurangan. Sel dopamin menurut beliau, apabila berkurangan akan menyebabkan gangguan pada pergerakan fizikal manusia. Pada peringkat awal memang tiada gejala yang ketara. Cuma yang sering diadu pesakit rasa letih, lesu dan sering mengalami kejang pada waktu malam. Itu antara simptom dikatakan peringkat awal tanda seseorang mempunyai penyakit parkinson. Malah ini boleh disalah sangka seakan-akan strok atau slip disc, kerana pesakit akan berasa seolah-olah urat ditarik-tarik dan mengganggu pergerakan mereka. Masalah mungkin menjadi semakin buruk apabila tidak dirawat atau mendapat rawatan yang salah. Jadi, amat penting untuk didiagnosis dengan teliti bagi memastikan ini adalah parkinson," jelas beliau. Ditanya apa faktor menyebabkan sel dopamin berkurang, Dr. Norlinah berkata, sukar dikenal pasti kerana sel tersebut musnah dengan sendiri. Mungkin juga kerana faktor sekitar atau keturunan. Di Malaysia sekarang ini usia paling muda menghidapinya ialah sekitar 30-an dan saringan amat penting untuk memastikan ini memang parkinson," jelas beliau. Proses saringan melibatkan imbasan di bahagian otak CT Scan dan juga MRI. Menurut Dr. Norlinah, ada kalanya ujian MRI juga tidak menemukan apa-apa, namun ia boleh dikenal pasti apabila ditambah saringan lain yang mengambil kira faktor usia dan sebagainya. Punca meningkat Menurut Dr. Norlinah, kemajuan dalam bidang perubatan dan sikap rakyat Malaysia yang prihatin dengan tahap kesihatan masing-masing telah menyebabkan makin ramai yang hidup dalam jangka hayat lebih panjang. Penyakit parkinson pula berpotensi menyerang mereka yang berusia. Jadi agak sukar dielak dan menjadikan statistik penghidap parkinson meningkat saban tahun. Cuma menurut beliau, keadaan perubatan kini semakin maju dengan penghasilan ubat yang apabila diambil secara berterusan membolehkan mereka mengawal penyakit dan pergerakan juga semakin baik. Sebelum tahun 1960 tiada ubat yang berkesan untuk parkinson. Sekarang kita ada levodopa, iaitu sejenis ubat yang perlu diambil pesakit bagi menggantikan dopamin yang berkurangan dalam otak. Ubat ini akan diserap usus kecil dan perlu diambil seumur hidup. Ketika mengambil ubat tidak digalakkan serentak dengan pengambilan makanan yang mengandungi protein kerana akan menyebabkan proses penyerapan ubat tidak berkesan. Paling penting selepas makan ubat ialah pesakit perlu melakukan senaman ringan setiap hari seperti tai chi dan berjalan," jelas beliau. Ubah persepsi Dr. Norlinah mengakui stigma masyarakat Melayu yang menganggap penyakit seperti parkinson sebagai penyakit misteri sememangnya berlaku. Nasihat beliau: Tidak salah mendapatkan perkhidmatan alternatif tapi perubatan hospital juga tidak harus diketepikan sama sekali. Di Malaysia kita mempunyai lebih 80 pakar neurologi yang akan membantu mendiagnos penyakit ini. Malah pakar neurologi sudah terdapat di setiap negeri. Paling utama bagi pesakit ialah bersikap positif, jangan biarkan penyakit menguasai diri. Kena hadapi penyakit ini dengan sabar dan semangat memang perlu untuk pulih," ujar beliau lagi. Sukarelawan Bagi seorang penghidap parkinson, CHERYL Yong, 60, penyakit itu yang dihadapinya sejak lapan tahun lalu tidak menjadi penghalang untuk dia berbakti. Dia kini berkhidmat sebagai pengajar terapi senaman untuk ahli Persatuan Parkinson Malaysia di Kuala Lumpur. Rutin hariannya dipenuhi dengan jadual senaman ringan seperti qi gong dan tai chi, malah dia juga bergelar jurulatih untuk ahli persatuan. Cheryl berbangga dapat memberikan ilmunya yang tak seberapa pada ramai lagi penghidap Parkinson sepertinya. Zahirnya dia tidak kelihatan seperti pesakit lagi kerana iltizam dan komitmennya telah mengubah status pesakit kepada bebas penyakit. Pun begitu dia mengakui masih mengambil ubat-ubatan kerana ikhtiar tersebut adalah perlu untuk seorang pesakit parkinson sepertinya. Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati sepenuhnya tapi ia boleh dikawal dan tahap kesakitan juga boleh berkurangan. Saya mengambil keputusan menjadi sukarelawan di sini kerana mengetahui bahawa ramai lagi pesakit yang tidak tahu bahawa menjadi pesakit parkinson juga boleh hidup seperti biasa. Senaman adalah perkara paling utama. Tidak kira apa jenis senaman yang anda mampu buat, jangan biarkan kemurungan menguasai setelah mendapat penyakit ini. Kena dapatkan sokongan daripada kumpulan sokongan barulah minda lebih positif dan boleh hadapinya dengan baik," jelas Yong. - NOOR FAZRINA KAMAL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |