Berita Harian: Nasional
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Nasional |
Ikrar pemimpin kena gugur: Kami tetap setia Posted: 17 Apr 2013 04:14 PM PDT Kuala Lumpur: Beberapa penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Barisan Nasional (BN) yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), berikrar bekerja kuat bagi memastikan kemenangan besar parti itu. Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid, berkata beliau menghormati keputusan kepemimpinan parti yang dianggap membuat penilaian terperinci sebelum memuktamadkan senarai calon. "Pengalaman dalam kerajaan selama ini akan saya perturunkan kepada muka baru," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam. Beliau yang pernah mengetuai beberapa kementerian, yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Besar, berkata tumpuan utama kini adalah memastikan proses PRU berjalan lancar. Bekas Ahli Parlimen Besut, Datuk Abdullah Mohd Zain membuktikan semangat setia kawan dalam parti begitu terserlah apabila Datuk Seri Idris Jusoh yang bakal bertanding di kerusi yang disandangnya dengan majoriti 10,590 undi pada PRU 2008, menemuinya semalam. Pengalaman berharga Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berpendapat, sebagai pejuang dan pemimpin UMNO, disiplin dalam parti tidak seharusnya dipertaruhkan hanya kerana kecewa dan tersinggung. "Insya-Allah saya akan pertahankan parti dan kerajaan BN yang berjasa kepada rakyat dan negara ini, selain terus setia kepada kepemimpinan parti walaupun tidak menjadi calon. "Walaupun ada yang kata pendirian saya ini kerana isteri saya dicalonkan, tetapi hakikatnya sudah menjadi lumrah pemimpin datang dan pergi," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam. Tak rasa tersinggung Ketua UMNO Bahagian Larut yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar, berkata tiada sebab untuk rasa tersinggung lebih-lebih lagi kerana tanggungjawab untuk memimpin parti pada peringkat bahagian. "Strategi tetap diatur untuk kebaikan parti, walaupun tidak lagi menjadi calon, cuma diharap selepas ini jasa semua bekas wakil rakyat yang digugurkan ini tidak dilupakan dan diberi ruang untuk menyumbang dengan cara lain kepada negara," katanya. Selain itu, Datuk Mohamad Satim Diman yang turut digugurkan sebagai calon di DUN Seri Serdang berkata, semangatnya membara untuk membantu BN merampas kembali Selangor pada PRU-13 ini. Datuk Warno Dogol pula berkata, tiada istilah kecewa dalam dirinya walaupun tidak dicalonkan semula untuk bertanding di DUN Sabak yang dimenanginya pada PRU lalu, sebaliknya sebagai ahli parti yang setia beliau akan membantu BN selagi terdaya. Di Kuala Berang, bekas ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid yang digugurkan mengakui menolak tawaran pembangkang untuk bertanding bagi mewakili parti itu kerana bukan jawatan yang menjadi dasar perjuangannya dan akan turun padang membantu parti. Penyandang kerusi DUN Langkap, Asha'ari Idris berjanji membantu memastikan kemenangan calon baru BN di kerusi itu. Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Terengganu itu yakin proses pemilihan dan penilaian calon dilakukan secara terperinci. "Kerja politik ni bukan hak kita sepanjang masa. Kalau kita tidak berhenti kali ini, satu masa kita kena berhenti juga. Jadi kita kena terimalah seadanya," katanya yang mewakili DUN Langkap selama dua penggal. |
Posted: 17 Apr 2013 04:10 PM PDT Tujuh teras strategik, 56 aku janji BN bawa perubahan Shah Alam: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Aku Janji Janji Ditepati Selangor yang mengandungi tujuh teras strategik dan 56 aku janji bagi memenuhi harapan rakyat membawa perubahan serta masa depan gemilang. Perdana Menteri yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Selangor berkata, susulan aku janji BN induk pada peringkat Pusat, BN Selangor menyusuli dengan janji baru bagi membawa harapan baru bukan saja untuk Selangor tetapi negara. Najib berkata, beliau dengan rendah diri berdiri di depan rakyat Selangor memohon maaf atas kesilapan lalu dan mengemukakan janji baru lima tahun Kerajaan BN andai diberikan mandat dalam PRU-13. Tujuh teras Teras pertama, menjanjikan masa depan lebih cerah termasuk memberi bantuan sara hidup minimum ibu tunggal RM250 sebulan. Teras kedua, menerusi masyarakat lebih prihatin dan penyayang, BN wujudkan dana khas bagi aktiviti kemasyarakatan, persatuan penduduk, kampung tradisi dan kampung baru, selain bantuan pengurusan masjid dan rumah ibadat. Teras ketiga, meningkatkan kualiti kehidupan yang selamat dan sejahtera termasuk penubuhan dua lagi majlis perbandaran di Selangor. "Kita akan tubuh 14 pusat aduan rakyat di setiap pihak berkuasa tempatan dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat mengurangkan kadar jenayah," katanya. Teras keempat, meningkatkan jumlah perumahan mampu milik dan mengembalikan peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd PNSB untuk menyediakan rumah mampu milik. Selain itu menyediakan air percuma 20 meter padu. Kelima, di bawah teras Selangor lebih inovatif dan lebih daya saing. Berjanji memberi bantuan baucar buku RM200 untuk pelajar selain bantuan RM1,000 dan RM1,500 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan universiti. Keenam, Selangor lebih progresif, termasuk menyediakan tabung khas pendidikan RM10 juta untuk anak pekerja ladang dan Orang Asli selain mengembalikan penubuhan pusat pengajian tinggi di Serendah selepas projek itu dikhianati kerajaan pakatan pembangkang. Teras ketujuh, Selangor lebih mesra, alam lebih bersih yang akan memberi penekanan kepada modenisasi pengurusan sampah. Janji pantau manifesto Najib berjanji meneliti dengan serius dan memantau bagi memastikan barisan wakil rakyat menunaikan janji dibuat itu. "Dengan penuh rendah diri saya bagi pihak BN Selangor ingin menyatakan jika percaya kepada Kerajaan Pusat pimpinan BN dan percaya kepada saya sebagai ketua kerajaan, berilah sokongan kepada pasukan saya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |