Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Tolak pemimpin tak hormati rakan Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT UTUSAN: Sebagai orang yang terlibat bersama ABIM di peringkat awal dan akrab dengan Anwar sekian lama, apa pandangan saudara dengan sikap partisan ABIM terhadap politik Anwar Ibrahim. ISMAIL: Saya memang salah seorang pengasas ABIM bersama kawan-kawan yang lain seperti Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Zakaria Hashim, Datuk Kamarudin Mohd Noor dan beberapa lagi. ABIM sebagai sebuah organisasi, sejak tertubuhnya lagi berpegang kepada prinsip non partisan. Tetapi, ketika Anwar menyertai UMNO dan berada dalam kerajaan, ABIM mengambil keputusan menyokong beliau. Kemudian, apabila dia disingkirkan daripada UMNO dan menubuh parti sendiri, ABIM mengambil pendirian bersama dengan beliau dan mendokong falsafah dan konsep politik Anwar sehingga ada semacam deklarasi bahawa warga besar ABIM wajib bersama Anwar. Dalam sistem demokrasi seperti Malaysia ini, memang kita perlu ada kesedaran politik, tetapi apa yang dikesalkan ialah ABIM sebagai sebuah organisasi masyarakat dan dakwah, tidak wajar menyebelahi mana-mana parti politik kerana anggota ABIM mungkin mempunyai pelbagai fahaman politik atau dari sisi lain, tidak semuanya mendokong Anwar. Kalau secara individu tidak mengapa nak sokong siapa pun, parti apa pun, tetapi dengan memaksa dan mengheret ABIM sebagai sebuah organisasi, mesti menyokong Anwar, itu yang tidak betul dan dibangkang keras oleh ramai pengasas ABIM, beberapa pemimpin negeri dan juga ahli biasa. Kalau ada yang nak masuk parti politik dan sokong Anwar tak mengapa dengan syarat mereka mesti tinggalkan jawatan dalam ABIM dan jangan ganggu perjalanan ABIM melalui kuku besi yang tak nampak. Biarkan ABIM diurus oleh orang yang benar-benar mendokong dasar non partisan dan berdakwah secara bebas tanpa terikat kepada seseorang individu. Anwar sedar bahawa dia sangat-sangat memerlukan kumpulan Islam, maka dengan naif politik dalam kalangan pimpinan dan Majlis Syura ABIM yang dikuasai 100 peratus oleh orang Anwar, maka mereka mudah membuat manipulasi. Sebab itu Majlis Syura ABIM tidak memanggil Datuk Dr. Sidek Baba hadir bermesyuarat. Dr. Yusri juga tidak dimasukkan sebagai ahli Syura, walhal bekas Presiden ABIM secara automatik menjadi ahli majlis syura. Juga pengasas ABIM yang sudah tidak aktif dalam politik dan senior-senior ABIM yang banyak memberi sumbangan fikiran, tenaga dan kewangan, tidak dijemput menjadi ahli syura seperti Datuk Zakaria Hashim, Amin Hashim dan ramai lagi. Kenapa? Kerana mereka itu semua sudah mufaraqah dengan Anwar. Atau syura takut kalah hujah dalam mesyuarat dan agenda menyokong Anwar terhalang. Sebagai rakan karib Anwar sejak di Universiti Malaya, Yayasan Anda dan dalam ABIM, apa yang tidak kena pada Anwar hingga saudara mengambil sikap meninggalkannya? Asas penubuhan ABIM ialah memperjuangkan Islam Sunnah Waljamaah. Dalam usrah-usrah, tamrin atau program membina jati diri atau sahsiah, program kepimpinan dan wacana-wacana pemikiran dan keilmuan, semuanya adalah dalam skima pemikiran dan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah. Rupa-rupanya semua wacana Sunni dalam semua program ABIM itu, semacam mencurah air di daun keladi semata-mata, tidak ada kesan dalam akal, kefahaman dan hati. Ini dibuktikan apabila Revolusi Syiah Khomeini berjaya, ABIM di bawah pimpinan Anwar, menjadi ejen penyebaran doktrin dan akidah Syiah di Malaysia. Buku Khomeini diterjemahkan pada hal buku tersebut amat bercanggah dengan akidah Sunnah Waljamaah. Pada masa itu saya sudah bangkang mereka. Alhamdulillah, ABIM sekarang tidak menerima Syiah lagi. Walaupun ABIM menolak fahaman Syiah, tetapi mereka tetap tidak dapat memisahkan diri daripada Anwar. Saya mengikuti pemikiran Anwar. Saya menelaah Asian Renaisance tulisannya dan di situ saya mula terhidu faham liberalisme agamanya. Dalam perjumpaan di rumah Profesor Osman Bakar, dia mengaku bahawa di situ sudah ada bunga-bunga fahaman liberalisme dan pluralisme agamanya. Alhamdulillah dia mengaku. Masa membaca buku itu, saya masih belum tolak dia lagi. Saya benar-benar menolak beliau apabila kami meneliti tulisan yang beliau ucapkan di London School of Economics, Universiti London. Beliau nyatakan bahawa seseorang Islam tidak boleh mengatakan yang agama lain itu salah dan katanya semua orang yang beragama akan selamat ertinya selamat daripada masuk neraka. Pegangan ini bercanggah dengan akidah Islam. Boleh membawa kepada murtad. Maka kami mengambil keputusan, mengadakan wacana ilmiah dan majlis penerangan di seluruh negara bagi menerangkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dibawa oleh Anwar adalah bercanggah dengan Islam dan wajib umat Islam menolaknya. Apabila saudara meragui Anwar tentang isu liberalisme dan pluralisme agama, berlaku pertemuan di rumah Profesor Osman Bakar yang Anwar turut hadir dan menyatakan sesuatu mengenai isu itu. Apa yang dikatakan oleh Anwar dan apa yang berlaku selepas itu? Apabila kami meneliti ucapan beliau, kami mengadakan wacana mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Ekoran daripada wacana kami itu, beliau meminta untuk bertemu dengan kami. Saya amat bersetuju dengan harapan semoga beliau menarik balik fahaman tersebut. Dalam pertemuan pada malam itu, dia mengaku yang dia menulis perkara tersebut. Dia kata, 'longgar' sikit. Saya menjawab, 'tak sedikit'. Dia bersetuju nak edit tulisan tersebut bersama Profesor Osman dan saya. Tetapi dia tidak menepati janjinya untuk mengedit. Malah selepas perjumpaan tersebut, beliau mengungkit perkara tersebut dengan memperleceh kami dalam ceramah politik beliau. Di depan orang ramai yang tak faham isu itu bolehlah dia temberang tetapi dalam perjumpaan pada malam tersebut seperti kata pepatah Melayu - dia seperti, tikus di depan kucing! Hingga kini dia tak edit tulisan tersebut. Dan yang menggelikan hati ialah selepas perjumpaan itu Anwar telah mengeluarkan tulisannya itu dari blog beliau, tetapi tak lama kemudian dimasukkan balik dan selepas itu dibuang semula. Dia tetap yakin dengan akidah pluralisme agamanya itu hingga sekarang. Malah untuk mendapat simpati masyarakat Islam dan untuk mempertahankan akidah palsunya itu, dia mengaitkan pula beberapa ulama Islam ke dalam kelompok batilnya itu. Kalimah Allah berkait rapat dengan isu akidah - tauhid. Bila Anwar mengambil pendirian kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu dan Majlis Syura Pas mengambil pendirian sebaliknya, apa pendapat saudara mengenainya? Memang benar, kalimah Allah adalah berkait rapat dengan akidah dan tauhid. Salah konsep mengenai kalimah ini, akan menyebabkan seseorang itu menjadi kontra tauhid ertinya menjadi syirik. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW datang mengajar tauhid yang benar dan membetulkan fahaman dan konsepsi salah mengenai Allah kepada golongan Yahudi, Nasrani-Kristian dan Musyrikin. Yahudi percaya Allah memiliki anak bernama Uzair, Nasrani percaya Isa anak Tuhan di samping yang percaya Allah ada anak perempuan dan sebagainya. Sesuatu yang Anwar keliru ialah dalam hujah-hujahnya di depan orang bukan Islam, katanya perkataan Allah sudah ada sejak sebelum kedatangan Nabi SAW lagi, sebab itu ayahanda Baginda bernama Abd Allah atau Abdullah. Anwar keliru kerana dua fakta. Pertama kalimah Allah dalam tradisi Ibrahimiyah, Musa dan Isa dan Khalid bin Sinan adalah menepati konsepsi tauhid yang benar. Tetapi konsepsi ini telah mengalami proses dekonstruksi epistemologi sehingga Baginda Muhammad SAW datang membetulkannya. Ya, memang benar orang Musyrikin pun percaya kepada wujudnya Allah tetapi seperti yang dinyatakan oleh Allah sendiri di dalam al-Quran, bahawa mereka menggunakan berhala dan patung-patung sebagai alat atau objek atau perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah sebab itu di dalam al-Quran, Allah menyatakan kepada kita bahawa jika golongan Musyrikin itu ditanya siapa yang menjadikan semesta Alam ini, pasti mereka akan menjawab Allah. Akan tetapi, konsepsi Allah yang mereka faham itu bertentangan dengan konsepsi Allah seperti di dalam Surah al-Ikhlas dan seperti yang diajar oleh Nabi SAW. Kedua, Anwar terlalu naif dalam isu kalimah Allah ini apabila ia menjadi juara memperjuangkannya supaya kalimah tersebut boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Dia terlalu amat naif kerana golongan gereja mahu menggunakan perkataan yang biasa dengan budaya dan masyarakat tempatan untuk tujuan memurtadkan orang Islam. Di Bangladesh, gerakan Evangelican ini tidak menggunakan perkataan Allah di dalam Bible menggantikan God tetapi menggunakan perkataan Iswar, kerana perkataan ini biasa dipakai dalam masyarakat Hindu di Bangladesh bagi merujuk kepada Tuhan Kristian. Kami mendapat kritikan apabila kami terus menerus menerangkan bahawa kalimah Allah hanya semata-mata boleh digunakan oleh orang Islam sahaja. Di Selangor, program menjelajah untuk menerangkan isu ini, telah diperintah oleh pihak berkuasa negeri supaya dihentikan. Sementara Pas pula, walaupun telah difatwakan oleh Majlis Syura Ulama mereka tetapi aktivis mereka tetap berkeras berkata, kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Yang penting juga ialah Anwar langsung tidak menghormati fatwa rakan tahalufnya itu yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan Pas pula tidak berani mengambil apa-apa langkah mencegah Anwar daripada terus memperjuangkan isu tersebut. Sepatutnya Pas bertegas meminta Anwar berhenti daripada bercakap isu ini kerana bercanggah dengan fatwa mereka. Bersambung esok |
Usah dipertikai lagi 'kenapa dia dicalonkan, aku tidak' Posted: 21 Apr 2013 11:40 AM PDT Oleh Hassan Mohd. Noor MARAH, merajuk dan mengalah. Itulah beberapa sikap yang 'terpampang' semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelmarin. Ada yang sanggup keluar parti, tutup bilik gerakan dan macam-macam lagi. Bak kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kalau nak merajuk, biar merajuk betul-betul supaya akhirnya tidak menjadi seperti api dalam sekam, musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan sehingga menjejaskan jentera kempen. Tahniah kepada orang seumpama ini kerana berani berterus terang, tegas bertindak secara berhadapan, bukannya tikam belakang. Pada hari penamaan calon kelmarin, sudah terserlah apa yang tersurat dan tersirat dalam perjuangan sesetengah orang politik. Walaupun tidak semua mempunyai cita-cita besar tetapi 'paparan' yang berlaku Sabtu lalu menceritakan suasana politik dalam negara. Kuasa, pangkat dan jawatan jadi impian. Sikap seperti ini meresap dalam semua parti politik malahan bagi orang yang tidak berparti. Amat sedikit yang mahu mengalah. Akhirnya kerana kuasa, mereka tolak ke tepi soal agama, bangsa dan tanah air. Begitulah rencam politik pada PRU-13 ini yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya. Apa pun inilah demokrasi. Hak mereka untuk marah, merajuk atau mengalah. Bagaimanapun amat malang bagi mereka yang dianggap sebagai 'panglima' di barisan hadapan tetapi sanggup berundur sebaik sahaja tiba di medan perang. Malang sekali kerana 'panglima' sanggup menanggalkan 'seragam' dan meninggalkan medan perang tetapi kembali semula untuk menentang pasukan sendiri. Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar atau marahkan penghulu seluruh kampung diamuk dan dibakar. Sekali lagi ditegaskan itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. Dalam kehidupan rumah tangga pun, ada yang berkahwin hingga ke anak cucu tetapi akhirnya berpisah juga. Apakah pengajaran daripada pelbagai peristiwa yang berlaku pada hari penamaan calon? Mungkin salah satu daripadanya ialah persoalan apakah tujuan berpolitik? Adakah sekadar mahu mengejar jawatan, pangkat atau berjuang untuk manfaat bersama demi masa depan anak cucu yang bakal ditinggalkan? Jangan menjadikan politik pentas untuk mengaut keuntungan dan mencari pengaruh. Amat malang apabila politik dijadikan pentas untuk mengejar pangkat, projek dan pendapatan yang apabila tidak ditemui sanggup meninggalkan perjuangan. Ingatlah mereka yang terpilih itu pun belum pasti 'ketulenan' perjuangannya. Begitu juga mereka yang tidak terpilih bukanlah semuanya tidak memiliki semangat perjuangan yang tulen. Masih ramai yang setia kepada perjuangan tetapi tidak mempunyai cita-cita besar untuk 'berkuasa'. Mereka ini adalah orang yang tidak pandai menonjolkan diri tetapi tidak pernah lupa untuk hadir mesyuarat di peringkat cawangan dan tidak pernah lupa untuk keluar mengundi dengan memilih kapal layar (Perikatan) pada satu masa dulu dan kini dacing. Bagi yang terpilih sebagai calon, anda adalah segelintir manusia yang bertuah dapat mewakili parti untuk membawa 'obor' perjuangan mewakili rakyat. Obor itu bukannya untuk menerangi diri, keluarga atau sahabat handai sendiri. Kepada mereka yang tidak dicalonkan, teruskan perjuangan bersama calon-calon yang menjadi pilihan. Tidak ada guna lagi mempertikaikan kenapa 'dia dipilih, aku tidak dipilih'. Masa semakin suntuk untuk memperkatakan semua itu. Rapatkan barisan anda. Dalam konteks ini, Selak tertarik dengan perarakan calon kelmarin apabila ramai yang tidak terpilih turut sama mengiringi calon ke pusat penamaan calon. Misalnya di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Mereka nampak begitu bersemangat walaupun sudah beberapa kali kecundang dalam PRU. Penyelaras BN bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh, Jalil Abdul Majid mengetuai perarakan itu yang melibatkan calon bagi kawasan Parlimen (Dr. Mazlan Ismail) dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya (Mohammad Nasir Abdullah), Permatang Pasir (Anuar Faisal Yahaya) dan Penanti (Ibrahim Ahmad atau Art Burger). Jalil yang juga Ketua UMNO Bahagian sebelum ini pernah berkata: Kami sudah lama dahagakan kemenangan di Permatang Pauh, sesiapa sahaja yang dipilih kami akan sokong. Apa yang penting adalah kemenangan parti,''. Perarakan itu mengingatkan bagaimana pada tahun 1982, Anwar Ibrahim yang menjadi calon jemputan diarak oleh pemimpin bahagian ketika itu yang diketuai Ketua UMNO Bahagian ketika itu, Mohamad Nor Bakar. Tekad mereka untuk mengambil balik kerusi yang dimenangi Pas pada 1978. Ketika itu Mohamad Nor tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Kubang Semang. Kini semangat 1982 berulang. Matlamat utama UMNO Permatang Pauh adalah untuk memastikan kemenangan BN melalui Dr. Mazlan. Walaupun bukan daripada kalangan pemimpin utama UMNO bahagian tetapi semangat yang ditunjukkan sudah membuktikan bahawa Dr. Mazlan diterima dengan baik untuk menebuskan kekecewaan pada PRU lalu. Ketika namanya disebut-sebut bakal dicalonkan beberapa minggu sebelum itu, ramai sahabat terutama bekas pelajar Sekolah Menengah Kubang Semang (sekarang SM Penanti) yang bersamanya ketika itu sebagai ketua pengawas berjanji untuk menyokongnya. Tidak ketinggalan rakan-rakan yang menjadi anggota Pas. Apakah sejarah akan berulang apabila Anwar yang berada di luar barisan depan UMNO menang pada 1982? Mungkin bagi mereka yang pernah memilih Anwar pada 1982 kerana menjadi pilihan Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO ketika itu akan tetap setia memilih calon pilihan pucuk pimpinan kali ini yang diketuai Najib Tun Razak. Ini kalilah pengundi-pengundi Permatang Pauh dapat membuat keputusan untuk ubah (tema kempen DAP) kedudukan kerusi itu dari PKR kepada BN. Penyokong-penyokong Pas terutama yang pernah mengundi pada 1982 boleh turut sama menyaksikan bagaimana giliran Anwar pula ditumbangkan selepas calon Pas yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika itu, Zabidi Ali dikalahkan dengan majoriti 14,352 undi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |