{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Ratu

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Ratu


Luahan tiga ratu

Posted: 05 May 2013 02:25 PM PDT

Kekalahan tidak pernah dianggap kegagalan dan melenyapkan hasrat perkenalkan Malaysia

KECANTIKAN itu sangat individualistik, subjektif dan boleh dinilai daripada banyak faktor seperti ciri perwatakan atau mungkin juga X Faktor yang terdapat dalam diri individu. Oleh itu ia membolehkan setiap individu, dilihat menerusi pandangan yang berbeza.

Menterjemahkan maksud kecantikan, tiga bekas ratu cantik yang pernah mewakili negara ke pentas dunia, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Namun, Miss World Malaysia 2012, Yzonne Lee, Miss World Malaysia 2010, Nadia Heng dan Miss World Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan sepakat mengatakan, kecantikan diri bukan alasan utama mereka melangkah masuk dalam pertandingan ratu cantik.

Kata mereka, penyertaan itu lebih kepada tekad membawa nama Malaysia untuk dikenali segenap lapisan dunia. Kalah menang, adat pertandingan dan sebagai ratu cantik, mereka mewakili negara atas dasar membawa nama Malaysia untuk dikenali.

Bertemu dan berkongsi cerita dengan ketiga-tiga wanita jelita, baru-baru ini mereka tidak menafikan pengalaman menyertai pertandingan ratu cantik di luar negara memberi pengalaman luar biasa dan berhadapan dengan pelbagai realiti.

Promosi Malaysia

Sesuatu yang tidak dapat disangkal, walaupun pintu peluang dibuka kepada rakyat Malaysia untuk menyertai pertandingan ratu cantik hingga ke peringkat dunia, belum ada Ratu Cantik Malaysia dapat memecah tembok antarabangsa dan memegang gelaran Miss World.
Bagaimanapun, Deborah Henry berjaya memasuki pusingan separuh akhir Miss World pada 2007, selepas Lina Teoh pertama kali ke peringkat itu pada 1998.

Apabila diaju soalan ini dan halangan wakil Malaysia yang tidak dapat menguasai takhta ratu cantik dunia, sedangkan mereka mempunyai tubuh badan tidak kurang hebat dan diiringi, kecantikan diri cukup memukau serta ditambah sebagai wanita Asia, terkenal dengan kecantikan asli dan sifat lemah lembut.

Kata mereka, jujurnya hingga kini tidak tahu apakah proses penilaian sebenar dan kriteria dicari untuk memenangi pentas dunia. Namun, kekalahan tidak pernah dianggap sebagai kegagalan dan melenyapkan hasrat mereka, meneruskan cita-cita supaya budaya, identiti sera keunikan masyarakat Malaysia dikenali rakyat di luar negara.

Kata mereka, satu ketika dulu pada era 60 hingga 70-an, masih ada rakyat luar yang 'buta' mengenai keadaan dan pembangunan di Malaysia dengan pemikiran kuno menganggap rakyat di negara ini hanya tinggal di atas pokok.

Namun, ketika penyertaan mereka pada era kini, sebaik nama Malaysia disebut, ramai rakan ratu cantik dari segenap dunia spontan menyebut KLCC, bangunan mercu kebanggaan Malaysia sebagai sesuatu yang unik.

Yzonne Lee

"Kecantikan bukan aset utama untuk memenangi pertandingan ratu cantik dunia. Ada beberapa halangan yang sentiasa berlaku kepada peserta ratu cantik Malaysia ketika bertanding. Pertama, kekangan dari segi tajaan. Kebanyakan peserta dari negara lain dari A hingga Z semua ditaja dan ada pihak yang menguruskan membuat persiapan. Tidak seperti kami yang lebih banyak berusaha sendiri. Kita masih belum boleh meyakinkan pihak penaja untuk memberi tajaan kepada peserta ratu cantik.

"Soal latihan pula, kita kesuntukan masa. Kita cuma ada masa kurang sebulan berbanding peserta lain yang berlatih beberapa tahun sebelum pertandingan," kata Yzonne yang begitu meminati fesyen sejak usia kecil lagi.

Kata model dan usahawan fesyen secara online ini, di Thailand, misalnya, masyarakat mereka begitu menyokong pertandingan seperti itu dan banyak memberi sumbangan dari segi undian kepada wakil mereka.

"Pengalaman saya ketika berada dalam pertandingan ini, rakan dari Thailand tidak henti-henti menerima sokongan dari kalangan mereka berbanding negara kita. Ia juga soal pengalaman dan bukan kemenangan. Bukan perkara mudah untuk menembusi hati juri dan bersaing lebih 100 negara yang menghantar wakil.

"Ketika mewakili negara, saya berkawan baik dengan wakil dari Vietnam. Memang kami berdua rapat dan masing-masing menceritakan keistimewaan negara. Ini antara kaedah mudah untuk mempromosi negara kita," katanya yang gemar kepada warna emas.

Nadia Heng

Duta kepada Unit Kajian Penyu Laut Terengganu (SEATRU), Nadia Heng, tidak menafikan ketelusan, kriteria dan apakah yang dicari juri ketika proses pemilihan ratu cantik sehingga kini masih tidak begitu jelas difahami.

Gadis ramah berwajah persis wanita Eropah ini fasih berbahasa Melayu dan Mandarin. Lebih menarik, beliau terlalu mengagumi Ratu Cantik Dunia 1998, Lina Teoh yang berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menduduki tempat kedua dalam pertandingan itu.

"Saya masih ingat ketika pertandingan, saya masih bersekolah dan menonton televisyen di rumah. Memang sukar untuk menerima gelaran Ratu Cantik Dunia namun Lina membuktikan yang dia mampu melakukannya. Saya sangat berbangga atas pencapaian Malaysia seperti Lina," katanya.

Mengakui setiap wanita mempunyai impian bergelar Cinderella atau wanita cantik yang menjadi perhatian dunia, namun Nadia lebih suka kecantikan yang ada itu disandarkan pula pada intelektual dan mampu mengubah pandangan masyarakat.

"Suatu masa dulu, saya melihat ratu cantik hanya sekadar memperagakan tubuh semata, namun pengalaman di Sanya mengubah segala-galanya," katanya.

Kata Nadia, bukan mudah dapat berkumpul bersama seluruh wanita cantik dari seluruh dunia yang memiliki perbezaan budaya, agama, warna kulit dan bahasa. Namun, inilah yang menambah keunikan kepada pertandingan berkenaan kerana semua wanita bersatu hati tanpa mengira negara demi satu pertandingan dunia.

"Melangkah ke peringkat dunia kita terdedah dengan masyarakat yang datang dari latar belakang berbeza. Perlu dedikasi dan disiplin. Ketika membawa nama Malaysia ke peringkat dunia, saya bukan lagi Nadia, Thanuja bukan lagi Thanuja, kami adalah Malaysia, " tegasnya.

Thanuja Ananthan

Wanita cantik ini cukup menyayangi haiwan. Kasih sayangnya terhadap semua jenis haiwan membuatkan ia antara sebab kenapa dia memilih untuk mewakili negara dalam arena itu.

Katanya, yang banyak mewakili persatuan haiwan sebagai duta, kasih sayang tidak berbelah bagi itu membakar semangat untuk memperjuang hak asasi haiwan itu di mata dunia. Thanuja tidak mahu haiwan menjadi mangsa penganaiyaan dan berharap semua jenis haiwan diberi hak untuk bernafas di bumi indah ini.

Beliau aktif sebagai duta bagi People For The Ethical Treatment of Animal (PETA), Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia ( MNAWF), Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia (MIAR) dan Persatuan Pencegah Kezaliman Haiwan (SPCA. Jiwanya cukup sensitif terhadap kebajikan haiwan.

Katanya, keutamaan ketika memegang tanggungjawab sebagai wakil ratu cantik tidak tertumpu kepada kemenangan semata-mata kerana untuk meraih kemenangan adalah sesuatu yang sukar.

"Soal kemenangan dan kenapa ratu cantik Malaysia tidak dapat menembusi gelaran Ratu Cantik Dunia, terlalu subjektif untuk dihujahkan. Apa yang saya boleh katakan, bukan perkara mudah mempamerkan tubuh anda dengan berbikini di hadapan orang ramai. Jangan sangka ia sangat mudah untuk kami ratu cantik. Banyak lagi yang perkara lain yang perlu ada dalam pakej seorang ratu cantik.

"Cantik itu sangat subjektif. Bagaimana anda boleh bandingkan kecantikan seseorang dengan seorang individu lain. Semuanya sukar untuk diberikan jawapan tepat. Lagipun, sampai sekarang kami tidak tahu kriteria tepat atau tetap untuk pemilihan seorang ratu dunia," katanya.

Tegas Thanuja, ratu cantik yang mewakili negara bukan tidak cantik atau bijak, tetapi jika anda berada di sana, barulah tahu apa yang berlaku. Paling penting pengalaman diperoleh ketika bertanding.

Beliau berkata, sebagai wanita Malaysia, dia lebih gemar menjadi jujur terhadap diri sendiri sehingga penampilannya juga adalah asli. Ini termasuklah, rambut kerinting dimiliki yang menjadi ketaksuban ratu cantik negara lain.

"Saya tidak melakukan apa-apa terhadap rambut. Saya biarkan ia kerinting dan tidak meluruskan. Di saat ratu cantik lain terpaksa menyambung rambut palsu, mereka kagum dengan rambut asli saya. Kita perlu jujur dan memperkenalkan negara kepada rakyat lain. Itu misi saya," katanya.

INFO: Minggu Fesyen Curve 2013

* Minggu Fesyen Curve 2013 bakal berlangsung pada 16 Mei hingga 19 Mei ini bertempat Curve Centre Court. Antara bekas ratu cantik yang akan membuat peragaan ialah Yvonne Lee, Ms World Malaysia 2012, Chloe Chen, Ms World Malaysia 2011, Gabriella Robinson, Ms Tourism International 2011, Nadia Heng, Ms World Malaysia 2010, Thanuja Ananthan, Ms World Malaysia 2009 dan Elaine Daly, Ms Universe Malaysia 2003.

* Selain pertunjukan fesyen, peraduan menarik serta permainan untuk kanak-kanak juga diadakan. Bagi yang memenangi peraduan mereka akan menerima baucer hebat daripada pengurusan Curve.

* Antara jenama yang akan diperagakan ratu cantik berkenaan adalah Binwani's, Cosry, Debenhams, Elements, Focus Point, G&H, Metrojaya, Obermain, Rockport, T-Joue, G2000 Men dan Uluwatu.

* Acara tahunan itu sudah masuk tahun ketujuh diadakan.

* Tahun lalu ia bertemakan Paris Capital manakala tema tahun ini ialah A Queenly Affair.

PROFIL:

Nama: Lee Yzonne
Umur: 22
Bangsa: Cina
Tempat lahir: Klang
Kerjaya: Juru acara majlis, model dan usahawan fesyen online
Pencapaian: Miss World Malaysia 2012
Warna Kegemaran: Emas
Tinggi: 170 sentimeter
Berat: 49 Kg

Nama: Nadia Heng
Umur: 28 tahun
Bangsa: Campuran Cina dan Eropah
Tempat lahir: Port Dickson, Negeri Sembilan
Kerjaya: Pengacara majlis dan model
Pencapaian: Miss World Malaysia 2010
Tinggi: 168 sentimeter
Berat: 51 Kg

Nama: Thanuja Ananthan
Umur: 28 tahun
Bangsa: India
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Kerjaya: Model, pelakon, pengacara, duta persatuan haiwan
Pencapaian: Miss World Malaysia 2010
Tinggi: 183 sentimeter
Berat: 52 Kg

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat