{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Baca skrip, buat kajian

Posted: 15 May 2013 07:50 AM PDT

Solekan berfungsi memberi kesempurnaan kecantikan kepada seseorang. Wajah yang kurang bermaya akan tampak berseri ­dengan pemakaian bedak asas, mata semakin galak bersinar dengan olesan pembayang mata manakala senyuman lebih menyerlah dengan calitan gincu. Dalam sesetengah keadaan solekan mampu menampilkan karakter yang lebih menyerlah dan meyakinkan kepada wanita.

Namun fungsi ini berbeza bagi solekan kesan khas. Walaupun menggunakan peralatan dan bahan yang hampir sama tetapi solekan kesan khas berupaya mengubah wajah menjadi lebih luar biasa misalnya untuk solekan cacat, kesan terbakar, wajah tua atau menakutkan.

Inilah sebabnya solekan amat penting untuk me­nyerlahkan diri seseorang, kata jurusolek profesional, Nurulhidayah Mohtar yang bukan saja berpengalaman dalam solekan berkonsepkan glamor tetapi juga kesan khas yang diperlukan dalam drama dan filem.

"Untuk drama, teater mahupun filem, solekan kesan khas dikenakan kepada pelakon bagi menyokong karakter yang dibawa mereka sekali gus menukar wajah atau keadaan seseorang kepada sesuatu yang berbeza dengan rupa asal. Misalnya watak hantu, raksasa, kesan terbakar, tercedera serta mimik muka dibuat bersesuaian dengan skrip dan peranan dimainkan pelakon. Dalam hal ini jurusolek sedaya upaya menghasilkan solekan kesan khas bagi mewujudkan suasana semula jadi kepada watak seolah-olah ia benar-benar berlaku dan bukannya lakonan," ujarnya.

Foto

KAPAS dilekatkan pada wajah bagi memudahkan sapuan dilakukan.

Foto

MENGGUNAKAN berus pewarna makanan, pembayang mata dan bedak asas disapu pada bahagian terbakar.

Foto

CECAIR sirap diletakkan bagi menampakkan kesan darah.

Foto

SOLEKAN kesan khas terbakar nampak hidup dan semula jadi.

Foto

KESAN tikaman pada pelakon menggunakan peralatan khas solekan.

Foto

TANGAN tertusuk benda tajam seolah-olah benar-benar berlaku.

Foto

SOLEKAN kesan khas digunakan untuk mewujudkan mimik muka berkedut dan tua.


Bagi menghasilkan solekan kesan khas, pelbagai bahan selamat digunakan bergantung kepada jenis solekan yang akan ditampilkan. Antaranya pewarna sirap, cecair getah (latex), tisu, bedak asas, semburan rambut, pembayang mata dan pewarna makanan.


"Sebagai contoh untuk menghasilkan kesan terbakar, kapas dilekatkan menggunakan pelekat getah pada bahagian terbakar. Kemudian sapu pewarna makanan, pembayang mata bagi memberikan kesan ketara kehitaman pada bahagian tepi. Selepas itu cecair sirap diletakkan di tengah seakan-akan darah. Akhir sekali dikemaskan supaya kesan menjadi lebih gelap dan nampak semula jadi," katanya.

Walaupun nampak ring­kas dan mudah namun solekan kesan khas memerlukan ketelitian terutama dari segi campuran warna serta teknik sapuan. Kesalahan meng­gabungkan warna akan menjadikan solekan tidak natural seolah-olah ­sengaja dibuat. Ini menyebab­kan penonton tidak takut pada kesan yang dihasilkan terutama watak hantu atau rasa ngeri membabitkan darah malah, sebaliknya boleh membuatkan penonton ketawa dan merasa seperti dipermain-mainkan.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas, Nurulhidayah banyak membuat kajian menerusi Internet dan membaca buku berkaitan solekan kesan khas.

"Sebelum melakukan solekan, saya membaca skrip terlebih dulu serta membuat kajian mengenai solekan yang akan dikenakan. Kemudian saya menyediakan bahan serta peralatan supaya tidak tercicir ketika penggambaran dilakukan," katanya.

Bagi Nurulhidayah walaupun nampak mencabar dan rumit namun solekan kesan khas lebih mudah dan cepat berbanding solekan glamor yang mengambil masa sehingga satu atau dua jam. Apa yang penting adalah memberi sepenuh perhatian ketika melakukannya bagi menjadikan solekan nampak 'hidup, bernafas dan semula jadi.

Di dalam buku Solekan Kesan Khas oleh Janus Vinther menyatakan sejarah solekan kesan khas bermula sejak 1895 membabitkan filem Demolition d'un Mur dan ditayangkan buat kali pertama di Cafebio Paris. Selain solekan khas filem ini juga me­ngandungi percubaan pertama menggunakan helah fotografi.

Selain itu pada tahun yang sama filem The Execution of Queen Mary juga memaparkan kesan solekan khas kepala dipotong sebagai helah fotografi dan ia berjaya mewujud­kan fenomena apabila ramai penonton mempercayai bahawa pelakon menggadai nyawa dalam menjayakan filem ini.

Pada 1977 George Lucas memperkenalkan teknik kesan khas yang lebih baru dan menarik dalam filem Star Wars. Pada 1990 pula teknik kesan khas menggunakan komputer bermula dan digunakan dalam filem The Abyss, Terminator 2 dan Jurassic Park. Malah menerusi grafik komputer yang lebih canggih kesan di dalam filem mampu ditonjolkan dengan lebih hebat dan kini sesuai peredaran semasa kesan solekan khas berubah-ubah mengikut perkembangan teknologi solekan serta komputer masa kini.

Terima kasih: http://nr­studiogallery.blogspot.com
Facebook: nuriez nr­studio

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Ikat perut kutip dana

Posted: 15 May 2013 06:31 AM PDT

Kathy Trevelyan menguis-nguis makanan di dalam pinggannya. Walaupun makanan di dalam pinggan bubur nasi dengan hirisan sayur itu sangat hambar rasanya, namun dia bertekad menjadikan ia sajian tengah harinya selamanya lima hari berturut-turut.

Mungkin bubur nasi campur sayur jadi hida­ngan harian bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia, tetapi ia sesuatu yang agak asing bagi wanita London berusia 58 tahun itu.

"Biasanya kalau masak begini, kita masukkan bawang merah, bawang putih dan beberapa jenis rempah, barulah rasanya sedap. Tetapi yang ini...hambar saja. Namun pengorbanan ini berbaloi," katanya.

Trevelyan ialah salah seorang daripada 20,000 warga Britain yang me­ngambil bahagian dalam cabaran lima hari untuk cuba hidup di bawah paras kemiskinan dengan belanja makan dan minum sebanyak satu pound (RM5) sehari.


Mereka menyasarkan untuk mengutip dana bagi disumbangkan kepada badan kebajikan antikemiskinan dan bagi merasai sendiri keperitan satu bilion penduduk dunia yang hidup dalam kemiskinan.


Trevelyan seorang pelakon yang turut menjadi pemandu pelancong diminta untuk menyertai program berkenaan oleh badan kebajikan Tiada Lagi Malaria, dan mengharapkan dia dapat membantu meningkatkan kutipan sekurang-kurangnya £500 (RM2,500) untuk projek itu.

Sebelum memulakan cabaran 'kehidupan baru' di bawah paras kemiskinan, dia membuat perancangan teliti terhadap sajian hariannya, membandingkan harga barangan dengan jenama pasaraya secara dalam talian bagi mendapatkan pembelian terbaik.

Selepas membuat penelitian, akhirnya dia membeli barang keperluannya iaitu roti, sebiji telur dan pisang untuk sarapan; nasi putih dan sayur dingin beku untuk makan tengah hari yang kadangkala boleh ditambah sosej vegetarian jika ada potongan harga.

Untuk makan malam, Trevelyan makan nasi campur lagi (nasi bercampur sayur dingin beku) atau spageti dengan kuah kari.

"Buat masa ini saya anggap diri saya 'amat miskin', betul-betul tiada wang....tapi ini hanyalah satu pering­kat. Saya tidaklah sampai ke peringkat di mana perlu membeli sos atau kuah kari dengan harga 26 pence (RM1.20)," katanya.

Dia juga membeli teh, tetapi meminumnya tanpa susu kerana tidak cukup wang untuk membelinya. Mengapa Trevelyan begitu bersusah payah menyekat semua perbelanjaannya sehingga ke tahap begitu? Wanita ini sanggup me­ngikat perut supaya dia dapat me­ngumpulkan sedikit wang untuk diserahkan kepada badan kebajikan.

Trevelyan berkata, 'Apalah sangat diet saya minggu ini jika hendak dibandingkan dengan kehidupan sebenar satu bilion penduduk miskin di seluruh dunia. Apa yang saya ada ini jauh lebih baik.

"£5 (RM25) boleh membeli kelambu yang cukup besar untuk menyelamat­kan dua kanak-kanak. Itu saja yang saya fikirkan," tambahnya.

Kempen ini sebenarnya dimulakan pada 2009 di Australia di mana peserta cuba hidup dengan AS$2 (RM6) sehari sebelum ia diperluaskan ke Britain, Amerika Syarikat (de­ngan perbelanjaan RM3.60 sehari), Kanada (RM5.20) dan New Zealand (RM5.65). Ia turut mendapat sokongan daripada pelakon Hollywood, Hugh Jackman dan Ben Affleck. Untuk tahun ini mereka berharap dapat mengutip dana sebanyak RM15 juta.

Bagaimanapun, usaha murni itu dipandang negatif malah dituduh ia seolah-olah merangsang 'pelancongan kemiskinan' oleh orang kaya yang tahu mereka boleh kembali menikmati latte di Starbucks yang berharga RM13.75, makan daging dan sayur organik sebaik tempoh lima hari itu berakhir.

"Kita tidak mungkin tahu keadaan sebenar dan bagaimana susahnya kehidupan orang yang sangat miskin. Kami bukannya mahu mempersenda tapi cuba menyelami dan merasai keadaan itu," kata Hugh Evans, ketua Projek Kemiskinan Global yang menganjurkan program berkenaan.

"Tetapi kami mahu mengajak orang ramai untuk cuba rasa sedikit kehidupan masyarakat miskin. Selepas satu minggu, anda akan sedar bahawa makanan harian anda sama saja. Anda tidak dapat cukup kalori dan merasai erti sebenar kelaparan itu yang mungkin pertama kali anda rasai," katanya.

Projek itu bukan saja direka khusus untuk mening­katkan kesedaran masyarakat mengenai kemiskinan di seluruh dunia, bahkan ia juga memberi harapan kepada penduduk susah di negara sendiri.

"Ia membuatkan anda berfikir apa yang dimakan oleh penduduk di sini kalau pergi ke pasaraya, bukan kita saja yang beli spageti harga 19 pence (RM0.95)," kata Travelyan.

Bagi Jack Monroe, ibu tunggal berusia 25 tahun dari Southend, di Timur London, hidup susah selepas terpaksa berhenti kerja tahun lalu untuk menjaga anaknya, Johnny yang kini mencecah umur tiga tahun.

Dia terpaksa menjual televisyen, pakaian dan buku untuk membayar sewa rumah, tidak menggunakan alat pemanas hawa dan hanya berbelanja RM5 bagi membeli makanan harian dia dan anaknya.

Namun kehidupannya hari ini jauh lebih senang - Monroe menulis blog me­ngenai masakan bajet yang menarik minat penerbit buku dan membolehkannya bekerja sebagai wartawan di salah sebuah akhbar tempatan. Walaupun hidupnya ­sudah berubah, tetapi dia tetap mengambil bahagian ­dalam cabaran hidup di bawah paras kemiskinan itu bagi mengumpulkan wang untuk diberikan kepada Oxfam.

"Saya akui, cabaran ini memang sukar," katanya. Biasanya dia boleh ambil apa saja daripada almari yang dijadikan ruang menyimpan makanan, tetapi minggu ini Monroe terpaksa me­ngehadkan supaya makanan hariannya tidak melebihi RM25.

"Saya bangun pagi ini dan berfikir saya tidak mahu dadih lemon atau roti bakar lagi untuk sarapan. Saya tidak mahu bertih jagung untuk makan tengah hari dan nasi untuk makan malam," katanya jujur.

Mengkritik projek seperti itu memang mudah, sambung Monroe.

"Ramai orang menyahut cabaran ini melakukannya dalam rumah masing-masing yang hangat dan selesa. Peserta sedar mereka hanya perlu bertahan untuk lima hari saja.

"Tapi saya tidak akan mengkritik usaha mengutip dana untuk kebajikan. Sekarang jika ada orang bercakap dan berfikir mengenai perkara ini, saya rasa tujuan program sudah tercapai iaitu untuk meningkatkan kesedaran," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat