{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Bina disiplin & kesabaran

Posted: 21 May 2013 07:17 AM PDT

Teruja melihat kanak-kanak berusia lapan hingga 10 tahun sedang asyik melenturkan anak panah pada busurnya, kemudian melepaskannya ke atas. Anak panah terbang tinggi ke udara lalu menjunam terpacak di tanah pada kejauhan hampir 50 hingga 100 meter. Tidak kira lelaki mahupun perempuan melakukan aktiviti ini dengan bersungguh-sungguh. Jelas terpancar kepuasan pada wajah masing-masing ketika melepaskan anak panah dan mengutipnya kembali.

Walaupun pada petang itu cuaca gelap dan hujan renyai-renyai namun masing-masing sanggup basah dan berlatih di dalam hujan. Kemudian mereka beredar ke dalam khemah disediakan untuk mendapatkan maklumat daripada jurulatih yang juga pengasas dan penyelaras Program Learning Archery Through Play (LEAP), Sheikh Fuad Sheikh Mahmud bersama isterinya Thuraiya Zakaria Omar Bagharib.

Jika diperhatikan sukan memanah kanak-kanak agak kurang menyerlah berbanding aktiviti lain seperti berenang, balet atau seni mempertahankan diri namun memanah mempunyai banyak kebaikan bukan saja pada kesihatan tetapi mental dan emosi.

Menurut Sheikh Fuad, aktiviti memanah dapat membantu individu terutama kanak-kanak membentuk emosi positif, membina daya tumpuan tinggi, sabar dan berdisiplin selain mengatasi rasa ketakutan.

Foto

SHEIKH FUAD menunjukkan teknik yang betul memegang anak panah.


Program belajar sambil bermain yang diperkenalkan Sheikh Fuad ini adalah kesinambungan daripada kepercayaan serta kebolehan yang ditunjukkan anak bongsunya Abdul Rahman Bajrai, 14, yang mula mengenali sukan memanah sejak berusia empat tahun.


Bermula hanya sekadar hobi, pasangan ini membawa Abdul Rahman bersama setiap kali latihan memanah. Melihat kecergasan dan kepantasan kanak-kanak ini mempelajari langkah demi langkah sukan yang menjadi sunnah Nabi Muhamad SAW ini menyebabkan Sheikh Fuad dan Thuraiya memberi galakan kepada anaknya menjadi pemanah terbaik suatu hari nanti.

"Pada mulanya saya membuat sendiri busur daripada buluh dan anak panah daripada ranting pokok bagi membolehkan Abdul Rahman berlatih sendiri. Selepas melihat kesungguhannya baru kami membeli busur dan anak panah khas untuknya ketika dia berusia lapan tahun," katanya ketika ditemui di padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama pelajar dari Sekolah Rendah Sri Al-Amin Bangi yang menyertai latihan memanah.

Melihat kesungguhan Abdul Rahman dalam sukan memanah mendorong pasangan suami isteri ini menghantar anak mereka menyertai Pertandingan Memanah Tradisional anjuran Persekutuan Memanah Berkuda Dunia (WTAF) di Korea ketika berusia 10 tahun.

"Alhamdulillah Abdul Rahman berjaya memenangi Anugerah Memanah Popular pada 2009 dan pada 2010 sekali lagi dia menyertai pertandingan memanah dan memenangi pingat emas untuk kategori kanak-kanak junior di Hungary ketika berusia 11 tahun," katanya.

Melihat kejayaan anaknya, memberi dorongan kepada Sheikh Fuad untuk memperkenalkan sukan ini kepada kanak-kanak seawal mungkin kerana keupayaan mereka mempelajari sesuatu semakin meningkat apabila didedahkan sejak kecil. Oleh itu dia menyediakan modul latihan memanah dan berkuda kepada kanak-kanak seawal usia empat tahun juga kepada mereka yang meminatinya.

Tambahnya, aktiviti memanah dapat membantu individu terutama generasi muda membentuk emosi positif, membina konsentrasi, keyakinan diri, kesabaran dan berdisiplin tinggi selain membantu mengatasi rasa ketakutan.

Pada kanak-kanak bukanlah kemahiran bersenjata yang begitu ditekankan, apa yang penting selain keselamatan proses pembelajaran ialah menjadikan mereka lebih komited dan sabar melaluinya.

Menurut Thuraiya, sejak 2007 hingga 2008 LEAP banyak menerima jemputan daripada sekolah swasta Islam yang meminta mereka membuka kelas kepada pelajar sekolah rendah. Ini mungkin kerana pendedahan serta keterbukaan ibu bapa mengenai pentingnya mempelajari sukan yang menjadi amalan atau sunah Rasulullah seperti sabda Nabi Muhammad supaya umatnya mempelajari memanah kerana sesungguhnya di antara dua jarak memanah itu (jarak pemanah dan sasarannya) adalah seumpama satu taman dari taman-taman syurga dan ajarkan anak-anak berenang, memanah dan berkuda kerana ketiga-tiga perkara itu bakal memberi faedah kepada mereka.

Apa yang ditekankan kepada kanak-kanak selain daripada teknik memegang busur dan panah mereka didedahkan mengenai sejarah Nabi Adam bagaimana dia diajar oleh Jibrail cara memegang anak panah dengan betul. Ini secara tidak langsung menambah pengetahuan mereka mengenai sejarah kenabian serta memupuk kecintaan terhadap sukan ini.

"Setiap pergerakan serta teknik memegang panah mempunyai maksud tertentu dan ia menjadi lambang kepada cara barat atau tradisional. Namun di antara kedua-duanya, teknik tradisional lebih kuat dan memberikan pelbagai kebaikan kepada pemanah," kata Thuraiya.

Untuk kelas memanah kanak-kanak, LEAP menyediakan sebanyak 12 sesi dengan satu sesi mengambil masa kira-kira 45 minit. Daripada maklum balas orang ramai terutama guru dan ibu bapa, anak-anak yang mengikuti kelas memanah dapat memperkukuhkan kekuatan emosi dan fizikal mereka apabila setiap peserta akan meletakkan sasaran dan memberikan tumpuan seratus peratus untuk mengenai sasaran.

Ini memberi kesan kepada pembangunan motor, koordinasi deria dan kekuatan tubuh terutama pada bahagian atas terutama tangan dan mata.

"Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya memerlukan satu kekuatan fizikal. Malah teknik membidik ini sekiranya dilatih dapat melahirkan semangat wira dalam diri anak-anak. Selain itu memanah sangat menitik beratkan keseimbangan badan serta menjadikan seseorang itu sabar dan tidak gopoh.

"Ini kerana sekiranya emosi pemanah tertekan, ini akan mengakibatkan panahan mereka mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih kanak-kanak menjadi lebih tenang dan menstabilkan emosi. Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik," jelasnya.

Apa yang tidak disedari adalah peningkatan kekuatan sama ada fizikal mahupun emosi. Ini kerana setiap bow (tarikan ketika memanah) mempunyai kekuatan berbeza. Misalnya Rasulullah menggunakan busur dengan kekuatan bow 80 hingga 130 paun dan ini tentunya memberikan kelajuan yang yang sangat tinggi. Namun sekiranya latihan dilakukan secara konsisten, sedikit demi sedikit kekuatan akan bertambah yang datangnya bukan saja menerusi luaran tetapi mental dan emosi.

"Membina kekuatan menerusi aktiviti memanah adalah satu proses yang mengambil masa namun kesannya sangat luar biasa. Ini kerana sekiranya dibentuk sejak kanak-kanak bayangkan bagaimana tahap kekuatan yang mampu dibina dalam diri anak-anak kecil ini sehingga satu masa mereka bukan saja menjadi seorang yang kuat fizikal tetapi rohani dan jasmani. Inilah yang sangat diperlukan bagi melahirkan insan yang berjaya," katanya.

Menerusi program LEAP jelas Thuraiya, ia mampu memberi simulasi daya keyakinan, memperkembang minat dan motivasi untuk bersukan di kalangan kanak-kanak. Ia juga turut dikaitkan dengan proses muhasabah bagi membuat penilaian, menetapkan pendirian serta membuat keputusan.

Menerusi aktiviti memanah berkuda pula ia secara tidak langsung membentuk perwatakan dan keperibadian menjadi lemah-lembut, merendah diri dan tenang.

Ini kerana mereka yang mengikuti sukan ini jelas mengikut sunnah Nabi Muhammad bukan setakat merangkumi aktiviti tetapi keperibadian meskipun ada antaranya bukan beragama Islam.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai LEAP boleh melayari laman sesawang www.pemanah.net atau laman Facebook Sunnah Memanah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Teknik bancuh kopi

Posted: 21 May 2013 07:05 AM PDT

Aroma kopi yang baru dibancuh memang menggoda. Ia juga memberi kesegaran apabila seseorang itu letih, mengantuk atau ketika menghadapi cuaca sejuk.

Selalunya, peminat tegar minuman kopi akan berpuas hati jika kopi yang diminum itu dibancuh sendiri kerana rasanya lebih enak dan boleh diadun mengikut cita rasa sama ada mahu lebih pekat, sederhana atau ringan.

Pemilik kafe CoffeeSociete, Kar Wai berkata, jika ingin membancuh sendiri kopi di rumah kita perlu menggunakan alat sesuai seperti pembancuh kopi jenis French Press dan Hand Drip.

"Namun, French Press mudah digunakan bagi membancuh kopi dan rasanya lebih pekat berbanding teknik Hand Drip.

Foto

SEDIAKAN pembancuh kopi French Press, Hand Drip, air panas dan serbuk kopi.

Foto

MASUKKAN serbuk kopi ke dalam French Press dan tuang air panas secara perlahan-lahan secara memusing agar sebati dan tutup.

Foto

SELEPAS tiga minit, buka penutup dan tekan perlahan-lahan bancuhan kopi tadi.

Foto

MINUMAN kopi sedia dinikmati dengan mudah menggunakan French Press.

Foto

SEDIAKAN alat lengkap untuk membancuh kopi menggunakan Hand Drip.

Foto

TUANG serbuk kopi ke dalam bekas yang diletak kertas penapis.

Foto

RATAKAN air ke atas serbuk kopi secara perlahan-lahan dalam tempoh tiga minit.

Foto

SEDIA dinikmati dalam cuaca sejuk atau panas selain membantu menyegarkan badan yang letih.


"Sebaiknya jika ingin membancuh sendiri kopi di rumah, gunakan air panas yang kurang daripada 90 darjah Celcius bagi mengelakkan aroma harum kopi hilang.


"Ini kerana perbezaan suhu air panas yang digunakan akan memberikan rasa atau aroma berlainan kepada kopi yang dibancuh," katanya ketika menunjukkan cara betul menghasilkan minuman kopi sempurna.

Tambahnya, sebaiknya tempoh yang digunakan untuk membancuh kopi adalah tiga minit bagi mendapatkan rasa kopi sebenar dan tidak terlalu pahit.

Sementara itu, Kar Wai yang membuka kafe berkenaan bersama adiknya, Kar Heng adalah peminat tegar minuman kopi disebabkan rasanya enak dan aroma yang harum.

Kafe yang dibuka di Publika, Mont Kiara itu pernah dinobatkan sebagai tempat ketiga teratas untuk minuman kopi terbaik oleh TimeOut KL 2012 di Publika.

Bagi memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggemar minuman itu menghirup secawan kopi di kafe yang dibuka sejak lebih setahun lalu itu, mereka memilih menggunakan 100 peratus sumber kopi jenis Arabica dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah.

Sementara itu, untuk pembaca yang masih belum mengetahui teknik sesuai membancuh sendiri kopi di rumah, ikuti langkah mudah yang ditunjukkan Kar Wai bagi mendapatkan rasa kopi sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat