Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 27 May 2013 06:02 AM PDT Bukan semua wanita sanggup melakukan kerja membentang sejadah sebagai persiapan jemaah lelaki menunaikan solat Jumaat, tetapi itu yang dilakukan kumpulan wanita berusia 50-an di Masjid Bukit Rangin, Kuantan, sejak setahun lalu. Tugas dilakukan dengan penuh keredaan dan seikhlas hati itu bukan saja meringankan beban siak masjid yang sudah uzur dengan kesihatan yang kurang mengizinkan tetapi wajar menjadi ikutan kepada masjid lain setiap kali kedatangan Jumaat. Walaupun tugas itu sekadar menghampar sejadah memenuhi ruang solat masjid, golongan wanita terbabit tidak pernah menganggap tugas mereka renyah sebaliknya dilaksanakan dengan penuh kemuliaan. Ahli Jawatankuasa (Biro Wanita) Masjid Saidina Othman ibni Affan, Bukit Rangin, Kuantan, Saadiah Abu Bakar, 56, berkata idea membantu tugas yang kebiasaannya dilakukan tok siak masjid bermula selepas mendengar ceramah agama di masjid berkenaan. BERGOTONG-ROYONG membersihkan kawasan persekitaran masjid setiap Jumaat. AZLINA menyiram pokok di sekitar masjid.
Saadiah berkata, setiap pagi Jumaat bermula jam 8.30 pagi dia bersama beberapa rakan mula membersihkan ruang solat di bahagian dalam dan luar masjid. "Sebaik tiba, kami mengagihkan tugas masing-masing untuk menyiram pokok, menyapu sampah dan menyusun kerusi meja di bahagian luar. "Kami lakukan seikhlas hati untuk memudahkan jemaah lelaki bersolat Jumaat. Ganjarannya hanya Allah yang Maha Mengetahui," katanya. Chik Yahya,57, pula berkata, kelas agama yang dihadiri memberinya keinsafan untuk melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutama berkaitan keagamaan. "Membantu menyusun sejadah setiap Jumaat adalah pekerjaan mulia kerana ia mengurangkan beban jemaah atau tok siak yang ditugaskan membersihkan kawasan masjid setiap hari. "Bagi saya, kerja sukarela yang dilakukan ini pasti dibalas ganjaran yang bukan sedikit dan seharusnya direbut oleh kaum wanita yang mempunyai masa lapang di waktu pagi selepas menguruskan rumah tangga," katanya. Chik yang menetap di Kampung Permatang Badak berkata, dia gembira melakukan kerja itu kerana memberinya peluang memupuk ikatan persaudaraan dalam kalangan wanita yang hadir. "Kesibukan mengurus rumah tangga mengehadkan kami bertemu antara jiran tetangga. Dengan adanya aktiviti seperti ini, kami berpeluang bertukar pendapat, mendalami ilmu berkaitan agama dan saling membantu menguruskan aktiviti yang dirancang. "Balasan atas semua yang dilakukan ini hanya Allah Maha Mengetahui tetapi sebagai seorang Islam, kita seharusnya memanfaatkan setiap waktu terluang dengan aktiviti berfaedah untuk mendapat pahala berganda," katanya. Selain kerja sukarela membersih dan menyusun sejadah untuk bersolat Jumaat, mereka juga sepakat menggunakan masa terluang 'mengoyak dan menyiat' bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran terutama kitab suci al-Quran dan muqaddam sebelum dibakar di relau yang disediakan di masjid berkenaan. Asiah Supaat, 42, berkata, walaupun baru pertama kali didedahkan dengan aktiviti seperti itu, dia berasa teruja kerana digerakkan kaum wanita. "Kebiasaannya, kaum wanita ini sentiasa sibuk di waktu pagi kerana menguruskan rumah tangga tetapi dengan kebijaksanaan akal fikiran, masa yang ada dibahagi sama rata. "Jika dilakukan secara bergotong-royong, kerja yang banyak dapat disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat," katanya. Dia yang pertama kali berkunjung ke masjid berkenaan memilih untuk 'menyiat' al-Quran. "Timbul perasaan sayu kerana terpaksa mencanai al-Quran sebelum memasukkan ke dalam plastik sampah untuk dilupuskan ke dalam relau yang disediakan di masjid ini. "Daripada dibiarkan terus dalam almari dan berhabuk, lebih baik ia dilupuskan dalam cara yang paling diredai dan diberkati," katanya. Bagi Azlina Samsuri, 50, kesempatan bergotong-royong membersihkan kawasan masjid termasuk menyiram pokok adalah rutin sama dilakukan di rumahnya. "Semua ini tidak menjadi masalah kepada jemaah wanita kerana aktiviti ini sebahagian daripada ibadat yang dituntut dalam Islam. "Kami ikhlas melakukannya dan tidak menuntut sebarang ganjaran atau upah daripada pengurusan masjid sebaliknya kami bergotong-royong menyediakan makanan dan minuman untuk berjamu selepas bekerja," katanya. Sementara itu, setiausaha masjid berkenaan, Abd Aziz Awang, 70, berterima kasih kepada jemaah wanita yang sanggup menjalankan tugas berkenaan yang sebelum ini dipelopori jemaah lelaki. "Sejak lebih setahun lalu mereka meluangkan masa bersama tok siak masjid membersihkan masjid dan menyusun sejadah malah memperuntukkan sedkit waktu merincih bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran. "Alhamdulillah, aktiviti seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada dalam kalangan jemaah masjid," katanya. Abd Aziz berkata, dengan kewujudan pusat pengumpulan dan pembakaran al-Quran sejak lebih setahun lalu, masjid itu semakin dikenali ramai dan menjadi tumpuan untuk kerja pelupusan al-Quran. "Sebanyak RM25,000 hasil sumbangan kariah masjid dan individu prihatin diperuntukkan bagi membina bangunan yang dijadikan pusat pengumpulan al-Quran dan relau untuk proses pembakaran. "Banyak aktiviti keagamaan dilaksanakan di sini seperti kelas al-Quran, fardu ain, ceramah agama dan motivasi serta kursus pengurusan jenazah," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27 |
Posted: 27 May 2013 05:49 AM PDT Kita biasanya diperkenalkan dengan kerja amal di zaman persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Di situ, sama ada kita aktif, sekadar menjadi pemerhati, peserta kecil-kecilan atau pengikut saja. Kemudian kita masuk ke alam kerjaya yang membuatkan kita lebih sibuk dengan persekitaran dan kawan-kawan baru. Seterusnya kita berkembang dan mengalami perubahan hidup kerana ada yang berkahwin dan mempunyai keluarga.
Sibuk dan tidak mempunyai masa adalah alasan klise ketika ini apabila kita tidak lagi terbabit dalam bidang komuniti amal. Kita memberi alasan mungkin akan turut serta selepas bersara atau selepas anak-anak besar dan bercucu pula. Sebenarnya, bidang komuniti amal bukan sesuatu yang boleh dipaksa untuk disertai. Ia sesuatu yang perlu dilakukan penuh rela tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Persoalannya ialah kehendak. Lalu, dalam mengingatkan tanggungjawab kepada komuniti, amat bagus pihak majikan juga menjalankan fungsi yang sama dengan apa yang dilakukan oleh pihak sekolah atau universiti iaitu mengingatkan warga kerjanya mengenai kerja amal kepada komuniti tidak kira kecil atau besar. Premiere Conferencing (M) Sdn Bhd (PGI) melakukannya! Raja Saliza Raja Jaffar, eksekutif yang bekerja di situ dilantik sebagai pengendali aktiviti sosial mereka di hujung minggu. Kata sepakat diambil untuk program amal mereka dilakukan dengan berkunjung ke Ronald McDonald House (RMHC) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras. Sembilan kakitangan hadir membawa bersama ahli keluarga dan rakan rapat menjadikan jumlahnya 16 orang. Rumah RMHC ialah sebuah penempatan sementara yang dibina pada 1999. Ia dilengkapi keperluan asas yang cukup selesa iaitu 19 bilik berhawa dingin, bilik membaca, bermain, surau, ruang makan dan memasak, ruang dobi dan taman permainan. Tempat ini adalah untuk mereka yang sedang menunggu anak yang ditahan di wad HUKM kerana sesuatu penyakit. Sebelum melakukan program yang dirancang, Raja Saliza bersama rakan dibawa kakitangan RMHC, Afraz Said melawat keseluruhan dalaman dan luaran rumah itu. "Buat masa ini ada 14 keluarga yang menghuni bilik di sini. Mereka berehat, tidur dan kemudian ke wad semula melihat ahli keluarga yang ditahan di sana. Begitulah rutinnya," kata Afraz kepada sukarelawan PGI. Keluarga yang tinggal di RMHC boleh tinggal selama mana di bilik mereka selagi anak mereka masih ditahan di wad. Sepanjang pengalaman Afraz di situ, dia mempunyai tetamu yang tinggal sehingga dua tahun lamanya. "Syarat untuk tinggal di sini ialah anak mereka mestilah berusia 18 tahun ke bawah. Sekiranya ramai yang memohon untuk tinggal pihak kami akan mengutamakan berdasarkan tempat asal mereka dan kedudukan kewangan," katanya. Ini bermakna, RMHC lebih mengutamakan mereka yang kurang berkemampuan kerana caj yang dikenakan pun sangat murah iaitu RM5 sehari saja. Tamat sesi lawatan, sukarelawan PGI mengambil tugas masing-masing. Sukarelawan lelaki menyapu daun kering di luar dan berkebun manakala yang perempuan memasak di dapur. "Hari ini kami mahu menyediakan spagheti, kepak ayam goreng, sandwic telur, kentang putar, puding dan buah-buahan. Semuanya akan dimakan bersama-sama penghuni rumah di sini." "Saya bersyukur semuanya berjalan lancar. Kawan-kawan memberitahu mereka sangat gembira dengan program ini. Kami dapat berkenalan dengan RMHC serta anak-anak dan keluarga mereka yang tinggal di situ," kata Raja Saliza. Sukarelawan daripada PGi berasa walaupun sumbangan mereka kecil, ia amat bermakna di hati mereka apatah lagi ada yang pertama kali menyertai program amal komuniti sedemikian. Raja Saliza yang memang pandai memasak membahagikan tugas kepada rakannya supaya semuanya dapat disiapkan mengikut waktu. Reena Gan, 30, sangat gembira kerana dapat mengenali RMHC dengan lebih dekat. "Sebenarnya ini pertama kali saya menyertai program amal dan saya anggap ia permulaan yang sangat baik. Ia bukanlah apa yang kita sumbangkan tetapi apa yang dapat kita pelajari antara satu sama lain. Kami sama berkebun, memasak, mencuci dan mahu menggembirakan kanak-kanak di situ," katanya. Jessy Ow, 26, pula berasa dia pasti mencuba untuk berkunjung ke RMHC lagi. "Hidup ini sangat pendek dan perkara yang tidak terjangka selalu terjadi. Jadi kita harus menghargai apa yang kita ada sekarang. Saya bangga dengan apa yang dilakukan oleh RHMC," katanya. Jessy walaupun sibuk membantu di dapur, tidak melepaskan peluang mengambil gambar sepanjang program berlangsung sebagai kenangan. Ronald McDonald House boleh dihubungi di talian +603 91735994 atau layari www.rmhc.org.my/rmh.asp Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |