{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Rap

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Rap


Advertorial: Perang Kenderaan Kuasa Tinggi

Posted: 27 May 2013 12:30 PM PDT

Sebaik mana pengupasan jalan cerita, lakonan serta arahan filem-filem 'Fast & Furious' yang didambakan penonton adalah tayangan kereta-kereta berkuasa tinggi serta babak-babak aksi yang menonjolkan kelebihan setiap jentera ini ke tahap maksimanya.

Antara kereta-kereta yang pernah membuat penampilan mereka di dalam francais 'The Fast and the Furious' termasuk 1970 Dodge Charger, 2000 Honda S200, 1999 Nissan Skyline GT-R, 2001 Honda S2000, 2006 Mitsubishi Lancer Evo IX, 1967 Ford Mustang, 1987 Buick GNX, 2008 Subaru Impreza WRX STi, 1965 Chevrolet Corvette Grand Sport dan 1966 Ford GT40.

Meskipun 'Fast & Furious 6' berlatarbelakangkan Eropah, namun pengarah dan penerbit masih tetap dengan pendirian untuk menampilkan 'American muscle cars'. Hasilnya, kereta-kereta seperti 1970 Jensen Interceptor, 2012 Aston Martin DB9, 2012 Lucra LC470 dan 2012 Alfa Romeo Guilietta akan berkongsi lebuh raya dengan sebuah 1969 Dodge Daytona, 1971 Mark-1 Ford Escort dan 1969 Ford Anvil Mustang. Turut kembali membuat penampilan mereka termasuk 2010 Dodge Challenger, 2010 Nissan GT-R, 2012 Dodge Charger, Subaru BRZ, 2008 BMW M5 dan Mercedes-Benz G-Wagon.

Hasrat pengarah Justin Lin dan penyelaras kereta Dennis McCarthy adalah untuk memastikan setiap kereta yang ditampilkan adalah organik kepada penceritaan filem selain memperkenalkan sebanyak mungkin kereta-kereta klasik di dalam 'Fast & Furious 6'.


Bagaimanapun, bukan bermaksud setiap kereta ini dibeli bagi tujuan penggambaran. Sebaliknya, McCarthy terpaksa membina kereta mereka sendiri. Kos membeli sebuah 1969 Dayton, sebagai contoh, boleh mencecah USD500,000. Tetapi ini memberi mereka kebebasan untuk menyesuaikan setiap kereta kepada tugasan tertentu. Kebanyakkan kereta yang digunakan di dalam 'Fast & Furious 6' dibina di bengkel McCarthy di Los Angeles sebelum dihantar ke United Kingdom.


Namun, kereta yang pasti mendapat perhatian penonton di dalam 'Fast & Furious 6' adalah Flip Car. Cetusan idea Lin, kenderaan ini bertujuan untuk meredah jalan raya dan melancarkan kereta-kereta yang bertembung dengannya ke udara. Untuk melihat Flip Car ini beraksi, jangan lupa saksikan 'Fast & Furious 6 'yang sudah mula ditayangkan di pawagam pada 23 Mei 2013

Sudah merasai kehangatan Fast & Furious 6? Klik disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Tak gentar saingan bintang baru

Posted: 27 May 2013 04:10 AM PDT

Aktor popular Korea Selatan, Zo In Sung atau Jo In Sung, menganggap dirinya amat bertuah apabila bercakap mengenai perjalanan kerjaya. Bagi Zo, peluang dan ruang untuk terus bernafas selama 15 tahun dalam atmosfera hiburan Korea yang sengit bukan perkara mudah.

Katanya, kelangsungan kerjaya dan jenamanya sebagai pelakon untuk tempoh itu tidak hanya terletak pada prestasi dan populariti akan tetapi tuah yang baik.

Ujar pelakon berusia 32 tahun ini, dia menganggap dirinya bernasib baik kerana mendapat kepercayaan dan kasih sayang yang tidak putus daripada peminat di merata tempat menerusi kerjanya.

"Saya menganggap diri saya ini sangat bertuah dalam kerjaya. Sepanjang 15 tahun bergelar anak seni, saya dapat merasakan kasih sayang dan sokongan yang berterusan daripada peminat menerusi kerja saya.


"Ia adalah perkara yang hebat apabila kerja kita (drama) ditayangkan di merata dunia, sekali gus dapat mengembangkan profil dan jenama dengan lebih luas," katanya ketika berkunjung ke Kuala Lumpur bersempena promosi drama bersiri That Winter, The Wind Blows di sebuah hotel terkemuka, baru-baru ini.


Menyambung perbualan, Zo lantas diuji mengenai soal persaingan yang perlu dihadapi dengan kebanjiran bintang-bintang Korea yang jauh lebih muda.

Sempat menghela nafas pendek sebelum menjawab, Zo berkata, lambakan bakat muda yang terkenal dan digilai ramai masa kini bukan isu utama kerana dia sentiasa percaya kepada nilai dan kekuatan pengalaman yang dimilikinya.

"Tiada apa yang dapat mengatasi pengalaman dimiliki seseorang. Saya tidak perlu gentar dengan persaingan kerana kelebihan yang saya miliki iaitu pengalaman.

"Bagi saya perkara itu adalah kekuatan yang saya ada walaupun industri hiburan Korea hari ini dipenuhi ramai bakat baru yang terkenal dan menjadi kegilaan di seluruh dunia.

"Tak perlu saya gentar dengan persaingan kerana saya mempunyai kelebihan berbanding mereka iaitu pengalaman selama 15 tahun," katanya bersungguh-sungguh.
Beralih kepada limpahan populariti dan perhatian diterimanya sebagai bintang popular, Zo berkata, bergelar seorang pelakon adalah sebuah kerjaya sama seperti profesyen lain.

Namun mungkin faktor publisiti dan glamor yang menjadi sebahagian elemen kerjaya ini membuatkan bidang ini berbeza dan diangkat sebagai kerja yang lebih istimewa dan glamor.

"Pada saya pula, tiada apa yang istimewa mengenai bidang kerjaya ini. Hanya kerana saya seorang pelakon, itu tidak menjadikan diri saya berbeza atau istimewa berbanding manusia lain. Cuma mungkin saya selalu diperhatikan.

"Di luar waktu kerja, saya sama seperti orang lain yang cuba menjalani kehidupan normal sebaik mungkin. Di sebalik populariti dan perhatian umum, saya tetap keluar makan dan minum, menghabiskan masa bersama rakan-rakan atau orang-orang yang rapat dengan saya.

"Terus-terang, tiada apa yang perlu dikawal atau meletakkan sempadan dalam kehidupan harian hanya kerana saya seorang pelakon. Kita sebenarnya tidak perlu bimbang sekiranya tidak membuat kesalahan," katanya.

Tambah pelakon bertubuh setinggi 1.87 meter ini, populariti serta perhatian umum bukan perkara yang mengganggu atau mendatangkan tekanan kerana dia sudah terbiasa dengan keadaan itu selepas 15 tahun bergelar anak seni.

"Bayangkan sendiri tempoh itu bukannya waktu yang singkat. Sepanjang tempoh itu saya sudah membiasakan diri dengan tuntutan hidup dalam dunia yang dianggap glamor ini.

"Tidak timbul soal tertekan atau terganggu ekoran populariti kerana elemen itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya selama ini. Bagi saya, dalam apa jua cabang kerja yang kita lakukan ada baik dan buruknya," katanya yang mahu melakukan lebih banyak perkara dalam lakonan pada masa akan datang.

Bahasa halangan ke Barat

Kalau diselak profil kerjaya selama 15 tahun itu, Zo memang sudah cukup layak untuk melangkah lebih jauh dari pentas hiburan Korea saja.

Namun perkara itu mungkin tidak akan berlaku dalam kerjayanya. Ini kerana, dia mengakui faktor penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menjadi penghalang untuk dia terbang jauh.

"Kalau saya berhasrat untuk berlakon di pentas antarabangsa seperti Hollywood, bahasa akan menjadi masalah utama di situ. Saya tidak pasti kalau saya sudah bersedia untuk melangkah jauh dengan kekangan yang ada termasuk bahasa.

"Bagi saya, ia akan menyukarkan kelancaran proses berkomunikasi dan bekerja jika kita tidak mempunyai kebolehan dalam penguasaan bahasa itu.

"Bagaimanapun, kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan tapi setakat ini, saya lebih selesa berlakon di Korea saja," katanya.

Diusik mengenai projek filem terbaru, Zo berkata, dia mengambil pendekatan untuk berahsia kerana kesilapan pada pengalaman lalu.

"Kalau diikutkan, memang akan ada sebuah projek filem dalam masa terdekat tetapi saya tidak mahu mendedahkan butirannya buat masa ini.

"Sebelum ini, saya pernah buka cerita mengenai filem terbaru tetapi projek itu tertangguh, jadi pada kali ini saya sudah tidak mahu bercerita sesuatu yang boleh muktamad lagi," katanya yang kali terakhir membintangi filem A Frozen Flower pada 2008.

Berkongsi pengalamannya selepas menyertai latihan ketenteraan selama dua tahun, Zo berkata, ia keputusan berbaloi yang mengubah segenap aspek kehidupannya termasuk kerjaya lakonan.

"Menyertai khidmat negara banyak mengubah kehidupan peribadi dan mematangkan saya bukan sahaja sebagai seorang lelaki tetapi juga pelakon.

"Saya juga bersyukur kerana peminat sentiasa berada dengan saya. Kerana mereka juga saya masih berada di sini," katanya.

Jadi lelaki mata keranjang

Beralih pada pembabitannya sebagai bintang utama drama bersiri That Winter, The Wind Blows, Zo mengakui, watak sebagai lelaki mata keranjang dan kaki judi bernama Oh Soo bukan tugas mudah.

Jelasnya, biarpun penterjemahan watak itu membangkitkan keterujaan tetapi ia bukan calang-calang watak apatah selagi selepas hampir lapan tahun tidak membintangi drama bersiri.

"Ia adalah watak yang membuatkan saya berasa teruja. Memang bukan mudah untuk menjayakan Oh Soo kerana ia watak yang rumit dan membabitkan permainan emosi mendalam.

"Namun apabila saya semakin mendekati dan memahami watak, saya cukup selasa untuk meluahkan emosi yang berat dalam drama itu," katanya.

Sambung Zo, keberkesanan emosi pada watak dalam drama itu memang luar biasa kerana ia meresap ke dalam dirinya secara peribadi.

"Mungkin kerana watak lelaki yang jahat kemudiannya berubah menjadi baik selepas mengenali seorang wanita yang menyentuh hati saya.

"Ia benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada saya sebagai pelakon. Sebab itu, saya berbesar hati kerana diberi peluang untuk muncul semula dalam lakonan menerusi karya hebat seumpama ini," katanya yang mengakui menampilkan stail lakonan berbeza berbanding versi asal karya itu di Jepun.

That Winter, The Wind Blows adalah olahan semula daripada drama Jepun popular pada 2002, I Don't Need Love yang kemudiannya diangkat pula ke filem pada 2006.

Siri ini berkisar mengenai seorang anak yatim piatu, Oh Soo yang berputus-asa dalam hidupnya selepas kehilangan cinta pertama. Waktu itu dunia begitu gelap buatnya dan mula terbabit dalam perjudian, menjadi lelaki mata keranjang dan penipu.

Sasaran seterusnya adalah Oh Young (Song Hye Kyo) yang bakal mewarisi kekayaan keluarga apabila ibu bapanya meninggal selepas terbabit dalam kemalangan tragis. Oh Soo menyamar sebagai abang Oh Young yang sudah lama terpisah.

Maka bermulalah pertembungan dua insan daripada dunia berbeza yang cuba mengenali erti hidup bersama.

Drama 16 episod yang pernah ditayangkan pada Mac lalu kini disiarkan semula atas permintaan ramai bermula 1 Jun ini pada setiap Sabtu dan Ahad jam 3.15 petang di saluran ONE HD (Astro 393).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat