Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Transformasi hidup NingPETANG Khamis lalu, wajah pemilik vokal soprano, Ning Baizura cukup berseri-seri. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya, apatah lagi apabila ramai yang 'geram' dan 'cemburu' melihat kehadiran permata hidupnya, Ryan Sky Dalton, tiga bulan. Hari itu adalah hari pertama Ryan Sky diperkenalkan kepada media dan umum. Ning dan suaminya, Omar Sharif Christopher Layton punya alasan tersendiri mengapa cahaya mata sulung mereka itu 'disembunyikan' selama tiga bulan. Ia juga umpama mengulang semula tindakan Ning sewaktu hamil yang juga menyembunyikan berita kehamilannya sewaktu fasa awal dia hamil. Beritahu Ning: "Kami bukan sengaja mahu menyembunyikan Ryan Sky selama tiga bulan ini. Bagaimanapun, tindakan tersebut kami ambil kerana mengikut nasihat dan menghormati permintaan ibu saya, Stella, yang mahu Ryan Sky mendapat persekitaran tumbesaran tanpa gangguan. "Maklum, bayi yang baru lahir memerlukan banyak masa untuk berehat dan mengalami proses tumbesaran, jadi kerana itu kami membuat keputusan, selepas tiga bulan baru Ryan Sky akan diperkenalkan kepada umum." Ning yang kelihatan cukup bahagia kemudian memanjangkan cerita tentang pengalaman pertama bergelar ibu. Biar memegang status sebagai penghibur terkenal, namun apabila mula menjadi seorang ibu, Ning melepaskan 'dunia popular'nya untuk memberi fokus terhadap Ryan Sky. Isteri kepada Omar Sharif itu mengaku, tidak mudah menjadi seorang ibu. Dia menyifatkan, menjadi seorang ibu merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar buat dirinya. "Tanggungjawab menjaga anak sangat besar bagi saya dan suami. Persiapan untuk mendapat anak sangat berbeza. Walaupun selepas ini saya dan suami sibuk, kami tetap akan menjaga Ryan Sky sendiri dengan bantuan ibu saya. Bagi saya, didikan daripada ibu bapa sendiri amat penting." katanya ketika mengadakan sidang akhbar yang diadakan di Restoran Neo Tamarind, Kuala Lumpur baru-baru ini. Malah, Ning mempunyai pengalaman tersendiri membesarkan Ryan Sky. Ini kerana bayi seberat 3.47 kilo gram tersebut telah mengalami demam kuning, dan dia telah merawat Ryan Sky sendiri di rumah bersama suami dan ibunya. Ning telah menyewa mesin fototerapi dan dibawa ke rumahnya bagi merawat anak lelakinya itu kerana berasa lebih selesa dan senang untuk dirinya sebagai ibu memantau keadaan Ryan Sky sendiri. Menyelak semula perjalanan kehidupan awalnya sebagai seorang ibu, Ning memberitahu transformasi kehidupan yang dilaluinya banyak telah berubah. Mujur, dia memiliki seorang suami yang cukup memahami dan banyak menyokong dirinya, selain ibu yang sentiasa berada di sisi. Malah, biar nampak cukup moden, Ning sebenarnya telah menjalani tempoh berpantang secara tradisional dengan berpantang selama 100 hari. Dalam tempoh itu juga, akui Ning, dia tidak tidur bersama suaminya, sebaliknya proses berpantang tersebut diisi dengan menumpukan perhatian terhadap anak dan kesihatan dirinya sendiri. "Mujur sepanjang proses berpantang ibu sentiasa ada di sisi. Lagipun, Omar banyak ke luar negara atas urusan kerja," ujar Ning yang melahirkan anaknya secara pembedahan pada 31 Januari lalu. NING mengaku mahu memiliki cahaya mata lagi pada masa akan datang. Ryan Sky Dalton Sebaik khalayak mengetahui nama anak Ning, banyak yang berpendapat nama tersebut tidak berunsur Islamik. Banyak yang mengecam terhadap pemilihan nama tersebut, namun Ning dan Omar Sharif tidak cepat melatah kerana mereka tahu, mereka berada di tempat yang benar. Nama Ryan Sky Dalton yang dipilih sendiri oleh mereka berdua sebenarnya diambil daripada beberapa bahasa. Misalnya, Rayann adalah perkataan daripada bahasa Parsi dan Arab. Ray dalam bahasa Parsi bermaksud bijaksana atau arif dan ia juga merujuk kepada haruman herba. Jika dalam bahasa Arab, perkataan Rayhaan boleh didapati dalam surah Rahman, ayat 12 dan surah Waqi'ah, ayat 89. Rayan atau Rayyan merupakan salah satu daripada pintu syurga. "Begitu juga dengan perkataan Sky. Setiap kali kita memandang Sky (langit) pasti kita akan ingat kekuasaan Allah," jelas Ning tentang makna di sebalik nama anaknya itu. Malah beritahu Ning, nama tersebut juga sebenarnya telah dipilih oleh dua orang kakak tiri Ryan Sky yang berada di Ireland. "Nama Ryan Sky ini dipilih oleh kakak-kakaknya sendiri sewaktu Omar pulang ke Ireland untuk bertemu mereka saat saya hamil tiga bulan. "Sebaik mereka menyebut mahu menamakan bakal adik mereka dengan nama Ryan, kami terkejut kerana nama Ryan itu juga telah lama kami fikirkan sebelum ini. Ia macam satu keajaiban," ujar Ning yang merancang untuk pulang ke Ireland bertemu keluarga Omar dan anak-anak tirinya bersama suami dan Ryan Sky sekitar Julai atau Ogos ini. Pelangi Untukmu Selain menjadi ibu sepenuh masa, Ning yang kini mengikat kontrak sebagai artis residen Universal Music Malaysia sudah mula sibuk dengan beberapa agenda. Ini termasuklah dengan perancangan untuk melahirkan album kanak-kanak serta giat mengumpul material bersama Aylwin Santiago untuk album terkininya sebelum hujung tahun 2013. Pada majlis yang sama, Ning turut mengambil kesempatan melancarkan klip video dan single Pelangi Untukmu yang ditujukan khas buat buah hati sulungnya itu. Lagu tersebut merupakan lagu asal daripada The Wizard of Oz Cast iaitu Somewhere over the Rainbow. Menurut penyanyi kelahiran Kajang, Selangor itu, dia mendapat ilham menulis lagu Pelangi Untukmu hanya dalam masa satu jam. Ia kemudian telah dirakamkan semasa usia kandungannya enam bulan, sementara klip videonya telah menjalani pembikinan sewaktu Ryan Sky berusia dua bulan. |
Posted: Komedi, aksi Oh Mak KauOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA BARISAN karyawan filem Oh Mak Kau kini menanti respons peminat terhadap filem tersebut yang telah ditayangkan di pawagam sejak 16 Mei lalu. BUKAN mudah sebenarnya untuk menjadi seorang pengarah dan dalam masa yang sama merupakan penerbit dan juga pelakon dalam sesebuah naskhah. Bagaimanapun, itu keberanian yang disahut oleh pendatang baharu Nurul Ain Nordin, 23, apabila dia menghasilkan filem pertamanya, Oh Mak Kau (OMK). Mengutamakan elemen komedi dalam filem OMK, Nurul Ain mencipta kelainan apabila turut menyuntik elemen aksi untuk menjadikan filem itu mempunyai keistimewaan tersendiri. Biarpun terdapat sedikit cacat cela dalam filem tersebut memandangkan ia buah tangan pertamanya, namun Nurul Ain bijak menutupinya dengan barisan pelakon yang mantap seperti Jep dan Shuib Sepahtu, Didie Alias, Syamsul Yusof, Abon serta Yasin. Dialog-dialog yang dilontarkan setiap pelakon utamanya juga berjaya mengundang tawa penonton, terutama sekali dialog Jep dan juga Shuib. Mengulas mengenai pengalamannya menghasilkan filem tersebut, Nurul Ain mengakui, sukar untuk dia mengarahkan pelakon-pelakon yang lebih otai seperti Didie Alias dan Abon. "Sebagai pelakon dan juga pengarah baharu, sebenarnya saya berasa rendah diri mengarahkan pelakon-pelakon yang lebih otai seperti Didie Alias dan Abon. "Alhamdulillah saya turut dibantu mereka untuk menghasilkan filem ini. Mereka juga menyumbang idea dan dialog untuk menjadikan filem ini mantap," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar filem tersebut di Cathay Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor. Sementara itu, menurut Didie, selama tiga bulan Nurul Ain cuba memujuknya berlakon dan akhirnya pelakon yang sering mengenakan pakaian ala Lady Gaga itu bersetuju untuk berlakon. Semuanya, gara-gara pelakon dan pengarah Syamsul Yusof yang turut serta berlakon di dalam filem tersebut. Jelas Didie, sebelum sesuatu tawaran diterima dia akan memastikan dulu jalan cerita, pengarah dan juga barisan pelakon yang ada. "Saya mahukan watak yang memberi impak kepada penonton, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. "Saya bersetuju untuk berlakon kerana melihat pengisian filem ini sesuatu yang baharu kerana selain unsur komedi dan aksi, ia turut menyelitkan unsur kasih sayang sesama keluarga," jelas Didie yang sudah 20 tahun tidak membawa watak berat di layar perak. OMK berkisar tentang adik-beradik iaitu Sam dan Mun. Mereka suka mencuri, tetapi mempunyai sikap pelik iaitu mengemas selepas mencuri. Segalanya berubah dengan kedatangan Que, seorang wanita yang berjaya mencuri hati mereka berdua. Diterbitkan oleh Star Scope Production Sdn. Bhd., ia menelan belanja sebanyak RM1.7 juta dan sudah ditayangkan sejak 16 Mei lalu. |
Posted: Babak KIL tidak hina wartawanOleh KHAIRUL AMRI HASSAN CHRISTINA SUZANNE dan Redza Minhat merupakan pelakon utama filem KIL. PERCUBAAN pertama Nik Amir Mustapha mengarah filem boleh diberikan pujian. Menerusi filem berjudul KIL yang bakal ditayangkan pada 30 Mei ini, Nik Amir berjaya menyampaikan mesej menghargai kehidupan dalam konteks masyarakat Timur. KIL memaparkan pergolakan dalam diri seorang lelaki bernama Akil yang cuba membunuh diri akibat tekanan hidup dengan pelbagai cara, termasuk mendapatkan bantuan daripada sebuah agensi untuk mencapai matlamatnya lebih cepat. Bagaimanapun, muncul situasi yang tidak enak apabila terdapat beberapa babak yang memaparkan cara kerja, percakapan dan dialog antara seorang wartawan penyiaran dengan seorang pengarah filem yang memberikan tanggapan buruk dalam institusi kewartawanan. Babak tersebut memperlihatkan sikap segelintir wartawan yang telah membuat penilaian buruk terhadap karya pengarah tempatan sehingga menyebabkan industri perfileman Malaysia lumpuh. Dalam cara sinikal dan sarkastik secara tidak langsung isu itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan wartawan, tambahan Nik Amir merupakan seorang pengarah muda yang memerlukan wartawan untuk memperkenalkan hasil kerjanya sama ada sekarang atau pada masa akan datang. Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini daripada Nik Amir selepas tayangan perdana filem KIL di Cathay Cineleisure, e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Kosmo!: Setiap babak dalam filem sudah pasti penting bagi seorang pengarah. Apakah relevannya babak wartawan dan pengarah filem itu dalam KIL? NIK AMIR: Babak-babak itu bukan fokus utama dalam penceritaan watak Akil (Redza Minhat) dan Zara (Christina Suzanne), sebaliknya hanya jenaka yang diselitkan agar tidak memberatkan jalan cerita. Babak itu melambangkan peristiwa yang bakal terjadi kepada watak Akil kemudiannya. Adakah dengan tindakan ini anda dilihat seolah-olah mahu berperang dengan wartawan? Tidak sama sekali. Saya melihat babak itu hanyalah hiburan ringan dan sekadar pandangan saya secara keseluruhan akan situasi semasa dunia perfileman. Saya minta maaf sekiranya secara tidak langsung telah menyindir kerjaya wartawan. Bolehkah anda jelaskan dengan lebih lanjut keperluan dialog yang meletakkan wartawan tidak layak memberikan kritikan kepada filem-filem di Malaysia? Dialog itu adalah skrip rekaan sendiri Hasnul Rahmat yang membawakan watak Johan Iskandar, seorang pengarah filem. Tiada niat untuk mengapi-apikan sesiapa. Watak itu sebenarnya untuk menyindir pengarah yang terlalu obses membuat filem hingga tidak sedar elemen komersial. Wartawan pula melakukan tugasan mereka. Saya mengimbangi jalan cerita berat dengan elemen komedi. Kebanyakan pelakon filem KIL adalah kenalan anda, adakah faktor pemilihan itu kerana kekangan bajet? Pemilihan pelakon bukan kerana kekangan bajet, tapi kerana kami saling mengenali. Lagi senang sebenarnya untuk mengarahkan kawan-kawan kerana sudah faham kerjasama. Malah, sambil melepak di kedai kopi pun boleh berbincang. Kenapakah filem ini mengambil masa terlalu lama untuk ditayangkan di pawagam? Filem KIL pada mulanya dibikin atas dasar filem bebas berskala rendah. Namun, pertemuan dengan Pengurus Besar Filem, Primework Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin secara tidak sengaja membuka ruang lebih luas untuk filem ini diterbitkan ke pasaran lebih luas. Alhamdulillah, filem ini juga tercalon untuk bertanding di Festival Filem Cannes di Perancis pada 20 Mei ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |