Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Projek bersama Erra FaziraAGAK lama Kosmo! tidak menyingkap sisi kehidupan aktres berbakat, Datin Paduka Umie Aida. Melihat kepada penampilannya dari dulu sampai sekarang, aktres berusia 40 tahun itu masih kekal jelita dan terus aktif dalam karier lakonannya. Begitupun, karier seni Umie atau nama sebenarnya Umi Kalsum Rahmad Ali itu kini, bukan sahaja tertumpu pada lakonan tetapi juga bidang nyanyian. Aktres filem Embun itu baru sahaja merakamkan lagu bersama teman baiknya iaitu Erra Fazira. Malah, mereka juga sudah menjalani pembikinan klip video untuk single kolaborasi mereka itu di Sydney, Australia. Apabila Umie menyatakan hasrat untuk menyanyi, ramai yang tertanya-tanya tentang kemampuannya. Bagaimanapun, jangan pernah terlupa tentang fakta bahawa Umie terlebih dulu memulakan langkah sebagai pernyanyi apabila dia menyertai pertandingan nyanyian Asia Bagus ketika berusia 18 tahun. Dia kemudian pernah menghasilkan dua album studio berjudul Romeo & Juliet (1999) dan juga Gema Kasih (2002). Adik kepada pengarah Erma Fatima itu juga pernah popular menerusi lagu Salam Taj Mahal dan juga Redup Kerinduan. Walau bagaimanapun, kerjaya nyanyian Umie tidak begitu menyerlah berbanding karier lakonannya. Rezekinya dalam bidang nyanyian juga tidak seperti Erra Fazira apabila aktres jelita itu berjaya dalam kedua-dua bidang tersebut. Ditebak kenapakah dia ingin kembali menyanyi, dedah Umie, semuanya disebabkan oleh Erra. "Ini semua idea Erra. Dia yang mengajak saya untuk menyanyi semula. Berduet bersama dan menghasilkan single. Saya tahu dan sedar tidak berapa bijak dalam bidang nyanyian. Tetapi, selepas Erra memujuk dan saya fikir tidak salah kalau saya sekadar mencuba," ungkapnya mengenai single kolaborasinya bersama Erra yang dicipta oleh Azlan Abu Hassan itu. Masih belum mempunyai judul untuk single tersebut, ujar Umie lagi, dia menyanyi sekadar berseronok dan tidak mahu hidup dalam keadaan stres tanpa melakukan perkara yang disukai dan menggembirakan hati dan teman baiknya. Anak Biarpun agak keberatan, tidak lengkap sekiranya perihal anak tidak ditanya kepada Umie. Walaupun sudah tiga tahun berkahwin dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di Tanah Suci Mekah pada 14 Mac 2010, pasangan itu masih belum dikurniakan anak. Begitupun, Umie masih belum berputus asa dan masih berharap dirinya dan suami dikurniakan anak biarpun Umie sudah mempunyai dua orang anak angkat iaitu Mohd. Daniel Firdaus, 20, dan Mohd. Dzulhelmy, 19. "Saya percaya kepada rezeki. Saya sudah berusaha dan lakukan yang terbaik dengan berjumpa doktor pakar. Doktor juga ada mengatakan kami subur dan tiada apa-apa masalah, cuma belum ada rezeki dikurniakan anak," ujarnya yang masih belum cuba untuk berubat secara tradisional. Mengulas lanjut, kata Umie, dia bersyukur kerana dikurniakan dua orang anak angkat dan tidak tertekan kerana tidak dikurniakan anak daripada rahim sendiri. Kata Umie, doktor ada menasihatkan dirinya agar mengurangkan pergerakan dan aktiviti seni untuk memudahkan proses mengandung. Walau bagaimanapun, permintaan doktor itu tidak dapat dituruti olehnya kerana dia sememangnya tidak boleh duduk diam. Ungkapnya lanjut, jika tidak menjalani penggambaran, dia akan ke gimnasium, menunggang basikal, bermain badminton atau bersenam daripada duduk di rumah. PADA usia 40 tahun, Umie masih laku sebagai aktres yang sentiasa diintai para pengarah untuk mendapatkan khidmat lakonannya. Bertenaga Bakal terbang ke Korea Selatan bersama pihak media sempena Anugerah Skrin dari 4 hingga 11 Jun ini, Umie juga memberitahu, dia baru sahaja dilantik sebagai duta produk kesihatan, Phyto Science Double Stemcell selama setahun bermula pada 14 Mei lalu. Ekoran pelantikan Umie sebagai duta produk kesihatan itu, aktres itu juga membuktikan bahawa dia masih mampu menggugat aktres-aktres muda yang sedang mencipta nama buat masa kini. Sengaja melayangkan pertanyaan mengenai dirinya yang dipilih sebagai duta produk kesihatan yang berasaskan kombinasi sel-sel tumbuhan itu, tutur Umie, pelantikan dirinya itu disebabkan pihak tersebut melihat akan bakat dan penglibatannya dalam dunia lakonan. "Alhamdulillah, saya dipilih. Kalau hendak kata saya dipilih disebabkan wajah cantik atau kulit masih tegang, ramai lagi aktres yang memilikinya. "Mereka memberitahu, saya dipilih kerana bakat lakonan dan penglibatan saya dalam industri seni sejak dahulu lagi," ungkap Umie ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk kesihatan Phyto Science Double Stemcell di Hotel Sunway Resorts & Spa di Petaling Jaya, Selangor. Sedar dirinya sebagai pelakon yang sering mengenakan solekan tebal dan lama, ujar Umie, disebabkan itu sejak dahulu lagi dia sering menjaga kulitnya untuk mengelakkan proses penuaan. Selain itu, Umie juga mengakui mengambil vitamin sejak sejak pada usia 20-an lagi. "Sebagai seorang artis, saya perlu menjaga kulit berganda daripada orang biasa. Sebabnya, kami (para pelakon) sering memakai solekan lama malah, kulit kami juga terdedah kepada sinaran UV dan cahaya lampu ketika penggambaran. Lama kelamaan, kalau tidak dijaga kesan penuaan akan ketara," jelasnya. Berkongsi mengenai produk kesihatan tersebut, jelas Umie, setelah mengambilnya selama tiga bulan, dia berasa lebih bertenaga dan tidak berasa letih walaupun perlu menjalani penggambaran selama hampir 24 jam. Ujarnya lagi, walaupun menjalani penggambaran dari pagi sehingga ke petang, pada sebelah malamnya pula dia masih mampu bermain badminton bersama teman-teman. "Produk Phyto Science Double Stem Cell dengan teknologi nano amat mudah dan cepat untuk diserap. Saya mengambilnya dua kali sehari dengan hanya meletakkan di bawah lidah sahaja. Ia berupa serbuk dan mudah diserap. Alhamdulillah selepas mengambilnya saya berasa cergas sepanjang hari," ulasnya lagi. Ditebak berapakah bayaran yang diterima Umie atas pelantikannya sebagai duta itu, Umie hanya tersenyum menyimpan seribu makna. |
Zul tak ambil kesempatan - Gayatri Posted: Zul tak ambil kesempatan - GayatriOleh KHAIRUL AMRI HASSAN ZUL dan Gayatri memilih untuk tidak terlalu menghebohkan hubungan cinta mereka. HUJUNG tahun 2012, pelakon kacak Zul Ariffin telah membuat pengakuan bahawa dia sedang bercinta dengan penerbit filem Tayangan Unggul Sdn. Bhd. dan Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai. Zul yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan pelakon Abby Abadi memilih Gayatri atas dasar personaliti penerbit filem itu yang lemah-lembut sekali gus menafikan dakwaan cinta Zul berlandaskan kekayaan dan kemasyhuran semata-mata. Bertemu dengan Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 29, ketika tayangan perdana filem Bikers Kental di Cathay Cineleisure, e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini Kosmo! mendapatkan respons Zul dan Gayatri mengenai perancangan mereka selepas ini. Setelah hampir setahun bercinta, Zul dan Gayatri menegaskan, mereka perlu berahsia dalam soal perancangan kehidupan mereka. Ikuti temu bual bersama kedua-dua selebriti itu. Kosmo!: Zul nampaknya sudah tidak berselindung lagi mengenai hubungan cinta dengan Gayatri. Adakah anda kini lebih bersifat terbuka dalam soal peribadi? ZUL: Kalau perkara baik buat apa saya sembunyikan? Sudah pasti saya akan berkongsi dan bagi saya tiada istilah sorok-sorok. Biarlah orang tahu akan hubungan kami. Kami gembira dan tiada halangan. Sudah setahun kami lalui hubungan ini dengan aman damai. Sejauh manakah hubungan kalian sekarang? Adakah kalian telah bertemu keluarga masing-masing? Saya serius. Buat masa sekarang kami sudah berjumpa keluarga masing-masing. Kali pertama saya berjumpa ibu Gayatri ketika Hari Raya Aidiladha tahun lalu ketika melawatnya di hospital. Bagaimanakah perancangan hubungan anda selepas ini? Perancangan itu ada, tapi saya tidak boleh kongsikan dengan lebih lanjut. Tak seronok pula kalau semua perkara saya beritahu terlalu awal. Mungkinkah anda akan berkahwin pada tahun ini? Tidak pasti lagi tahun ini atau tahun depan. Lagipun, ibu Gayatri masih dirawat di hospital. Beralih cerita mengenai kerjaya pula, adakah mungkin selepas ini akan muncul minat untuk mengarah pula? Saya suka tengok filem tapi tak tahu kenapa tidak minat untuk mengarah atau menulis skrip. Saya tidak mahu dibebankan dengan tekanan kerja sebagai pengarah. Insya-Allah apabila terbuka hati mungkin suatu hari nanti. |
Posted: Lari tiada isu dengan FinasOleh KHAIRUL AMRI HASSAN LARI mempertaruhkan bakat lakonan (dari kiri) Hazama, Dira, Aaron Aziz dan Erin Malik. LARI merupakan salah satu daripada lima buah filem yang berjaya mendapat tempat untuk ditayangkan di Marche Du Film sempena Festival Filem Cannes di Perancis yang berlangsung dari 15 hingga 26 Mei. Menurut Ahmad Idham, selain KIL, Penanggal, Vikingdom dan Bola Kampung, filem arahannya itu terpilih untuk menyertai festival filem itu menerusi wakil sebuah syarikat pengedaran antarabangsa ketika proses suntingan lagi. "Apabila Lari dipilih untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes, ia merupakan satu perkara yang membuktikan bahawa usaha saya selama ini memang berbaloi. "Kejayaan ini harus dikongsikan bersama peminat dan individu yang menyokong saya selama ini," ujarnya ketika sidang akhbar tayangan perdana Lari di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Katanya, pemilihan Lari bermula apabila wakil dari syarikat pengedaran antarabangsa yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat telah menonton sebahagian daripada filem tersebut ketika proses suntingan di Bangkok, Thailand. Disisih Filem Lari bagaimanapun berdepan dengan isu salah faham dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) apabila filem aksi itu tidak melalui badan tersebut untuk bertanding di Marche Du Film. Kata Idham, tidak perlu timbul sebarang isu apabila ada pihak lain yang lebih peka dan mengambil berat akan perkembangan filem Malaysia. "Tiada isu pun sebenarnya tapi cuba fikirkan adakah saya yang sepatutnya menghantar filem saya atau badan bertanggungjawab yang perlu datang kepada kami? "Masalah sekarang adalah sistem negara kita yang tidak telus dan lemah, sekali gus menyebabkan industri kita tidak ke mana-mana. Ini bukti bahawa orang luar sebenarnya lebih menghargai karya kita," tegasnya. Untuk rekod, Marche Du Film bermula pada 15 hingga 26 Mei ini diadakan sempena Festival Filem Cannes melibatkan 10,000 penyertaan dan sebanyak 4,000 buah filem akan ditayangkan dari seluruh dunia. Dalam pada itu Idham menjelaskan, dia tidak pernah disisihkan daripada Finas, namun kerenah birokrasi dan protokol yang terlalu leceh menyebabkan harapannya untuk ke Marche Du Film melalui Finas pudar. Koreografer Thailand Bercakap mengenai filem yang telah menelan belanja sebanyak RM2.5 juta itu, Idham perlu mengambil kira faktor keselamatan pelakon-pelakonnya memandangkan lebih 80 peratus filem ini adalah aksi. "Cabaran terbesar saya sebenarnya untuk mendapatkan pelakon utama iaitu Aaron kerana semua tahu jadualnya sentiasa padat. "Tapi, dalam masa sama, sepanjang penggambara,n saya perlu memastikan keselamatan pelakon saya kerana kebanyakan aksi sangat ganas dan risiko kecederaan tinggi," katanya yang mendapatkan khidmat koreografer aksi filem Ong-Bak, Tony Jaa. Lari bukan sebuah filem tipikal yang melibatkan pertarungan antara beberapa puak, sebaliknya kata Idham, filem yang menelan bajet terbesar dalam sejarah perfilemannya itu, memaparkan isu yang lebih matang dan universal, contohnya isu pemerdagangan manusia. Lari mengisahkan Khaliff (Aaron Aziz) yang berhadapan dengan konflik apabila adiknya Ina (Erin Malik) dilarikan oleh sindiket pemerdagangan manusia dan ayahnya dibunuh kejam. Konflik berterusan apabila Khaliff mengesyaki KJ (Erry Putra) terlibat dalam kejadian tersebut. Sementara itu, kekasihnya dahulu iaitu Maya (Dira Abu Zahar) ingin membantu Khaliff menyelesaikan misinya. Lari akan mula ditayangkan pada 6 Jun di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei dalam format digital sepenuhnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |