{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Horizon

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Horizon


Keindahan pemandangan matahari terbit

Posted:

Keindahan pemandangan matahari terbit

Keindahan pemandangan matahari terbit

Oleh ADLAN JAAFAR

PERJALANAN mengejar matahari terbit di Taman Negara Bromo Tengger Semeru (BTSNP) bukan calang-calang. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Indonesia ke Probolinggo sahaja memakan masa hampir dua jam dengan melakukan dua kali hentian.

Probolinggo merupakan bandar yang terdekat dengan BTSNP, tetapi masih lagi memerlukan masa lebih satu jam untuk mendekati kawasan berpasir dan berhawa dingin itu.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja perjalanan dibuat dengan menaiki pengangkutan awam, tetapi disebabkan masa yang terlalu singkat maka perkhidmatan agensi pelancongan pilihan terbaik.

Bagi ekspedisi yang tidak tergesa-gesa, bermalam di pekan kecil itu adalah keputusan terbaik.

Ekspedisi mengejar matahari terbit di BTSNP bermula seawal pukul 2.30 pagi waktu Indonesia Barat apabila pelayan hotel di situ mengetuk pintu bilik.

Kedengaran seperti mendesak, pekerja hotel pasti mengejutkan kami setiap 15 minit bagi memastikan kami benar-benar telah bersiap.

Dari Probolinggo, perjalanan menaiki kereta sekitar sejam membawa kami ke sebuah kampung penduduk tempatan, Kampung Ngadisari.

Di situ, mod pengangkutan bertukar ke kenderaan pacuan empat roda yang dipandu penduduk tempatan, mereka amat mahir selok-belok pemanduan terutamanya di kawasan Savana.

Ketika jam menunjukkan angka 4 pagi dan cuaca masih diselubungi kegelapan malam, suasana di Kampung Cemoro Lawang begitu bising kerana kesesakan lalu lintas.

Kampung Cemoro Lawang mendapat nama kerana terdapat banyak pepohon cemara di persekitaran penempatan itu selain merupakan kampung paling terdekat dengan kawasan Gunung Bromo.


PACUAN empat roda merupakan pengangkutan yang ideal untuk ke BTSNP.


Pada pandangan saya, mungkin perjalanan ke puncak sudah dekat. Rupa-rupanya, masih lagi jauh dan memerlukan masa lagi satu jam untuk sampai sebelum dapat menyaksikan matahari terbit.

Keadaan jalan semakin teruk seiring perjalanan naik ke atas. Kelebaran jalan semakin kecil, manakala sudut membelok jalan ada yang mencecah lebih 270 darjah ketika mendaki.

Kenderaan yang dinaiki kami beberapa kali terhenti. Apabila enjin boleh dihidupkan dan kenderaan bergerak pasti mati semula selepas mendaki lebih kurang empat atau lima meter.

Saat itu, perasaan menjadi resah kerana waktu sudah pun menunjukkan masa pukul 4.45 pagi dan jika benar-benar kenderaan dinaiki kami rosak, maka hancurlah harapan melihat kecantikan matahari terbit di BTSNP.

Pemandu pelancong, Mohamad Richard Noor sudah mengomel-ngomel dalam bahasa tempatan kepada pemandu yang masih gagah mahu menghidupkan enjin.

Pemandu mengambil tindakan drastik, dia keluar dari kereta, membuka bonet hadapan dan mengodek-ngodek sesuatu. Apabila enjin cuba dihidupkan, deruman enjin mengaum.


PENDAKIAN yang perlu ditempuh pengunjung untuk melihat kawah Bromo.


Bukan kenderaan kami sahaja menerima nasib begitu, tetapi banyak lagi pacuan empat roda lain yang tersadai seketika, manakala anak-anak muda yang datang dengan menaiki motosikal kerap berhenti beberapa kali bagi merendahkan suhu enjin.

Sampai di satu lokasi, kenderaan kami berhenti lagi kerana di hadapan terdapat banyak lagi pacuan empat roda yang tidak bergerak.

"Kita turun di sini dan naik 'ojek'," ujar Mohamad Richard.

Pada harga Rp10,000 (RM3), saya menaiki ojek iaitu sebuah motosikal yang berfungsi seperti teksi untuk membawa kami ke puncak.

Ojek diperlukan kerana pada ketinggian sekitar 2,500 meter itu, kenderaan lain tidak lagi mampu melalui laluan kecil dan curam ke puncak.

Cuaca dingin di kawasan pergunungan begitu mencengkam tulang, sehelai baju sejuk nipis tidak cukup menahan diri dan harus disertai sarung tangan, penutup kepala serta sebai.

Kemudian, kami terpaksa berjalan kaki sekitar 30 meter untuk ke puncak pelantar yang dibuat khas untuk pengunjung melihat matahari terbit berlatar belakang pemandangan keseluruhan BTSNP.

Ruang puncak yang dipanggil Pananjakan itu terlalu kecil jika dibandingkan jumlah khalayak yang datang ke situ. Pananjakan berada pada ketinggian 2,700 meter dari aras permukaan laut.

Sekitar pukul 5.15 pagi dan cahaya jingga sudah pun kelihatan dalam remang-remang subuh.

Sang suria terbit sekitar pukul 5.30 pagi apabila cahaya yang cukup terang berbentuk bulatan terbit dari ufuk timur.

Ketika itu, anak-anak muda Indonesia yang berada di situ berteriak kegembiraan melihat cahaya matahari yang memancar.

Selepas keseluruhan matahari terbit, jika dipandang tepat pada permukaan bulatan matahari pasti betul-betul dapat melihat garisan bulat dan ia seperti berputar-putar.

Cahayanya begitu terang dan menyilau, memedihkan mata jika memandang terus secara mendadak. Pada beberapa ketika cahaya ungu kelihatan di persekitaran matahari, tidak pasti ia efek penglihatan mata atau sememangnya keluar daripada matahari.

Semua itu, hanya boleh dilihat dan dirasai untuk beberapa minit selepas kami menempuh beberapa ribu kilometer perjalanan selain menukar mod pengangkutan lebih tiga kali.


KEADAAN Kampung Cemoro Lawang selepas letusan Gunung Bromo pada tahun 2011.


Namun itu semua berbaloi demi sebuah pengembaraan yang begitu menguji ketahanan fizikal dan emosi.

Jika dilihat dari Pananjakan, puncak tertinggi di situ adalah Gunung Semeru berketinggian 3,676 meter (m), manakala paling hadapan dikenali sebagai Gunung Batok (2,400 m). Di antara Semeru dan Batok terdapat Gunung Bromo, Widodaren serta Gunung Watangan yang lebih rendah.

"Pada asalnya, terdapat sebuah gunung sahaja iaitu Gunung Bromo, tetapi selepas beberapa siri letusan, landskap di situ berubah menjadi beberapa gunung dan kawasan savana (padang pasir).

"Gunung Bromo masih aktif sehingga sekarang dan laluan kawah semakin sempit berbanding saya kecil dahulu," kata Mohamad Richard.

Saat menikmati kopi panas dan mi segera di gerai kecil di Pananjakan, kami bertembung dengan seorang rakyat Malaysia.

Paling ketara membuktikan dia orang Malaysia apabila wanita berketurunan Cina itu meminta teh panas dengan susu (teh tarik) yang merupakan kegemaran rakyat Malaysia.

"Saya juga pertama kali datang ke sini kerana mendengar cerita mengenai kecantikan Gunung Bromo dan matahari terbit di sini," kata wanita hanya dikenali sebagai Rina yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.

Wanita itu dan seorang lagi temannya, wanita berketurunan Eropah sememangnya sangat sukakan cabaran dan alam sekitar, selepas ke Gunung Bromo, mereka akan bertolak ke Kawah Ijen di Jawa Timur pula.

Sungai Skudai destinasi migrasi burung

Posted:

Sungai Skudai destinasi migrasi burung

Sungai Skudai destinasi migrasi burung

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


SALAH seorang penduduk di Kampung Sungai Melayu, Mohd. Che Salim memberikan kupang kepada seekor burung helang merah.


HAMIDON AHMAD, 60, meluaskan pandangan melihat Sungai Skudai yang terbentang luas sambil dia menitipkan cerita.

"Sungai ini dahulu wajahnya cukup berbeza. Kami, para nelayan hampir pernah berputus asa selepas mata pencarian kami tersekat gara-gara pihak yang tak bertanggungjawab menjadikan sungai ini sebagai tong sampah.

"Sungai berbau sampai burung-burung pun tak sudi hendak singgah untuk mencari makanan," ujarnya sambil mendengus.

Kenyataan nelayan yang membesarkan 11 orang anaknya dengan hasil laut itu memang benar belaka. Sungai Skudai beberapa tahun lalu pernah direkodkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor sebagai antara paling tercemar di Malaysia.

Namun soroton kisah lampau itu sudah berlalu. Kini, Hamidon bersama-sama ratusan nelayan itu menghela nafas lega.

Mengapa? Ini kerana Sungai Skudai yang panjangnya 46 kilometer (km) dan mempunyai luas lembangan 235 km persegi sudah mengalami transformasi. Ia kini menjadi lokasi migrasi ribuan spesies burung dari seluruh pelosok dunia.

"Bila banyak burung dah mula kembali berhijrah ke sungai, ini merupakan petunjuk jelas bahawa sungai ini sudah bersih," demikian hemat nelayan itu yang memang tidak dapat menjauhkan dirinya dengan air lagi.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan itu berkata, transisi itu sebenarnya bermula kira-kira lima tahun lalu setelah kerajaan negeri Johor mengambil langkah menggunakan teknologi mikro-organisma berkesan untuk merawat air sungai selain meningkatkan pembiakan pelbagai spesies marin.

Selepas itu, flora dan fauna di sekelilingnya memberi impak yang positif, ujar Hamidon.

SEEKOR burung bangau kerbau sedang berehat di atas batu di Sungai Skudai.


Tumbuhan seperti bakau minyak, bakau kurap, perepat, nipah dan beting lumpur kemudian kembali menjadi pilihan untuk spesies membiak dan mendapatkan sumber makanan yang mencukupi.

Tarikan pelancong

Inisiatif kerajaan negeri itu ujar Hamidon, tanpa disangka mendatangkan tuah kepada lebih 700 penduduk Kampung Sungai Melayu.

"Ia bukan saja membuatkan kami kembali turun ke laut mencari rezeki, malah kami dapat menambah pendapatan apabila Sungai Danga telah dijadikan tarikan pelancongan yang baharu di negeri Johor," ujarnya sambil dipersetujui oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kampung tersebut, Sharrifa Mohd. Shah.

Sambung Sharrifa, hasil kerjasama Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, mereka mewujudkan pakej melancong di sepanjang sungai itu.

Pakej tersebut dibahagikan kepada tiga slot dengan menawarkan harga serendah RM50 hingga RM70.

Untuk pakej paling murah, ujarnya, para pelancong yang berkumpul dari Jeti Kampung Sungai Melayu akan dibawa menyusuri Sungai Gading dan mengelilingi Kampung Sungai Melayu termasuk ke rakit kupang.

"Pakej kedua dan ketiga tawarannya lebih menarik apabila mereka akan dibawa mengelilingi Sungai Gading, terus ke Sungai Skudai untuk melihat telatah dan habitat burung hijrah," jelas Sharrifa.

Antara spesies burung yang bakal ditemui pengunjung ialah bangau kendi, bangau kerbau, helang siput, camar kecil, kedidi kaki hijau, kedidi kaki merah, kenyalang, undan dan itik air.


BURUNG helang merah liar di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah.


Kepada yang teringin merasai makanan laut hasil air tangan orang kampung, tiga pakej makanan ditawarkan yang berharga RM15, RM20 dan RM35.

"Ketika menjamu selera di tepi sungai, jika bernasib baik pengunjung boleh menyaksikan beberapa burung helang yang jinak hinggap di tapak tangan para penduduk di sini," beritahu wanita itu lagi.

Bercerita tentang sambutan yang diterima, Sharriffa berkata, ia sangat memberangsangkan sejak usaha itu digarap setahun lalu.

Seorang nelayan, Kamarudin Ahmad, 45, memberitahu, dia pernah membawa pelancong dari Kanada, New Zealand, Singapura, Arab Saudi dan Indonesia.

"Mereka terpukau dengan keindahan alam semula jadi kita dan bila saya ceritakan tentang sungai itu yang kotor satu ketika dahulu, mereka terkejut dan pada masa sama kagum dengan usaha pemuliharaan yang dilakukan," kata Sharrifa yang sedang memperbaiki penguasaan bahasa Inggerisnya bagi memudahkan dia berceloteh panjang dengan pengunjung antarabangsa kelak.

Penginapan mewah Hotel Best Western

Posted:

Penginapan mewah Hotel Best Western

Penginapan mewah Hotel Best Western

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


HOTEL Best Western, Premier Dua Sentral yang terletak di tengah-tengah ibu kota memberi pelbagai kemudahan kepada pelancong.


WALAUPUN belum sampai setahun beroperasi, Hotel Best Western, Premier Dua Sentral (Best Western), diJalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur begitu terkenal dalam kalangan pelancong.

Best Western menawarkan penginapan mewah di ibu negara dengan status lokasi strategik.

Hotel yang terletak kira-kira 500 meter dan hanya mengambil masa 10 minit perjalanan dari Kuala Lumpur Sentral itu memiliki 358 bilik yang terbahagi kepada tiga pakej iaitu Executive, Club dan Deluxe Suite. Setiap pakej mempunyai ciri-ciri istimewa dan harga yang berbeza.

Bagi mereka yang inginkan lebih keselesaan, bilik Executive Suite merupakan pilihan terbaik buat anda. Dua bilik tidur yang luas dilengkapi tiga katil bersaiz queen dan ruang tamu mewah melengkapkan percutian tersebut. Walaupun di tengah-tengah kesibukan bandar raya, para tetamu boleh menikmati suasana penginapan yang tenang.

Bilik Club Suite pula mempunyai satu bilik, namun mempunyai kelengkapan dan yang serupa dengan pakej penginapan Executive Suite,

Pihak hotel juga menyediakan perkhidmatan van percuma untuk pelancong ke beberapa destinasi di ibu kota seperti Pusat Konvokesyen Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur Sentral.


ANTARA kelengkapan yang disediakan oleh pihak hotel melalui setiap pakej mengikut pilihan tetamu.


Restoran

Di hotel bertaraf empat bintang itu, para tetamu boleh menikmati pelbagai hidangan di tiga restoran utama iaitu Kembali Kitchen, Hugo's On 6 dan Grill 582.

Ketiga-tiga restoran tersebut menyajikan hidangan yang berbeza mengikut cita rasa anda. Bagi yang menggemari hidangan tradisi autentik masyarakat Malaysia seperti nasi beriani, kambing panggang dan ketam masak cara Cina, Kembali Kitchen merupakan pilihan terbaik.

Huga's On 6 pula menyajikan hidangan Barat seperti piza dan pasta. Anda juga dapat melihat sendiri proses penyediaan tujuh jenis piza istimewa antaranya Piza Nargherita, Piza Quatrro Stagioni dan Piza Hugo's sebelum ia dibakar di dalam ketuhar.

Urutan

Tidak sempurna penginapan anda di Hotel Best Western sekiranya tidak mencuba urutan daripada terapi terbaik di Bhuvana Spa Luxe. Pelancong boleh mencuba minyak dyna yang telah dipanaskan melalui urutan signatur spa itu.

Pengurus Bhuvana Spa Lux, Linda Omar memberitahu, urutan daripada lima ahli terapi spa menggabungkan dua teknik iaitu regangan dan urutan badan.

"Urutan dengan tapak tangan yang ditawarkan mampu mengurangkan sakit otot. Selain daripada urutan badan, pihak kami juga menyediakan perkhidmatan refleksologi dan rawatan kaki.


ANTARA kelengkapan yang digunakan oleh terapis di Bhuvana Spa Luxe.


"Sesi urutan signatur Bhuvana Spa mengambil masa selama satu jam pada harga RM170. Pihak kami juga memberi kelonggaran kepada pengunjung untuk memilih sama ada mahu diurut oleh ahli terapi lelaki atau wanita," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Gimnasium

Walaupun terletak di tengah-tengah ibu kota, hotel tersebut juga mempunyai kemudahan gimnasium untuk para tetamu.

Tidak hanya tertumpu kepada peralatan gimnasium yang moden, pihak hotel juga menyediakan jurulatih untuk membantu para tetamu hotel dengan teknik-teknik terbaik untuk senaman. Lebih menarik, senaman dilakukan sambil menikmati panorama Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat