Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Seni daripada sehelai kertasSEKUMPULAN remaja asyik memerhatikan seorang lelaki melakukan demonstrasi teknik potongan kertas di dalam sebuah bilik di Galeri Seni, Shah Alam. Lelaki itu umpama guru kepada remaja-remaja itu. Dia mengajar setiap langkah dengan teliti manakala anak muridnya amat tekun mengikut teknik-teknik yang diajar oleh guru mereka. Potongan kertas yang membentuk tangga dan corak hati merupakan antara contoh yang telah disediakan oleh guru mereka. Walaupun ada yang gagal menghasilkan potongan kertas seperti contoh yang telah siap, mereka tidak berputus asa dan sentiasa mencuba untuk menghasilkan corak tersebut berulang kali. "Teknik potongan kertas atau dikenali sebagai kirigami ini merupakan hobi saya pada masa lapang. Walaupun sudah setahun lebih saya mempelajarinya, saya masih belum dapat menguasai teknik potongan yang betul," ujar Muhamad Nor Syafik Yahya, 26, yang merupakan salah seorang pelajar yang menyertai bengkel kirigami di Galeri Seni, Shah Alam baru-baru ini. Menurut Syafik, walaupun menghasilkan kirigami yang ringkas, ia menuntut tahap kreativiti dan imaginasi yang tinggi. Jika tersalah memotong kertas, karya itu dikira rosak dan perlu dibuat baharu. "Saya mengetahui teknik potongan kertas yang membentuk pelbagai corak ini sejak kecil. Namun, saya tahu ia dipanggil kirigami setelah menyertai kumpulan di Facebook yang mengumpulkan peminat-peminat karya tersebut baru-baru ini. "Facebook itu juga banyak membantu dalam pengembangan idea saya untuk menghasilkan kirigami. Mereka sentiasa memuat naik karya yang telah dihasilkan dengan kaedah-kaedah pemotongan kertas yang betul. Ia juga amat berguna sebagai panduan saya," ujar pelajar jurusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu. Syafik merupakan salah seorang daripada 10 remaja yang menuntut ilmu kirigami bersama seorang guru iaitu Alonzo Abu Bakar di Galeri Seni itu sempena Pameran Lukisan Pensel Warna 2013 pada hujung Mac lalu. ALONZO menunjukkan karya kirigami berbentuk Stadium Stamford Bridge, Chelsea yang telah ditempah oleh pelanggan. Melihat kepada keunikan empunya nama, minat Alonzo juga ternyata tidak sama seperti kebanyakan orang. Selain mengajar teknik pembuatan karya kirigami, dia juga menjadikan karya tersebut sebagai sumber pendapatan bulanannya. Tutorial YouTube Menurut Alonzo, ramai yang masih keliru mengenai dua karya yang berasal dari Jepun iaitu kirigami dan origami. "Kirigami bermaksud teknik pemotongan yang dihasilkan dengan menggunakan sehelai kertas manakala origami pula ialah teknik lipatan kertas. Selain itu, kirigami juga dipanggil origami seni bina kerana setiap karya yang dihasilkan mempunyai elemen seni bina. "Uniknya mengenai karya kirigami ialah ia kelihatan berbentuk tiga dimensi walaupun hanya menggunakan sekeping kertas," ujarnya. Walaupun hanya belajar dan memahami teknik potongan kertas itu kira-kira lapan bulan lalu, Alonzo ternyata mahir dalam segenap aspek pembuatan kirigami. Pada awalnya, minatnya timbul sejak dia mula menonton tutorial kirigami melalui YouTube. Selepas itu, dia perlahan-lahan mencuba dan tidak menyangka minat itu telah memberi rezeki kepadanya untuk membuka bisnes, POpUp Cards 4U. "Bagi kanak-kanak mahupun golongan dewasa yang meminati kirigami, anda harus mencuba memotong sehelai kertas sehingga ia terbentuk sebuah tangga. Langkah itu merupakan teknik asas kirigami. Sekiranya berjaya menghasilkan tangga itu, ia tidak menjadi masalah kepada anda untuk menghasilkan reka bentuk yang lebih sukar," ujarnya.
Jelas Alonzo, rakyat Malaysia ternyata kurang mendapat pendedahan mengenai penghasilan karya kirigami berbanding di negara lain. Di Jepun dan kebanyakan negara Barat serta Eropah, kirigami di sambut baik dalam kalangan masyarakat di sana. Pameran mengenai hasil karya teknik lipatan kertas merupakan salah satu cara mereka mempromosikan seni tersebut kepada orang ramai. "Seperti di Itali, poskad dan buku menu di kebanyakan restoran di negara itu menggunakan elemen-elemen kirigami sekali gus berjaya menangkap perhatian pengunjung," jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu. Sementara itu, pemilik pusat kesenian dan kraf anak-kanak Da Vinci Creative Kids Taman Damai Utama, Puchong, Lu Wei Yin, 34, memberitahu, penghasilan karya kirigami mampu menjana kreativiti dalam membantu tumbesaran pemikiran kanak-kanak. Menurutnya, kirigami juga menjadikan kanak-kanak menghargai sekeping kertas dan menggunakannya sebaik untuk menghasilkan karya seni. "Penghasilan kirigami juga membantu kanak-kanak mempertingkatkan kemahiran pemikiran individu dan berkumpulan. Melalui teknik potongan kertas, mereka juga dituntut untuk berfikir mengenai bentuk-bentuk yang akan dihasilkan. "Apabila kertas itu siap dipotong, bentuk tiga dimensi yang terhasil pasti akan menarik minat kanak-kanak. Kehadiran saya dan kanak-kanak di Pameran Lukisan Pensel Warna ini telah memberi idea kepada saya untuk membawa sukatan pelajaran kirigami ke Da Vinci Creative Kids," ujar Wei Yin ketika ditemui Kosmo! pada pameran itu baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai idolanya dalam karya kirigami, tanpa berfikir panjang Alonzo menamakan Professor Masahiro Chatani merupakan antara pelopor awal yang menghasilkan teknik lipatan kertas terbaik di dunia. Karya kirigami Alonzo ternyata komited dan serius dalam bidang yang diceburinya sejak lapan bulan lalu. Sehingga kini, dia berjaya menghasilkan pelbagai karya kirigami untuk dijual kepada yang berminat. Dengan kemahiran yang ada, dia menjadikan karya kirigami dengan olahan yang lebih menarik. Ia dikenali sebagai kad Popup. Kad Popup sama seperti kirigami tetapi ia menggunakan gam untuk menampal karya itu di atas sekeping kad. Hasilnya dapat dilihat jika kad itu dibuka. Selain itu, setiap karya kad Popup Alonzo dihasilkan atas permintaan mereka yang berminat dan setiap rekaannya pula eksklusif. Sehingga kini, Alonzo telah menghasilkan pelbagai bentuk kad Popup. Antara rekaan yang menarik ialah bentuk Menara Pisa di Italy, Stadium Old Trafford, Manchester, Menara Eiffel, Perancis, Masjidil Haram dan Kaabah, Mekah. Menurutnya, penghasilan kad Popup Stadium Nou Camp, Barcelona, untuk simpanannya sendiri menuntut kesabaran yang tinggi kerana ia memerlukan imaginasi yang tinggi dalam pemotongan setiap penjuru karya itu. "Harga yang ditetapkan oleh syarikat saya pada setiap kad juga berlainan. Ia berbeza mengikut saiz dan bentuk yang dihasilkan," ujarnya, POpUp Cards 4U diterajui oleh Alonzo sendirian dan syarikat tersebut juga menjual pelbagai jenis kad Popup mengikut permintaan pelanggan. Selain kelengkapan asas untuk memotong kertas, Alonzo juga menggunakan mesin Craft Robo untuk membantunya memotong kertas dengan cepat dan mudah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |