{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Kumar gigih bantu pelajar celik huruf

Posted:

Kumar gigih bantu pelajar celik huruf

Kumar gigih bantu pelajar celik huruf

BILIK darjah mereka hanya beralaskan tikar getah yang dihampar di bawah landasan kereta api yang ditinggikan. Papan hitam yang digunakan untuk mengajar ialah segi empat tepat yang diwarnakan hitam di dinding konkrit.

Guru mereka pula terdiri daripada pemilik kedai dengan tidak mempunyai latihan formal, tetapi berkeyakinan bahawa pendidikan adalah satu-satunya harapan mereka.

Suasana di dalam 'kelas' itu agak meriah. Di satu sudut, sekumpulan kanak-kanak kelihatan tekun menyiapkan kerja masing-masing. Ada yang menulis, ada yang membaca dan ada juga yang berbincang sesama sendiri.

Sesekali ada yang mengangkat tangan untuk bertanya kepada guru yang berada di hadapan mereka. Selain itu, terdapat beberapa murid menyalin nombor yang tertulis di papan hitam.

Bagi sebahagian daripada berpuluh-puluh anak-anak pekerja asing miskin di bandar New Delhi ini, sekolah terbuka itu sahaja yang mereka ada walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Malah, mereka yang pernah belajar di sekolah-sekolah kerajaan yang sentiasa sesak turut datang ke sana semata-mata untuk menuntut ilmu.

Akta Hak Pendidikan India yang dijanjikan percuma, mewajibkan persekolahan kepada semua kanak-kanak berusia antara enam hingga 14 tahun, sepatutnya berkuat kuasa sepenuhnya pada 31 Mac lalu.

Sekolah tidak formal

Bagaimanapun, berjuta-juta kanak-kanak masih tidak mahu ke sekolah dan ramai yang melakukannya hanya untuk pendidikan rendah.

Setiap pagi, lebih 50 kanak-kanak akan berkumpul di bawah jambatan selama dua jam untuk belajar daripada sekolah tidak formal kendalian Rajesh Kumar.

Mereka akan menyapu rata kotoran dan membentang tikar untuk duduk, hanya beberapa meter dari kawasan semak terdapat beberapa lelaki telah membuang air besar sebelum itu.

Pelajar yang bersekolah berusia antara empat hingga 14 tahun. Mereka mempelajari semuanya daripada asas membaca dan menulis sehingga kepada Teorem Pythagoras.


KUMAR (kiri) sentiasa membantu pelajarnya dalam menyelesaikan masalah berkaitan subjek yang tidak difahami.


Sekolah bawah jambatan Kumar merupakan bukti semangat untuk belajar dalam kalangan mereka yang sama ada ketinggalan sistem persekolahan atau kecewa dengannya, masih ada.

Kumar berkata, satu hari pada tahun 2008, dia ternampak sekumpulan kanak-kanak bermain kotor ketika berjalan menuju ke stesen kereta api. Kemudian, dia bertanya kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut mengapa mereka tidak berada di sekolah.

Jawab mereka, sekolah terlalu jauh dan anak-anak perlu melintasi lebuh raya berbahaya untuk sampai ke sana. Jika Kumar mengambil berat tentang pendidikan mereka, dia harus mengajar anak-anak tersebut.

Keesokan hari, Kumar datang kembali untuk mengajar buat kali pertama kepada lima orang kanak-kanak yang begitu teruja untuk belajar. Dalam tempoh enam minggu, kelasnya bertambah kepada 140 pelajar.

Kebanyakan pelajar Kumar merupakan anak-anak pekerja pembinaan, pemandu beca, buruh ladang dan peniaga jalanan serta pekerja asing miskin yang datang ke bandar kerana peluang pekerjaan di kampung mereka lebih teruk.

"Ramai ibu bapa yang buta huruf dan tidak mampu menulis nama mereka. Justeru, untuk mengubah masa hadapan kanak-kanak ini, pendidikan adalah satu-satunya senjata yang sangat berharga.

"Jika mereka pergi ke mana-mana sahaja di dunia ini, jika mereka mempunyai pendidikan, apa sahaja boleh dicapai. Tanpa pendidikan, mereka tidak boleh berbuat apa-apa," tegas Kumar.

Seorang dermawan India yang melihat esei bergambar Associated Press di sekolah, telah memberi kanak-kanak yang belajar di situ stoking, kasut dan beg Angry Birds.

Dia mengupah pekerja untuk membersihkan tanah di kawasan bawah jambatan dan membelikan tilam getah untuk mereka.

Kumar, 42, yang mengajar pada hari Isnin hingga Sabtu dan tidak memberi cuti, berdiri di sebelah papan hitam dan dalam nada suara berlagu, dia mengajar pelajarnya dalam menyelesaikan masalah Matematik.

Dia akan memanggil pelajar ke dinding untuk membuat latihan kira-kira mudah dan dengan lembut mengusap pipi Pammi, seorang kanak-kanak perempuan apabila dia berjaya menjawab dengan betul. Kemudian, Pammi berlari ke tempat duduknya dengan wajah berseri-seri tanda puas hati.

Setiap beberapa minit, kereta api akan melintasi kawasan tersebut, namun mereka yang berada di bawah jambatan itu tidak menghiraukan bunyi bising yang terhasil.

Pelajar celik huruf

Pammi yang kini berusia 12 tahun, seperti kanak-kanak miskin India yang lain, hanya menggunakan satu nama. Dia sebelum ini buta huruf dan tidak pernah bersekolah sehinggalah dia datang ke sekolah Kumar kira-kira enam bulan lalu.

"Kini, saya sudah boleh membaca dan menulis," ungkapnya sambil tersenyum.

Seorang lagi pelajar, Nishu, 5, pergi ke sekolah kerajaan selama sebulan, tetapi menangis sepanjang masa dan memberitahu ibu bapanya bahawa cikgu telah memukulnya.


MESKIPUN belajar dalam keadaan serba kekurangan, para pelajar sekolah ini tetap bersemangat untuk menuntut ilmu.


Selain itu, dia juga terpaksa melintas lebuh raya untuk sampai ke sekolah.

"Bimbang dengan keadaan itu, keluarganya mengambil keputusan supaya Nishu berhenti sekolah dan menghantar ke sini," terang neneknya, Rekha, 60, yang menjual sayur-sayuran dari bakul yang dijunjung di kepala.

"Cucu saya sangat bijak. Saya tidak mahu di pergi ke mana-mana. Saya mahu dia belajar menulis dan membaca di sini."

Selain mengajar, Kumar juga berusaha mendaftarkan para pelajarnya di sekolah-sekolah kerajaan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang lebih baik.

Sejak lima tahun lalu, 130 daripada pelajarnya telah dimasukkan ke sekolah yang berlandaskan sistem pendidikan negeri.

"Di sana, mereka boleh mendapat pendidikan sempurna hingga ke peringkat ijazah. Di sini, saya tidak boleh memberikan semua itu pada mereka," tuturnya.

Ironinya, kebanyakan pelajar yang dihantar ke sekolah tersebut, akan datang semula untuk belajar dengan Kumar.

Perkara ini diakui oleh Bharat Mandal, seorang remaja berusia 15 tahun yang akan bangun pada pukul 3 pagi setiap hari untuk membantu ibu bapanya di ladang bunga ros selama empat jam.

Selepas itu, dia akan ke sekolah kerajaan di sebelah tengah hari. Bagaimanapun, pada sebelah pagi dia akan mengambil masa hadir ke sekolah Kumar.

"Saya dapat jawapan terhadap semua soalan saya di sini. Di sekolah, terdapat ramai pelajar dan guru-guru pula hanya datang kemudian pergi. Jadi, banyak soalan saya tidak terjawab," luahnya.

Kumar bak Dewa

Sementara itu, seorang ibu kepada empat orang anak, Noorbano, 32, mengakui dia gembira dan bersyukur dengan inisiatif Kumar menubuhkan sekolah tersebut.

"Bagi anak-anak saya, mereka menganggap Kumar sebagai Dewa kerana jasanya yang tidak terhingga," terang Noorbano sambil mengalirkan air mata.

Dalam pada itu, Kumar bimbang projek yang dilakukannya akan terjejas kerana pertambahan pelajar di sana membuatkan dia memerlukan lebih ramai guru sukarela. Namun, dia tidak tahu di mana untuk mendapatkannya.

Lebih teruk lagi, sekolahnya juga tidak berdaftar dan dibangunkan di atas harta kereta api.

"Apabila saya diminta untuk meninggalkan tempat ini, tidak dapat tidak, saya perlu akur. Buat masa ini, kanak-kanak masih belajar. Saya tetap akan mengajar selagi mana ia boleh dilakukan.

"Setiap kesempatan waktu yang ada ini, akan saya manfaatkan sebaik mungkin," ujar lelaki budiman itu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat