{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Impian jutawan pelatih iGROW

Posted: 26 May 2013 11:45 PM PDT

Impian menjadi jutawan tertanam dalam jiwa pelatih iGROW.

Manusia sering menganggap bahawa orang muda adalah golongan yang penuh dengan cita-cita, inspirasi dan idealisme.

Sifat semula jadi dan jiwa golongan muda sememangnya begitu, terutama dalam memburu cita-cita kehidupan.

Bagi para pelatih Institut Agro Usahawan ( iGROW), keinginan untuk menjadi jutawan tani pada masa hadapan sememangnya melekat dalam diri mereka sejak hari pertama melangkah ke pusat latihan itu.

Ini berikutan langkah yang diambil oleh institut itu dengan memberi penekanan dan pengisian latihan kepada misi melahirkan usahawan tani muda sebaik sahaja tamat latihan.

Selain menitikberatkan aspek kemahiran yang terkandung dalam modul Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pendedahan terhadap disiplin dan suasana persekitaran perniagaan pertanian sebenar sentiasa mengimbangi rutin harian mereka.

Bagi pelatih dari Keningau Sabah, Rizal Mohd. Hassan Tiau, dia menaruh harapan supaya menjadi jutawan satu hari.

Rizal ingin mengubah nasib hidup memandangkan dia bukan sahaja datang dari keluarga petani tetapi juga tinggal di daerah yang menjadi sebahagian zon pertanian penting di negeri itu.

"Saya sering melihat beberapa usahawan tani di Keningau yang berstatus jutawan hasil daripada usaha pertanian.

"Walaupun kehidupan mereka kelihatan seperti kebiasaan masyarakat kampung lain, mereka sebenarnya bergelar jutawan atau kaya-raya dengan menjadi usahawan tani yang serius serta berdisiplin", katanya.

Dia sanggup terbang ke Perak dari Sabah kerana yakin konsep latihan seperti di tawarkan iGROW mempunyai visi dan misi yang berbeza dengan institut latihan kemahiran awam dan swasta lain terutama dalam bidang pertanian.

Sementara itu, rakannya, Mohd. Kamarul Asraff Ahmad dari Kuantan, Pahang menganggap hasrat menjadi jutawan tani itu bukanlah perkara yang mudah tetapi pencapaian seumpama itu bukan mustahil untuk dikecapi suatu hari nanti.

"Setiap kejayaan bermula dengan cita-cita atau angan-angan. Tetapi inspirasi sedemikian sangat perlu untuk menyuntik semangat kami setiap hari.

"Apatah lagi cabaran kami dalam sektor pertanian sangat mencabar berbanding dengan kerjaya dalam bidang kemahiran lain," ujar Mohd. Kamarul Asraff.

Dia yang sebelum ini pernah memasuki sekolah teknik pertanian di Pahang bertekad mengusahakan pertanian sendiri sesudah tamat latihan di kampung.

"Kelebihan kami di sini ialah mereka yang mahu berniaga sudah diatur dan diasuh sejak dalam latihan lagi", ujarnya.

Pendedahan kisah kejayaan dan pengalaman graduan tani yang pernah dibimbing oleh pihak pengurusan iGROW menjadikan pelatih lebih memahami realiti dunia keusahawanan.

Sebelum menuju status jutawan, mereka perlu mengharungi detik cabaran sebagai usahawan tani, bermula dengan saiz kecil hingga berskala besar.

Namun begitu, pelatih dari Sarawak , Muhammad Nazeem Aini pula banyak mengambil iktibar daripada kisah-kisah usahawan tani muda yang pernah dihasilkan oleh iGROW di beberapa institusi sebelum ini.

"Kami agak bernasib baik kerana terdapat beberapa kisah kejayaan dalam program MyAgrosis Agrobank yang dibimbing sendiri oleh Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek.

"Kami difahamkan, peminjam dana MyAgrosis Agrobank itu adalah antara kumpulan yang paling ramai di Malaysia", katanya.

Oleh itu, Muhammad Nazeem berpendapat peluang menjadi usahawan sudah memang menunggu tetapi terpulang kepada setiap graduan untuk mengusahakan secara serius dan berani hingga mampu bergelar jutawan tani.

Maklumat lanjut hubungi Azri Zaher Azmi 0124842144.

Usahawan burung baji

Posted: 26 May 2013 11:45 PM PDT

KATANYA, pada peringkat awal dia hanya memiliki 30 pasang sahaja burung baji yang dibeli di Kuala Terengganu, Terengganu.

Namun kini Mohd. Nasir memiliki hampir 200 pasang.

Burung baji yang lebih dikenali sebagai love bird memiliki rupa yang menarik, comel di samping warna yang pelbagai menjadikan ia amat menarik untuk dipelihara.

Selain kelihatan jinak, burung baji juga tidak sukar dipelihara kerana tidak memerlukan kawasan sangkar yang luas, diet yang ringkas dan mudah membiak.

Menurut Mohd. Nasir, burung baji juga agak tahan lasak dalam keadaan cuaca yang sederhana negara ini.

Namun, jika musim tengkujuh, burung itu mudah mati kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk.

Memiliki ciri seakan-akan burung nuri atau kakak tua, burung baji dengan nama saintifiknya Melopsittacus undulates adalah lebih kecil dan comel.

Jelas Mohd. Nasir, dia turut mengunjungi rakan-rakan yang berminat dengan burung tersebut hingga ke daerah Dungun malah ke Kelantan untuk mempelajari cara-cara memeliharanya.

"Apa yang saya dapati memelihara serta menternak burung baji adalah lebih mudah berbanding burung-burung tempatan yang lain seperti tekukur.

"Malah, harga burung ini juga agak baik serta permintaannya sentiasa ada," kata Mohd. Nasir ketika ditemui di kediamannya sempena program lawatam media anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Tambah Mohd. Nasir, usahanya menternak burung tersebut mendapat perhatian pihak MARDI sekali gus tampil membantunya.

Hampir RM10,000 diperuntukkan oleh MARDI serta khidmat nasihat kepada Mohd. Nasir bagi menguruskan perusahaan tersebut.

Menerusi bantuan tersebut, Mohd. Nasir mampu membina lebih 100 buah sangkar segi empat sama berukuran dua meter bagi menempatkan 100 pasang burung baji yang memiliki hampir 50 warna yang berbeza.

Dalam pada itu, pasaran burung baji di sekitar Terengganu sahaja tidak mencukupi kerana permintaan terhadap haiwan peliharaan yang comel tersebut amat tinggi.

Malah, Mohd. Nasir mengakui ada sesetengah pembeli sanggup menempah burung baji daripadanya seawal induk burung tersebut baru bertelur.

"Kebiasaannya, pembeli akan mengambil burung biarpun seawal peringkat anak kerana mudah untuk diasuh.

"Ini kerana anak-anak burung baji amat mudah untuk dipelihara selain harganya lebih murah daripada dewasa," katanya.

Sepasang burung baji dijual pada kadar harga antara RM50 dan RM450 berdasarkan jenis dan gred burung tersebut.

"Paling mahal adalah burung baji gred A dan burung gred ini memiliki saiz yang agak besar berbanding saiz lain.

"Terbaru, pembeli amat meminati burung baji yang memiliki warna mata seakan kemerah-merahan menjadikan harganya melonjak naik," katanya.

Sepasang burung baji gred A memerlukan masa satu hingga empat tahun untuk matang seterusnya bertelur.

Setelah bertelur, induk burung akan mengeram telur selama 18 hari dan mampu menghasilkan anak sehingga tujuh ekor dalam satu-satu masa.

Tambah Mohd. Nasir lagi, setelah hampir sebulan di bawah jagaan induk, anak-anak burung akan diasingkan sehingga mampu makan sendiri sebelum dijual kepada peraih.

Burung baji mampu membiak sebanyak lima kali setahun dan purata telur yang dihasilkan adalah lima biji.

Mohd. Nasir turut menggunakan tulang sotong diletakkan di dalam sangkar agar dimakan oleh induk yang dikatakan mampu menjadikan kulit telur lebih keras.

Petua tersebut adalah bagi mengelakkan telur yang dihasilkan mudah pecah sekali gus mengelakkan kerugian.

Biarpun memiliki pekerjaan hakiki sebagai nelayan pantai, ia tidak sedikit pun menyukarkan beliau untuk mengusahakan ternakan burung tersebut.

Malah, katanya, kadang-kala tugas memantau serta menjaga burung-burung peliharaannya diambil alih oleh ahli keluarga terutamanya anak-anak Mohd. Nasir yang mula menunjukkan minat.

Mohd. Nasir yang juga ahli Persatuan Peminat Burung Budgie dan Cocktail Terengganu (PPBCT) pernah dianugerahkan dengan sijil Master Breeder yang juga merupakan anugerah peringkat tertinggi persatuan tersebut.

Bagaimanapun, setiap perusahaan pasti memiliki cabaran yang tertentu dan terkini burung tersebut bakal dilesenkan untuk tujuan pengawalan.

Biarpun usaha melesenkan burung baji masih di peringkat cadangan namun ia sedikit sebanyak membimbangkan beliau kerana prosedur perlesenan pasti akan merumitkan perusahaannya.

Namun, bergerak di bawah persatuan PPBCT memudahkannya untuk menangani sebarang isu yang berbangkit.

Kini, Mohd. Nasir mampu meraih pendapatan tambah sebanyak RM1,500 sebulan hasil penjualan burung baji tersebut.

Katanya angka tersebut masih dianggap kecil berbanding pengusaha burung baji yang lebih berpengalaman di mana mereka mampu meraih hasil jualan sekitar RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Ketika ditanya adakah beliau ingin membesarkan perusahaannya, katanya ia bergantung kepada modal dan pendapatan yang diperolehi.

Namun, ujarnya, hasrat untuk meningkatkan perusahaan di masa-masa akan datang sentiasa menyala.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat