Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN Mohamed Khaled Nordin bersama Zulkipli Mahmud (dua dari kiri), Ahmad Tunggal (dua dari kanan), Md. Jais Sarday (kanan) dan Md. Nor A. Ghani (kiri) selepas majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Kompleks Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN JOHOR BAHRU 18 Mei - Golongan pendidik diseru untuk membantu negara menangani masalah kesatuan kaum atau 'social cohesion' yang kini dilihat berada pada tahap sangat rapuh, membimbangkan dan memerlukan intervensi yang komprehensif. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendidikan bukan hanya berkisar mengenai penyampaian ilmu dan pembelajaran, sebaliknya merupakan wadah terbaik untuk mengukuhkan kesatuan bangsa. Katanya, negara kini berada di persimpangan yang sangat mengelirukan dalam aspek kesatuan kaum, tambahan pula keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan betapa polarisasi kaum di negara ini dalam keadaan semakin kritikal. "Marilah kita memulihkan kepercayaan bahawa Malaysia hanya akan maju dan berjaya jika semua bangsa - Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lain bermuafakat dan bekerja bersama. Marilah kita menjadi katalis yang menyemai nilai permuafakatan dan kebersamaan dalam anak-anak didik kita. "Jika kita asuh mereka di sekolah dengan semangat muafakat, maka saya percaya akan lahir harapan untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang lebih teguh dan harmoni," katanya semasa merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri 2013 di Pusat Islam, di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday; Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani dan Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Baharom Ali. Pada majlis itu, bekas Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Zulkipli Mahmud, 60, menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan manakala Tokoh Guru disandang pesara guru Sekolah Menengah Agama Maahad Muar, Ahmad Tunggal, 66. Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Johor yang akan menumpukan aspek pembangunan ekonomi, amat bergantung kepada tenaga kerja kompeten serta modal insan berbakat. Menurutnya, pendidikan awal yang berkesan dari sekolah rendah hingga menengah adalah proses sangat penting dalam membangunkan peribadi, kompetensi dan pemikiran modal insan negara. "Malah, dasar pelaburan awal yang kukuh di peringkat ini sebenarnya penyumbang utama kejayaan sistem pendidikan manakala institusi pengajian tinggi (IPT) hanya melakukan tugas memperkukuh dan melengkapkan serta meletakkan nilai tambah pada modal insan itu. "Hasrat tersebut pasti tidak akan tercapai tanpa peranan guru. Pada saya, gurulah pemangkin perubahan yang memikul tanggungjawab paling besar dalam menterjemahkan agenda pembangunan modal insan ini," katanya. |
PAIM tawar peluang kerja di Kepak 2013 Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT Golongan belia melayari internet di kaunter JPA bagi mencari peluang pekerjaan sempena Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran 2013 di Plaza Angsana, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/ RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 18 Mei - Selain menyediakan kemudahan logistik khususnya kepada para pelajar sempena Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran 2013 (Kepak 2013), Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) kini turut menawarkan peluang pekerjaan kepada individu yang berkelayakan. Ketua Eksekutif PAIM, Mohd. Gadaffie Abd. Aziz berkata, Kepak 2013 yang berlangsung di Plaza Angsana di sini, merupakan lokasi kedua bagi mereka mencari pekerja secara serius untuk mengisi kekosongan pelbagai jawatan termasuk di bahagian pengurusan dan teknikal. Menurut beliau, PAIM yang juga rakan strategik Kepak 2013 lebih banyak melakukan promosi tentang syarikat berbanding tawaran pekerjaan kerana sebelum ini tiada kekosongan jawatan yang boleh ditawarkan kepada orang ramai. "Sebelum ini kita lebih tertumpu kepada penyediaan logistik sahaja dan memberi ceramah tentang kempen kesedaran melibatkan pengangkutan awam kepada para pengunjung. "Plaza Angsana menjadi lokasi kedua kami untuk mencari individu yang berkelayakan menyertai PAIM selepas Kepak yang diadakan di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang. Sebelum ini kita ada menerima permohonan pekerjaan tetapi kali ini kita mencari secara serius," katanya kepada Mingguan Malaysia selepas majlis perasmian Kepak 2013 di Plaza Angsana semalam. Karnival tiga hari itu dirasmikan Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A. Rahman dan turut dihadiri Naib Presiden Kanan Pembangunan Sosial, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Nor Hisham Hussien. Mohd. Gadaffie berkata, antara pekerjaan yang ditawarkan adalah pemandu bas kerana pihaknya mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerja bagi jawatan itu akibat persaingan daripada negara jiran, Singapura. Beliau memberitahu, pada waktu ini kebanyakan pemandu lebih gemar bekerja di republik itu memandangkan nilai gaji yang diperoleh lebih tinggi berbanding negara ini. "Mereka lebih gemar untuk bekerja di sana kerana gaji mereka jika ditukar kepada ringgit Malaysia adalah lebih menguntungkan. "Kita juga sedang menjalin kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk mencari pekerja dari Sabah dan Sarawak untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja," katanya. Kepak 2013 menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan termasuk 345 pekerjaan dalam sektor awam. Karnival diadakan sejak 2011 anjuran kerajaan negeri itu turut mendapat kerjasama IRDA, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jobs Malaysia Centre. Bertemakan Peluang Berjaya Untuk Semua, Kepak 2013 bukan hanya memberi tumpuan kepada golongan pencari kerja semata-mata, tetapi menyasarkan kumpulan lepasan sekolah, pusat latihan kemahiran dan lepasan institusi pengajian tinggi yang sedang mencari pekerjaan. Program tersebut juga memberi peluang kepada pencari kerja dan peniaga sepenuh masa atau sambilan yang berhasrat menambah pendapatan termasuk golongan suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |