Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Sasar bina rumah kos rendah
- 148 pelajar pendidikan khas sertai festival nasyid
- KKBN turun ke desa berbakti
Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED ABD. Mutalip Abd. Rahim melayan tetamunya yang menghadiri majlis kesyukuran di Felda Layang-Layang, Simpang Renggam, Johor, kelmarin. SIMPANG RENGGAM 22 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang yang baharu, Abd. Mutalip Abd. Rahim menyasarkan untuk membawa projek perumahan kos rendah dan sederhana ke kawasan tersebut dalam tempoh lima tahun perkhidmatannya sebagai wakil rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri itu berkata, pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana merupakan agenda pertama dalam usaha memajukan kawasan tersebut kerana akan meningkatkan jumlah penduduk. Menurutnya, ketika ini, masyarakat tempatan atau generasi kedua dan ketiga sering berpindah keluar dari Layang-Layang kerana kekurangan pembangunan dan kawasan perumahan. "Sebab itu, sebagai langkah awal, saya telah mengusulkan berhubung keperluan projek perumahan kos rendah dan sederhana di sini, usaha ini akan diteruskan dengan perbincangan dengan agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab. "Cadangan harga rumah kos rendah yang bakal dibina ialah sekitar RM50,000 hingga RM80,000, iaitu dengan mengambil berat pendapatan penduduk yang secara puratanya sekitar RM1,500 sebulan dan kebanyakannya pekerja ladang," katanya kepada pemberita selepas kenduri kesyukuran di Felda Layang-Layang di sini semalam. Abd. Mutalip memberitahu, cadangan harga yang diberikan pihaknya dilihat munasabah kerana harga tanah di sekitar kawasan tersebut tidak melambung tinggi berbanding kawasan lain, malah terdapat banyak pilihan lokasi kerana masih ada kawasan yang belum dibangunkan. Katanya lagi, pembinaan penempatan baharu di Layang-Layang mampu menambah bilangan penduduk dan memudahkan usaha membawa pembangunan berterusan dengan permintaan penduduk itu sendiri. "Selain itu, saya juga akan berusaha membawa teknologi pertanian yang boleh digunakan dan meringankan beban peladang dan petani untuk terus memajukan sektor pertanian. Layang-Layang bukan satu kawasan yang jauh untuk dipinggirkan cuma pembangunan di sini masih perlahan berbanding bandar Kluang dan Batu Pahat," ujarnya. |
148 pelajar pendidikan khas sertai festival nasyid Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT ANUAR Manap bersalaman dengan peserta Festival Nasyid Pendidikan Khas di Segamat, Johor, baru-baru ini. SEGAMAT 22 Mei - Seramai 148 pelajar pendidikan khas dari 14 sekolah, masing-masing enam sekolah rendah dan lapan menengah di daerah ini menyertai Festival Nasyid Pendidikan Khas Daerah Segamat di Pasaraya Kip Mart, di sini baru-baru ini. Pegawai Pendidikan Khas Daerah Segamat, Masnawi Shamsudin berkata, festival tersebut menjadi platform kepada golongan istimewa tersebut menonjolkan bakat masing-masing di samping memilih wakil daerah ke pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. "Semua kumpulan diwajibkan mendendangkan dua buah lagu yang berkonsep padang pasir sebagai lagu wajib dan sebuah lagu berkisar kisah Rasullullah SAW dengan liriknya perlu ditulis sendiri oleh ahli kumpulan tersebut sebagai lagu pilihan," katanya pada Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap. Masnawi berkata, program itu diharap bukan sahaja dapat mengcungkil bakat peserta tetapi memberi keyakinan kepada mereka untuk berdepan dengan masyarakat di samping memberi peluang kepada orang ramai lebih memahami kehendak dan keperluan golongan tersebut. Sementara itu, Anuar mahu supaya program seumpama itu melibatkan penyertaan masyarakat dan bukannya diadakan secara tertutup dalam kalangan warga pendidik sahaja. "Panglibatan semua peringkat masyarakat amat perlu kerana ia mampu memberi kefahaman dan gambaran sebenar terhadap sebarang keperluan serta bantuan yang boleh dihulurkan oleh masyarakat bagi membantu meningkatkan pencapaian bidang pendidikan. "Tanpa penglibatan masyarakat, masalah yang dihadapi warga pendidik serta pelajar tidak difahami oleh mereka yang tidak terlibat dalam bidang pendidikan dan sukar untuk menghulurkan sumbangan bagi kemajuan bidang tersebut," katanya. |
Posted: 22 May 2013 11:25 AM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI PELATIH Kolej Kemahiran Belia Nasional Pontian bersama-sama Tee Siew Kiong (tengah) pada program KKBN Turun Ke Desa di Parit Jawa, Pontian, baru-baru ini. PONTIAN 22 Mei - Pelbagai cara digunakan sesebuah agensi atau institusi itu mendekatkan diri dengan masyarakat, khususnya dengan mengadakan program tanggungjawab sosial. Bagi Kolej Kemahiran Belia Nasional (KKBN) di Pulai Sebatang dekat sini, saban tahun mereka mengadakan program kemasyarakatan untuk berbakti kepada penduduk setempat. Jika pada tahun-tahun sebelum ini, program tersebut dikenali sebagai 'KKBN Bersama Masyarakat', namun kini ditukar nama kepada 'KKBN Turun Ke Desa' dan diadakan di Kampung Parit Jawa di sini baru-baru ini. Pengarahnya, Junaidah Abd. Razak berkata, program tersebut bertujuan memberikan ruang kepada para pelatih institut itu menjadi sukarelawan seiring dengan saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat. Beliau berkata, sebanyak 63 pelatih yang sebahagian besar merupakan pelatih tahun pertama dan kedua serta dibantu oleh 10 kakitangan dari jurusan Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik, Teknologi Tekstil dan Pakaian serta Teknologi Elektrik. Sepanjang program sehari itu, peserta menjalankan beberapa aktiviti mengikut bidang masing-masing seperti memberikan perkhidmatan membaik pulih atau khidmat percuma kepada pemilik kereta, mengecat masjid dan balai raya, menyelenggara pendawaian elektrik serta membantu jahitan manik. Bagi memeriahkan program, mereka bersama penduduk menyertai pertandingan sukan, mewarna, gubahan dan pertunjukan motosikal di bawah 125 cc. Program anjuran bersama Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Parit Jawa, Persatuan Belia Integrasi dan disokong Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK ) Kawasan (1) Mukim Pontian itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong. Junaidah berharap peserta dapat benar-benar menterjemahkan apa yang dipelajari di kelas untuk dibawa keluar dengan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat secara percuma. Menurutnya, hingga tahun lalu KKBN Pontian telah berjaya melatih 5,500 belia dari seluruh negara termasuk 748 orang di bawah tajaan Felda. "Peluang yang ada perlu direbut oleh golongan belia kurang cemerlang dalam akademik bagi mendapatkan latihan kemahiran selama 12 bulan hingga 24 bergantung kepada jurusan diambil. "Di samping bidang teknikal, bidang-bidang lain ialah keusahawanan, kepimpinan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengetahuan Islam/pendidikan moral, bahasa Inggeris, kawad, sains kejuruteraan, matematik, seni kraf dan fesyenserta sains kejuruteraan elektrik dan elektronik," katanya. Beliau berkata, setiap modul yang dijalankan mematuhi kehendak pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Jabatan Pembangunan Industri Binaan (CIDB). Sementara itu, Siew Kiong berkata, menerusi program seperti itu dapat mempromosikan KKBN sebagai pusat latihan yang penting bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi diperlukan oleh negara. Menurutnya, dengan pembangunan pesat di Johor termasuk pelbagai industri berasaskan tenaga, gas dan petrokimia termasuk di Pontian tentunya keperluan guna tenaga kerja dalam bidang tersebut amat diperlukan. "Dianggarkan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan berasaskan tenaga, minyak dan gas akan ditawarkan termasuk projek RAPID di Penggerang, Tanjung Langsat (Pasir Gudang) dan Tanjung Bin (Pontian). "Pihak pengurusan perlu mengambil kira permintaan tenaga semasa agar KKBN turut memainkan peranan bagi sama-sama melahirkan tenaga mahir tanpa bergantung kepada pekerja asing," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |