{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Berkahwin atau menunjuk?

Posted: 13 May 2013 11:51 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MUHAMMAD RADI

Pelakon Umie Aida memilih untuk melangsungkan majlis pernikahan dengan Khairuddin Abu Hassan di Mekah.

Bermula dengan pandangan pertama, hatinya terus tertaut untuk mengenali si wanita itu. Lalu dihulurkan salam perkenalan oleh sang lelaki sebagai pembuka bicara.

Bicara demi bicara diteruskan, oleh hati si wanita akhirnya terbuka untuk menerima pelawaan sang lelaki untuk menempatkan si wanita di hatinya.

Bibit percintaan bermula. Proses mengenali hati budi masing-masing diteruskan. Setelah sekian lama, sang lelaki yakin dialah wanita yang dicari sebagai suri hidupnya.

Sang lelaki beranikan dirinya untuk melamar si wanita. Dicampur perasaan teruja dan terharu, si wanita menerima lamaran si jejaka.

Perancangan dilakukan. Si wanita mahukan perkahwinan gaya selebriti pujaannya. Sang lelaki tidak bersetuju. Si wanita mengalihkan mukanya lalu mencebik.

Dek kerana cinta, sang lelaki membuat hutang. Hasilnya, perkahwinan yang cukup gah dan membuai imaginasi setiap hadirin.

Usai majlis perkahwinan, surat bank memunculkan diri. Si suami tidak punya kemampuan hendak membayar. Rasa cinta mula bertukar masam.

Ungkit mengungkit tentang siapa yang mahukan perkahwinan yang gah dimulakan. Akhirnya, cinta kalah, nafsu mengangkat tangan tanda kemenangan.

Perkahwinan umpama sebuah bahtera indah melayari lautan cinta. Namun, dek kerana nafsu untuk memiliki perkahwinan persis artis, akhirnya memakan diri.

Siapa yang sepatutnya disalahkan dalam hal ini. Adakah artis? Masyarakat? Penaja? Atau perancang Perkahwinan?.

Perkahwinan artis memang gah dan cukup untuk mengkhayalkan sesiapa sahaja terutama mereka yang bakal menempuh alam perkahwinan.

Namun, bagi mereka yang mampu, tidak mengapa. Bagi yang tidak, ini hanya sebutir gula-gula racun.

Yang terbaik

Setiap pasangan yang bakal berkahwin pasti punya perancangan yang terbaik untuk majlis perkahwinan mereka.

Memberi pendapat yang sama, pelakon yang bakal melangsungkan perkahwinannya tahun ini, Fouziah Gous menyatakan tidak salah untuk meniru perkahwinan gah artis.

"Tidak salah untuk meniru gaya perkahwinan artis.

"Malah, saya sendiri bila melihat perkahwinan rakan-rakan artis, saya cukup teruja dan mahukan majlis seperti mereka.

"Namun, berbalik kepada kemampuan juga sebenarnya. Kalau mampu, boleh lakukan majlis yang sama, tetapi jika tidak, lakukan dengan bajet yang ada sahaja," jelasnya.

Perkahwinan hanya berlangsung sekali seumur hidup dan tambah Fouziah, ketika itu, mata tetamu semuanya tertumpu ke arah pengantin.

"Penampilan pengantin pada majlis perkahwinan mestilah sesuatu yang menonjolkan diri mereka. Jika, mereka menjadikan artis sebagai idea untuk majlis mereka, apa salahnya," katanya.

Jelas Fouziah lagi, dia teruja untuk memakai gaun labuh pada hari bersejarahnya kelak.

Pastinya, pada majlis perkahwinan, dia akan tampil dengan gaun labuh yang lebih menyerlah dan lain daripada apa yang dipakainya sebelum ini.

"Perkahwinan hanya sekali dan kita perlu meraikannya. Tetapi jika sudah membabitkan pembaziran dan membawa kemudaratan kepada rumah tangga, ia perlu dielakkan," jelasnya.

Katanya, artis perlu untuk tampil cantik pada majlis perkahwinan kerana ia bukan sahaja melibatkan dirinya, tetapi turut melibatkan penggiat kreatif yang lain.

"Jurugambar pasti mahukan sesuatu yang indah untuk dipotretkan. Sebab itu artis melakukan perkahwinan yang dipandang agak gah.

"Namun, tidak salah untuk meniru atau menjadikan perkahwinan artis sebagai landasan idea untuk majlis perkahwinan mereka, asalkan bajet kewangan yang diperuntukkan mencukupi," jelasnya.

Landasan idea

Bercakap mengenai landasan idea, seorang lagi pelakon yang sudah dua kali mengadakan majlis perkahwinan, Norman Hakim mempunyai pandangannya yang tersendiri.

Majlis pernikahan Siti Nurhaliza dan Khalid Mohamad Jiwa mendapat liputan meluas daripada pihak media tempatan dan luar negara.

Bagi dirinya, apa yang perlu dinilaikan sebelum menempuh alam perkahwinan adalah cabaran dan dugaan serta keperluan dan kehendak.

"Sebelum merancang untuk majlis perkahwinan, kita harus fikir yang mana satu keperluan dan kehendak.

"Hendak tiru artis, boleh saja. Tiada masalah. Tapi haruslah faham dengan bajet yang ada. Lagipun majlis perkahwinan artis yang gah ini juga sebenarnya mendapatkan tajaan yang cukup banyak dan tinggi.

"Masyarakat perlu faham mengenai erti tajaan itu sebenarnya kerana penaja memikirkan apa yang terbaik untuk diri mereka dan artis juga mahukan yang terbaik. Ia adalah situasi menang-menang melibatkan dua pihak," jelasnya.

Tambah Norman lagi, apa yang penting bagi masyarakat ialah bukan untuk meniru perkahwinan gah seorang artis, tetapi mendahulukan mana yang perlu.

"Tidak salah untuk berfantasi dengan majlis perkahwinan artis. Malah, perkahwinan artis kebanyakannya membawa kita kepada dunia fantasi dengan majlis yang cukup indah.

"Tetapi janganlah kita sampai hendak lakukan semua yang kita fantasikan. Sebaliknya, jadikan majlis perkahwinan artis sebagai idea untuk mendapatkan sesuatu yang indah," jelasnya.

Tambah Norman, jadikan perkahwinan artis sebagai ilham tetapi mengikut kemampuan yang ada.

"Pokok pangkalnya kena tanya pada diri sendiri juga. Tidak salah untuk mengadakan majlis perkahwinan yang gah tetapi harus selari dengan kemampuan.

"Jangan kerana terlampau hendak menunjuk lagak, akhirnya ia merosakkan rumah tangga yang sepatutnya harmoni, bertukar menjadi ungkit dan saling memfitnah," ujarnya.

Memang benar, perkahwinan artis yang cukup gah mampu menarik mata-mata bakal pengantin untuk melakukan majlis yang sama.

Tetapi, banyak juga mulut-mulut yang berkata, majlis kahwin bagai nak rak, tetapi kahwinnya hanya sementara dan tidak kekal lama.

Sederhana

Turut terlibat dengan cakap-cakap ini ialah pelakon yang kini sudah bergelar duda dan bergelut dengan krisis hak penjagaan anak, Jimmy Shanley.

Imbas kembali detik perkahwinan Jimmy, majlis yang diraikan cukup meriah dengan suasana dan kehadiran tetamu.

Namun, kemeriahan majlis itu tidak selari dengan kemeriahan rumah tangganya dan akhirnya pasangan ini memilih untuk membuat haluan masing-masing.

Bagi Jimmy , majlis perkahwinan sepatutnya dilakukan untuk meraikan pengantin dan keluarga yang terdekat.

"Kita nak meraikan majlis perkahwinan, biarlah bersama dengan orang yang kita kenali dan bukannya hanya main jemput sahaja.

"Apa yang penting dalam majlis perkahwinan ialah jemputan keluarga terdekat. Itu sahaja. Kalau jemput ramai-ramai, akhirnya pengantin pun tidak kenal dengan siapa yang dijemput.

"Orang yang datang pun tidak sempat bermesra dengan pengantin. Cukup sekadar datang melihat majlis, makan dan kemudian balik. Bagi saya itu tidak betul," jelasnya.

Tambahnya lagi, perkahwinan sepatutnya dilakukan secara sederhana dan tidak secara terlampau kerana apa yang penting ialah ikatan sebagai suami dan isteri.

"Kahwin gah ataupun tidak, itu tidak penting. Apa yang penting ialah ikatan. Saya sendiri cuba sedaya upaya untuk mengekalkan ikatan suami isteri tetapi gagal berbuat demikian," jelasnya.

Ditanya pilihan corak perkahwinannya sekiranya dia ingin berumah tangga lagi selepas ini, jelasnya, dia lebih selesa untuk memilih sesuatu yang sederhana sahaja.

Ukur baju di badan sendiri

Posted: 13 May 2013 11:51 PM PDT

Pelakon Jehan Miskin pilih majlis pernikahan yang sederhana bersama isteri Julie Camelia Rhee, baru-baru ini.

MENURUT pakar, kebanyakan pasangan yang mengalami perceraian adalah kerana faktor kewangan selepas mereka berkahwin.

Oleh itu, ada baiknya setiap pasangan pengantin bermuhasabah dan memilih untuk melaksanakan perkahwinan yang betul-betul mengikut kemampuan.

Jangan kerana hendak menunjuk lagak, maka mengikut nafsu dan akhirnya diri sendiri terbeban dengan hutang yang terpaksa ditanggung seumur hidup.

Apa sahaja yang dilakukan oleh artis, pasti masyarakat akan tertarik dan cuba untuk melakukan perkara yang sama.

Hal ini dipersetujui oleh pakar motivasi dan kaunselor berdaftar, Hushim Salleh yang berkata, artis sebenarnya bukan sahaja menjadi ikutan masyarakat, tetapi juga sebagai idola buat mereka.

"Menjadi seorang artis bermakna kita telah menjadi perhatian awam. Setiap yang artis lakukan sebenarnya mampu mempengaruhi masyarakat untuk melakukan perkara yang sama.

"Jika ditanya, semua orang hendak jadi artis. Sebut sahaja, baju, kasut, gaya, semuanya berlandaskan kepada artis yang diminati," jelasnya.

Tambah Hushim, masyarakat tidak seharusnya memilih untuk meniru apa yang dilakukan oleh artis terutamanya bila menyentuh mengenai alam perkahwinan.

"Alam perkahwinan adalah satu perkara yang bukan boleh dibuat main-main. Boleh hendak bergaya seperti artis, tetapi kenalah tengok poket dahulu.

"Artis mempunyai tujuan mengapa mereka mengadakan majlis yang cukup gah. Tetapi, peminat ini janganlah sampai berhutang semata-mata mahukan perkahwinan seperti yang diadakan oleh artis itu.

"Bila dah masuk bab hutang piutang selepas berkahwin memang sesuatu yang parah apatah lagi kerana hutang ia mampu memecah belahkan keharmonian rumah tangga," ujarnya.

Peranan yang sama juga perlu dilakukan bukan sahaja melibatkan masyarakat, tetapi juga melibatkan artis.

"Kalau artis ini buat majlis yang sederhana sahaja, pasti akan menjadi ikutan kepada masyarakat kerana artis juga salah seorang daripada pencetus gaya," jelasnya.

Tetapi, ada juga yang mengatakan bahawa artis harus melakukan perkahwinan yang gah kerana mereka ditaja.

Jelas Hushim, tiada masalah sama ada perkahwinan itu ditaja ataupun tidak.

Apa yang penting menurutnya ialah memberi penjelasan kepada peminat sekiranya perkahwinan itu mempunyai penaja dan sebagainya.

"Artis ini banyak memberi kesan kepada masyarakat. Sebab itu penaja datang kepada mereka bila melibatkan hari istimewa artis itu.

"Penaja mempunyai matlamat sendiri dan artis perlu bersikap jujur. Bukan apa, kerana ada peminat yang taksub dan sanggup mengikut apa yang dilakukan artis yang diminatinya sehingga memakan diri mereka sendiri," jelasnya.

Tambah Hushim, tidak salah untuk mengikut apa yang dilakukan artis, tetapi ikutlah perkara yang baik sahaja.

"Perkahwinan ini bukan perkara main-main. Ini sesuatu yang serius dan jika kita tidak mampu, jangan lakukan dengan tujuan untuk meniru atau bermegah-megah.

"Masyarakat harus berfikiran secara rasional. Bila kita berfikir secara tidak rasional, itu yang membuatkan kita mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh artis tanpa mengetahui buruk baiknya pada diri kita," katanya.

Beri kesan

Perkahwinan gah artis sebenarnya bukan bermakna itu perkara negatif, tetapi ada juga positifnya.

Menurut Pakar Psikologi Perkembangan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor, terdapat dua kesan melibatkan perkahwinan gah artis iaitu secara positif dan negatif.

"Secara positifnya, perkahwinan artis sering mendapat liputan yang meluas menunjukkan kepada pihak luar tentang budaya tempatan bila mengadakan majlis perkahwinan.

"Malah, bukan sahaja budaya, kemeriahan sewaktu majlis perkahwinan juga dapat ditunjukkan kepada pihak luar.

"Jenis makanan yang dihidangkan juga diperlihatkan. Ini sekali gus memperkenalkan kepada orang luar tentang budaya perkahwinan di Malaysia," jelasnya.

Selain itu, tambahnya, perkahwinan secara gah itu juga dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

"Artis mempunyai banyak pengaruh. Bila dibuat secara gah, ramai yang dapat hadir sekali gus merapatkan lagi hubungan ukhuwah antara sesama saudara mara mahupun artis itu bersama peminatnya," ujarnya.

Namun, perkahwinan gah itu juga dilihat memberi kesan negatif berbanding positif apatah lagi artis sebagai ikon model untuk masyarakat.

"Artis kalau bernikah semuanya dipamerkan. Dahulu, semasa bernikah, wanita sepatutnya berada di dalam bilik dan selepas selesai upacara akad barulah boleh keluar.

"Tetapi sekarang dah lain. Artis juga duduk di pelamin akad nikah dengan perhiasan bunga dan bantal sebagainya dan ia menjadi ikutan masyarakat.

"Bila mereka tengok pelamin mini akad nikah, mereka juga mahu lakukan perkara yang sama.

"Apatah lagi bila artis yang buat, pastinya nampak indah di mata peminatnya," jelasnya.

Malah, tambah Dr. Mariani, perkara seperti ini yang membawa kepada pembaziran dan Islam sama sekali menolak perkara-perkara yang melibatkan pembaziran.

"Bila dah masuk unsur pembaziran, itu yang membawa kepada hutang keliling pinggang. Akhirnya pasangan ini ungkit-mengungkit dan seterusnya berlaku perkara yang tidak kita ingini, iaitu penceraian.

"Bila seorang dah mula melakukan perkahwinan megah, pastinya yang lain cuba menampilkan kelainan dan mahu yang lebih gah. Timbul pula isu riak. Perkara seperti ini yang harus dielak. Apa yang penting, ukur baju di badan sendiri," ujarnya.

Menurutnya lagi, isu kahwin gah itu melibatkan semua pihak termasuk perancang perkahwinan, kerana perancang melakukan yang terbaik untuk artis.

"Kita tidak boleh menyalah artis semata-mata, kerana perancang perkahwinan juga memainkan peranan untuk memberi nasihat dan sebagainya.

"Kesimpulannya mudah, jika mampu, lakukanlah. Tetapi janganlah sampai ia membawa kepada pembaziran, " jelasnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat