Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Berhati-hati jika anda orang ketiga Posted: 23 May 2013 12:08 AM PDT Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR ROSLAN (bukan nama sebenar) telah mengenali Musliha (bukan nama sebenar) sejak mereka menuntut di universiti. Di sebalik bibit-bibit perkenalan itu, mereka akhirnya menjalinkan hubungan percintaan yang diumpamakan kisah adam dan hawa. Tidak lama kemudian, babak percintaan itu diteruskan dengan ikatan perkahwinan selepas kedua-duanya tamat pengajian. Namun, setelah dikurniakan tiga cahaya mata, bahtera keluarga yang dilayari mereka selama 10 tahun bergolak apabila wujudnya kehadiran orang ketiga iaitu Kassim (bukan nama sebenar) yang cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga yang dikecapi oleh rakan sekerjanya, Roslan. Kassim setiap hari cuba memikat Musliha dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) selain mengajaknya keluar hampir setiap malam. Biarpun pada awalnya Musliha 'kebal', tetapi keras hati wanita itu umpama kerak nasi. Apabila sentiasa dicurahkan air, kerak yang keras akan lembut juga. Apa lagi bila sentiasa dipujuk rayu dengan kata-kata berbaur romantis. Sementelah pula ciri romantis impian setiap wanita itu tidak ada pada Roslan. Natijah daripada hubungan cinta terlarang itu akhirnya telah merobohkan bahtera rumah tangga yang terbina sekian lama. Biarpun si nakhoda berusaha memperbaiki diri sebagai seorang suami terbaik, namun usaha berkenaan sedikit tidak dapat mengubah nasib malang tersebut. Kisah yang menimpa Roslan itu sebenarnya antara salah satu kes tuntutan penceraian yang difailkan di mahkamah syariah dan perlu diketahui oleh orang ramai bahawa kehadiran orang ketiga yang turut diistilahkan sebagai 'penceroboh rumah tangga' merupakan punca keruntuhan institusi keluarga selain memberi impak kepada kehidupan sosial negara. Lihat sahaja statistik penceraian dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dari 2001 sehingga 2011 telah mencatat angka sebanyak 222,701. Jumlah itu memberi pelbagai kesan negatif antaranya kepada didikan anak-anak dan lain-lain. Sebahagian daripada pencerian itu berpunca daripada orang ketiga. Adakah kita tahu terdapat undang-undang yang menetapkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya terhadap mereka yang bergelar orang ketiga yang meruntuhkan rumah tangga orang lain. Apa pula takrif orang ketiga? Adakah merujuk kepada individu yang menjalin hubungan dengan isteri orang hingga membawa kepada penceraian? Menurut Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 orang ketiga dirujuk kepada mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri. Seksyen 38 akta sama menyatakan mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah suatu kesalahan. Maknanya, orang ketiga ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja yang bertanggungjawab meruntuhkan sesebuah institusi rumah tangga. Ini tidak terhad kepada lelaki yang menjalin hubungan dengan suami orang hingga membawa kepada penceraian yang sering dikaitkan dengan istilah orang ketiga selama ini. Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal, akta itu bukan sahaja diguna pakai untuk kekasih gelap atau sebagainya, tetapi ibu bapa, mentua, keluarga dan orang ramai boleh didakwa menerusi peruntukkan undang-undang itu. Beliau memberi contoh, seandainya ibu bapa menyuruh anak bercerai dengan menantunya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Jelas Noor Aziah, peruntukan undang-undang itu digubal sebenarnya bertujuan untuk memelihara keharmonian ummah dengan tidak berlakunya perpecahan institusi rumah tangga selain mengelakkan anak-anak terbiar akibat penceraian ibu bapa. Beliau turut menambah, apa gunanya kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar untuk mengurangkan kadar penceraian jika masih terdapat lagi kehadiran orang ketiga yang menganggu-gugat keharmonian rumah tangga. "Jika berlaku kes itu, suami atau isteri dinasihatkan membuat laporan polis dan seterusnya membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa jabatan agama negeri. "Kes ini bukan tuntutan saman seperti cerai, fasakh dan sebagainya. Tetapi perbuatan itu merupakan kesalahan jenayah. Maka pihak pendakwaan akan memfailkan kes di mahkamah syariah untuk tindakan selanjutnya," ujar Noor Aziah. Dalam pada itu, Noor Aziah juga menyarankan kepada suami atau isteri untuk menyerahkan bukti seperti SMS, kiriman mesej sama ada dari laman sosial Facebook dan Twitter untuk siasatan pihak penguatkuasaan. Beliau berkata, orang ramai kini masih tidak mengetahui kewujudan undang-undang itu. Mereka memang sewajarnya diberi pendedahan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam 'pencerobohan rumah tangga' menerima balasan setimpal. Mengikut rekod Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, sehingga kini tiada kes pendakwaan yang dibuat untuk tuduhan seumpama itu. |
'Bahtera' berantakan salah siapa? Posted: 23 May 2013 12:08 AM PDT Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR ADAKAH kita terus menyalahkan kehadiran orang ketiga sebagai punca utama perpecahan rumah tangga? Bagaimana pula dengan peranan suami isteri itu sendiri dalam melayari alam rumah tangga? Tindakan menyalahkan antara satu sama lain sebenarnya tidak akan menyelesaikan kemelut hidup berumah tangga, malah hal demikian akan mengeruhkan lagi keadaan. Masalah itu sebenarnya boleh diatasi jika semua pihak memahami asas perkahwinan, iaitu berkasih sayang dan bertanggungjawab antara satu sama lain berdasarkan prinsip syariat Islam. Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal berkata, walaupun setiap pasangan diuji dengan dugaan hawa nafsu, mereka sepatutnya sentiasa mengingati untuk memelihara keharmonian rumah tangga. Jelas Noor Aziah, memang tidak dinafikan pasangan suami isteri yang berkerja sentiasa menerima dugaan. Contohnya rakan sekerja cuba memikat dengan mengajak keluar bersama dan sebagainya. "Apabila terbina hubungan terlarang, hampir setiap malam mereka akan keluar untuk mengukuhkan ikatan. "Maka si suami atau isteri menunggu kepulangan yang tersayang di rumah sedangkan pasangan mereka keluar dengan orang lain. "Selepas suami atau isteri mengetahui hubungan itu, akhirnya berlaku pergaduhan seterusnya keretakan rumah tangga lalu terjadinya penceraian," kata Noor Aziah. Noor Aziah memberitahu, setiap pasangan mesti mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan memohon kepada-Nya agar dijauhkan fitnah dan bahana hawa nafsu yang sentiasa menguji keimanan. "Hakikatnya kita mesti melihat masa depan anak-anak, jika masing-masing mengutamakan hubungan terlarang maka perceraian terjadi dan akhirnya cahaya mata mereka kurang arah tujuan akibat ibu bapa bertelagah sesama mereka. "Kita hendaklah berdoa kepada Allah supaya dipelihara kerukunan rumah tangga selain memikirkan masa depan anak-anak supaya mereka membesar di dalam keluarga yang bersatu padu dan harmoni," kata kaunselor keluarga itu. Ketika ditanya mengapa masih wujud sikap mengurat suami atau isteri orang sedangkan ramai masih bujang, Noor Aziah mengatakan, itu berlaku kerana tabiat manusia sentiasa berpandukan hawa nafsu. Beliau mengambil satu contoh ketika di pejabat, seorang isteri yang tidak menjaga pergaulannya tiba-tiba seorang rakan sekerja masih bujang terpikat dengan gelagatnya sedangkan dia milik orang. Seterusnya berlaku adegan pikat-memikat antara satu sama lain. "Pokok pangkalnya ingatlah apakah asas perkahwinan. Jangan terlalu menumpukan hubungan terlarang itu dan fikirkan pada pengakhirannya. "Pada penghujungnya, keluarga ke mana, kekasih gelap pun entah ke mana," ujar Noor Aziah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |