Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Kehilangan Sosilawati, rakan bukan kebetulan Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT SHAH ALAM 15 Mei - Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi hari ini memohon Mahkamah Tinggi di sini mengambil kira wujudnya persamaan fakta kes itu dengan kehilangan dua lagi individu, Shafiq Davendran Abdullah dan Allal Kathan Muthuraja. Ini kerana, ujar Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, terdapat keterangan-keterangan baharu seperti laporan polis dan keterangan bekas peguam. N. Pathmanabhan (tertuduh pertama) yang mengesahkan sendiri akan kewujudan kedua-dua ahli perniagaan terbabit dan keterangan pekerja ladangnya, R. Kathavarayan, 32. ''Kami menegaskan bahawa saksi pendakwaan (SP) ke-96 (Samson Nahar Mohamed Dali) dan SP ke-101 (S. Usharani) telah mengesahkan suami mereka telah pergi ke Banting untuk berjumpa dengan Pathmanabhan atas urusan perniagaan. Selepas itu, mereka tidak lagi dapat menghubungi suami masing-masing. ''Kewujudan mereka bukanlah satu kebetulan. Dokumen Shafiq ditemui dalam kenderaan pikap tertuduh pertama. Dalam satu fail yang dirampas oleh Asisten Supritendan Khoo Fei Chow menemukan Surat Kuasa Peguam di bawah nama Muthuraja. ''Menurut SP ke-33 (Siti Hamidah Karnas), dia ada melihat Shafiq dan Muthuraja datang ke ladang diikuti api besar sebagaimana dalam kes Datuk Sosilawati. Selepas itu, Shafiq dan Muthuraja tidak lagi dilihat di mana-mana. ''Oleh itu kami menghujahkan, terdapat persamaan fakta yang kesemua mereka berjumpa dengan tertuduh pertama di Ladang Gadong dan kesemua mereka hilang selepas itu,'' katanya. Saiful Edris turut memohon mahkamah mengambil kira persamaan fakta apabila kesemua individu yang hilang itu mempunyai kaitan dengan tertuduh-tertuduh terutamanya Pathmanabhan. ''Lebih penting lagi, kehilangan Datuk Sosilawati dan tiga lagi bukanlah satu kebetulan dan mempunyai kaitan dengan kesemua tertuduh dalam kes ini,'' katanya. Beliau berkata demikian dalam penggulungan hujah di akhir kes pembelaan pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Dalam kes itu, Pathmanabhan didakwa bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 21; R. Matan, 22, dan Kathavarayan, 32. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010. Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani pula menghujahkan, pihak pembelaan gagal menyangkal keterangan SP ke-62, Dr. Nurliza Abdullah yang mengesahkan sebanyak 19 daripada 26 spesimen yang dijumpai di Ladang Gadong kemungkinan besar adalah tulang manusia. Ini kerana, pihak pembelaan tidak memanggil pakar mereka sendiri untuk menafikan penemuan tulang-tulang tersebut. Barisan pembelaan diwakili oleh peguam-peguam bela, Pushpa Ratnam, Amer Hamzah Arshad dan Hasshari Johari Mawi. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Selasa ini. |
Wanita dituduh culik, peras ugut Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT KUALA LUMPUR 15 Mei - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menculik dan melakukan peras ugut terhadap dua lelaki warga Bangladesh, bulan lalu. Noor Sabreena Salleh, 22, didakwa bersama seorang yang telah dituduh pada bulan lalu dan dua yang masih bebas dengan niat sengaja menculik dan melarikan seorang peniaga pakaian, Nasir Gazi, 26, bagi tujuan mengurung mangsa secara sulit dan salah. Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Restoran Durbar, Jalan Midah 1, Cheras di sini kira-kira pukul 9 pagi, 11 Mac lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Wanita itu turut didakwa bersama seorang yang telah dituduh bulan lalu dan dua yang masih bebas melakukan peras ugut dan menyebabkan seorang pekerja kilang bernama Manir, 26, berada dalam ketakutan dengan mengatakan pembunuhan atau cedera parah akan berlaku kepada Nasir. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 8, Jalan Midah Besar, Taman Midah, Cheras di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 11 Mac lalu. Bagi pertuduhan itu, Noor Sabreena didakwa mengikut Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Zulkifli Osman yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Ridza Mohd. Noh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |