Utusan Online - Pendidikan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pendidikan |
Posted: 21 May 2013 10:59 PM PDT Program Summer Camp menekankan aspek pembentukan sikap positif. Tidak ada ibu bapa yang tidak menghadapi masalah mendidik anak-anak. Semakin menjelang remaja semakin banyak masalah. Masalah tidak minat belajar, tidak dengar nasihat ibu bapa, tidak suka duduk di rumah, berkawan dengan budak-budak nakal, suka berpeleseran, tenggelam dalam budaya hiburan, derhaka kepada ibu bapa dan malas melakukan ibadah-ibadah yang diwajibkan adalah di antara masalah di kalangan pelajar yang memeningkan ibu bapa. Kesibukan ibu bapa di tempat kerja dan lain-lain komitmen keluarga menyebabkan anak-anak kurang mendapat perhatian yang akhirnya menjadikan mereka hidup terumbang-ambing tanpa pedoman. Di sekolah pula mereka berkawan dengan pelajar-pelajar yang juga bermasalah, sementara jiran tetangga dan masyarakat sekeliling pun mengambil sikap tidak campur tangan dalam urusan rumah tangga orang lain. Dalam suasana sedemikianlah pelajar-pelajar ini terus membesar dan menjadi remaja yang kosong jiwa dan tidak mempunyai hala tuju kehidupan. Program Summer Camp anjuran AKRAB sudah berusia lebih 30 tahun. Ratusan ribu pelajar dari seluruh negara telah mengikuti program ini. Majoriti mereka sudah berjaya dalam menjalani hidup. Sebahagiannya menjadi ahli profesional, peniaga, pengurus, pensyarah yang menjadikan kedudukan mereka begitu istimewa di mata masyarakat. Sentuhan Summer Camp bukan sahaja telah membuka ruang minda mereka, tetapi juga meninggalkan kesan yang mendalam dari segi rangsangan untuk berjaya dalam bidang pelajaran yang membuahkan kejayaan. Program Summer Camp biasanya berlangsung selama empat hari tiga malam (30 Mei hingga 2 Jun ini) menekankan aspek pembentukan sikap positif di samping memupuk nilai-nilai hidup yang unggul bersendikan kepada kecintaan kepada Allah, rasul, ibu bapa, ummah dan kecemerlangan akademik. Dibantu tenaga fasilitator yang komited dan memiliki ciri-ciri 'abang dan kakak', mereka mengikuti program dalam suasana kemesraan, hormat-menghormati dan dalam suasana belaian dan kasih sayang. Fasilitator menyampaikan isi kandungan program dalam suasana penuh kerelaan tanpa paksaan. Antara perkara yang unik dalam Summer Camp AKRAB ialah ibu bapa dan anggota keluarga terdekat melibatkan diri secara langsung dalam program iaitu di permulaan dan di penghujung program. Selain daripada Summer Camp, AKRAB juga terlibat mengendalikan program khusus untuk remaja yang dinamakan Kem Jati Diri Remaja. Ramai ibu bapa yang mengadu mengenai masalah anak-anak remaja seperti ponteng sekolah, pergaulan bebas, tidak menghormati ibubapa, lari dari rumah, memberontak, terlibat dengan kegiatan nakal, mengganggu ketenteraman awam dan sebagainya. Akibat daripada terbelenggu oleh masalah-masalah yang disebutkan itu, para pelajar atau remaja yang terlibat sering tenggelam dalam aktiviti negatif yang menyebabkan mereka mensia-siakan kehidupan remaja. Sebahagiannya hidup terumbang-ambing hingga menjadi beban dan dianggap sebagai sampah masyarakat. Program Jati Diri Remaja yang berlangsung selama lapan hari tujuh malam (28 Mei hingga 4 Jun ini) mengandungi modul-modul latihan yang praktikal bersesuaian dengan kehidupan harian seorang remaja yang berjaya. Isi kandungannya menggabungkan kekuatan jasmani, intelektual, emosi dan spiritual yang diadun secara holistik dan menyeronokkan. Mereka di didik dan di asuh dalam suasana kasih sayang, hormat-menghormati dan riang-ria tanpa melupakan batasan akhlak dan tuntutan agama. Para remaja yang telah melalui proses pendidikan yang agak intensif ini, berjaya menimba ilmu dan kemahiran hidup di samping tertanamnya kesedaran yang mendalam tentang peri pentingnya mereka kembali ke pangkal jalan untuk meneruskan kehidupan sebagai remaja yang berguna terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kedua-dua program anjuran AKRAB itu telah terbukti keunggulannya di mana setelah lebih 30 tahun ia bertapak, sambutan yang diberikan setiap kali diadakan sentiasa di luar dugaan. Untuk cuti persekolahan Mei - Jun ini, AKRAB sekali lagi menganjurkan kedua-dua program tersebut dengan tarikh-tarikh yang telah ditentukan. Untuk maklumat lanjut sila hubungi AKRAB melalui talian 03-7732 4452, 03-7732 4453, 013-628 3985, 019-384 0544 atau 019-6386184 atau laman web http://www.familikusayang.com.my atau Facebook AKRAB Ku Sayang |
19 murid Orang Asli sertai perkhemahan Posted: 20 May 2013 11:57 AM PDT KOTA BHARU 20 Mei - Seramai 19 murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, sebuah sekolah Orang Asli di pedalaman Gua Musang menyertai Perkhemahan Pendedahan Unit Beruniform Pengakap Negeri Kelantan selama tiga hari baru-baru ini. Murid Orang Asli daripada pelbagai unit beruniform sekolah itu dijemput bersama 16 lagi sekolah rendah sekitar Pengkalan Chepa melibatkan lebih 250 murid keseluruhannya. Pesuruhjaya Pengakap Kelantan, Mohd. Adnan Hassan Nordin berkata, sekolah Orang Asli itu dijemput pertama kali bertujuan melibatkan mereka bersama rakan sebaya dalam menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan. "Penyertaan mereka sangat menggembirakan kami kerana mereka tidak kekok malah dapat bersama-sama dengan pelajar lain sepanjang perkhemahan tiga hari itu. "Mereka mesra berbincang untuk melaksanakan aktiviti yang ditetapkan termasuk membuat persiapan program kebudayaan, berkawad serta ikhtiar hidup," katanya ketika ditemui dalam majlis penutup perkhemahan itu di Pusat Aktiviti Pengakap Kem Kijang di sini. Mohd. Adnan memberitahu, kesemua pelajar Orang Asli itu turut dibawa melihat beberapa prasarana yang ada di Kota Bharu seperti Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan menikmati keindahan Pantai Cahaya Bulan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |