{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Berpengalaman, teknokrat, muda

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

BARISAN Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyenaraikan seorang pun anggota yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu. Ini berbeza dengan Kabinet 2009 yang masih ada elemen berkenaan.

Ternyata Barisan Nasional (BN) membalas kepercayaan mandat rakyat dengan menampilkan Kabinet yang akan lebih berkhidmat untuk rakyat.

Kabinet kali ini menampilkan gandingan muka lama dan baharu dalam usaha meneruskan agenda transformasi negara. Mereka terdiri daripada 29 menteri dan 27 timbalan menteri bagi 24 kementerian.

Selain terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda, Kabinet yang dibentuk 10 hari selepas PRU-13 itu meskipun membarisi Bumiputera namun ia merupakan Kabinet Malaysia yang boleh berkhidmat untuk semua kaum.

Lagi pun, Bumiputera turut merangkumi pelbagai etnik, budaya agama termasuk Kristian di Sabah dan Sarawak. Sesuatu yang menyerlah dalam barisan baharu ini adalah keanggotaan ramai wakil Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan satu penghargaan kepada parti-parti komponen BN kedua-dua negeri itu yang telah membentuk lebih 30 peratus atau 47 kerusi daripada keseluruhan 133 kerusi Parlimen yang dimenangi BN di peringkat Persekutuan.

Dan jika sebelum ini Kabinet menampilkan empat menteri dari Sabah, kini bertambah dua, menjadikan enam. Sarawak pula menyaksikan tujuh menteri berbanding tiga sebelum ini.

Antaranya muka baharu, Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Richard Riot (Sumber Manusia), Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Dr. Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Selain itu yang dikekalkan, Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau) dan Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Pada PRU-13, BN Sarawak menyumbang kemenangan 25 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan manakala Sabah menang 22 daripada 25 kerusi Parlimen.

Semalam, Najib turut memperkenalkan kabinet yang mantap dengan mengurangkan bilangan kementerian kepada 24 daripada 25, dan menyelaras beberapa aktiviti dan bidang tugas kementerian-kementerian.

Antara kementerian yang diselaraskan ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan menjadi Kementerian Pelajaran yang akan diterajui dua orang menteri.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diselaraskan menjadi Kementerian Wilayah Persekutuan manakala portfolio kesejahteraan bandar di bawah kementerian itu digabungkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Fungsi kementerian diyakini mempunyai sinergi agar lebih efektif. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pula diselaraskan menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala elemen kebudayaan dicantumkan dengan Kementerian Pelancongan.

Dengan keyakinan untuk meneruskan momentum transformasi nasional di samping dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan, Kabinet baharu ini diyakini memiliki kewibawaan untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran serta mempunyai tingkah laku yang disukai rakyat.

Selain diperkukuhkan oleh dua wakil generasi muda, Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) dan Abdul Rahman Dahalan, Najib turut membawa masuk Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low, yang dilihat sebagai bukti keseriusan beliau untuk mempertingkatkan lagi integriti dalam kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.

Pemilihan Presiden Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menganggotai Kabinet juga dilihat sebagai usaha serius Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan agenda transformasi ekonomi negara.

Pengalaman Abdul Wahid sebagai teknokrat dalam bidang perbankan dipercayai dapat membantu kerajaan menjayakan lagi program transformasi. Paul Low pula akan menumpukan kepada pengukuhan integriti menerusi Institut Integriti Nasional (IIN) dan menangani hal-hal berkaitan Biro Pengaduan Awam.

Ketiadaan wakil MCA dalam Kabinet kali ini semua maklum kerana pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan setelah prestasinya pada PRU-13 lebih teruk daripada PRU-12.

Pada PRU-13, MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada 2008, parti itu memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri. Bagaimanapun kedudukan MCA dalam Kabinet menerusi satu slot untuk portfolio Menteri Pengangkutan akan ditentukan kemudian.

Sebelum Parlimen dibubar pada 3 April lepas, MCA mempunyai empat menteri penuh dalam Kabinet iaitu Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan); Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan); Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan). Chee Heung dan Tiong Lai menang dalam PRU-13.

Selain itu terdapat tujuh timbalan menteri dari MCA iaitu Datuk Seri Donald Lim Siang Chai (Kementerian Kewangan); Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani); Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Ir. Wee Ka Siong (Kementerian Pelajaran); Gan Ping Sieu (Kementerian Belia dan Sukan); Datuk Dr. Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Datuk Heng Seai Kie (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Dalam pada itu, Gerakan yang turut gagal meraih sokongan kaum Cina dalam PRU-13 tidak mengisi slot dalam Kabinet. Sebelum ini, Gerakan mempunyai seorang menteri penuh apabila Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang dilantik sebagai senator diberikan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa sama, sebelum ini dua lagi anggota parti itu iaitu Senator Kohilan A.Pillay sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Penyertaan enam wakil India dalam Kabinet Najib - dua menteri dan empat timbalan menteri - juga adalah julung kali dilakukan Perdana Menteri. Ini termasuk memberi keutamaan dan kepercayaan kepada dua wakil yang bukannya dari MIC, yang membawa perubahan besar terhadap kedudukan sosioekonomi masyarakat India.

Mereka ialah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, mengetuai barisan wakil MIC dalam Kabinet ialah Presiden parti itu Datuk Seri G.Palanivel yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan timbalannya Datuk Seri Dr. S.Subramaniam pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Ketiadaan menteri dari Selangor dalam Kabinet, dengan pengguguran Datuk Seri Noh Omar yang sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dipercayai ada kaitan dengan prestasi merudum BN Selangor dalam PRU-13.

Ketiadaan Datuk Shaziman Abu Mansor (penyandang Menteri Kerja Raya) dalam Kabinet baharu ini dikatakan dari keputusannya sendiri yang menarik diri. Kabinet kali ini juga menyaksikan Datuk Seri Idris Jusoh kembali menganggotai Kabinet manakala Datuk Seri Shahidan Kassim dari negeri ke Pusat. Yang naik pangkat dari timbalan menteri ke menteri pula ialah Datuk Hasan Malek dan Rohani.

Sementara itu, penyertaan kali pertama Khairy yang lompat terus ke jawatan menteri sememangnya diramalkan banyak pihak dan pemerhati. Dan lebih ketara lagi, Khairy mampu mendampingi golongan muda.

Dalam keadaan sekarang suara anak muda tidak boleh dipinggirkan kerana kuasa dan pengaruh mereka dalam politik negara mewakili jumlah yang bukan sedikit. Dan buktinya, keputusan PRU-13 baru-baru ini turut dipengaruhi oleh pengundi muda yang rata-ratanya dilihat ke sebelah sana.

'Kabinet Global' di bawah kepimpinan Najib

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh Azmi Hassan

PENGUMUMAN barisan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bukan sahaja mengambil kira suasana politik tempatan yang telah berubah secara mendadak, tetapi menyesuaikan dengan keadaan geopolitik serantau dan juga antarabangsa yang kadang kala begitu berkait rapat dengan perjalanan politik tempatan.

Begitu malang sekali buat rakyat Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab demokrasi dengan sempurna pada 5 Mei lepas tetapi masih berhadapan dengan segelintir golongan yang masih tidak mahu menerima keseluruhan keputusan pilihan raya.

Malah begitu ironis sekali golongan yang sama juga telah mengadu kepada Washington supaya melakukan sesuatu dalam usaha golongan tersebut untuk menggambarkan bahawa proses demokrasi di Malaysia telah tercemar dengan penipuan dan manipulasi.

Ironis kerana tidak sampai 48 jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Patrick Ventrell iaitu Pembantu Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan Barisan Nasional kerana berjaya mengekalkan pentadbiran kerajaan.

Begitu juga tahniah diberikan kepada rakyat Malaysia kerana berjaya melaksanakan tanggung jawab dalam suasana pilihanraya paling sengit pernah dilalui. Ventrell juga bagaikan menempelak bantahan pihak pembangkang. Beliau menyeru semua pihak menghormati keputusan yang telah di buat oleh pengundi.

Tidak cukup dengan kenyataan daripada Jabatan Negara AS, pada 8 Mei berikutnya White House mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan keputusan pilihan raya dengan ucapan tahniah kepada Najib di atas kejayaan BN dan Washington mengharapkan hubungan dua hala dapat dipertingkatkan lagi demi kepentingan serantau.

Jika dua kenyataan rasmi daripada Jabatan Negara AS dan White House masih tidak mencukupi untuk meyakinkan pembangkang supaya menerima dengan hati terbuka keputusan pilihan raya, maka panggilan telefon daripada Presiden Barack Obama kepada Najib kelmarin sudah cukup untuk meyakinkan proses pilihan raya Malaysia telah terlaksana mengikut peraturan.

Begitu jelas Obama menegaskan dalam perbualan telefon bahawa beliau memahami dan menerima proses serta keputusan pilihan raya.

Panggilan telefon Obama jelas mempamerkan betapa AS menghormati Malaysia di bawah kepimpinan Najib sebagai negara yang mempunyai pengaruh, bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga dalam kalangan negara Islam.

Jika pentadbiran Najib dianggap tidak sah masakan pula Obama boleh menyatakan persetujuan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Oktober ini.

Paling menarik, perbualan telefon kedua-dua pemimpin ini juga menyentuh isu pengawalan senjata nuklear sedangkan Malaysia tidak mempunyai kemampuan teknologi nuklear.

Tetapi perlu ditegaskan Obama telah lama mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mampu memainkan peranan dalam isu ini kerana pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang diadakan di Washington pada April 2010, status Malaysia sebagai negara Islam yang berpengaruh jelas terbukti.

Ini adalah kerana hanya dua pemimpin negara Islam iaitu Raja Abdullah dari Jordan dan Najib telah diberi penghormatan mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden AS.

Ramai yang sangsi dan mempunyai prasangka tidak baik kerana perhatian yang diberikan oleh Washington terhadap Kuala Lumpur mungkin melebihi apa yang diterima oleh sekutu kuat AS sedia ada seperti Manila, Bangkok malah Singapura sekali pun. Ada pula yang beranggapan pandangan positif tersebut disebabkan kepimpinan Obama dan bukannya kerana Najib.

Walau apa pun pandangan sinis tersebut, hakikatnya adalah sebaik-baik sahaja Najib dilantik Perdana Menteri pada tahun 2009, persepsi Washington terhadap Kuala Lumpur mula berubah.

Ketika menyampaikan ucapan kepada dunia Islam di Kaherah pada 4 Jun 2009, Presiden Obama telah mentafsirkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan progresif tetapi masih mampu mengekalkan ciri-ciri kesederhanaan dan patut dijadikan contoh oleh negara Islam yang lain.

Ucapan Kaherah dan pandangan Obama terhadap Malaysia adalah kritikal dan penuh makna kerana ucapan tersebut dianggap sebagai manifestasi Washington untuk membuka ruang rundingan kepada semua negara Islam, tidak kira lawan atau kawan. Malaysia yang telah digunakan sebagai contoh negara Islam yang terbaik adalah manifestasi tadbir urus Najib.

Pembentukan kerajaan oleh Najib dengan pengumuman barisan menteri Kabinet semalam jelas mempamerkan betapa pentingnya pengamalan dasar luar yang pragmatik. Malah dalam Aku Janji Pilihan Raya BN telah diperincikan dengan jelas hala tuju dasar luar kerajaan. Paling menarik ialah penggunaan pendekatan kesederhanaan melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) sebagai teras dasar luar negara apabila berhadapan dengan masalah antarabangsa.

Begitu juga pentadbiran Najib secara tegas menyokong usaha penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka adalah dasar yang sememangnya disanjung oleh rakyat Malaysia dan sudah pasti pentadbiran Najib lima tahun akan datang bakal menyaksikan lebih banyak program kemanusiaan dilaksanakan di wilayah konflik seperti Gaza, Tebing Barat, selatan Thailand dan Mindanao.

Kesinambungan kepimpinan Najib dan pasukan menteri Kabinet beliau bukan sahaja penting untuk kesejahteraan rakyat Malaysia tetapi kritikal juga untuk negara Islam dan juga negara kecil yang lain di mana suara mereka sukar untuk diketengahkan di pentas global.

Sebagai sebuah negara Islam yang maju, progresif dan dihormati berserta dengan GMM, Malaysia melalui kepimpinan Najib mampu sekurang-kurangnya menjadikan PBB lebih adil dan saksama. Ini adalah kerana Najib telah berikrar akan berusaha untuk memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam jangka masa lima tahun akan datang.

PENULIS ialah Geostrategis Institut

Geospatial dan Sekolah Perdana

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat