{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


‘Retreat’ untuk serangan baru

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Oleh NORDIN KARDI

TERMASUK pemimpin besar Barisan Nasional (BN), ada yang menggelarkan PRU 13 sebagai ibu segala peperangan. Gelaran sedemikian jika diberikan oleh pasukan yang berkuasa, walaupun tujuannya ialah untuk membakar semangat juang pahlawan-pahlawan perang mereka, dia juga memberi pengiktirafan kepada pihak lawan yang kesannya menjulang moral perang pihak musuh. Semua itu sudah berlalu, perang psikologi di lawan dengan perang psikologi, keunggulan logistik masing-masing telah diuji, taktik dan operasi telah dipertarungkan dan hasilnya, ada yang menang ada yang kalah.

Peperangan ketenteraan lambat laun akan ada kesudahannya. Dalam peperangan politik, pengakhirannya tiada, walaupun ada pihak, terutama yang menang, mungkin berani menukar sistem permainan untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Oleh yang demikian saya berpendapat di dalam politik, kemenangan dalam sesuatu pilihan raya hanyalah suatu kemenangan dalam suatu pertempuran tetapi bukan memenangi suatu peperangan. Kemenangan suatu peperangan ialah kemenangan meletakkan suatu fahaman atau idea yang dapat menjadikan idea-idea lain menjadi kecil atau marginal. Jika konsepsi yang saya kemukakan ini dapat diterima, masing-masing yang berminat dengan hal ini boleh menilai sama ada BN yang menang dalam pilihan raya dua minggu lepas telah memenangi suatu battle atau telah memenangi suatu war? Jika jawapannya ialah BN hanya memenangi suatu pertempuran maka BN akan berhadapan dengan banyak lagi pertempuran dan masih awal untuk sesiapa menilai bahawa satu pihak telah memenangi suatu peperangan.

Pertempuran

Sama ada pertempuran konvensional atau gerila, kedua-dua pihak yang berperang akan melakukan taktik berundur atau retreat seketika selepas melalui suatu kemuncak tempur. Apabila dianalisis, antara parti-parti yang bertempur baru-baru ini, nampaknya parti-parti berideologi utama yang terdiri daripada BN, Pas, PKR dan DAP mengambil pendekatan yang berbeza-beza. BN dan Pas nampaknya mengambil pendekatan retreat berbanding dengan DAP dan terutamanya PKR terus melakukan serangan-serangan post battle seperti cerita-cerita combat yang pernah kita tonton di TV dengan harapan sebiji dua peluru akan mencederakan satu dua tentera pihak yang menang. Hal ini terpaksa dijuruterakan oleh pemimpin utama mereka atas kepentingan menjaga supaya moral perang anggota mereka tidak luluh terus dan kedudukan pemimpin akan terancam dengan kehilangan kepercayaan. Dalam kes ini, misalnya, antara tanda-tanda kemerosotan kepercayaan ialah apabila orang nombor dua salah sebuah parti utama itu sudah bersuara mempersoalkan kredibiliti ketuanya. Oleh itu, pemimpin tersebut tiada pilihan kecuali terus melakukan tembakan-tembakan post battle bagi mengalihkan atau divert pemikiran anggota daripada mempersoalkan kredibiliti kepimpinannya kepada membakar hati anggota perang dengan mengatakan mereka kalah kepada musuh yang amat zalim dan tidak mempunyai etika perang, sedangkan dia amat tahu bahawa kalah adalah kalah. Nyawanya betul-betul ditentukan oleh sama ada dia berjaya menjadikan suara orang nombor duanya itu sebagai tidak relevan. Hal sebegini amat lumrah dalam mana-mana peperangan. Walaupun idea pemimpin ini seperti ditaja oleh pihak Barat, namun etika permainannya berlainan dengan etika perang atau perlawanan Barat bahawa dia wajib turun takhta sebagai tanda tanggungjawabnya atas kekalahan dalam pertempuran yang begitu penting.

Mungkin boleh menjadi pilihan yang baik daripada banyak pilihan-pilihan yang lain untuk BN melakukan retreat, iaitu meletakkan senjata (termasuk merehatkan cyber-troopersnya) untuk sementara dan mengambil tempoh sepi perang. Cara begini ialah cara bagaimana biasa pasukan yang menang sewajarnya bertingkah laku. Jika ini dilakukan biasanya golongan tengah akan bertukar menjadi penyimpati atau peminat baharu. Penyimpati akan mula menebalkan perasaan kagum akan digniti pihak yang menang berbanding jika pihak yang menang itu masih lagi melakukan serangan-serangan post battle secara konvensional.

Menghapuskan

Jika pasukan yang menang masih mahu menghapuskan saki-baki musuh, memadai dianya dilakukan oleh pasukan gerila atau pasukan perang psikologi memenangi heart and mind anggota perang pihak musuh yang moral perang mereka telah ranap selain keletihan.

Saat sepi perang ini sewajarnya diisi oleh BN melalui dua komponen penting: komponen eksekutif atau kerajaan dan komponen parti. Komponen kerajaan seeloknya dilihat menumpu kepada semata-mata melaksanakan program yang telah ditawarkan dengan bersungguh-sungguh dan meyakinkan. Komponen kerajaan hendaklah tidak tergiur langsung untuk melayan peluru-peluruh musuh post battle supaya musuh benar-benar kelihatan tidak relevan lagi. Jika perlu, besarkan maruah pemimpin musuh seperti Rasulullah pernah membesarkan Abu Sufyan, bekas kepala perang Quraish, setelah Mekah ditawan oleh baginda. Komponen parti hendaklah retreat untuk meneliti dengan terperinci semua aspek kalah-menang pertempuran yang mempunyai kesan kepada keseluruhan peperangan.

Retreat perang BN tentu nanti membuat diagnosis melalui tanda-tanda atau symptom dan membuat prognosis bahawa apa akan terjadi jika tanda-tanda tidak dirawat dan adakah tanda-tanda itu akan hilang sendiri tanpa perlu rawatan kerana tubuh BN itu sendiri telah ada sistem pertahanan diri sendiri yang telah diuji berkali-kali sebagai tahan serangan penyakit. Perbezaan tanda-tanda dianggap hanya darjah kekuatan serangan. Semasa membuat diagnosis BN akan mencari erti-erti penting kepada tanda-tanda yang dibaca. Misalnya, apakah maksud kegagalan memperolehi majoriti dua pertiga dua kali berturut-turut? Adakah itu tanda kegagalan fungsi kerajaan dan parti, seumpama kegagalan fungsi ginjal atau fungsi jantung? Atau, dia adalah tanda kegagalan saraf pusat (central nervous system) yang bermaksud kegagalan keseluruah fahaman atau idea yang kadangkala disebut juga sebagai ideologi parti. Kegagalan sistem saraf pusat boleh mengakibatkan setiap cabang anggota seperti sihat tetapi tidak lagi dapat dikoordinasikan dan dia menghasilkan tindakan-tindakan mengelirukan dan di luar batas normal.

Diagnosis BN tentu akan juga mencari makna kepada kepada tanda-tanda berikut: tiga parti komponen BN (PBB, SPDP dan PBRS) yang memenangi seratus peratus kemenangan merupakan angka yang signifikan iaitu 19 kerusi. Jika hal itu berlaku sebaliknya BN mungkin akan masih disimpan di ICU bagi mengelak sebarang jangkitan lain kerana BN hanya tinggal dengan kelebihan dua kerusi. BN wajib mencari erti adakah kemenangan di lapangan pertempuran itu simbol kepada kelicinan fungsi anggota atau kerana idea BN masih kukuh menjadi pegangan pasukan perancang dan pasukan tempur mereka?

Selanjutnya BN akan meneliti dengan rapi fungsi tulang tunjangnya iaitu UMNO yang telah meningkat jumlah kemenangan daripada 68 peratus (79 kerusi) pada PRU12 kepada 73 peratus (88 kerusi) pada PRU 13. Jika diumpamakan parti itu sebagai badan manusia, maka tulang tunjang akan menentukan sama ada badan itu akan lumpuh terbaring atau berkerusi roda atau dia akan terus dapat berjalan dengan segak. Tentulah juga BN tidak boleh untuk tidak mengerling kepada komponen MCA yang merosot daripada 38 peratus kepada 19 peratus, GERAKAN merosot daripada 17 peratus kepada 9 peratus yang hampir menjadikan parti komponen ini menjadi sama sekali tidak relevan lagi. Legasi Chong Eu dan Dr Lim Keng Yaik melalui GERAKAN telah berakhir sama sekali di tangan penyambungnya. Demikian juga dengan kemenangan kosong peratus PPP dan kebangkitan MIC daripada 33 peratus kepada 44 peratus (masih pada pangkat gagal atau paling tinggi Gred D).

BN juga tentulah akan cuba memahami penyakit yang menyerang - apakah kuman ini kuman biasa atau kuman baru yang belum pernah ditemui atau mutasi daripada kuman yang telah lama berlegar di alam keliling. DAP adalah kuman yang telah lama ada dalam alam keliling BN. Dalam PRU 13 kuman ini menjadi aktif dan membesar dan berjaya meningkatkan kekuatan daripada 60 peratus dalam PRU12 kepada 75 peratus. Data ini amat penting ditafsir: UMNO meningkat dan DAP juga meningkat. BN hampir tidak perlu gusar apa-apa dengan PKR dan PAS kerana mereka merosot daripada 32 peratus kepada 30 peratus dan daripada 35 peratus kepada tinggal 29 peratus masing-masing. Sambil itu BN juga boleh mendapat maklumat tambahan seperti yang dikatakan oleh rakan karib saya di dalam PKR bahasa Pas ada menghantar mesej supaya penyokong mereka tidak memberi kemenangan terlalu banyak kepada PKR di Parlimen kerana mereka tidak mahu ketua PKR akan dictate semua perkara dalam PR.

Selain daripada membuat diagnosis terhadap semua fungsi anggota badan BN sewajarnya membuat retreat atau mendapat mungkin ratusan sesi untuk melihat kefungsian minda atau idea. BN wajar menyoal sama ada kefungsian minda BN masih kukuh dan relevan sepanjang zaman atau BN juga sudah dijangkiti oleh penyakit neurotik apa lagi jika ada tanda-tanda psikopatik. Jika tanda-tanda itu ditemui maka BN semestinya membuat keputusan: jika dibiarkan tidak dirawa apa akan terjadi dan jika ingin dirawat apakah jenis rawatannya dan apakah pelbagai kemungkinan hasil atau outcome daripada rawatan itu. Masa retreat tidak terlalu panjang dan tidak juga terlalu suntuk dan terdesak sehingga semuanya dilakukan secara dangkal-dangkal. Semuanya di tangan komander perang -membiarkan atau melakukan.

Sambil saya menyeru BN melakukan retreat, PAS, PKR dan DAP juga mesti melakukan retreat tetapi mereka tidak perlu melakukan apa-apa diagnosis kerana pemimpin mereka telah gagal. Pemimpin DAP, PAS, PKR mesti turun kerana mereka telah berkali gagal, bahkan telah berkali-kali gagal. Sebagai pemimpin beretika, menggunakan nilai Barat dan Timur, mereka yang gagal mesti menyerahkan kepada darah baru. DAP bukan menang, PAS tidak menang dan PKR telah kalah. Kalah adalah kalah, besar atau kecil, dan dengan itu komander mereka harus turun sebagai pemimpin beradab.

Media sosial penggalak undang-undang koboi

Posted: 18 May 2013 11:08 AM PDT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
ku_seman@icloud.com

DALAM kalangan penganalisis politik, mereka menggambarkan Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) sebagai ibu segala pilihan raya di negara ini. Sebabnya Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan cabaran paling sengit untuk mengatasi pembangkang; DAP, PKR dan Pas. Perubahan terhadap landskap politik sejak 2008 sebenarnya mengubah banyak perkara, bukan sahaja politik malah sosial, budaya dan tatasusila.

PRU13 dikaitkan dengan pertumbuhan media sosial yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Pada 2008, PRU12 hanya berperang dengan portal yang pro pembangkang dan lebih setengah juta blog. Ketika itu blog muncul sebagai satu media baharu alternatif kepada media konvensional seperti akhbar dan televisyen serta radio.

Tetapi pada PRU13, media sosial seperti Facebook, Twiter, blog serta portal berita pro pembangkang lebih agresif memainkan peranan dalam ruang kebebasan bersuara hingga melanggar sempadan peribadi pihak tertentu. Cerita palsu tentang sesuatu dijual di pasaran terbuka dan masyarakat menerimanya sebagai satu yang benar.

Keadaan menjadi paradoks. Media yang menyiarkan kebenaran dianggap sebagai pembohongan, media sosial yang menyiarkan pembohongan pula dianggap sebagai kebenaran yang selama ini disembunyikan daripada umum. Tsunami media sosial mencetuskan porak peranda kerana masyarakat kita umumnya belum bersedia untuk berdepan dengan realiti dan permainannya.

Akhirnya kita seolah-olah kembali pada zaman koboi di Old West di Amerika Syarikat (AS) tahun 1930-an dulu di mana undang-undang berada di muncung senapang. Siapa yang kuat, berani dan tidak berperikemanusiaan akan menakluki yang lebih lemah. Media sosial mengembalikan zaman undang-undang di tangan sendiri dan lihatlah bagaimana pengendali media sosial bertindak membunuh karakter tokoh tertentu dengan pembohongan yang dijaja sebagai kebenaran.

Perang media sosial pasca PRU12 dan menjelang PRU13 banyak sekali menghakiskan nilai dan tamadun yang selama ini menjadi kebanggaan kita terutama Melayu. Kebiadapan diperagakan tanpa segan silu di laman media sosial atas nama demokrasi kebebasan bersuara.

Secara idealnya media sosial membuka ruang dan kebebasan bersuara dengan lebih luas. Positifnya ruang media sosial ini menyediakan pentas untuk masyarakat berforum tentang semua perkara. Malah boleh pula disertai oleh sesiapa sahaja seperti di laman Facebook, blog dan ruangan komen di portal berita Malaysiakini dan Malaysian Insider.

Tetapi yang bahayanya ruang kebebasan bersuara ini disalahgunakan sebagai pemangkin kebiadapan dan perosak tatasusila. Kalau kita meneliti komen-komen di media sosial kita akan tahu betapa teruknya keruntuhan nilai masyarakat terutama generasi baharu semata-mata untuk meluahkan perasaan. Sebelum ini kebiadapan seperti memaki hamun tidak pernah berlaku secara terbuka di depan khalayak. Media arus perdana yang dikatakan menyembunyikan "kebenaran" tidak akan menyuburkan kebiadapan begini dalam komen-komen pembaca mereka. Adakah ini satu kesalahan?

Tetapi sempadan ini telah diceroboh oleh media sosial atas nama kebebasan bersuara. Sebenarnya hanya sebahagian sahaja pemilik akaun blog, Facebook atau Twiter yang benar-benar memanfaatkan media sosial untuk menyuburkan kebebasan bersuara yang beradab. Mereka tidak akan menyiarkan komen yang berbaur fitnah kepada pihak tertentu.

Tetapi selebihnya memberikan kebebasan mutlak kepada orang ramai untuk meluahkan perasaan tanpa mengambil kira ruang peribadi pihak yang lain. Blog-blog politik tidak kira sama ada BN atau pembangkang sebahagiannya menjadi pemangkin kebiadapan ini.

Generasi muda termasuk dalam kalangan Melayu lebih terarah kepada media sosial berbanding media arus perdana kerana menganggap itu adalah suara kerajaan. Selain media sosial, golongan ini mendapat maklumat mengenai politik daripada portal berita pro pembangkang antaranya. Semua orang tahu portal berita ini walaupun kelihatan profesional menyiarkan berita tetapi sangat condong kepada pembangkang. Maklumat politik dalam portal begini sangat berkesan untuk membina persepsi tentang politik di negara ini terutamanya kewajaran mereka menolak aliran establishment.

Politik adalah persepsi. Kejayaan menimbulkan persepsi yang buruk kepada pihak lawan dan yang baik kepada diri sendiri adalah peluang untuk meraih sokongan. Pengaruh media sosial dan portal berita pro pembangkang sangat berkesan membina persepsi.

Walaupun sebahagian daripada masyarakat menganggap media sosial bukan penyalur maklumat yang sahih tetapi kepada pembangkang bukanlah kesahihan. Yang penting boleh membina persepsi. Golongan muda adalah pelanggan media sosial dan dengan sikap anti establishment yang dibina oleh pembangkang.

Kalau dilihat pula kadar penembusan Internet jalur lebar pada tahun 2008 hanya 22 peratus dan meningkat 66.7 peratus tahun 2013. Ketika ini negara mencatatkan pengguna Internet sebanyak 22.7 juta atau 77.84 peratus daripada populasi 29.1 juta. Sementara itu 50 peratus daripada populasi pula adalah pemilik akaun Facebook dan ini meletakkan Malaysia negara ke 18 terbanyak pemilik akaun Facebook terbanyak. Daripada jumlah ini 34 peratus pemilik akaun facebook berumur antara 18 hingga 24 tahun.

Maka tidak hairanlah kalau DAP menubuhkan pasukan tentera siber yang dinamakan Red Bean Army yang terdiri daripada pengundi muda parti itu. Kumpulan tentera siber yang seramai 200 orang ini diberi gaji dan latihan secukupnya untuk menyebarkan doktrin politik DAP sejak enam tahun lalu. DAP terlebih dahulu memanfaatkan media sosial untuk tujuan memperkasakan parti dan orang Cina.

Walaupun media sosial menjadi pemangkin kebiadapan tetapi analoginya sama seperti pisau yang boleh melukakan. Pada masa yang sama boleh digunakan untuk mempertahankan diri dan memudahkan kehidupan harian. Media sosial memberikan banyak faedah sekiranya kita menyedari kesan buruknya kalau tidak digunakan dengan tujuan yang betul. Kebebasan tetap ada sempadannya dan yang berlaku dalam media sosial bukan kebebasan tetetapi pencabulan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat