{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Ambil langkah pencegahan awal

Posted: 02 Jun 2013 06:56 AM PDT

Cerita mengenai aktres Angelina Jolie yang menjalani pembedahan pembuangan payudara atau mastektomi tentunya memberikan sesuatu yang berbeza serta membuka mata banyak pihak mengenai keterbukaan serta kesediaan menjalani kehidupan lebih baik, sesuai dengan pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati.

Berbanding wanita Malaysia yang tidak sanggup menjalani pemeriksaan awal payudara dan menunggu sehingga kanser merebak ke tahap empat, sememangnya apa yang dilakukan aktres jelita ini patut dijadikan contoh. Dia rela melakukan pembedahan pembuangan kedua-dua payudara menggantikannya dengan implan demi mengelak serta mengurangkan risiko terkena kanser payudara.

Tindakan ini diakui oleh kebanyakan doktor sebagai sesuatu yang tepat bagi mencegah sel kanser merebak, apatah lagi pelakon filem Sherlock Holmes ini berisiko hampir 87 peratus mendapat kanser yang diwarisi daripada ibunya.

Malah, selepas melakukan mastektomi, peluang untuk mendapat kanser menjadi lebih rendah.

Foto

DR AZLINA menunjukkan bahagian payudara yang terpaksa dibuang akibat kanser payudara.

Foto

BAHAGIAN payudara wanita.


Keputusan wanita ini menjalani mastektomi bukan saja membuka mata ramai mengenai pilihan terkini dalam melakukan tindakan pencegahan, tetapi juga kemajuan dalam bidang rekonstruksi payudara bagi membolehkan wanita memperoleh kembali payudara mereka.


Dalam kes Angelina, dia menjalani mastektomi untuk kedua-dua payudara kerana berisiko pembawa gen mutasi BRCA1 yang meningkatkan risiko kanser payudara dan rahim. Selain mastektomi, dia juga menjalani pembedahan rekonstruksi payudara implan agar kelihatan semula jadi.

Mengulas hal ini, menurut Pakar Bedah Payudara Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Azlina Firzah Abdul Aziz, apa yang dilakukan aktres terbabit adalah satu bentuk pencegahan yang bukan saja memerlukan keberanian, tetapi persediaan dari segi fizikal, mental dan juga emosi.

Sebelum melakukan prosedur ini, dia pasti sudah memikirkan pelbagai kemungkinan selain menjalani pemeriksaan genetik bagi menentukan sama ada dirinya adalah pembawa gen BRCA1.

Setiap sel dalam tubuh manusia mempunyai dua gen iaitu BRCA1 atau BRCA2 yang diwarisi daripada ibu bapa. Seorang wanita yang menerima satu gen BRCA1 atau BRCA2 yang rosak daripada ibu bapa berkemungkinan mendapat kanser.

Walaupun peluang wanita yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai kanser payudara sangat besar, majoriti pesakit yang datang bertemu dengannya tidak mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser.

"Bagi Angelina, dia berisiko 87 peratus mendapat kanser payudara dan 50 peratus mendapat kanser rahim. Risiko ini berbeza untuk setiap wanita, namun hanya sedikit pesakit kanser payudara yang berpunca daripada keturunan mutasi gen. Mereka yang memiliki gen BRCA1 mengalami kerosakan mempunyai 65 peratus risiko mendapat kanser dan ibu Angelina meninggal pada usia 56 tahun kerana kanser rahim," ulasnya.

Menurut Dr Azlina, pembedahan mastektomi yang dilakukan aktres berkenaan bermula dengan prosedur membuang keseluruhan jaringan payudara tidak termasuk puting dan areola. Kemudian rekonstruksi payudara menggunakan implan dilakukan bagi mewujudkan payudara seakan-akan semula jadi. Namun, pembedahan ini berbeza-beza bergantung kepada tahap penyakit.

Misalnya, mastektomi nipple-sparing hanya mengangkat jaringan payudara, tidak termasuk puting atau areola. Sementara itu, mastektomi skin-sparing membuang keseluruhan payudara manakala mastektomi modified radical membuang keseluruhan payudara termasuk jaringan payudara pada tulang dada, tulang selangka serta benjolan di sekitar ketiak. Oleh kerana Angelina turut berisiko mendapat kanser rahim, dia juga mempertimbangkan untuk membuang keseluruhan rahim atas alasan yang sama sebelum berusia 40 tahun.

Apa yang berlaku kepada Angelina ini sebenarnya wajar dijadikan inspirasi terutama kepada semua wanita di Malaysia mengenai pentingnya menyayangi diri sendiri sebelum sesuatu penyakit itu merebak sehingga menyebabkan kematian.

Oleh kerana kanser payudara adalah barah yang sering menyerang wanita, sememangnya wajar golongan Hawa mengambil langkah pencegahan awal dengan menyedari setiap perubahan yang berlaku kepada payudara mereka.

Ini boleh dilakukan dengan melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) pada setiap bulan sepanjang hayat mereka iaitu di antara hari ketujuh hingga ke-10 selepas bermulanya haid.

Sekiranya jangka masa haid tidak teratur atau sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan. Bagi wanita yang melebihi 30 tahun, mereka perlu juga mendapatkan pemeriksaan payudara di hospital menerusi doktor atau pakar perubatan pada setiap tahun.

Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seseorang wanita mengesan kanser payudara pada peringkat awal bagi membolehkan rawatan dilakukan dengan lebih berkesan.

Sekiranya terdapat perubahan seperti benjolan pada payudara atau ketiak, perubahan bentuk dan saiz payudara yang luar biasa, kerutan atau lekuk pada payudara, puting payudara tertarik ke dalam serta pendarahan atau lelahan luar biasa dari puting payudara, keadaan itu tidak harus dibiarkan dan perlu merujuk kepada doktor.

"Malangnya tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan wanita Malaysia menyebabkan mereka mengambil mudah dengan setiap perubahan yang berlaku pada payudara mereka. Mungkin malu atau tidak sanggup menerima kenyataan menyebabkan golongan ini membiarkan saja sehingga kanser merebak ke tahap empat.

"Ada pula wanita yang sudah berumah tangga bersetuju untuk menjalani pembedahan membuang payudara atau mastektomi, malangnya mendapat tentangan suami. Ini kerana ada antara golongan suami berasa malu dengan teman seangkatan yang mungkin memberikan persepsi isteri mereka sudah tiada ciri kewanitaan lagi.

"Faktor ini walaupun adakala dianggap remeh dan tidak masuk akal, namun inilah realiti yang berlaku di sini," katanya yang berharap golongan suami berfikir secara rasional dan tidak hanya mementingkan diri sendiri.

Rawatan mamogram

Selain pemeriksaan sendiri payudara, wanita berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai ahli keluarga penghidap kanser harus menjalani rawatan mamografi bagi menyokong pemeriksaan fizikal mereka. Ini kerana proses ini mampu mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui pemeriksaan fizikal menggunakan tangan.

"Mamografi adalah sinaran-X yang menghasilkan imej payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan dilakukan," katanya.

Biopsi pula adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu kanser dengan mengambil sedikit sampel tisu payudara dan diperiksa menggunakan mikroskop. Terdapat dua jenis biopsi yang biasa dilakukan iaitu biopsi aspirasi iaitu menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan pada payudara manakala biopsi pembedahan iaitu ketumbuhan atau kawasan yang disyaki mengandungi sel kanser dipotong dan dikeluarkan untuk diperiksa melalui mikroskop.

Sel kanser payudara merebak dengan cepat melalui beberapa cara antaranya ia menyerang bahagian kulit dan dinding otot dada, merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan tersebar ke seluruh badan terutama ke bahagian tulang belakang, pinggang, tengkorak dan dada, hati, paru-paru, kelenjar adrenal serta ovari.

Malah, dianggarkan sekiranya kanser payudara berukuran 1.6 sentimeter, ia mungkin sudah berada di dalam payudara selama sekurang-kurangnya dua tahun. Pada waktu ini, sel kanser mungkin sudah memasuki ke dalam saluran darah ataupun sistem limfatik dan seterusnya merebak ke seluruh badan.

"Oleh itu, walaupun ketumbuhan kanser payudara dirasakan tertumpu pada payudara saja, dianggarkan lebih 35 peratus darinya mungkin merebak atau mengalami metastasis. Sekiranya sudah sampai sehingga ke bahagian organ, pembedahan mastektomi perlu dilakukan bagi mengelak menjadi lebih teruk," katanya.

Wanita yang mempunyai ahli keluarga terutama ibu atau kakak menghidap kanser payudara seharusnya menjalani rawatan awal supaya pencegahan dapat dilakukan. Usah takut untuk membuat pemeriksaan kerana pengesanan pada tahap satu boleh menyelamatkan nyawa sekali gus memastikan kesejahteraan keluarga dapat diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Kerja amal berbasikal 480 kilometer

Posted: 02 Jun 2013 06:47 AM PDT

Banyak perkara yang boleh dilakukan dalam usaha menyumbang kepada aktiviti kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan. Menderma dan kerja sukarelawan antara usaha yang kerap dilakukan apabila sesebuah badan, organisasi atau individu memerlukan bantuan.

Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bagaimanapun tampil unik dalam melakukan kerja amal menerusi aktiviti berbasikalnya sejauh 480 kilometer dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam usaha meraih dana untuk disalurkan kepada 24 organisasi kebajikan dan sekolah sekitar Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur, 80 kakitangan Malakoff dan rakan perniagaannya mengharungi perjalanan selama tiga hari yang akhirnya berjaya mengumpul RM172,700.

Penganjuran kali kelapan ini antara inisiatif di bawah platform tanggungjawab sosial Malakoff menerusi kumpulan Malakoff Community Partnerships.

Foto

AINAL Abidin Jalil (berdiri, 7 dari kiri) bersama sebahagian penerima sumbangan dana Malakoff berjumlah RM172,700.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abidin Jalil, jumlah dana yang berjaya dikumpul itu akan digunakan untuk membantu 24 sekolah serta organisasi terbabit dalam usaha memperkasakan lagi program pendidikan di kawasan luar bandar dan mensasarkan golongan tidak berkemampuan.


"Ini satu komitmen utama Malakoff untuk turut sama membantu dan membabitkan diri dengan komuniti tempatan.

"Kayuhan Amal Tahunan ini juga menawarkan platform lain untuk kami bekerjasama dengan pemegang saham, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan sedia ada menerusi galakan kepada gaya hidup sihat," katanya.

Malakoff menampilkan 28 rakan niaga dalam usaha mengumpul dana ini. Antara yang turut serta ialah Alstom Asia Pacific, Bank Muamalat, Allianz General Insurance, Gas Malaysia Berhad, Mudajaya Corporation Berhad dan Sterling Insurance Brokers.

Menariknya, setiap dana yang berjaya dikumpul diserahkan terus kepada sekolah dan organisasi terbabit sepanjang perjalanan kayuhan mereka.

Pusat Jagaan Nur Muhammad, Asnaf Murni, Persatuan Orang Buta Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia serta Pertubuhan Kebajikan Dan Pendidikan Raudhatul Ikhwani antara organisasi kebajikan yang menerima bantuan, di samping Sekolah Kebangsaan Andek Mori, Sekolah Kebangsaan Sungai Boh, Sekolah Kebangsaan Seri Sinaran Chokoh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chiao.

"Kami gembira kerana rakan perniagaan kami dapat berkongsi minat sama dalam aktiviti kebajikan dan sukan seperti ini. Diharapkan aktiviti sihat seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa depan, dengan lebih ramai penyertaan daripada rakan niaga serta penunggang basikal," ujar Zainal.

Sejak tujuh tahun lalu, sumbangan daripada rakan niaga Malakoff meningkat daripada RM47,900 pada 2006 kepada RM170,000 pada 2011, menjadikan jumlah keseluruhannya RM750,000 setakat ini.

Aktiviti berbasikal tahun lalu menyaksikan rekod kutipan dana mencecah RM206,000 yang nyata meningkatkan lagi populariti dan sokongan pada acara terbabit.

Sejak ia dimulakan, peserta sudah menunggang jauh 3,575 kilometer meliputi setiap negeri di Semenanjung Malaysia dengan bantuan disampaikan kepada lebih 90 rumah kebajikan.

Sementara itu, penunggang berpengalaman, Azman Ali, 48 menyifatkan ia antara aktiviti kutipan dana paling mencabar yang pernah disertainya.

"Ia antara paling sukar kerana mencabar kekuatan fizikal dan mental. Tapi saya rasa lebih seronok melakukannya kerana tahu ia dianjurkan untuk membantu golongan memerlukan.

"Saya harap dapat menyertai aktiviti ini lagi pada tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat