Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 02 Jun 2013 05:50 AM PDT SOAL JAWAB DOKTOR Soalan ASSALAMUALAIKUM doktor, saya sudah berkahwin hampir enam bulan. Saya dan suami juga sudah bersedia untuk memiliki zuriat. Apa yang merisaukan saya sekarang adalah senggugut saya yang teruk selepas berkahwin. Sebelum berkahwin saya tidak mengalami senggugut hanya sakit perut biasa yang dapat saya kawal. Tetapi semenjak saya kahwin pada Disember tahun lepas, semasa haid saya pada bulan Januari tahun ini saya mengalami senggugut yang teruk sehingga tidak boleh bangun. Sudah banyak klinik yang saya pergi tetapi saya hanya diberitahu doktor masalah berkenaan disebabkan perubahan hormon dan hanya diberi ubat tahan sakit. Adakah berbahaya senggugut yang saya hadapi selepas kahwin ini doktor? - Nadia, Pahang Jawapan Wa'alaikumusallam Nadia, kesakitan yang dialami semasa berlangsungnya haid dipanggil senggugut atau dismenorea (dysmenorrhea). Senggugut sering menyerang seorang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Senggugut bukan sekadar kesakitan teruk ketika haid, tetapi ia turut menjadi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis. Terdapat dua jenis senggugut, iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin (sejenis bahan kimia dalam darah) yang menyebabkan pengecutan rahim yang kuat. Kebiasaannya ia sering dialami pada usia muda sebelum berkahwin dan bertahan pada hari pertama dan kedua haid. Manakala senggugut sekunder pula disebabkan oleh endometriosis. Endometriosis pula merujuk kepada keadaan di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati tumbuh di luar rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi wanita. Masalah senggugut yang dialami anda berkemungkinan tinggi disebabkan oleh penyakit endometriosis. Walaupun ada sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan senggugut, maklumat yang anda berikan membawa kepada diagnosis yang paling ketara iaitu endometriosis. Dalam keadaan endometriosis, wanita biasanya mengalami senggugut dan mungkin juga sakit bila mengadakan hubungan seksual dengan suami. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh organ-organ di bahagian pelvis yang melekat (adhesion) atau juga salur Fallopionya mengalami penyumbatan. Punca sebenar endometriosis masih tidak diketahui. Malah bagi sesetengah wanita, risiko untuk mendapat endometriosis mungkin ada sekiranya terdapat saudara-mara perempuan mereka mengalami masalah yang sama. Sungguhpun punca sebenar endometriosis kekal tidak diketahui, namun banyak teori telah dikemukakan untuk lebih memahami dan menjelaskan perkembangannya. Ada teori yang mengatakan ia disebabkan pendarahan haid yang berundur atau bergerak secara menyongsang (retrograde menstruation) ke dalam pelvis, aras hormon estrogen yang berlebihan, tisu endometriosis juga boleh merebak melalui salur darah dan tumbuh di tempat-tempat yang jauh dari rahim seperti di dalam paru-paru atau otak dan juga teori metaplasia. Untuk mengetahui penyebab sebenar senggugut anda, sebaiknya anda perlu diperiksa oleh pakar sakit puan. Selain daripada ujian imbasan ultrabunyi (ultrasound) untuk melihat jika ada sista (pembengkakan ovari), ujian laparoskopi juga boleh dilakukan untuk memastikan ia adalah endometriosis dan juga untuk melihat jika terdapat pelekatan dan penyumbatan pada salur Fallopio. Jika diagnosis yang dibuat doktor adalah endometriosis, ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengubati keadaan ini dan cara terbaik ialah jika wanita tersebut cepat hamil. Sebab-sebab lain senggugut adalah jangkitan pada bahagian pelvik (pelvic inflammatory disease), adenomyosis dan juga masalah fibroid. Maka, anda perlu diperiksa secara teliti untuk mendapat diagnosis yang tepat dan perlu diberi rawatan yang sewajarnya secepat mungkin supaya penyakit ini tidak melarat sehingga susah dirawat kelak. |
Posted: 02 Jun 2013 05:50 AM PDT Oleh Kapten Dr. Faiz Khaleed SESEORANG yang mengalami sakit gigi akibat gigi berlubang datang berjumpa doktor gigi untuk rawatan. Selepas pemeriksaan rapi, doktor gigi menerangkan bahawa masalah berpunca daripada kurangnya kebersihan gigi. "Gigi anda tidak bersih", kata doktor gigi. Pesakit itu kelihatan bingung dan menjawab: "Tetapi saya memberus dua kali sehari setiap hari". Inilah yang sering difikirkan apabila kita menyebut mengenai kebersihan gigi. Hanya dengan memberus gigi. Apa yang perlu difahami ialah kebersihan gigi tidak tertakluk kepada memberus gigi sahaja. Kebersihan gigi melibatkan memberus, memflos dan berkumur. Gigi anda akan hanya separa bersih sekiranya anda tidak melakukan ketiga-tiga kaedah tersebut. Apabila anda memberus, anda akan terlepas banyak sisa makanan yang akan menjadi semakin bertambah di dalam mulut. Tidak ada berus gigi yang direka untuk mencapai setiap sudut di dalam mulut. Di kawasan tersebut, sisa makanan dan plak akan terus bertambah dan seterusnya menyebabkan lubang atau pereputan. Selain daripada memberus, anda juga harus memflos gigi setiap hari. Mengapa? Kerana memflos akan menanggalkan plak dan sisa makanan di kawasan yang tidak dicapai berus gigi. Pertambahan plak akan membawa kepada penyakit gusi atau pereputan gigi menjadikan aktiviti memflos sebagai sesuatu yang penting. Sekiranya anda memflos sebaik saja selepas memberus gigi, anda akan mendapati gusi dan gigi anda menjadi lebih sihat. Apabila anda meneliti flos yang digunakan, terdapat dua jenis - nilon dan filamen tunggal. Anda boleh mendapatkan nilon yang bersalut lilin atau tidak. Flos nilon diperbuat daripada beberapa lembaran nilon menjadikan ia mudah putus dan koyak sekiranya terperangkap di celah gigi yang tajam. Meskipun flos filamen tunggal lebih mahal daripada nilon, ia lebih mudah dilalukan di celah-celah gigi terutamanya di kawasan yang sempit. Tidak seperti nilon, flos filamen tunggal sukar untuk koyak atau putus. Tidak kira apa jenis flos yang anda pilih, asalkan anda memflos dengan kerap, kaedah ini akan menanggalkan sisa makanan dari gigi dan gusi. Sekiranya anda tidak pernah memflos sebelum ini, anda mungkin akan terkejut betapa banyak sisa makanan yang mampu dibuang dengan memflos. Berkumur (dengan ubat kumur) adalah sama penting seperti memberus dan memflos untuk mencapai kawasan yang sukar dicapai oleh flos ataupun berus gigi yang paling kecil. Sisa makanan akan mendap di celah gigi dan pada celahan gingival yang menjadikan berkumur penting. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa terdapat celahan gingival sedalam tiga milimeter yang boleh menjadi kawasan mendapan sisa makanan termasuklah nasi goreng, jus, tappanyaki, spagetti dan sebagainya. Celahan gingival ini boleh dibersihkan dengan berkumur. Akhir sekali, sekiranya anda mahukan gigi anda kekal lama, berhati-hati dengan teknik memberus yang anda gunakan. Terdapat perbezaan nyata antara memberus dengan mata tertutup dan memberus dengan berhati-hati dengan memastikan kedudukan berus mengenai kawasan yang sukar dicapai. Anda perlu lebih berhati-hati sekiranya anda memiliki gigi yang kurang teratur kerana terdapat lebih banyak kawasan yang sukar dicapai. Sekiranya anda hanya memberus selama ini, sudah tiba masanya untuk memflos dan berkumur untuk memastikan gigi dan gusi anda sihat. Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan rutin (setiap 6 bulan) dengan pakar pergigian. Namun begitu terpulang kepada anda untuk melakukan penjagaan di rumah dengan memberus, memflos dan berkumur. Siapa kata gigi anda mesti reput apabila anda tua? Sesetengah haiwan masih memiliki gigi sempurna selepas mereka mati. n DR . FAIZ KHALEED merupakan jurucakap bagi kempen Oral-B, "Complete Care for a Confident Smile". |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |