{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


20,000 berjalan bersama sultan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Sebahagian pelajar turut serta dalam program Walk With Me mengelilingi pusat bandar Kota Bharu, semalam. - utusan/Irwan Majid

KOTA BHARU 13 Jun - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meneruskan tradisi baginda berjalan bersama rakyat dalam program Walk With Me mengelilingi pusat bandar Kota Bharu pada pukul 5.30 petang ini.

Baginda yang mengenepikan protokol ditemani Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra berjalan bersama kira-kira 20,000 rakyat jelata daripada segenap lapisan umur dalam suasana santai dan mesra.

Yang turut menyertai program tersebut ialah Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; pimpinan Kerajaan Pas Kelantan; para pembesar istana serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Pusat.

Perjalanan yang bermula dari pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV dan turut berakhir di lokasi sama digunakan sepenuhnya oleh rakyat jelata untuk bersalaman dan beramah mesra dengan raja kesayangan mereka itu.

Sultan Muhammad V yang terkenal dengan sikap cakna rakyat turut tidak mengecewakan permintaan kalangan rakyat yang memohon perkenan untuk bergambar dengan baginda.

Seorang peserta, Khairul Ikhwan, 28, berkata, dia berasa sangat gembira kerana kali pertama menyertai program tahunan itu yang diadakan buat kali ketiga sejak 2011.

"Saya seronok sebab bukan sahaja dapat berjalan bersama baginda tetapi suasana yang sangat menggembirakan melihat pelbagai lapisan rakyat daripada pelbagai bangsa berkumpul dan berjalan bersama," katanya.

Rakannya, Mohd. Redzuan turut menyatakan rasa teruja menyertai program tersebut dan berharap dapat berjalan hampir dengan baginda.

"Bukan senang untuk rakyat mendapat peluang ini jadi saya sangat teruja malah sebelum ini saya langsung tidak pernah berjalan kaki mengelilingi Kota Bharu.

"Kalau boleh saya juga mahu bergambar bersama baginda untuk disimpan sebagai kenang-kenangan," katanya yang bekerja di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Perjalanan yang diiringi persembahan kumpulan pancaragam oleh pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa itu berakhir kira-kira pukul 7 petang selepas baginda bersama semua peserta melalui beberapa pusat tumpuan di Kota Bharu, antaranya bulatan menara jam, pejabat pelancongan di Kampung Kraftangan, Pasar Siti Khatijah dan kawasan perniagaan Jalan Mahmood.

BN akan guna Sidang DUN beri penjelasan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (dua dari kiri) bersama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (dua dari kanan) pada majlis Angkat Sumpah ADUN Kelantan di Dewan Undangan Negeri, Kota Darulnaim di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 13 Jun - Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menggunakan sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang sebagai medium untuk memberikan penjelasan kepada rakyat Kelantan dan menangkis pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan Pas kepada parti itu, UMNO dan kerajaan Pusat.

Ketua Pembangkang BN dalam DUN negeri, Datuk Nozula Mat Diah berkata, antara tohmahan Pas ialah menuduh UMNO dan BN menzalimi rakyat Kelantan dengan menyekat pelbagai peruntukan kepada negeri ini.

Justeru katanya, parti telah menubuhkan sebuah sekretariat bersama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang akan memberikan segala maklumat tentang pelbagai bantuan dan projek yang dilaksana di negeri ini demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

Beliau berkata, sebenarnya banyak peruntukan telah dibelanjakan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan berkepentingan rakyat, merangkumi infrastruktur, bekalan air dan elektrik, membina dan membaik pulih rumah penduduk, namun pemimpin Pas tetap menuduh UMNO dan BN zalim.

"Kita akan beritahu kepada rakyat Kelantan bahawasanya UMNO telah berkhidmat sebaik mungkin, tidak seperti yang diperkatakan kepimpinan Pas yang menuduh kita zalim dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan di hadapan Speaker DUN, Abdullah Ya'kub di Kota Darulnaim di sini.

Mengulas lanjut, Nozula yang juga ADUN Paloh berkata, pertambahan wakil rakyat BN dalam kalangan pemimpin lama yang berpengalaman, dijangka dapat membantu hasrat tersebut.

"Kita jangka keberkesanan untuk mereka ambil bahagian dalam sesi perdebatan dalam Dewan memang amat berkesan kerana mereka memang sudah ada pengalaman. Yang baharu tiga orang sahaja dan kita akan bimbing melalui sekretariat untuk memberikan maklumat-maklumat dan fakta-fakta untuk berhujah di dalam Dewan ini," katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat BN akan terus memperjuangkan isu-isu berkepentingan rakyat bagi memastikan penduduk Kelantan dapat menikmati kehidupan lebih baik pada masa hadapan.

Mengenai pelantikan beliau menggantikan Datuk Md. Alwi Che Ahmad, Nozula berkata, ini merupakan satu amanah dan beliau akan mempergunakan segala pengalaman serta ilmu dimiliki untuk membimbing wakil rakyat BN yang lain supaya peranan mereka lebih berkesan dalam memberikan kesedaran kepada kerajaan Pas agar tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

"Kita akan memberikan pandangan-pandangan yang akan membawa kerajaan Pusat memenuhi atau membantu rakyat Kelantan sepenuhnya.

"Kita tidak akan menggunakan pendekatan secara agresif atau mengambil tindakan tergopoh-gapah tentang apa yang dilakukan oleh Pas hari ini kepada kita," katanya.

Kerajaan sedia RM33.1 juta

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

AHMAD Razif Abdul Rahman (berdiri, enam dari kanan) bersama sebahagian peserta pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Ketapang di Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 13 Jun - Kerajaan negeri komited untuk memberikan lebih fokus kepada langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, selaras dengan komitmen kerajaan Pusat demi kepentingan sumber alam semula jadi itu daripada musnah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Teknologi Air negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman ketika memberikan jaminan itu berkata, pihaknya bersedia memikul amanah itu bagi memastikan Terengganu dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik-baiknya.

Usaha itu katanya, merangkumi pelbagai aspek pengurusan dan pembangunan hutan serta alam sekitar termasuk langkah-langkah pencegahan awal bagi mengelak kemusnahan berterusan akibat bencana alam dan sebagainya.

Sehubungan itu, Ahmad Razif berkata, untuk tahun ini, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan berjumlah RM33.1 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bagi mengurus dan pelaksanaan sembilan projek utama pembangunan hutan di negeri ini.

Jelasnya, ini melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan sumber hutan, hutan lipur dan eko-pelancongan, infrastruktur dan utiliti, pemeliharaan sumber, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) publisiti dan pengembangan perhutanan, kualiti biji benih, bekalan tanaman, operasi serta penguatkuasaan.

Menurutnya, jumlah peruntukan itu akan meningkat dari tahun ke tahun bagi membolehkan langkah proaktif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar diberi penekanan agar dapat dimanfaatkan untuk generasi akan datang.

"Sebelum ini, kita tak fokus sangat pasal ini (pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar), sekarang ada portfolio baharu dan saya diberi tanggungjawab untuk pastikan ini dijalankan dengan sebaiknya.

"Kalau tak jaga dari sekarang kosnya makin tinggi, implikasi kewangan akan meningkat dengan langkah-langkah pemuliharaan yang perlu kita buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Ketapang dekat sini hari ini.

Pada program itu, sebahagian daripada 200 peserta yang hadir turut menanam pokok ketapang dan rhu sebagai simbolik kepentingan penjagaan alam sekitar terutama di kawasan pesisiran pantai.

Ahmad Razif berkata, aktiviti penanaman pokok seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di sepanjang pesisiran pantai di negeri ini meliputi Besut, Dungun dan Kemaman bagi mengelak berlaku hakisan pada setiap kali musim tengkujuh.

Menurutnya, penanaman pokok di pesisiran pantai penting sebagai langkah pencegahan, selain membantu negara daripada menanggung kos yang amat tinggi bagi membaik pulih akibat kemusnahan yang berlaku.

"Program ini (tanam pokok) akan diteruskan di semua kawasan pesisir pantai, mencegah adalah lebih baik kerana jika berlaku kemusnahan, untuk baik pulih, kosnya amat tinggi dan ini satu pembaziran kepada ekonomi negara," ujarnya.

Beliau juga menarik perhatian, pada masa ini, daripada keseluruhan tanah di Terengganu, 42 peratus merupakan kawasan hutan simpan kekal melibatkan keluasan 0.544 juta hektar.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat