Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA Wakil Malaysia Book Of Records, Helilia Juana (kiri) menyerahkan replika sijil Malaysia Book Of Records kepada Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Tesco Malaysia, Azlam Shah Alias (dua dari kiri) semasa program Penanaman Pokok Karas Terbesar di Dungun, baru-baru ini. DUNGUN 26 Jun - Pokok karas atau nama saintifiknya, aqularia malaccensis yang tumbuh meliar di hutan negara kita, dikenali khususnya menerusi penghasilan gaharu pada resin atau bahagian dalam batang pokok tersebut. Di peringkat antarabangsa, gaharu mempunyai nilai yang sangat tinggi dengan pelbagai kegunaan seperti bahan wangian dan perubatan sehingga ada yang menggelarkan pokok karas sebagai emas hutan. Menyedari potensi pokok karas dari sudut komersial yang belum begitu diekspolitasikan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil inisiatif tersendiri dengan menubuhkan sebuah Ladang Karas di Hutan Simpan Mercang, Marang sejak lapan tahun lalu. Ladang berkeluasan 47 hektar itu dengan 40,000 pokok karas itu juga dianggap sebagai projek contoh untuk tanaman pokok karas khususnya di Semenanjung. Selain itu, jabatan tersebut turut menubuhkan sebuah Pusat Penyelidikan Karas bertujuan membuat kajian lebih lanjut mengenai potensi tanaman tersebut khususnya di negeri ini. Namun usaha ini seolah-olah terhenti di situ sahaja dan bagi setengah pihak, mereka menganggap tidak lebih sekadar untuk mengekalkan kewujudan pokok karas yang selama ini menjadi buruan 'pemburu haram' di hutan. Menurut Pengarah JPNT, Azmi Nordin, jika diteliti, tanaman pokok karas sememangnya amat berpotensi dan mempunyai prospek untuk berkembang dengan baik di Terengganu. Namun demikian katanya, hala tuju ke arah menjadikannya sebagai suatu industri dilihat sedikit perlahan memandangkan pihaknya tidak dapat menyediakan sumber kewangan yang mencukupi untuk tujuan tersebut. "Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan negeri memang ada bekalkan benih anak pokok karas termasuk kepada penduduk kampung untuk diusahakan namun inisiatif itu kini tidak lagi diteruskan. "Justeru, kita berharap akan mendapat sokongan penuh terutamanya daripada kerajaan negeri bagi memastikan industri ini dapat bertahan untuk tempoh yang lebih lama," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Jelasnya, JPNT bagaimanapun menerima perkhabaran gembira apabila kerajaan negeri bersetuju menambah kira-kira 50 hektar tanah lagi untuk tujuan penanaman pokok karas itu khususnya di Mercang baru-baru ini. "Kini, secara keseluruhannya, terdapat hampir 170 hektar tanah di Terengganu yang digunakan untuk tujuan tersebut termasuk kira-kira hampir 50 hektar yang diusahakan oleh penduduk kampung serta 10 hektar lagi yang terletak di Hutan Simpan Jengai, Dungun," kata beliau lagi. Pada masa yang sama, Azmi juga berbangga dengan kesediaan pasar raya Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) menanam sebanyak 1,500 anak pokok karas di Hutan Simpan Jengai baru-baru ini bagi tujuan pemuliharaan. Beliau berkata, pihaknya memuji usaha pasar raya itu yang mendapat kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu (KPKKT) serta penduduk setempat untuk menanam pokok karas di hutan berkenaan. "Sebenarnya, sebelum ini pun kita pernah usahakan tanaman yang sama di hutan itu disebabkan kesesuaian tanahnya iaitu bekas paya dan terletak di lereng-lereng bukit. "Bagaimanapun, projek tersebut tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," ujar beliau. Dalam pada itu, Azmi berkata, bagi memastikan industri gaharu terus berkembang pesat di Terengganu, pihaknya telah menjalankan satu penyelidikan bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini. "Penyelidikan itu bagi membolehkan kita membangunkan satu inokulasi atau ubat bagi mempercepatkan proses pertumbuhan pokok karas yang sebelum ini mengambil masa dari lima hingga lapan tahun sebelum ia betul-betul matang. "Kita berharap, jika penyelidikan ini berjaya, Terengganu dapat menghasilkan lebih banyak gaharu pada masa depan dalam tempoh yang lebih singkat. "Selain itu, dengan adanya inokulasi ini, kita harap gaharu dapat dihasilkan pada standard dan gred yang sama," katanya. |
1,000 mahasiswa sertai WISE 2013 Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT Mohd. Azlan Yahya (tengah) bersama sebahagian daripada peserta Program Wanita Dalam Keusahawanan Sosial (WISE) selepas majlis penyerahan anak angkat di Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 26 Jun - Seramai 1,000 mahasiswa daripada 20 buah universiti awam dan tiga politeknik akan menyertai Program Wanita Dalam Keusahawanan Sosial (WISE) 2013 anjuran Kementerian Pendidikan berbanding hanya 243 orang daripada 10 buah universiti dan sebuah politeknik tahun lalu. Pengurus Projek, Dr. Mohd. Azlan Yahya berkata, program yang masuk tahun kedua pelaksanaannya itu adalah kerjasama antara pihak Kementerian Pendidikan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Menurutnya, di bawah program tersebut, mahasiswa terbabit akan tinggal selama sebulan dengan keluarga angkat terdiri daripada Sahabat AIM yang berjaya sebagai usahawan mikro. Katanya, impak positif yang dicapai daripada projek yang dahulu dirintis Kementerian Pengajian Tinggi dan AIM selaras dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu meyakinkan pihaknya untuk menempatkan lebih ramai mahasiswa agar mereka dapat memahami dunia keusahawanan sebenar dan bukan sekadar teori dalam dewan kuliah. Jelasnya, pada tahun ini juga, seramai 500 orang Sahabat AIM akan berpeluang menjadi ibu angkat dengan peningkatan lebih sekali ganda daripada hanya 231 orang tahun lalu. "Fenomena kritikal hari ini ialah hanya 30 hingga 40 peratus graduan mendapat kerja selepas enam bulan tamat pengajian dengan sebahagian besar bekerja di bidang tidak setara kelayakan, jadi keusahawanan adalah satu alternatif untuk mengatasinya. "Kami bukan bermaksud mahu semua mahasiswa menjadi peniaga tetapi mahu menanam ciri-ciri keusahawanan dan juga sikap daya tahan atau 'survivor' dalam diri mereka. Ini boleh dipelajari secara langsung daripada Sahabat AIM yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan,'' ujarnya. Menurutnya, jika ibu angkat bekerja sebagai penjual nasi yang bangun awal pagi membuat persiapan, maka dalam program itu anak angkat juga akan turut melakukan perkara serupa. "Dalam masa sama, mahasiswa sebagai golongan berilmu akan membantu ibu angkat dalam aspek pengurusan misalnya cara penyimpanan akaun yang mudah bagi meningkatkan lagi kemahiran perniagaan mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis penyerahan anak angkat daripada kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bilik Mesyuarat Perdana universiti itu di sini hari ini. Yang turut hadir, Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) UMK, Prof. Dr. Dahlan Ibrahim dan Penyelaras Program WISE AIM Kelantan, Nazri Ngah. Menurut Mohd. Azlan, setiap universiti terlibat diberi tempoh sehingga September ini untuk menjayakan program mengikut fleksibiliti jadual pengajian masing-masing dan di hujung program, mahasiswa juga perlu menyiapkan laporan kajian kes keluarga angkat mereka. Jelasnya, program WISE 2013 akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada pertengahan Julai ini. Sementara itu, Dahlan memberitahu, ini adalah penglibatan kali pertama UMK dalam program WISE dengan seramai 107 mahasiswa terpilih menjadi anak angkat kepada 61 orang Sahabat AIM dari seluruh negeri ini. Beliau berkata, penyertaan para mahasiswa yang turut dibimbing 10 fasilitator daripada kalangan pensyarah universiti itu juga akan dikira sebagai memenuhi keperluan kredit dalam Students In Enteprise Program (SIEP) yang dilaksanakan di UMK. |
Ancaman malaria, kepialu di Kelantan Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT Oleh TOREK SULONG Rosle Mamat (kiri) bersama ADUN Selising, Zulkifli Ali (dua dari kiri) menyerahkan bantuan ihsan banjir kepada mangsa banjir di SMK Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh, semalam. PASIR PUTEH 26 Jun - Penduduk di kawasan pedalaman dinasihatkan supaya berwaspada berikutan penularan beberapa wabak penyakit yang boleh membawa maut terutama malaria dan kepialu yang mula dikesan di negeri ini. Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Rosle Mamat berkata, setakat ini sebanyak 137 kes dikesan dengan membabitkan mangsa di tiga jajahan iaitu Jeli, Gua Musang dan beberapa kes terpencil di Pasir Mas. Beliau berkata, wabak penyakit berjangkit itu mula dikesan pihak berkuasa khususnya Jabatan Kesihatan sejak awal Jun lalu dan langkah drastik untuk membendung dan menanganinya daripada terus merebak sudah dilaksanakan. "Bagaimanapun sehingga kini tiada kematian disebabkan penyakit berkenaan. Ini kerana kejayaan pengesanan awal dan rawatan berterusan dilakukan kepada mangsa terbabit. "Kita perlu berwaspada kerana kedua-dua penyakit ini menunjukkan angka peningkatan yang memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi kerajaan berkaitan," katanya. Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ihsan Bantuan Bencana Banjir Fasa 3, di Dewan Seri Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Selising di sini hari ini. Seramai 37 baki mangsa banjir di jajahan ini, Bachok dan Kota Bharu menerima bantuan sebanyak RM500 setiap keluarga. Keseluruhan bantuan yang disampaikan hari ini berjumlah RM18,500 bagi meringan mangsa banjir terbabit. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali. Rosle berkata, penularan penyakit itu dipercayai berpunca daripada bawaan penyakit pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di beberapa kawasan di negeri ini dan gigitan nyamuk adalah vektor atau pembawa penyakit aktif yang boleh menyebabkan jangkitan kepada individu lain. "Penyakit ini boleh menular dengan cepat sekiranya langkah penjagaan kesihatan dan kebersihan tidak diberikan keutamaan oleh semua pihak khususnya penduduk di kawasan pedalaman," katanya. Beliau berkata, orang ramai yang tinggal beberapa jajahan yang masih bebas dengan penularan penyakit itu juga dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah masing-masing. Menurutnya, langkah berwaspada termasuk mengambil tindakan segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya terdapat simptom atau tanda awal penyakit berkenaan adalah perlu dilakukan oleh individu terbabit. "Kita sudah mengadakan mesyuarat khusus berhubung wabak penyakit ini di peringkat negeri termasuk pembabitan pelbagai agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan, KESEDAR, Risda, Air Kelantan SDn. Bhd. (AKSB), pejabat Tanah dan Jajahan, imigresen dan lain-lain untuk tindakan bersepadu menanganinya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |