Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 22 Apr 2013 02:00 AM PDT Latihan amali tanaman makanan yang ditawarkan di iGrow di Kampung Gajah, Perak. DUNIA dijangka akan menghadapi krisis makanan pada tahun 2050 walaupun sesetengah pihak meramalkan bahawa bahana itu akan mula dirasai seawal tahun 2030. Ancaman yang menakutkan itu dianggap faktor yang boleh mengancam keselamatan sesebuah negara selepas perang. Malaysia juga tidak akan terkecuali kerana isu ini adalah krisis sejagat akibat perubahan cuaca dunia, pertambahan penduduk dunia serta keluasan tanah pertanian subur yang semakin berkurangan. Menyedari kepentingan isu tersebut, Pelan Strategik Hala tuju Latihan Agro Makanan Negara (2012-2020) telah disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC). Antara lain, blue print tersebut telah mensasarkan unjuran output tenaga mahir profesional sektor pertanian sepanjang tempoh tersebut seramai 107,000 orang. Daripada jumlah tersebut, hampir 40,000 pelatih disasarkan kepada lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di institusi latihan awam, swasta dan kolej vokasional (Kementerian Pelajaran). Bakinya pula adalah pengajian di peringkat diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Memandangkan jangka masa menuju tahun 2020 adalah amat singkat, peranan institusi latihan kemahiran pertanian swasta seperti Institut Agro Usahawan (iGROW) di Kampung Gajah, Perak adalah sangat penting sebagai pelengkap kepada keperluan latihan pertanian negara. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahir Azmi, kursus yang ditawarkan oleh iGROW adalah menepati kehendak Pelan Strategik Halatuju Latihan Agro Makanan Negara (PSHLAMN). Katanya pengurusan tertinggi iGROW telah membuat kajian mengenainya menerusi pengalaman hampir 10 tahun dalam latihan pertanian di negara ini. Perbandingan juga turut dibuat di peringkat antarabangsa bagi memastikan iGROW dapat melahirkan graduan generasi baru iaitu golongan muda sebagai barisan hadapan dan amalan pertanian moden masa depan. Azri Zahir berkata, sungguhpun baru ditubuhkan tetapi pengalaman dan hasil dapatan kajian pihaknya selama ini telah membolehkan pendekatan latihan diperkenalkan, yang menjamin graduan benar-benar mahir (kompeten) tetapi juga bersedia sebagai pemain utama sektor pertanian mempunyai masa hadapan Pengalaman kami membuktikan bahawa faktor usia pusat latihan atau saiz kampus bukan faktor mutlak keberhasilan graduan. Sebaliknya, sejauh manakah pihak pengurusan mampu menerapkan nilai kemahiran serta pembentukan sikap graduan dalam suasana pertanian sebenar. Kelainan iGROW ialah memberi penekanan kepada suasana sebenar aktiviti pertanian yang lazimnya dijalankan di luar bandar sama ada di kampung atau kawasan pedalaman dengan cabaran-cabaran tersendiri. Ini menjadikan mereka memahami realiti kehidupan sebagai petani dan berazam untuk menjadi petani moden yang berjaya pada masa hadapan," tambah beliau. Bagi memastikan semua graduan dapat merasai manfaat dan potensi pertanian semaksimum mungkin, pakej latihan merangkumi bidang pengkhususan (SKM Tanaman Makanan Tahap 1 dan 2) dan bidang tambahan wajib iaitu asas ruminan, akuakultur, inap ladang serta keusahawanan. Kesemua aktiviti tersebut dijalankan dalam satu kawasan integrasi yang menggabungkan pertanian, penternakan dan pelancongan dalam satu kawasan yang dipanggil Kompleks Warisan Pertanian iGROW. Azri Zahir turut menjelaskan bahawa SKM yang ditawarkan adalah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Modul latihan berasaskan Standard Latihan Kemahiran Kebangsaan (NOSS) yang digubal oleh NATC. Katanya juga, belia kini tiada lagi alasan untuk mengikuti latihan di iGROW kerana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia telah menyediakan pinjaman penuh yang merangkumi yuran latihan, penginapan dan makan-minum selama setahun. Sejak kebelakangan ini, PTPK mula memberikan perhatian serius untuk membiayai latihan pertanian kerana bidang ini adalah antara keperluan utama negara kini dan masa akan datang," tegas Azri Zahir. Kemudi iGROW diterajui oleh tokoh latihan kemahiran pertanian swasta tempatan, Nordin Abdul Malek selaku Pengerusi Eksekutif iGROW yang juga merupakan Ahli Tetap Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC). Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami berhasrat untuk menaik taraf iGROW sebagai universiti kemahiran pertanian swasta bertaraf antarabangsa. Segala perancangan dan gerak kerja sudah diatur ke arah itu untuk menjadikan Malaysia destinasi pendidikan kemahiran tinggi pertanian di peringkat antarabangsa," tambah Azri lagi. Buat masa ini difahamkan beberapa kerajaan negeri sudah menawarkan hasrat supaya kampus utama dibina di negeri mereka dan pilihan terbaik akan dibuat oleh iGROW dalam masa terdekat. Kemudahan Kompleks Warisan Pertanian iGROW l Kemudahan latihan seperti asrama, surau, dewan makan serta dewan perhimpunan turut disediakan untuk keperluan pelatih. l Pusat Inkubator Pemprosesan Makanan Jabatan Pertanian Kg. Gajah yang telah dibenarkan untuk digunapakai oleh pihak iGROW sebagai pusat pengeluaran makanan sejuk beku untuk pendedahan keusahawanan di kalangan pelatih. Sebarang pertanyaan sila hubungi Azri Zahier Azmi di talian 012-4842144 atau Amira Hamran 019-7635592. |
Posted: 22 Apr 2013 02:00 AM PDT Arts merupakan teknologi torehan automatik tanpa penggunaan tenaga buruh. INDUSTRI getah mempunyai sejarah panjang di negara ini dan kedatangannya jauh lebih awal daripada penubuhan Malaysia itu sendiri. Getah atau nama saintifiknya Hevea brasiliensis dibawa oleh penjajah British ke negara ini pada 1877 dari Sri Lanka ke Singapura dan Kuala Kangsar. Berdasarkan buku 75th Anniversary of The Rubber Research Institute of Malaysia (1925-2000) Milestones in Rubber Research, penyelidikan mengenai getah bermula sekitar 1909 apabila Persatuan Penanam-Penanam Getah melantik seorang ahli kimia, Sidney Morgan, untuk menjalankan penyelidikan. Ketika itu, permintaan mengenai getah meningkat ekoran berkembangnya industri kenderaan bermotor yang mana ketika itu, permintaan melebihi bekalan. Pada 1920, enam saintis terlibat dalam penyelidikan tersebut dan Jabatan Pertanian Persekutuan Tanah Melayu juga terlibat aktif sehinggalah Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) berfungsi pada 1925. Hari ini, RRIM digantikan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM). Penggabungan institut tersebut bersama Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Getah Malaysia (MRRDB) dan Lembaga Pasaran dan Pelesenan Getah Malaysia (MRELB) pada 1 Januari 1998 tetap memberi tumpuan kepda penyelidikan mengenai getah. Malah LGM pada hari ini mempunyai peranan lebih besar memartabatkan industri getah menerusi pelbagai inovasi sebagai meneruskan legasi penyelidikan terdahulu. Industri getah sebenarnya bukan baru dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bidang sains dan teknologi di negara ini banyak cenderung kepada getah pada peringkat awal dahulu. Perlu ditekankan bahawa bidang penyelidikanlah yang memainkan peranan penting dalam memajukan industri getah khususnya jika dapat dimanfaatkan oleh kumpulan sasar. Cabaran lain ialah penggunaan benih yang kurang produktiviti serta tahap penggunaan teknologi dan automasi yang rendah yang mana masalah itu dapat dicapai dengan adanya penyelidikan dan pembangunan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap pada Kongres Teknologi dan Ekonomi Getah Antarabangsa anjuran lGM pada tahun lalu mengakui, penyelidikan sangat penting dalam industri getah. Bagaimanapun katanya, pelaburan dalam penyelidikan berisiko kerana hasilnya belum dapat dijangkakan. Beliau memberi contoh, industri farmaseutikal dalam penghasilan ubat, satu produk dikatakan berjaya dihasilkan selepas eksperimen atau percubaan kali ke-693. Oleh itu katanya, percubaan mungkin perlu dibuat beberapa kali menggunakan bahan kimia yang pelbagai sehinggalah satu produk yang diidamkan dapat dicapai. Dalam industri getah katanya, kajian boleh dilakukan dengan mengkaji kesesuaian atau kesuburan tanah atau mencari penyelesaian bagaimana merangsang pertumbuhan getah dan meningkatkan produktiviti. Industri getah bukan bukanlah industri yang kian suram sebaliknya boleh berkembang," ujarnya. Ketua Pengarah LGM, Datuk Salmiah Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memikirkan bagaimana penyelidikan dapat memberi harapan baru kepada industri tersebut. Antara masalah yang kita hadapi ialah kebanyakan atau 95 peratus merupakan pekebun kecil dan daripada jumlah itu, 50 peratus merupakan mereka yang berumur lebih 50 tahun," katanya. Imej industri getah yang dikaitkan dengan 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous memberi kekangan yang tidak kurang hebatnya untuk memberi anjakan kepada industri berkenaan. Beliau memberi contoh, inovasi terbaharu iaitu untuk penorehan, Automated Rubber Tapping System (ARTS) yang dilancarkan dua tahun lepas bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga buruh yang mana kerja-kerja manual telah digantikan dengan operasi secara automatik. Selain ARTS, beberapa inovasi baru yang telah diumumkan sebelum ini, antaranya teknologi Automatic Planting Machine for Rubber Seedlings atau Penanaman Mesin Automatik untuk Benih Getah. Mesin tersebut adalah teknologi yang dibangunkan untuk mengatasi isu pergantungan kepada tenaga buruh dan produktiviti dalam industri huluan getah. Teknologi ini adalah selaras dengan projek NKEA untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan aktiviti penanaman. Manakala, teknologi Latex Collection Vehicle atau Kenderaan Mengangkut Susu Getah adalah inovasi untuk memudahkan kerja-kerja dalam bidang pengumpulan lateks dan untuk menggalakkan pekebun kecil untuk mengumpul hasil dalam bentuk susu getah berbanding getah beku. Inovasi ini dapat meningkatkan pengeluaran susu getah untuk memenuhi keperluan pengilang barangan getah berasaskan getah cair serta mengurangkan kebergantungan kepada import. Pengimportan susu getah kini mencecah 45 peratus daripada keseluruhan jumlah import getah asli ke negara ini. Penggunaan susu getah tempatan adalah tinggi iaitu 86 peratus daripada keseluruhan penggunaan getah asli di negara ini. Malangnya pengeluaran susu getah hanya 80,000 tan pada 2011 dan 300,000 tan telah diimport bagi keperluan aktiviti hiliran. Teknologi RITeS atau Sistem Maklumat dan Kebolehjejakan Getah pula membantu penanam mengenal pasti sumber bahan tanaman dan mesin penanam yang berfungsi sebagai jentera bersepadu untuk menanam benih serta i-Klon atau sistem pengenalpasti dan pengenalan klon getah menggunakan telefon pintar. LGM juga telah melancarkan dua jenis getah termaju yang bernama Ekoprena dan Pureprena. Kedua-dua getah ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan sepenuhnya oleh LGM bagi memperbaiki ciri-ciri getah asli di samping memberi nilai tambah bagi pemprosesan getah mentah. Sekali imbas, penanam getah amat bertuah kerana mereka sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan sehingga skim tanam semula getah juga diperkenalkan. Bagaimanapun menurut Dr. Salmiah, kesungguhan LGM mengubah industri getah menerusi teknologi dan inovasi juga berdepan cabaran. Pengenalan ARTS sebagai contoh menimbulkan persoalan di kalangan penoreh, apakah nasib atau masa depan mereka jika teknologi tanpa buruh itu berkembang. Perkara kedua ialah berapakah harga teknologi itu sendiri yang mampu digunakan oleh kumpulan sasar. Harapan kita ialah apabila memperkenalkan sesuatu teknologi, masalah akan selesai tetapi kadangkala timbul masalah baharu," ujarnya. Mengulas lanjut beliau berkata, bukan mudah menghasilkan suatu teknologi kerana penyelidikan memerlukan dana yang besar dan satu risiko memandangkan tidak ada kejayaan yang boleh dijamin akan dicapai. Penyumbang dana kata beliau, akan bertanya berapakah pulangan akan dapati diperoleh sedangkan pelaburan penyelidikan satu risiko. Jangan hukum penyelidik yang gagal kerana jawapan saya mudah, kita akan gagal lagi (apabila melakukan penyelidikan). Jangan hukum jika gagal tetapi hukumlah jika tidak berbuat apa-apa," katanya. - LAUPA JUNUS |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |