{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Mutakhir

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Mutakhir


Lebih 40 hektar hutan musnah di Dungun akibat pembakaran terbuka

Posted: 19 May 2013 03:30 AM PDT

DUNGUN: Lebih 40 hektar kawasan hutan dan belukar di kawasan Kuala Abang di sini, musnah dalam kebakaran selama 12 jam dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah secara terbuka, sejak 2 petang, semalam.

Pegawai Bomba Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun, Abdullah Ahmad, berkata kebakaran yang bermula di kawasan lapang di Kampung Kuala Abang itu merebak sejauh lapan kilometer sehingga ke Kampung Rhu Batil di sini.

"Kebakaran ini menyebabkan sebahagian kawasan tanah pertanian dan tanah individu serta rizab kerajaan musnah.

"Kita mengalami beberapa kesulitan semasa operasi tetapi kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 2 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Abdullah pihaknya mengambil tempoh lama bagi mengawal kebakaran berikutan faktor cuaca panas dan berangin yang menyukarkan kerja memadam kebakaran.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiga jentera bersama 23 anggota dari Balai Bomba Dungun, Paka dan Marang dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
"Semasa kami tiba, api agak besar dan merebak dengan cepat disebabkan kawasan ini berangin dan terdapat pokok-pokok kering di kawasan sekitar yang memudahkan api merebak.

"Api perlu dipadamkan sepenuhnya bagi mengelak kebakaran ini daripada berulang kerana ia membabitkan tanah jenis pertanian," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering. - BERNAMA

Dua peserta konvoi motosikal ke Desaru terbunuh nahas jalan raya

Posted: 19 May 2013 02:33 AM PDT

KOTA TINGGI: Kegembiraan 40 penunggang motosikal jenis Honda Wave yang mengikuti konvoi dari Klang, Selangor ke Desaru berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Kulaijaya–Kota Tinggi di sini, petang semalam.

Dalam insiden pada kira-kira jam 4.30 petang itu, Muhammad Fadzirul Hakimi Abd Rahim, 21, dan rakannya, Muhammad Adib Jasmani, 23, terbunuh selepas motosikal mereka dipercayai bergesel sesama sendiri dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah van yang menghala ke Kulaijaya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Mohd Nor Rasid berkata berikutan itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang lagi penunggang cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Beliau berkata jenazah mangsa dituntut keluarga masing-masing semalam selepas selesai dibedah siasat.

Mohd Nor turut menasihati penunggang motosikal yang menyertai konvoi supaya mengutamakan aspek keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya demi menjamin keselamatan mereka.

Sementara itu, seorang peserta konvoi Firdaus Aqmal, 23, yang merupakan saudara Muhammad Adib, berkata ketika kejadian, mereka menyertai konvoi anjuran kelab motosikal Honda Wave ke Desaru.

Beliau berkata, mereka bertolak dari Selangor pada hari Jumaat pada kira-kira 10 malam dan sempat singgah di Skudai serta Kulai sebelum nahas itu berlaku.
"Ketika singgah berehat di Skudai, saya dan arwah Adib sempat menunaikan solat Subuh dan arwah ada mengadu dia penat, mengantuk, nak tidur. Malah ketika itu, saya turut tidur bersamanya sebelum meneruskan perjalanan ke Kulai kira-kira jam 7 lebih," katanya.

Firdaus berkata, mereka memulakan perjalanan pada kira-kira 2 petang semalam dan beliau berada dalam kumpulan belakang manakala arwah dalam kumpulan tengah konvoi.

"Saya sampai di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas kemalangan itu berlaku. Ketika itu, saya melihat Adib masih lagi bernafas malah saya sempat menyuruhnya mengucap, bagaimanapun, dia meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat