{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Ratu

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Ratu


Selamat Hari Pekerja: Kredibiliti wanita

Posted: 30 Apr 2013 04:47 PM PDT

Membataskan kebolehan serlah potensi diri adalah diskriminasi

Wanita di Malaysia sememang bertuah. Bukan saja bebas keluar bekerja, sebaliknya kerajaan menggerakkan pelbagai usaha untuk mempertingkatkan penyertaan mereka dalam membuat keputusan supaya mencapai sasaran 30 peratus wanita pada peringkat membuat keputusan di sektor awam dan korporat menerusi landasan khusus.

Usaha seumpama itu amat penting kerana ia seiring dengan hakikat yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 70-an iaitu wanita aset penting dalam perkembangan ekonomi negara.
Diskriminasi satu bentuk penindasan, cuma kita tidak suarakan ia secara besar-besaran. Dan ia tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat yang mengaku hidup bertamadun," Madeline Berma, Pengarah PKW

Sejak pengiktirafan itu wanita di seluruh dunia mulai mendapat perhatian sewajarnya dan antara resolusi diambil ialah menentukan persamaan hak antara wanita dengan lelaki, menghormati hak asasi manusia serta memupuk kemajuan sosial dan meningkatkan cara hidup lebih berkualiti. Ini bermakna, PBB menekankan pentingnya membabitkan wanita dalam pembangunan ekonomi, sosial mahupun politik negara.

Ternyata, langkah kerajaan memperkasakan wanita supaya mereka berupaya memilih cara hidup sendiri sama ada dalam aspek kehidupan berkerjaya dan rumah tangga, adalah faktor penting dalam kejayaan mengagumkan wanita di negara ini.

Sempena Hari Pekerja bertema, 'Pekerja Pemangkin Transformasi Negara' yang disambut hari ini, FAMILI menyorot cabaran dan kesediaan wanita yang bukan saja sekadar sebagai tenaga kerja dan penyumbang ekonomi tetapi juga menjadi pemimpin atau pembuat dasar, khususnya dalam sesuatu organisasi.

Negara berjaya mendidik wanita
Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita (PKW), Prof Madya Dr Madeline Berma, berkata hakikat perlu diketahui umum ialah negara kita berjaya mendidik wanita. Ia dibuktikan menerusi jumlah wanita berpendidikan tinggi mencapai antara 67 hingga 69 peratus berbanding lelaki.

Bagaimanapun, peratus yang tinggi itu berkurangan hingga 40 peratus apabila memasuki sektor pekerjaan, malah kian berkurangan apabila memasuki bahagian lebih tinggi, khususnya dalam bidang membuat keputusan.

"Jelas membuktikan wanita itu bijak tetapi 'halangan' tertentu menyebabkan pada peringkat atasan, jumlahnya semakin kecil, hingga menyebabkan kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk 'melonjak' peratusan itu hingga sekurang-kurangnya mencakupi 30 peratus seperti diperjuangkan. Yang menjadi persoalannya, apakah 'halangan' itu? Kita bukan saja perlu kenal pasti tetapi menghapuskan 'halangan' itu daripada terus membelenggu wanita," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Halangan batas kebolehan

Madeline berkata, halangan itu membataskan kebolehan wanita untuk menyerlahkan potensi diri dimiliki dan ia sebenarnya, salah satu daripada bentuk diskriminasi, yang mungkin ramai orang tidak tahu.

Keupayaan wanita walaupun tidak disangsikan tetapi hakikatnya harus menempuh pelbagai lagi ujian dan rintangan sebelum sampai ke titik penghujungnya dan berada dalam keadaan selesa.

Halangan atau sekatan termasuk jangkaan peranan yang berasaskan gender, malah untuk menjadi pemimpin atau pembuat keputusan inilah dilema masih terus dihadapi.

"Diskriminasi satu bentuk penindasan, cuma kita tidak suarakan ia secara besar-besaran. Dan ia tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat yang mengaku hidup bertamadun. Ia boleh dijelaskan menerusi situasi di mana dalam satu pejabat, hanya kerana si A adalah lelaki, maka dia menjadi pilihan untuk dilantik ke jawatan lebih tinggi sedangkan si B terhalang hanya kerana dia seorang wanita. Sedangkan daripada pelbagai segi, termasuk pendidikan dan bakat kepimpinan, B sememangnya layak," katanya.

Perbezaan gaya kepimpinan

Pada 2007, dua sarjana yang banyak mengkaji mengenai gender dan kepemimpinan , Eagly, A.H dan Carli, L.L dalam buku mereka; Through The Labyrinth: The Truth About How Women Become Leaders, yang diterbitkan oleh Harvard Business School Press menyatakan, metafora labyrinth atau `jalan berselirat' lebih sesuai bagi menggambarkan betapa sukar dan cabaran harus dilalui wanita sebelum dapat membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin wibawa.

Ciri-ciri kepimpinan berbeza antara lelaki dan wanita menyebabkan perlu adanya gandingan, bukannya monopoli. Apa yang nyata, gaya pimpinan wanita amat berbeza dengan lelaki.

Kepemimpinan lelaki dianggap lebih terkawal, berpusat dan memerintah manakala wanita lebih menekankan kepada dialog, bersemuka, pertimbangan emosi dengan memberikan sentuhan kemanusiaan di ruang kerja.

Sayangnya, apabila disebut pemimpin, bayangan lelaki terus muncul. Kayu ukur digunakan bagi menentukan keberkesanan pemimpin adalah berasaskan sifat dan tingkah laku lelaki. Apabila tingkah laku pemimpin wanita seperti lelaki yang sering menggunakan gaya command and control, maka ia dianggap tidak berkesan kerana ini bertentangan dengan peranan berasaskan gender dan jangkaan masyarakat. Sebaliknya, apabila lebih feminin mereka juga dianggap tidak menunjukkan ciri-ciri pemimpin berkesan.

"Istilah 'siling kaca' yang dijadikan metafora bagi menerangkan masalah menghalang kemajuan dan peningkatan wanita daripada mencapai jawatan sebagai pemimpin dan pembuat dasar, sudah tidak relevan bagi menterjemahkan halangan serta rintangan diharungi wanita," katanya.

Lebih bersedia jadi pemimpin masa depan

Tanggungjawab menyeimbangkan antara keluarga dan kerjaya turut menjadi halangan wanita menjadi pemimpin. Justeru, wanita perlu 'membuktikan' diri mampu mengintegrasikan kerjaya dan keluarga.

Dalam bidang tertentu wanita Malaysia berjaya menunjukkan keupayaan menjadi pemimpin dan sebagai pembuat dasar seperti bidang pendidikan, sektor awam, perubatan dan usahawan.

Bidang pendidikan, misalnya menyaksikan sudah ada wanita yang memegang jawatan Naib Canselor, bahkan jumlah wanita bergelar profesor terus meningkat. Begitu juga bidang perubatan semakin ramai doktor pakar wanita dan ada yang diberikan kepercayaan menerajui jabatan penting.

"Kita juga harus berbangga, ramai usahawan wanita, menjadi peneraju utama dalam syarikatnya sendiri. Mereka berjaya menyerlahkan kredibiliti tanpa penggantungan pada orang lain. Realitinya, membuka perniagaan sendiri memberi lebih peluang kepada wanita menjadi pemimpin dan senario ini juga berlaku di Jepun dan Korea Selatan," katanya.

Bagaimanapun, kata Madeline, bukan semua wanita yang mahu untuk berada di atas dan kerajaan tidak pula seharusnya 'terdesak' memenuhi kuota.

"Lelaki dan wanita tiada bezanya. Ada selesa bersederhana, walhal ada yang benar-benar berkelayakan, untuk berada di barisan depan. Kumpulan inilah yang perlu kita berikan sokongan", katanya.

Menyentuh mengenai ramalan terhadap masa depan wanita sebagai pemimpin, Madeline menjangkakan matlamat itu akan terlaksana berikutan peranan aktif dimainkan pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan serta pertubuhan wanita dalam pelbagai bidang.

"Semakin ramai wanita berpendidikan tinggi dan mereka ini bukan saja cukup ilmu tetapi lebih berfikiran terbuka. Justeru, kepemimpinan hari ini perlu menggunakan pendekatan sesuai supaya generasi akan datang bersedia memikul tugasan sebagai pemimpin memajukan diri, keluarga, masyarakat dan organisasi," katanya.

FAKTA : Wanita Dalam Pengurusan Kanan
* Filipina - 47%
* Rusia - 42 %
* Thailand - 38 %
* Poland - 32 %
* MALAYSIA - 31 %

INFO: Wanita dan sektor pekerjaan

* Sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan bukan saja dari segi tenaga, ilmu dan pengalaman, malah penyumbang dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

* Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (AHDR) dalam laporannya mendedahkan, jika kadar penyertaan tenaga wanita meningkat ke angka 70 peratus, negara bakal 'menikmati' peningkatan KDNK antara dua dan empat peratus.

* Sekiranya tidak, Malaysia kehilangan pendapatan RM13 bilion setahun akibat kurang penyertaan wanita dalam sumber tenaga buruh.

* Terdapat beberapa isu masih belum dapat diselesaikan antaranya penyediaan pusat pengasuhan oleh majikan, waktu kerja anjal dan peluang kenaikan pangkat. Semua itu menjadi penghalang kepada wanita menyerlahkan potensi mereka yang sebenar.

* Hanya 47 peratus wanita yang menyertai pasaran kerja. Peratusan itu satu kadar terendah di rantau ASEAN bagi tempoh tiga dekad.

* Kerajaan mensasarkan menjelang 2015, peratusan wanita dalam sektor pekerjaan dijangka meningkat ke 55 peratus.

* Walaupun jumlah wanita yang berjaya lebih ramai daripada lelaki, peluang untuk kenaikan pangkat begitu rendah, malah mereka tidak diberikan hak sepatutnya. Disebabkan kurangnya lelaki di tempat kerja, peluang kenaikan pangkat untuk lelaki lebih mudah.

* Ketika ini, kerajaan menggalakkan pelantikan wanita sehingga 30 peratus daripada jawatan tertinggi korporat dan sekurang-kurangnya seorang wanita dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

* Peruntukan RM10 juta dalam Bajet 2013 bagi melatih 500 peserta Program Pengarah Wanita (WDP) sebagai langkah proaktif memastikan 30 peratus wanita berada di peringkat pembuat keputusan korporat menjelang 2016.

* Kemampuan wanita di negara ini dalam pelbagai bidang ada sudah terbukti antaranya, 30 daripada 62 hakim mahkamah tinggi terdiri daripada wanita.

* Ketika ini, Ketua Setiausaha di tujuh kementerian disandang wanita dan ia antara satu lagi pencapaian tertinggi dicapai.

* Insentif majikan menyediakan elaun dan subsidi Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) untuk pekerja turut menarik perhatian sebagai langkah berkesan menarik minat tenaga kerja wanita kekal dalam sektor pekerjaan.

* Wanita masih membentuk kumpulan majoriti dalam golongan 60 peratus terbawah dengan memperoleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat