Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 07 May 2013 05:30 PM PDT Nadzirah dan Diyana perkenalkan laman web perniagaan fesyen terpakai RUNSING dengan lambakan baju dalam almari kesayangan anda tetapi sayang untuk membuangnya begitu saja. Situasi ini pasti terjadi, kebanyakan wanita yang gemar berfesyen. Apatah lagi, baju yang dibeli baru sekali dua digayakan. Seronok apabila ada ahli yang mendapat produk diingini pada harga rendah," Nadzirah Hashim, Pengasas laman web Friendly Fashion Walaupun hanya bergantung rezeki pada iklan saja, semangat untuk membantu komuniti wanita yang tercari-cari hub menjual pakaian lama dalam konsep prihatin tidak pernah pudar dan semakin membara. Untuk memudahkan lagi ahli, versi pertama aplikasi, Apps Friendly Fashion yang boleh dimuat turun atau dicari menerusi telefon bimbit diperkenalkan bermula pada Februari lalu dan ia akan disusuli dengan versi kedua. Semua cuba dipermudahkan dua beradik ini kerana tidak mahu wujud situasi pembaziran pada ahli. Laman web percuma Pertama seumpamanya di Malaysia, laman web itu bukan saja memfokuskan pakaian wanita, bayi, aksesori dan kasut tetapi turut mengamalkan sistem barter (tukar barang) iaitu pakaian ahli kelab laman berkenaan boleh ditukar sesama sendiri. Jika di laman web yang menawarkan pakaian lama dikhuatiri keselamatannya, tidak ketika membeli belah pakaian lama di Friendly Fashion apabila Nadzirah dan Diyani sebagai pentadbir web, cukup berhati-hati memantau serta menyekat sebarang unsur penipuan. Kata Nadzirah, terdapat beberapa peraturan wajib perlu diikuti ahli yang ingin mendaftar atau menawarkan produk mereka. Antaranya, gambar di muat turun perlu terang, berkualiti dan diambil sendiri secara semula jadi. "Kami amat mementingkan gambar yang terang kerana mudah mengesan jika ada baju rosak dan berlubang. Ahli akan muat turun sendiri gambar produk mahu dijual dan ini akan membantu ahli lain yang mahu membeli, tahu keadaan produk berkenaan. Sebagai pentadbir, bermula proses awal pembelian hingga akhir akan cuba dipantau. "Kami mahu produk dibeli sampai kepada tangan pembeli dalam masa yang tepat. Jadi, di laman ini kami mengadakan kempen beli belah dengan selamat dan berasa tanggungjawab. Ia amat baik diterapkan kepada wanita di luar sana supaya tidak tertipu dengan produk tidak berkualiti," katanya yang turut menggunakan sistem senarai hitam bagi mengelakkan ahli daripada ditipu. Tawar menawar Katanya, amalan seumpama itu menerima banyak komen positif daripada ahli yang begitu terperinci dengan sistem pembelian. Bagi ahli yang mahu menjual pakaian mereka, data seperti jenis produk, harga, saiz dan kedudukan produk. Menerusi laman ini ahli sesama ahli juga boleh melakukan proses tawar menawar dan tidak dibenarkan meletakkan harga sama atau lebih tinggi daripada harga asal. "Seronok apabila ada ahli yang mendapat produk diingini pada harga rendah. Ada juga yang kreatif dan inovatif apabila pakaian lama mereka ditambah dengan aksesori terpakai untuk lebih menarik. Setakat ini seorang ahli sudah memuat turun lebih daripada 300 produk dan ia tidak terhad," katanya yang tidak mahu ada istilah membazir dalam kamus hidup wanita. Sebenarnya, mereka mendapat idea awal untuk membantu komuniti wanita menjual barangan mereka daripada satu laman web di Eropah. "Kami terlalu banyak baju dan masih ada yang tidak terpakai. Lagipun, kami sering bertukar pakaian. Jadi timbul idea ini apabila melihat satu laman web Eropah. Kami menghubungi pentadbir web itu dan tidak sangka dia berminat membantu. Daripada membuang begitu saja, baik jual dan ia menarik serta mesra alam," katanya yang turut bekerjasama dengan selebriti seperti Lisa Surihani dalam kempen jualan yang dijalankan. Ibu sumber inspirasi Kasih ibu hingga ke syurga adalah inspirasi buat dua beradik yang menjadikan ibu kesayangan, Norlin Othman, 54, sebagai pencabar dalam kejayaan yang diwarisi hari ini. Cabaran si ibu untuk melihat kedua mereka berjaya dalam masa enam bulan bukan satu perkara mudah direalisasikan. Nadzirah sebelum ini bekerja di bidang korporat manakala adiknya, Diyana dalam sektor perniagaan. Katanya, ibu mereka pada awalnya tidak bersetuju dengan pilihan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada perniagaan media sosial itu. "Ibu mana yang mahu melihat anaknya susah. Itu kami faham tetapi terus tekad untuk membuktikan kami boleh berjaya sepertinya. Daripada kecil lagi kami sudah terpukau dengan ibu yang berjaya membuka agensi pelancongan. Begitu juga apabila melihat lima beradik ibu yang semuanya wanita cukup mesra dan sentiasa berkasih sayang. Bukan itu saja, mereka memanfaatkan peluang yang ada dengan menjual pelbagai barangan. Jadi, kami mahu menjadi seperti mereka. "Sebagai adik beradik pula, dari kecil kami diasuh ibu yang tidak suka kami membazir. Kami tidak pernah rasa geli memakai pakaian orang lain sebab sudah dibiasakan. Akhirnya, ibu akur dan memberi tempoh amat singkat. Kami bersengkang mata dan masa tidur adalah masa bekerja kami. Bukan mudah untuk mengumpul 16 ribu ahli dan mendapat kepercayaan mereka. Setiap masa kami akan mencari peluang dengan menghantar emel kepada pengiklan dan media untuk semua ini," katanya. Hadiah untuk ibu Kata mereka, keyakinan bertambah apabila setiap hari ibu sudah mula bertanyakan pergerakan laman web itu, berapa ahli terkini, memberi pandangan dan cetusan idea serta sudah memuat turun lima koleksi tudung miliknya untuk dijual. Ia galakan cukup bermakna. Paling menggembirakan lagi apabila kesungguhan dan komitmen mereka turut diintai pengeluar telefon terkemuka, Samsung yang sudi menghadiahkan ibu mereka telefon bimbit dari koleksi Samsung Le Fleur yang sememangnya direka untuk menghargai wanita. "Ini hadiah kami sempena hari ibu secara tidak sengaja. Lagipun, telefon ibu sudah lama dan dia tidak perlu membazir wang untuk membeli yang baru. Bukan saja cantik tetapi sesuai dengan imej lemah lembut ibu," kata kedua beradik ini. Sementara itu, Norlin yang setia menemani kedua anaknya itu, melahirkan syukur dengan pemberian indah daripada Samsung itu dan memberitahu pemberian telefon bimbit sempena hari ibu itu adalah pertama kali kepadanya sejak bergelar ibu. Katanya, memang pada mulanya agak berat hati membenarkan kedua anaknya berhenti kerja, apatah lagi Nadzirah sudah diberi didikan tinggi sehingga di Universiti Queen Mary of London dalam bidang politik manakala Diyana di Universiti of Hertfordshire dalam Asas Seni Rekaan di England. "Tentu saya gembira dan terharu. Ini semua usaha mereka. Sebagai ibu pada mulanya saya takut risiko yang akan ditanggung jika laman web ini tidak berjaya atau mereka setengah jalan mentadbirnya. Tetapi naluri hati saya kuat mengatakan mereka akan berjaya dan membenarkan mereka berhenti kerja. Lagipun saya tahu mereka mewarisi sifat saya dan ayahnya, Hashim Natt yang juga peniaga. "Sebagai anak dan ibu, kami memang sangat rapat tetapi setelah mereka bekerja dari rumah dan saya juga sudah jarang berada di pejabat, kami tidak boleh renggang langsung. Makan, minum, potong sayur dan memasak semuanya sama-sama. Masa saya juga banyak untuk mereka dan pada masa sama saya turut belajar teknologi terkini. Saya melihat laman web ini juga sebagai program khidmat komuniti kepada wanita. Paling indah saya sebagai ibu dapat melihat anak bekerja di depan mata sendiri," kata anak kelahiran Ampang ini. INFO: Laman web, Friendly Fashion: |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |