Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 26 May 2013 06:40 AM PDT Macam-macam usaha sudah dilakukan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara kita termasuk meletakkan gambar yang mengerikan di kotak rokok, namun masih tidak dapat memberi kesan kerana bagi perokok ia hanyalah gambar hiasan. Bukan tidak sedar bahawa gambar yang dipamerkan itu adalah satu hakikat dan mungkin sama keadaannya dengan organ dalam badan mereka, tetapi ia tetap tidak dapat menandingi tarikan tembakau dan asap rokok yang mengandungi beribu-ribu bahan kimia berbahaya itu. Memang, ketagihan merokok ini amat sukar untuk ditangani. Hakikat ini diakui sendiri perokok, bekas penagih dan pakar perubatan yang menyifatkan usaha menangani ketagihan merokok lebih sukar daripada berhenti menagih dadah. Justeru tidak hairanlah jika peratusan orang yang sudah berhenti tetapi kembali merokok itu amat tinggi. Sebenarnya dalam kalangan perokok, ramai yang menyimpan hasrat untuk berhenti. Atas sebab itu, bermacam usaha dilakukan termasuk mengunyah gula-gula getah, menggunakan kaedah terapi penggantian nikotin serta rokok elektrik (bagi mengatasi ketagihan tabiat).
Setiap hari anda berhadapan dengan cabaran besar yang boleh merangsang keinginan merokok dan keadaan ini dipanggil perangsang atau pencetus. Anda mungkin terdorong untuk merokok jika: Cuba kenali perkara yang boleh merangsang anda kembali kepada rokok. Cuba lakukan beberapa langkah di bawah untuk membantu anda berada di landasan yang betul iaitu hidup tanpa rokok. Selain itu, ada banyak sebab anda perlu berhenti merokok. Bulan Rejab ini masa terbaik untuk melatih diri berpuasa sunat dan pada masa sama mengurangkan kekerapan merokok. Semoga pada Ramadan nanti anda benar-benar dapat meninggalkan tabiat merokok dan bukannya berbuka dengan sebatang rokok. Manfaat daripada berhenti merokok ini tidak terhad kepada diri anda seorang, bahkan kesan positifnya turut dirasai seisi keluarga secara tidak langsung. Di bawah disenaraikan beberapa fakta yang diharap dapat mengukuhkan semangat untuk anda berhenti merokok. Alzheimer - Merokok menyebabkan fungsi otak merosot lima kali lebih cepat terutama bagi perokok berumur. Berdasarkan kajian ke atas 9,200 perokok lelaki dan wanita berumur 65 tahun ke atas yang disiarkan dalam jurnal Neurologi, didapati fungsi otak perokok merosot lebih cepat walaupun mereka tidak mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah dementia (nyanyuk). Bagaimana ini boleh berlaku? Merokok memberi kesan kerosakan berpanjangan terhadap salur darah, menyebabkan darah boleh membeku yang meningkatkan risiko serangan strok dan kemerosotan daya ingatan. COPD dan kanser paru-paru - Satu-satunya punca kepada dua penyakit kronik ini ialah rokok. Risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan berhenti merokok seawal mungkin. Perokok tegar yang merokok sejak muda akan mengalami kerosakan paru-paru yang lebih teruk dan sedihnya kerosakan ini tidak boleh dipulihkan. Ada banyak kes pesakit terpaksa bergantung kepada bekalan gas oksigen untuk bernafas yang perlu dibayar dengan harga mahal sedangkan kita sememangnya dikelilingi oksigen percuma! Kanser mulut - Banyak kajian menunjukkan antara punca utama kanser mulut ialah merokok selain tabiat makan sirih. Risiko kanser mulut akan hilang jika anda berhenti merokok dan semua masalah lain seperti ulser juga akan sembuh. Lupus - Sistemik Lupus Eritematosus atau lupus adalah penyakit auto imun di mana sistem imun tersilap tafsir dan menganggap badan sendiri sebagai bahan asing yang perlu dihapuskan. Ini adalah penyakit auto imun yang kronik dan boleh mengakibatkan keradangan, kesakitan dan kerosakan tisu badan. Penyelidik Universiti Harvard mendapati perokok mempunyai risiko yang agak tinggi untuk mendapat lupus. Ini bukanlah penemuan yang menghairankan kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun yang boleh menukar mana-mana fungsi badan termasuk sistem imun. Bagaimanapun risiko ini boleh dihilangkan dengan berhenti merokok. Sindrom bayi mati mengejut (SIDS) - Kajian yang dijalankan penyelidik Eropah ke atas 2,400 bayi mendapati daripada 745 kes SIDS, kurang daripada separuh (50 peratus) kematian disebabkan bayi tidur meniarap atau mengiring. Hampir 16 peratus kematian dikaitkan tidur bersama ibu terutama yang merokok dan risikonya dikatakan 17 kali ganda lebih tinggi. Risiko mati pucuk - Pasti ada perokok yang mendakwa walaupun kuat merokok, mereka tetap ramai anak. Itu bagi perokok yang bertuah dan anda perlu bersyukur dikurniakan cahaya mata. Kurniaan itu seharusnya dipelihara sebaiknya dengan tidak mendedahkan anak-anak anda kepada racun asap rokok. Prestasi di bilik tidur memang penting bagi lelaki dan untuk mengekalkannya, anda perlu berhenti merokok. Soal selidik ke atas hampir 5,000 lelaki di China mendapati mereka yang merokok lebih sekotak sehari mempunyai kecenderungan sebanyak 60 peratus mengalami masalah mati pucuk berbanding bukan perokok. Mati pucuk bukan sekadar masalah di bilik tidur saja. Ia sebenarnya menjadi petanda paling penting kepada pelbagai masalah kesihatan lain dan merokok akan menyebabkan tahap kesihatan anda bertambah buruk. Hilang penglihatan - terutama perokok berumur. Perokok mempunyai risiko empat kali lebih tinggi untuk menjadi buta disebabkan kemerosotan makular akibat penuaan. Lebih 25 peratus kes kemerosotan makular yang boleh membawa kepada kebutaan berkaitan dengan tabiat merokok. Berhenti merokok boleh merendahkan risiko ini dan memanjangkan hayat penglihatan anda. Artritis reumatoid - Individu yang mempunyai genetik lemah akan lebih mudah mendapat artritis reumatoid jika mereka merokok. Kajian penyelidik Sweden mendapati risikonya ialah 16 kali lebih tinggi berbanding individu tidak merokok. Berdengkur - Masalah yang memalukan ini biasanya lebih buruk dalam kalangan perokok. Bahkan pasangan anda yang tidak merokok juga akan mendapat kesannya. Lebih 24 peratus perokok tidur berdengkur berbanding 20 peratus kumpulan yang sudah berhenti merokok dan hanya 14 peratus bagi golongan tidak pernah merokok. Perokok sekunder (orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok) juga mendapat tempiasnya. Kajian mendapati 20 peratus individu yang menghidu asap rokok di rumah berdengkur. Kanser payudara - Wanita yang mula merokok sebelum berumur 20 tahun atau sekurang-kurangnya lima tahun sebelum mereka hamil dan merokok bagi tempoh yang lama mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara. Kadar kelaziman kanser payudara dalam kalangan perokok dan perokok sekunder ialah 30 peratus dan ini adalah jumlah yang membimbangkan kerana jumlah perokok wanita kian bertambah setiap tahun. Kanser payudara pula antara penyakit yang belum ada cara untuk mencegahnya. Memang kebanyakan pesakit kanser payudara di negara kita tidak merokok, tetapi pernahkah anda terfikir mungkin asap daripada rokok anda yang menjadi antara faktor pembantu kepada penyakit mereka? Jadi sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini marilah kita sama-sama bekerja sama menjaga kesihatan diri sendiri dan semua orang di sekeliling kita dengan menyediakan persekitaran bebas asap rokok. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26 |
Posted: 26 May 2013 06:11 AM PDT Nama Mamun disebut dan disanjung sebagai hero kerana keberaniannya menyelamatkan mangsa runtuhan bangunan kilang Plaza Rana di Bangladesh, tetapi di sebalik jasa besarnya itu, dia dihantui kenangan ketika menarik tangan wanita muda yang tersepit di celah batu dalam kejadian berkenaan. "Sebelum ini saya tidak pernah menyentuh tangan perempuan tetapi hanya itulah satu-satunya cara untuk menyelamatkan dia dan mangsa lain. "Selepas menyelamatkan mangsa, tangan saya berlumuran darah dan saya masih tidak boleh lupakan pengalaman itu. Keadaan itu masih tergambar di fikiran saya," kata lelaki muda berusia 22 tahun itu dalam satu wawancara sebulan selepas kejadian malang itu. Sebanyak 1,127 nyawa terkorban apabila bangunan setinggi sembilan tingkat runtuh pada pagi 24 April di Savar, yang terletak di pinggir bandar Dhaka, menjadikan ia antara tragedi industri yang paling teruk di Bangladesh. MAMUN masih tidak dapat lupakan kenangan ketika menyelamatkan mangsa runtuhan kilang. KEADAAN runtuhan kilang yang mengorbankan 1,127 nyawa.
Mamun, tukang jahit sambilan, sanggup mempertaruhkan keselamatannya merangkak masuk ke dalam lubang di celah runtuhan untuk mencapai tangan tiga mangsa wanita pada hari kedua misi menyelamat, tetapi mendapati tangan seorang daripada mereka tersepit di bawah bongkah konkrit dan keadaan itu menyebabkan orang lain tidak dapat keluar. "Dia merayu pada saya: 'Tolong potong tangan saya'. Ketika itu ubat bius tidak ada, jadi saya terpaksa pinjam gergaji besi daripada anggota penyelamat," kata Mamun menceritakan semula kejadian berkenaan yang masih berbekas dalam hatinya. Pasukan penyelamat berkata sekurang-kurangnya 2,438 orang - kebanyakannya pekerja kilang wanita - diselamatkan termasuk 968 yang mengalami kecederaan teruk. Sebahagian besar terpaksa dipotong anggota badan sama ada tangan atau kaki sama ada di tempat kejadian atau hospital. Tragedi besar ini membuatkan pelajar dari kolej perubatan yang bersebelahan Hospital Enam dipanggil bagi memberikan bantuan untuk melakukan pemotongan anggota mangsa. Adakalanya pembedahan terpaksa dilakukan tanpa ubat bius dan raungan kesakitan yang memilukan bergema di seluruh hospital. Pihak hospital berkata, mereka sudah merawat kira-kira 60 sukarelawan penyelamat yang mengalami trauma, termasuk beberapa pelajar perubatan sendiri. Doktor pelatih, Sushmita Nargis berkata, dia sudah mengambil ubat antikeresahan untuk menangani masalah trauma yang dihadapinya. "Ada satu ketika saya rasa seolah-olah satu-satunya bunyi yang saya dengar ialah siren ambulans. Ia berlegar-legar dalam kepala saya, tidak berhenti. "Kemudian pada ketika lain, saya terdengar pula suara tangisan mangsa dan saudara-mara mereka yang menyedihkan. Apa perasaan awak kalau setiap hari melihat beratus pesakit terbaring di sekeliling kita menangis dan mengerang kesakitan?" jelasnya. Kumpulan sukarelawan turut membabitkan pelajar, penjaja dan suri rumah selain pekerja kilang pakaian itu sendiri yang mula-mula sampai ke tempat kejadian. Kadangkala hanya dengan berbekalkan tukul dan penyodok tanah, mereka terus berusaha cuba mencari mangsa yang boleh dilihat atau berdasarkan tangisan mahupun suara meminta tolong yang didengar. Ada juga yang mengeluarkan simpanan untuk didermakan ke tabung khas bagi membeli peralatan menggerudi. Dalam keadaan yang serba kekurangan begini, malangnya kerajaan Bangladesh menolak bantuan pakar daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan negara lain, menyebabkan pasukan tentera terpaksa bertindak sebagai penyelaras untuk semua kerja menyelamat. Hari demi hari berlalu, jumlah mangsa yang berjaya diselamatkan semakin berkurang. Keadaan inilah - menemui mayat yang tidak dapat dikenali serta bau daripada mayat yang semakin mereput - menjadi kenangan ngeri sehingga membuatkan ada sesetengah sukarelawan mengalami trauma. Walaupun sukarelawan berjaya mengesan kedudukan mangsa yang masih hidup, adakalanya mereka tidak dapat diselamatkan kerana terperangkap di bawah runtuhan besar. Asma Akter Liza, menderma wang untuk membeli peralatan menggerudi dengan menjual buku dan pakaiannya, menahan air mata apabila mengenangkan kematian seorang perempuan muda. "Saya menemui seorang remaja perempuan, namanya Bakul dan dia menghulurkan tangannya dari celah lubang di bawah runtuhan. Berjam-jam saya pegang tangannya dan kami berbual mengenai macam-macam perkara. "Dia panggil saya kakak, tapi akhirnya kami tidak dapat selamatkan dia. Dia terperangkap dalam lubang yang kecil dan amat sukar untuk diselamatkan. Sampai hari ini pandangannya, suaranya meminta tolong menghantui fikiran saya sepanjang masa. Kadangkala saya tidak dapat menahan air mata," kata Asma. Trauma seperti inilah yang menyebabkan ramai sukarelawan mendapatkan kaunseling atau ubat kerana tidak mahu terus dihambat kenangan menyedihkan itu. "Setiap kali saya hendak tidur, saya rasa seolah-olah berada di tempat gelap, terkurung dan tidak boleh keluar," kata Mamun. "Pernah terlintas dalam fikiran saya hendak pergi ke hospital mental, tapi saya tidak cukup duit," kata Mohammed Badal, yang menyelamatkan 18 rakan sekerjanya, juga mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam. "Setiap kali saya cuba untuk tidur, saya terdengar suara mereka memanggil-manggil saya: 'Abang, tolong selamatkan saya, tolong selamatkan saya'. "Kadangkala pada waktu siang pun saya terdengar tangisan mereka," kata lelaki berusia 25 tahun itu - AFP Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/26 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |