Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Advertorial: Letty Ortiz Dihidupkan Semula Posted: 20 May 2013 10:59 PM PDT Baik pengarah mahupun pihak Universal Studios tidak sekali menjangka reaksi peminat bila didedahkan Letty Ortiz, lakonan Michelle Rodriguez, sebenarnya masih hidup di pengakhiran filem 'Fast Five'. Babak seminit yang melihat perbualan di antara agen Khidmat Keselamatan Diplomatik US, Luke Hobbs (Dwayne Johnson) dan agen kastam Monica Fuentes (Eva Mendes) sudah mencukupi untuk mencetuskan perbincangan hangat di kalangan peminat tegar selain membuatkan mereka ternanti sambungannya. Bagaimanapun, rata-ratanya pasti terkejut apabila Letty mati dibunuh Fenix Calderon. Ramai peminat cukup teruja bila diumumkan Rodriguez akan kembali menyertai barisan pelakon 'Fast Five'. Apatah lagi kepulangannya adalah atas usaha peminat tegar yang telah melancarkan kempen untuk membawanya kembali ke francais tersebut dengan menulis surat rayuan kepada penerbit dan Universal Studios. Rodriguez sendiri hanya mengetahui tentang klip tersebut bila di tontonnya 'Fast Five' di pawagam. Katanya dia telah menonton filem itu ketika dia bercuti di Paris, Perancis.
Reaksi peminat terhadap berita yang Letty masih hidup mampu menyaingi respon yang diberikan kepada penampilan khas Diesel di dalam 'Tokyo Drift'. Ekoran daripada 'cameo' Diesel itu, ia sekaligus menandakan permulaan baru kepada siri tersebut. Pertemuan pengarah Justin Lin dengan Diesel untuk memujuknya membuat kemunculan semula di dalam 'Tokyo Drift' bertukar menjadi sesi perbincangan mengenai setiap watak, sejarah mereka dan jalan cerita yang barangkali boleh diterokai. "Banyak yang kami bincangkan dan ia sesuatu yang saya hargai. 'Fast & Furious 6' adalah rangkuman kepada semua perbincangan kami," kata Lin. Tambah Diesel, "Paling menyeronokkan, kami bukan saja dapat menghasilkan sebuah filem aksi tetapi juga menggabungkan penceritaan yang menarik. Bila dikaji semula, semuanya berhubung kait. Selepas menonton 'Fast & Furious 6', anda akan mahu menonton semula filem-filem sebelumnya. Sebab dari situ, setiap persoalan yang pernah terlintas di fikiran sebelum ini akan terjawab dan pada masa yang sama, kami juga menjanjikan sesuatu di masa depan... 'that's cool filmmaking'." Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21 |
Posted: 20 May 2013 04:39 AM PDT Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Begitu juga dengan bakat seni dimiliki pelakon lelaki popular, Aaron Aziz yang kini turut diwarisi oleh anak-anaknya. Bagaimanapun, anak keduanya, Dwi Ariana dilihat lebih banyak mewarisi bakat Aaron apabila dalam usia seawal enam tahun kanak-kanak itu berjaya membuktikan minatnya untuk bergelar pelakon dalam filem Romeo Kota yang diarahkan Aaron sendiri. Manakala, dua lagi anak Aaron iaitu Danish Anaqi, 8, dan Dahlia Arissa, 2 turut berbakat dalam bidang seni. Berbicara mengenai pembabitan anaknya dalam lakonan, Aaron berkata, ia berlaku secara kebetulan dan dia sendiri tiada niat melatih puteri kesayangannnya itu menjadi anak seni. Aaron bersama isteri Diyana Halik dan anak-anak mereka (dari kiri) Dahlia Arissa, Danish Anaqi dan Dwi Ariana.
"Dia yang sebenarnya kali pertama berlakon menjadi penyelamat saya apabila di saat akhir sanggup menggantikan tempat pelakon kanak-kanak yang tak dapat hadir itu," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaru lakonannya, Lari, baru-baru ini. Aaron berkata, sebagai bapa dia memang sudah nampak kecenderungan minat anak perempuannya itu. "Saya tengok, memang dia sudah ada keinginan untuk menjadi pelakon. Dengan bakat tersendiri itu, dia mampu menghafal skrip dan menghayati watak. "Walaupun penguasaan bahasa Malaysia dia tidaklah begitu baik, namun Dwi Ariana seorang yang rajin berusaha. Dia akan cuba sebaik mungkin dengan sedaya-upayanya. "Melihatkan minat, usaha dan kesungguhannya itu membuatkan saya tidak menghalangnya. Namun, ia tidak bermakna saya menyokong sepenuhnya," katanya. Ujar pelakon berusia 37 tahun itu lagi, dia juga sebenarnya tidak menggalakkan anak-anak mengikut jejak langkahnya menceburi bidang lakonan. Namun, katanya jika itu sudah menjadi pilihan mereka, dia dan isteri, Diyana Halik tetap memberikan dorongan sebagai pemangkin semangat. "Apapun, saya dan isteri akan sentiasa memantau pembelajaran mereka supaya tiada yang tercicir. Sebagai ibu bapa, sudah pasti kami berdua mengimpikan kerjaya lebih baik untuk anak-anak untuk masa depan mereka. "Saya sendiri mahu mereka cemerlang dalam pelajaran seterusnya mempunyai kerjaya hebat yang menjamin masa depan," katanya. Mengakui anak-anaknya mendapat pendedahan lakonan kerana mereka sering di bawa ke lokasi penggambaran, Aaron berkata dia mahu mengajar buah hati tercintanya itu erti berdikari. "Biarpun saya mampu memberikan mereka apa yang diinginkan, tetapi tidak semuanya diperoleh. Jadi, mereka harus belajar berdikari mencari duit sendiri untuk memiliki apa yang mereka mahu. "Itulah yang dilakukan Dwi Ariana yang pernah meminta saya membeli satu beg berjenama untuknya, tetapi saya tidak belikan kerana harganya agak mahal. "Jadi, memandangkan dia sudah berlakon dan mempunyai pendapatan sendiri, maka dia akhirnya berjaya memiliki beg itu dengan meminta saya membelinya menggunakan duit lakonannya," katanya. Selain filem Romeo Kota, baru-baru ini juga Dwi Ariana ditawarkan berlakon oleh Disney dalam siri animasi Princess Fiona dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Aaron puas hati berlakon dalam Lari Filem Lari bukanlah hasil layar perak pertama lakonan Aaron dalam genre aksi. Sebelum ini, dia pernah membuktikan bakat aksinya dalam beberapa filem lain yang dibintangi. Apapun, tatkala berbicara mengenai Lari yang diarahkan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, aktor kelahiran Singapura ini memaklumkan dia cukup berpuas hati dengan lakonannya dalam filem aksi bertaraf antarabangsa itu. "Saya sudah memberikan yang terbaik untuk filem ini. Apatah lagi, sebahagian besar babak aksi dilakukan saya sendiri. "Berlakon dalam filem Lari adalah pengalaman sangat bermakna. Ternyata bukan mudah untuk menjadi pelakon yang baik tetapi Ahmad Idham sudah memberikan saya peluang untuk membuktikannya. "Biarpun sebelum memulakan penggambaran, ada bengkel keselamatan dilakukan dengan pelakon-pelakon lagak ngeri terbabit, tetapi Lari ini lain kerana saya bekerjasama dengan pelakon lagak ngeri filem aksi hebat Thailand, Ong-Bak. "Mereka nyata sangat profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan. Bahkan, apa yang pasti semua aksi lagak ngeri dilakukan itu mengutamakan keselamatan," katanya. Aaron berkata, kini dia mengharapkan Lari akan mendapat sambutan baik penonton di pawagam apabila ditayangkan pada 6 Jun nanti. Ujarnya, Lari adalah filem aksi yang sangat berbeza. Apatah lagi, jalan ceritanya juga lebih serius dan mencabar kerana menjurus pada sindiket pemerdagangan manusia. Ia kisah masyarakat yang padat dengan mesej tersendiri. Filem Lari mengisahkan Khaliff lakonan Aaron yang berhadapan dengan satu konflik apabila adiknya dilarikan oleh sindiket pemerdagangan manusia. Bapanya mati dibunuh dan Khaliff perlu berusaha menyelamatkan adiknya serta merungkai kisah yang berlaku di sebalik pembunuhan bapanya. Mampukah Khaliff menyelamatkan adiknya daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia itu? Selain Aaron, Lari dibarisi pelakon seperti Dira Abu Zahar, Ery Putra, Hazama Azmi dan Erin Malek. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/20 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |