{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Jangan contohi saya - Tiz

Posted:

Jangan contohi saya - Tiz

Jangan contohi saya - Tiz

SESI fotografi yang berlangsung petang Selasa lalu di kediaman Cosry di Bangsar, Kuala Lumpur, tidak begitu mengizinkan jurugambar Abdul Nazir Mohamed untuk membidik wajah jelita aktres Tiz Zaqyah dengan berpaksikan sinaran cahaya matahari.

Cuaca yang tidak menentu beberapa hari yang kerap diselangi hujan memaksa sesi fotografi selebihnya dilakukan di dalam kediaman Cosry. Begitupun, Tiz yang terkenal dengan sikap profesional itu tidak kisah saat dirinya diminta untuk bergambar seketika di luar biarpun hujan sudah sedikit membasahi bumi.

Usai sahaja sesi fotografi dilakukan, Tiz yang sangat menggemari kucing sempat mencapai dan membelai seekor kucing parsi milik Pengarah Kreatif Cosry Wise (M) Sdn. Bhd., Putra Aziz, sambil duduk santai ditemubual oleh pihak Kosmo!.

Seperti sudah dapat meneka persoalan yang bakal diajukan kepadanya, aktres yang sedang hangat menerusi drama bersiri, Cinta Jangan Pergi, setiap hari Sabtu dan Ahad jam 8.30 malam di TV9 itu, tenang tatkala diajukan mengenai perihal dirinya yang gemar bersosial bersama kekasih dan teman-teman di kelab malam.

Tidak mahu hipokrit kepada diri sendiri dan juga kepada peminat-peminatnya, Tiz menyeru agar tidak ada yang mengikuti perbuatan negatifnya yang gemar bersosial. Sebaliknya, ujar Tiz, ambil sahaja perkara positif daripada dirinya.

Ujar aktres berbakat itu, dia bukan idola, tetapi hanya seorang pelakon yang sekali-sekala ingin menjalani kehidupan biasa iaitu berhibur bersama kekasih dan teman-teman.

Ayat itu terpaksa juga diluah daripada bibir Tiz selepas dia mendapat banyak reaksi kurang senang daripada pengikut laman sosial Instagram miliknya yang melihat gambar-gambarnya bersosial di kelab bersama kekasih dan teman-temannya termasuk beberapa teman artis seperti pelakon Faradhiya dan Ramona Zam Zam.

Luah Tiz lagi, jika ada peminat yang tidak boleh terima hakikat dirinya begitu (suka bersosial), tandanya mereka itu bukan peminat sebenarnya.

"Mereka tidak boleh kawal saya. Saya bukan idola yang perlu mereka contohi. Saya cuma pelakon. Peminat boleh tolak sikap negatif saya dan ambil sahaja sikap positif saya," ungkapnya tenang.

Pintanya, jangan menjatuhkan hukuman kepadanya dengan mengatakan dia liar atau jahat apabila gambar-gambar dirinya bersosial di kelab malam dimuat naik di Instagram, kerana dia tahu setiap perbuatannya juga ada batasan.

Tiz juga tidak mahu bersikap hipokrit menafikan dirinya gemar bersosial kerana dia tahu perbuatannya itu tidak boleh disorok dan sebab itu dia secara terang memuat naik gambar-gambar dia di kelab.

"Gambar itu (gambar di kelab) hanya menunjukkan 10 peratus kehidupan saya. 90 peratus lagi peminat tidak tahu mengenai saya. Saya percaya, peminat hari ini banyak yang berfikiran terbuka. Mereka mengenali saya sebagai pelakon dan menyukai bakat saya. Mereka bijak membuat penilaian. Saya tidak mahu bersikap hipokrit jadi terimalah saya seadanya," ulasnya lagi.

TIZ ZAQYAH tidak menafikan dia ada mengunjungi kelab malam, namun masih menjaga batasan.


Daniel cinta kedua Tiz

Cukup sudah penjelasan Tiz, jadi usah diungkit lagi perihal dirinya yang gemar bersosial itu. Mengalih pula perbualan kepada perihal cintanya, Tiz mengakui cintanya dengan kekasihnya, Daniel Haziq kini semakin mekar.

Hubungan cinta Tiz dan Daniel yang sudah terjalin selama setahun bagaimanapun belum lagi sampai ke peringkat untuk mendirikan rumah tangga.

Dedah Tiz, buat masa ini mereka belum lagi berbincang untuk berkahwin dan menyerahkan semuanya kepada jodoh.

"Kami masing-masing sibuk bekerja. Jadi belum ada sasaran bila akan berkahwin," ujarnya yang nekad untuk terus berlakon biarpun sudah mendirikan rumah tangga.

Luahnya gembira, niatnya untuk terus berlakon, bagaimanapun tidak pernah dihalang Daniel. Disebabkan itu, dia sangat menyayangi kekasihnya itu kerana sering memahami dirinya dan mereka turut mempunyai minat yang sama.

Kongsi Tiz, baru-baru ini buat pertama kali, dia berpeluang bermain paintball bersama kekasih dan teman-temannya. Biarpun berasa sakit akibat peluru warna yang menghujani badannya, ujar Tiz, dia gembira dan menyimpan hasrat untuk mendaki gunung pula bersama Daniel.

Bukan kerana Daniel atau sesiapa, jelas Tiz, dia memang minat kepada aktiviti lasak.

Sengaja bertanya makna pengertian cinta kepadanya memandangkan dia sedang terbabit dengan drama berunsur percintaan yang sedang dilakonkan bersama Remy Ishak, Cinta Jangan Pergi, Tiz menganggap cinta itu bukan sahaja kepada kekasih, tetapi juga kepada keluarga, agama dan diri sendiri.

Ditebak berapa kali dia gagal dalam bercinta, dedah Tiz, dia pernah sekali gagal dalam percintaan yang mana semua orang tahu mengenainya (putus cinta dengan Remy Ishak).

Ditebak adakah hubungan tegangnya bersama Remy selepas mereka putus sudah pulih selepas mereka berlakon bersama dalam drama tersebut, dedah Tiz, walaupun nampak baik ketika berlakon bersama, di sebalik tabir ketika penggambaran drama tersebut orang ramai tidak tahu situasi sebenar.

Enggan mengulas lanjut, ujar Tiz, hubungannya dengan Remy sudah berlalu dan dengan rendah hati dia meminta agar tidak terus dikaitkan dengan aktor itu lagi.

"Saya dan dia sudah tiada apa-apa malah, kami juga tidak mengikut antara satu sama lain di laman sosial Twitter, Facebook dan juga Instagram," ujarnya lagi.

Tiz juga mengakui, Daniel merupakan cinta keduanya selepas Remy dan berharap ia merupakan cinta terakhirnya bersama lelaki itu.

Zalif akui berbaik dengan Fida

Posted:

Zalif akui berbaik dengan Fida

Zalif akui berbaik dengan Fida


ZALIF mengaku menyukai Fida dan hubungan mereka kini kembali terjalin akrab selepas renggang beberapa bulan lalu.


KISAH hubungan pelakon Zalif Sidek dan Fida Ibrahim lenyap seketika apabila muncul dakwaan campur tangan orang ketiga dalam hubungan mereka beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, pada hujung minggu lalu menerusi ruangan pojok sebuah akhbar tempatan menyiarkan perkembangan terbaharu dua pelakon muda itu yang khabarnya telah kembali berbaik.

Zalif yang ditemui ketika tayangan perdana filem Bikers Kental di Cathay Cineleisure, e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini mengesahkan khabar berkenaan.

Katanya, dia dan Fida kini kembali menjalinkan hubungan seperti sebelum ini dalam erti kata lain hubungan 'sekadar berkawan' kembali terjalin.

"Saya terkejut sebenarnya dengan kenyataan itu kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hubungan kami.

"Ya, saya akui saya berkawan baik dengan dia dan sebelum ini pun kami berenggang seketika kerana sibuk dengan kerja.

"Selain itu, kisah hubungan kononnya ada orang ketiga dalam hubungan kami menyebabkan kami mengambil masa sekejap untuk berjauhan. Sampai sekarang saya tidak tahu siapakah individu itu," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Zalif, mereka masih berkomunikasi seperti sebelum ini tapi hanya melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Zalif didakwa berjumpa semula dengan Fida serta mengenakan pakaian warna sedondon ketika menghadiri sebuah majlis doa selamat sekitar bulan Mac lalu dan semenjak itu hubungan mereka kembali bertaut.

"Saya diundang untuk menghadiri majlis doa selamat kawan saya dan tidak merancang untuk memakai baju Melayu berwarna hijau yang secara tidak langsung sama dengan Fida ketika itu. Ia hanya kebetulan," tambah Zalif yang kini sibuk dengan pembikinan filem Jangan Pandang Belakang Boleh arahan Ismail Bob Has him.

Ungkap Zalif, sebelum majlis doa selamat itu, dia telah berjumpa dengan Fida di sebuah acara anjuran Finas di Kelantan untuk berbincang masalah hubungan mereka.

"Kami bersemuka dan berbincang masalah sebenar yang terjadi antara kami. Selagi perkara boleh diselesaikan saya akan cuba selesaikan dan elak daripada berkongsi dengan orang luar.

"Saya seorang yang jujur dan kalau saya menyukai seseorang saya akan cakap suka. Memang dari awal lagi saya suka Fida.

"Saya suka akan penampilannya, cara bekerja dan kehidupan peribadinya. Sekarang kalau boleh sekadar mahu berkawan rapat dan kenal satu sama lain," katanya yang belum sempat berjumpa Fida dalam tempoh terdekat.

Ditanya adakah peraturan kontrak dalam Metrowealth menyebabkan dia mengambil tindakan untuk tidak mengiakan hubungan cinta dengan Fida, kata Zalif urusan kerja dan peribadi adalah perkara berbeza.

"Ketika menandatangani kontrak dengan Metrowealth, saya dinasihatkan untuk berterus-terang sekiranya meminati seseorang kerana bimbang kontroversi akan menjejaskan produksi.

"Perkara utama saya sekarang adalah kerjaya, bukan kerana terikat dengan MIG. Kalau itu jodoh saya apa daya saya untuk mengelak," simpul Zalif. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Projek 3R cari pelapis baharu

Posted:

Projek 3R cari pelapis baharu

Projek 3R cari pelapis baharu

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


RANCANGAN 3R musim terbaharu akan mula ditayangkan pada Oktober ini.


PADA tahun 2000, sebuah rancangan yang membicarakan tentang isu-isu mengenai golongan wanita iaitu 3R pernah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penonton.

Pernah disiarkan di kaca televisyen sebanyak 182 episod sepanjang 14 musim menerusi stesen TV3 dan Astro Ria, akhirnya rancangan tersebut ditamatkan pada tahun 2010.

Kini, selepas tiga tahun rancangan yang diilhamkan oleh Datin Paduka Marina Mahathir itu akan kembali menemui penonton apabila bakal disiarkan kembali di TV3 pada bulan Oktober ini.

Dalam satu majlis pelancaran baru-baru ini, Marina berkata, dia sendiri tidak menyangka bahawa 3R mampu menjadi sebuah rancangan yang diminati ramai ketika mula-mula disiarkan dahulu.

"Idea untuk menghasilkan rancangan ini mula timbul apabila melihat dilema yang dilalui oleh golongan wanita yang dijangkiti HIV semasa saya menjadi Presiden Majlis AIDS Malaysia dahulu.

"Akhirnya, saya memberi cadangan kepada Lina Tan selaku Penerbit Eksekutif Red Comunication Sdn. Bhd. supaya menerbitkan sebuah rancangan khusus tentang isu-isu wanita memandangkan rancangan sebegini tidak banyak dihasilkan," jelasnya.

Menurut Marina, dia agak terkejut apabila program 3R yang cukup terkenal dengan cogan kata Respek, Relaks, Respon itu mendapat sambutan yang sangat baik, meskipun menampilkan pengacara baharu.

Ujarnya, dia telah membuat perbincangan dengan Lina dan mereka mengambil keputusan untuk menampilkan wajah-wajah baharu sebagai pengacara iaitu Azah Yazmin Yusof, Rafidah Abdullah dan Low Ngai Yuen.

"Ketika itu, mereka memang langsung tiada pengalaman dalam bidang pengacaraan, tetapi akhirnya mereka berjaya menjadikan 3R sebagai rancangan yang diminati ramai," ujarnya.

Sementara itu, Lina pula berkata pihaknya mengambil masa selama tiga tahun untuk menerbitkan semula rancangan 3R ini kerana mahu mencari idea-idea baharu yang lebih segar agar sesuai dengan situasi sekarang.

Ujarnya, antara kelainan yang akan ditampilkan oleh pihaknya ialah memperkenalkan muka-muka baharu untuk mengacarakan rancangan ini.

"Mengenai proses pemilihan pengacara baharu, kami bakal menerbitkan sebuah rancangan realiti yang dikenali sebagai Projek 3R yang akan mula disiarkan pada bulan Ogos untuk mencari tiga orang pelapis baharu.

"Ia terbuka kepada mereka yang berumur 18 hingga 26 tahun dan mempunyai kebolehan untuk mengacara. Menariknya, penyertaan turut dibuka kepada golongan lelaki sekiranya ada yang berminat," ujarnya.

Menurut Lina, penyertaan sudah mula dibuka dan mereka yang ingin turut serta boleh mengisi borang penyertaan secara dalam talian dengan melayari laman web www.3r.com.my. Tarikh tutup penyertaan pula adalah pada pertengahan bulan Jun ini.

"Meskipun bakal menampilkan wajah baharu, tetapi peranan pengacara lama termasuk Kartini Kamalul Ariffin dan Celina Khor akan tetap digunakan iaitu menjadi juri semasa proses pemilihan dan menjadi mentor kepada 12 peserta yang terpilih pada saringan terakhir nanti," jelasnya.


DARI kiri: Yuen, Rafidah Abdullah, Kartini dan Azah Yazmin Yusof merupakan bekas pengacara 3R yang berjaya menghidupkan rancangan tersebut dengan baik.


Isu semasa

Salah seorang bekas pengacara 3R, Rafidah Abdullah yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, antara kriteria utama untuk menjadi pengacara ialah mempunyai sikap ambil tahu dan peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku.

Jelasnya, bagi individu yang mahu mencuba nasib menyertai 3R perlu ada sifat rendah diri dan tidak malu untuk bergaul dan bercakap dengan semua orang tanpa mengira status.

"Saya juga ingin memberi peringatan bahawa 3R bukanlah platform untuk cepat popular. Jadi, kepada sesiapa yang merasakan mampu cepat popular dengan menyertai rancangan ini, rasanya lebih baik tidak ikut serta.

"Secara jujurnya kami berlima begitu menyayangi rancangan ini kerana membesar bersama-sama. Apabila mendapat tahu ia akan diterbitkan semula, sudah tentu kami yang paling gembira," ujarnya.

Rancangan tersebut akan bermula dengan Projek 3R yang memaparkan pemilihan pengacara akan disiarkan bermula 24 Ogos setiap hari Sabtu pukul 6 petang, manakala musim terbaharu pula akan mula bersiaran pada 20 Oktober, setiap Ahad pukul 7.30 petang di TV3 sebanyak 13 episod.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat