Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Fyza rapat dengan ahli perniagaan Posted: 07 May 2013 04:54 AM PDT Bertubuh tinggi lampai laksana model dengan wajah persis bintang Latin dan Bollywood, pastinya pendatang baru Fyza Kader memiliki pesona tersendiri untuk mencuri perhatian ramai di persada hiburan tanah air. Justeru, tidak hairanlah nama pelakon berdarah kacukan Malbari-Melayu ini turut menjadi buruan ramai golongan VIP dan kenamaan yang ingin menghimpit dirinya.
"Malah, sudah setahun saya tidak buat sebarang sesi fotografi dengan pihak akhbar mahupun majalah tapi malangnya, nama saya tetap menjadi sasaran gosip termasuk dikaitkan dengan golongan VIP. "Memang saya mengaku ada VIP berpangkat Datuk cuba mendekati termasuklah yang ingin mengajak saya kahwin dengannya tapi saya pula menganggap ia sebahagian daripada asam garam dalam dunia artis," katanya. Beralih soal teman istimewa pula, Fyza yang berasal dari Johor Bahru ini tidak menyorok cerita dia berkawan rapat dengan seseorang, namun masih dalam proses mengenali hati budi lagi. "Buat masa ini, saya memang berkawan dengan seseorang. Cukuplah saya katakan si dia seorang ahli perniagaan dan dialah kawan lelaki yang paling rapat dengan saya sekarang. "Mungkin ada peminat yang terserempak dengan kami di luar kerana si dia memang sering menjadi 'pemandu' saya untuk ke sesi fotografi. Maklumlah, saya tidak memandu kereta dan dialah yang banyak membantu untuk menghantar saya ke sana sini. "Kalau orang tanya soal kahwin pula, saya memang menyasarkan usia sebelum 30 tahun untuk berkahwin dan membina keluarga. Saya memang suka dengan kanak-kanak serta tidak sabar untuk memiliki cahaya mata sendiri apabila sampai masanya nanti," kata anak keempat daripada lima beradik ini. Jika diukur pembabitannya dalam bidang seni, masih terlalu awal untuk meletakkan nama Fyza duduk sebaris dengan barisan pelakon muda berkaliber sedia ada. Namun pemegang Diploma Fesyen dan Rekaan Tekstil dari Institut Seni Malaysia (MIA) ini terjun dalam dunia glamor kerana ingin mempertaruhkan bakat lakonan dimiliki. "Saya akui bukan senang nak jadi seorang pelakon. Kalau setakat nak kejar glamor, lebih baik saya tidak payah berlakon dan duduk di rumah saja. Saya ingin orang kenal saya sebab bakat dan bukannya paras rupa semata-mata. "Sebab itu, saya tidak kisah bawa watak pembantu atau buat satu dua babak sekali pun dalam filem sebelum ini. Sebagai orang baru, saya percaya belum masanya untuk memilih watak lagi sebab itu apa saja watak diserahkan, saya terima dan berusaha membawanya sebaik mungkin. "Saya anggap diri masih cetek ilmu lakonan dan hanya selepas enam hingga tujuh tahun berlakon, barulah saya berani untuk lebih memilih watak ditawarkan," katanya. Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Ngongkrong, Senario Opps Pocot, Pe3, Salam Cinta, Ajiboy dan Seram Sejuk. Bercerita lanjut perkembangan karier seni, Fyza juga berdebar menanti tayangan filem lakonannya iaitu Kisah Paling Gangster arahan Brando Lee terbitan B&L Kreatif Sdn Bhd. "Saya memang minat berlakon dalam genre aksi kerana sering diberikan watak 'hantu' dalam filem sebelum ini. Justeru, saya tidak lepaskan peluang keemasan apabila diberi kepercayaan bawa watak Sofia yang juga anak kepada bapa gangster dalam filem ini. "Watak ini mencabar kerana saya juga cedera di bahagian dada ketika babak berbalas tembakan dalam filem ini. Saya terkena serbuk belerang yang meletup di badan ketika melakukan lagak ngeri sendiri untuk babak ini. "Justeru, saya harap lakonan dalam filem ini boleh menjadi hasil yang boleh dibanggakan nanti. Mengikut perancangan, saya akan teruskan karier lakonan jika maklum balas pada lakonan positif dan memberangsangkan daripada penonton nanti," katanya. Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Wawa Zainal, Zul Handy Black dan Epi Raja Lawak. Satu lagi genre aksi lakonan Fyza ialah 1 Lawan 1 yang diterajui Mikhael Andre. Penggambaran kedua filem ini berlangsung pada tahun lalu. Diminta mengulas dakwaan dirinya dikatakan akan keluar daripada MIG Talents, Fyza pantas menafikannya. "Siapa kata saya nak keluar daripada MIG Talents? Setakat ini, saya masih selesa bernaung di bawah pengurusan mereka. Saya juga tak terfikir pun perkara itu lagi. Mungkin orang fikir saya nak keluar daripada MIG kerana menyepi tanpa sebarang publisiti selama setahun. "Bagi saya, pihak MIG sudah beri jalan dan sayalah yang perlu 'membalas' semula kepercayaan diberikan itu sebaik mungkin. Sebenarnya, selepas selesai penggambaran dua filem aksi itu, saya terus berehat seketika dan beri tumpuan pada perniagaan rekaan busana bersama kakak angkat. "Selain berlakon, saya turut meminati bidang rekaan fesyen sebagai jaminan masa depan," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07 |
Posted: 07 May 2013 04:21 AM PDT Pertama kali mencurahkan kreativi–tinya dalam filem menerusi Bisikan Syaitan, pengarah Faizul A Rashid semestinya banyak kebimbangan untuk dikongsi lantaran percubaan inilah jadi penentu kepada kebolehannya. Bagaimanapun, ternyata pengarah yang turut popular dengan siri urban kegemaran ramai Friday I'm in Love itu mempunyai sentuhan istimewa tersendiri apabila masuk hari keenam tayangan filem itu semalam, sambutan agak memberangsangkan.
Mempertaruhkan Fizz Fairuz dan Wan Sharmila sebagai teraju filem berkenaan, meskipun cerita seram bukan lagi menjadi trend untuk ditonton masa kini, namun Bisikan Syaitan sebaliknya. Ditambah pula dengan tayangannya yang kebetulan jatuh ketika negara berhadapan agenda lebih penting iaitu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kebimbangan pastinya lebih berganda terutama buat Faizul sendiri.
RAP: Anda pernah mengarah siri Friday I'm in Love yang berkonsepkan urban dan santai tetapi tiba-tiba tampil dengan filem bergenre seram? Sebenarnya saya buat filem ini terlebih dulu sebelum mengarahkan siri berkenaan. Selepas itu barulah saya diberikan peluang mengarah siri terbabit. Sebenarnya genre sedemikian lebih dekat dengan jiwa saya. Itulah 'forte' saya.
Lagipun, sebelum ini pun saya sudah banyak terbabit di belakang tabir menghasilkan iklan komersial jadi apabila diberi peluang mengarahkan genre lain, saya buat sebaik mungkin mengikut kebolehan saya. Khabarnya setakat ini Bisikan Syaitan mencatatkan sambutan memberangsangkan. Syukur alhamdulillah. Masuk beberapa hari tayangannya, saya mendapat maklumat kutipan setakat ini memang sangat menggalakkan. Saya pun tidak sangka di sebalik kesibukan rakyat Malaysia mengikuti PRU-13, masih ada yang menyokong dan meluangkan masa ke panggung menonton filem berkenaan. Secara peribadi, puas hati tak dengan percubaan pertama anda ini? Kalau saya cakap puas hati memang riak namanya. Sudah pasti saya masih belum berpuashati kerana filem ini dihasilkan dua tahun lalu dan menonton berulang kali hasil akhir, banyak sebenarnya perkara yang perlu diperbaiki. Tidak kurang juga tindak balas daripada banyak pihak yang memberikan pendapat, pandangan dan komen. Jika tanggungjawab ini diberikan sekarang, banyak elemen boleh saya perbetul serta tingkatkan. Apabila mengetahui tarikh PRU-13 jatuh pada sekitar tayangan filem itu, bagaimana kebimbangan anda ketika itu? Bimbang yang teramat dan ini kali kedua saya berasa begitu selepas Oktober tahun lalu di mana ia sepatutnya ditayangkan pada ketika itu. Tahun lalu, kebetulan filem ini ditetapkan pada tarikh serentak tayangannya dengan Sembunyi: Amukan Azazil namun atas faktor tertentu, filem berkenaan diberi laluan terlebih dulu. Apabila tarikh PRU-13 tahun ini ditetapkan, memang terkejut juga memandangkan ura-ura mengatakan ia akan diadakan pada penghujung April. Namun, saya berusaha berfikir optimis dan melihat dari sudut positif, apatah lagi filem Duyung pada 2008 juga jatuh tayangannya sehari sebelum PRU tetapi masih mencatatkan kutipan yang bagus. Sejauh mana keyakinan terhadap filem ini lantaran genre seram sudah kurang menjadi pilihan seperti mana beberapa tahun lalu? Masa filem ini dihasilkan, memang ketika itu pun filem seram menjadi trend dalam kalangan peminat tempatan. Cuma, baru tahun ini filem ini ditayangkan namun saya tahu genre ini masih relevan dan mempunyai pengikut tersendiri. Penerimaan itu memang subjektif. Bagi penonton yang sudah biasa disajikan cerita berunsur sebegini akan beranggapan ia biasa saja, namun bagi penonton yang jarang tonton cerita hantu, pasti boleh merasakan sendiri ketakutan itu. Lagipun dengan kekuatan pelakon itu sendiri yang menghidupkan cerita ini dengan bagus menjadikan filem ini lain daripada kisah seram sebelum ini. Saya cukup kagum dengan kemampuan Fizz terutamanya apabila berjaya membawa cerita ini ke tahap yang saya mahukan. Selain itu, semestinya sinematografi filem ini juga cukup kuat apabila syot yang kami gunakan lebih kepada elemen komersial dan cukup menarik. Nampaknya nama anda semakin kukuh, boleh kongsikan projek terbaru pula selepas ini? Saya sudah selesai penggambaran filem kedua berjudul Anak Jantan yang dijadualkan ditayangkan sama ada penghujung tahun ini atau awal tahun depan. Filem ini lebih kepada cerita aksi di mana teraju utamanya adalah Farid Kamil dan mengisahkan mengenai balas dendam, keinsafan serta realiti hidup. Selain itu, saya juga dalam perancangan untuk membikin sebuah filem yang bakal mengetengahkan lebih kepada pelakon cilik mengenai kisah pengembaraan dan banyak menggunakan teknik komputer grafik. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |