Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelip
- Nasib malang kuda Sepanyol
- India kecewa, gusti gugur di Olimpik
Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelip Posted: Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelipSUASANA malam di Sungai Cherating, Pahang bergemerlapan dengan cahaya bintang yang memenuhi segenap ruang langit. Peluang seperti itu jarang sekali dapat dilihat di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur. Biarpun namanya jarang didengar, sungai tersebut lebih popular dalam kalangan pelancong asing terutamanya dari Eropah. Terdapat tarikan istimewa di sungai yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) di utara bandar Kuantan dan 16 km dari bandar berdekatan, Chukai, Terengganu. Sungai Cherating ialah sebatang sungai paya bakau yang masih terpelihara struktur semula jadinya daripada pembangunan komersial. Keadaan sungai yang juga bersih tanpa pencemaran menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Setenang suasana yang dirasakan pada siang hari di Sungai Cherating, begitu juga pemandangan indah yang dapat dinikmati pada sebelah malam. Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyertai lawatan melihat kelip-kelip di sungai tersebut. Sangkaan awal merasakan lawatan tersebut pasti tidak banyak bezanya dengan pengalaman menyaksikan kelip-kelip di beberapa lokasi lain yang pernah dikunjungi sebelum ini. Namun, segalanya berubah tatkala melihat sekawan kelip-kelip berterbangan ke arah bot yang kami naiki sebaik pemandu pelancong menghantar isyarat cahaya kepada kelip-kelip itu. Terpegun Tiada kata-kata dapat menggambarkan pengalaman menakjubkan yang disaksikan bersama tiga buah bot pelancong lain. Ia ibarat melihat bintang di langit terbang menghampiri pengunjung di situ. Begitulah kebolehan yang dimiliki oleh seorang pemandu pelancong, Mohd. Hafiz Abdul Majid, 43. Mohd. Hafiz yang lebih mesra dengan panggilan Hafiz berasal dari Myanmar. Lelaki yang mendapat pendidikan daripada Universiti Yangon, Myanmar berhijrah ke Malaysia sejak 21 tahun lalu. Bapa kepada tiga anak itu mempunyai kepakaran berkomunikasi dengan kelip-kelip menggunakan empat jenis lampu bercahaya malap yang berbeza-beza. Dengan lapan corak gerakan berlainan, dia menghantar frekuensi cahaya kepada kelip-kelip supaya datang ke arahnya. Komunikasi magis antara Hafiz dengan serangga tersebut membuatkan para pengunjung terpegun dan begitu teruja.
"Saya pernah mencuba teknik yang sama terhadap kelip-kelip di tempat lain namun tidak berjaya kerana setiap spesies mempunyai 'bahasa' berbeza. Macam manusia juga," katanya sambil tersenyum. Kebolehan graduan sarjana muda Sejarah itu pernah disiarkan dalam majalah pelancongan luar negara seperti Lonely Planet. "Pada tahun 2008, secara tidak sengaja saya berjaya menarik kelip-kelip menuju ke arah bot ketika membawa pelancong melihat kelip-kelip pada waktu malam. "Sejak itu, minat untuk mengkaji kelip-kelip kian membara dan saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti Simposium Kelip-kelip Antarabangsa 2010 yang diadakan di Kuala Lumpur," jelas ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Pahang itu sejak empat tahun lalu. Menurutnya, kelip-kelip yang terdapat di sungai Cherating adalah spesies Pteroptyx bearni non-sychronous. Bagaimanapun, kaedah komunikasi tersebut tidak boleh digunakan kepada spesies kelip-kelip lain. Menurut Hafiz, Kebangkitan 8888 di negara kelahirannya pada 8 Ogos 1988 telah membawa Hafiz berkelana ke Malaysia. Kebangkitan 8888 atau lebih dikenali sebagai Pemberontakan 8888 merupakan peristiwa kebangkitan rakyat Myanmar menuntut demokrasi. Kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Ne Win pada ketika itu telah digulingkan oleh pihak tentera. Bagi meleraikan demonstrasi pihak tentera telah membunuh ribuan orang awam termasuk pelajar dan sami Buddha. Ekoran daripada peristiwa berkenaan ribuan mahasiswa meninggalkan Myanmar kerana bimbang terhadap tindak balas pihak pemerintah kepada mereka. Bagaimanapun, kebanyakan mereka pulang ke tanah air selepas keadaan tenang. Selepas menamatkan pengajiannya, Hafiz berhijrah ke negara ini sekali lagi dan bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di Cherating. Lima tahun berkhidmat di restoran itu, beliau meneruskan pengajian jarak jauh di Sekolah Persuratan Antarabangsa Singapura (ICSS). Namun, pengajiannya terbantut di tengah jalan ekoran ketiadaan dokumen perjalanan yang sah. Sementara itu, isteri Hafiz, Zawiyah Ghazali, 29, menyangka Hafiz bergurau ketika mula-mula memberitahu tentang kelebihannya itu. Dia tidak percaya kerana tidak pernah melihat orang lain berinteraksi dengan kelip-kelip sebelum ini. Zawiyah yang turut membantu Hafiz menguruskan perkhidmatan pemandu pelancong itu menceritakan pengalaman manis ketika dikunjungi oleh beberapa orang pelancong dari Perancis. Menurutnya, pelancong tersebut beriya-iya menyatakan tentang kebolehan suaminya dan ada diterbitkan di beberapa buah majalah pelancongan di Perancis sehingga berjaya menarik mereka ke Cherating. "Mereka menunjukkan majalah yang dimaksudkan tetapi kami tidak memahami artikel tersebut kerana ia tidak ditulis dalam bahasa Inggeris. "Ada juga pelancong tempatan yang berseloroh mengatakan Hafiz menggunakan jampi kerana melihat dia menggerak-gerakkan isyarat tangan sewaktu berinteraksi dengan kelip-kelip," katanya sambil tersenyum ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherating Lama baru-baru ini. PENGUNJUNG diberikan taklimat selama 15 minit berkaitan kelip-kelip dan habitatnya sebelum dibawa melawat di Sungai Cherating. Sejak mengendalikan perkhidmatan Aktiviti Cherating Hafiz pada tahun 2006, mereka berdua telah mengupah tiga orang boatman untuk membantu Hafiz membawa pelancong asing dan tempatan. Seorang lagi pemandu pelancong berlesen dari Terengganu, Ariffin Hassan, 54, mengenali Hafiz kira-kira enam tahun lalu. Ariffin yang mesra disapa Pak Su memberitahu, Hafiz merupakan seorang pemandu pelancong yang ikhlas menjalankan tugasnya dan mahir mengenai selok-belok kelip-kelip. "Pengunjung dan pelancong yang datang ke sini bukan sekadar melihat kelip-kelip tetapi mengetahui apa itu kelip-kelip. "Apa yang Hafiz buat berbeza dengan pemandu pelancong lain kerana dia mampu menjawab setiap soalan pengunjung tentang kelip-kelip," ujarnya yang turut bekerjasama dengan Hafiz membawa pelancong melihat penyu bertelur di Teluk Mak Nik di Kemaman, Terengganu. Pak Su juga mengakui sikap ramah Hafiz mampu menambat hati pelancong tempatan dan luar berkunjung semula ke Kampung Cherating Lama untuk menyaksikan kelip-kelip. Seorang pelancong tempatan, Jasmine Lau, 43, berkata, pengalaman melihat kelip-kelip di Cherating seperti melihat magis, apatah lagi pemandangan malam yang dipenuhi bintang di langit. "Pada mulanya saya agak takut kerana tidak biasa dengan keadaan gelap, namun pemandangan tersebut benar-benar menakjubkan," ujarnya. | ||
Posted: Nasib malang kuda Sepanyol
DI penghujung daerah selatan Andalusia di Sepanyol, seorang pengusaha ladang kuda, Virginia Solera, membantu menyediakan kandang bagi kuda buangan yang 'bertuah' ketika era kejatuhan ekonomi melanda Sepanyol. "Beberapa tahun sebelum ini, kami menyelamatkan kuda-kuda yang tidak dijaga dengan baik atau ditinggalkan oleh tuannya. Di Sepanyol, memiliki kuda melambangkan status kekayaan seseorang individu. "Sebelum krisis ekonomi melanda negara ini, ramai orang menyangka saya akan membeli kereta mewah atau rumah besar namun saya membeli seekor kuda," kata Solera ketika ditemui di ladangnya yang dinamakan Alhaurin el Grande. Kebanyakan masyarakat Sepanyol meninggalkan kerja di ladang untuk terlibat dengan industri pembinaan tetapi kehidupan mereka sekali lagi 'terpukul' apabila sektor hartanah jatuh merudum pada 2008. "Akibatnya, kebanyakan mereka yang bergelut dengan masalah kewangan mengabaikan kuda masing-masing termasuk menghantar haiwan tersebut ke rumah sembelihan," ujar Solera. Kuda disembelih meningkat Kerajaan Sepanyol memaklumkan jumlah kuda yang disembelih pada tahun 2012 ialah 60,000 ekor iaitu meningkat dua kali ganda berbanding pada tahun 2008. Seekor kuda yang dinamakan Alegria yang bermaksud gembira tiba di rumah sembelihan milik Solera dalam keadaan giginya rosak teruk akibat meragut tanah untuk mencari makanan. Sementara seekor lagi, Estrella cedera di kaki kiri bahagian depan kerana diheret oleh tuannya yang cuba menjinakkan kuda itu dan kemudiannya berputus asa lalu meninggalkan kuda malang berkenaan begitu sahaja. Kata Solera, pemilik kuda terpaksa meninggalkan kuda yang mereka tidak mahu di kawasan berair dengan harapan haiwan itu mati kebuluran atau lemas. Tidak berapa jauh dari ladang milik Solera, hujan mencurah-curah ke atas kandang kuda milik Manuel Gonzalez Melendi, 68. Gonzalez menunjuk ke arah seekor anak kuda yang baru berusia lapan hari tetapi sudah mula berjalan di padang rumput. Anak kuda tersebut merupakan salah seekor kuda yang masih ada di ladangnya. "Dahulu memang banyak kuda di sini, hampir 100 ekor. Saya selalu jual dan beli kuda. Itulah punca pendapatan saya," kata Gonzalez. Namun segalanya berubah apabila jumlah kuda peliharaan Gonzalez semakin berkurangan. Ia berikutan kekurangan minat orang ramai untuk memiliki kuda.
"Pada hari ini, tiada siapa lagi berminat untuk membeli kuda kerana bekalan makanannya mahal. Jadi, saya terpaksa berhenti. "Saya jual kuda yang ada pada harga rendah dan selebihnya dihantar ke rumah sembelihan," tambah Gonzalez. Gonzalez yang merupakan seorang setiausaha agung Persatuan Aprosa Rumah Sembelihan dan Pemprosesan Daging Sepanyol memberitahu, ketika ekonomi maju di Sepanyol, kebanyakan keluarga memiliki kuda dan menunggangnya pada setiap hujung minggu. "Aktiviti menunggang kuda pada setiap hujung minggu sangat popular kira-kira lapan tahun lalu. "Kuda pada masa itu dianggap perniagaan yang menguntungkan kerana masyarakat pergi ke sekolah kuda untuk berekreasi," kata Gonzalez. Kos tinggi Menurut Gonzalez, pada hari ini, perniagaan melibatkan kuda sudah tidak berkembang kerana pemiliknya memerlukan kos yang tinggi untuk memelihara seekor kuda. "Kos memelihara kuda sahaja sudah mencecah 400 euro (RM1,633) sebulan dan ramai pemilik kuda memilih untuk menjualnya ke rumah sembelihan pada harga RM612 seekor," katanya. Disebabkan daging kuda tidak popular di Sepanyol, 90 peratus daripada hasil sembelihan dieksport ke Perancis dan Itali. "Ekoran krisis ekonomi, semua orang terpaksa membuang barangan yang kurang penting bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Mereka cuba menyelamatkan kereta dan rumah tetapi bukan kuda," kata Solera. - AFP. | ||
India kecewa, gusti gugur di Olimpik Posted: India kecewa, gusti gugur di Olimpik
AHLI gusti, Raj Singh mengunci lawannya. Ketika itu, kedua-duanya yang beradu di atas sebuah gelanggang terbuka yang diperbuat daripada kain-kain buruk dibasahi peluh. Namun, ketika beradu tenaga itu, dia masih sempat memikirkan impiannya untuk beraksi di Olimpik yang telah musnah. "Tak dapat saya fikirkan, bagaimana sukan gusti tidak menjadi sebahagian daripada Olimpik. "Saya tidak nampak apa masalahnya kerana gusti menarik ramai penonton tidak kira di mana ia diadakan. Sukan ini tidak boleh dibiarkan mati begitu saja," katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Gusti India. Masa depan sukan itu tampak semakin kelam selepas lembaga eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Februari lalu memutuskan untuk menggugurkannya pada temasya edisi tahun 2020. Moral jatuh Sejak itu, ramai tokoh besar sukan itu menyertai kempen untuk menentang keputusan tersebut. Rekod Olimpik India bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi ahli gusti negara itu membawa pulang empat daripada 13 medal individu sejak ia mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947, termasuk pingat gangsa oleh Khashaba Jadhav di Helsinki, Finland pada 1952. Ramai ahli gusti melihat sukan tersebut bukan sahaja sebagai peluang kejayaan Olimpik, tetapi cara mengeluarkan diri daripada kancah kemiskinan. Sushil Kumar yang mendapat pingat perak di London tahun lalu selepas memungut gangsa di Beijing pada 2008, menjadi wira di negara yang obses dengan kriket itu. Sejak itu, gambarnya digunakan secara meluas oleh pengiklan bagi menjual pelbagai produk daripada minuman ringan ke jentera berat. PENGLIBATAN seseorang dalam arena gusti di India dapat mengeluarkan mereka daripada kemiskinan. "Kita telah memulakan kemenangan medal Olimpik dalam sukan gusti. jika mereka menggugurkannya ia akan menjadi masalah besar buat kita. "Sebaik mendengar berita buruk tersebut, moral semua orang jatuh," kata jurulatih kebangsaan India, Vinod Kumar. Rakan sepasukan Sushil, Yogeshwar Dutt yang mendapat pingat gangsa di London memberitahu AFP bahawa dia akan memulangkan medalnya jika gusti tidak disenaraikan semula. "Gusti adalah hidup saya dan ribuan yang lain. Apabila kami menang pingat, ramai anak muda yang merasakan mereka juga berpeluang memenanginya di Olimpik. "Mereka memasang angan-angan untuk berjaya tetapi ia kini hancur berderai," kata Yogeshwar, anak kepda seorang guru sekolah di kampung itu. Dia kini bekerja dalam pasukan polis berikutan kejayaan Olimpik yang diperolehnya. Permulaan karier Kebanyakan ahli gusti terkemuka India memulakan karier mereka dengan bergelut di atas gelanggang lumpur purba dipanggil Guru Hanuman 'Akhara' di kota lama Delhi. Sekurang-kurangnya 125 pelatih berusia antara 10 hingga 30 tahun menetap di situ, malah memasak makanan sendiri dan mempelajari inti pati gusti daripada jurulatih yang dilantik kerajaan. Rejim kecergasan mereka termasuk memanjat tali dan berlari mendaki bukit dengan mendukung pelatih lain serta membina otot di sebuah gimnasium terbuka buatan sendiri. ANAK-ANAK muda di India berlatih bersungguh-sungguh bagi mempersiapkan diri mereka untuk mewakili negara dalam sukan gusti. Maha Singh Rao yang menjadi jurulatih di 'Akhara' sejak 1984 berkata, pelatih diajar prinsip asas kehidupan ringkas dengan minda yang bersih dan badan yang kuat. "Disiplin adalah perkara terpenting bagi mereka yang mahu mencipta nama. Gusti seperti kehidupan, semua orang mahu menjadi lebih kuat berbanding yang lain," katanya lagi. Antara pelatih yang ada di 'Akhara' ialah Chandan Singh, 16, yang meninggalkan ibu bapanya di Hyderabad empat tahun lalu untuk mengabdikan diri mempelajari seni gusti. "Saya sukakan kehidupan di sini, mereka menjaga saya dan memberikan makanan yang bagus, malah saya dapat pergi ke sekolah. "Bagaimanapun, apa yang saya mahukan ialah bergusti dan menjadi seorang yang terkenal," katanya. Gusti kekal dalam senarai acara Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, namun kebarangkalian untuk ia digugurkan pada temasya sukan antarabangsa itu pada tahun 2020 sangat tinggi. Ini kerana tujuh disiplin sukan lain termasuk skuasy, besbol, wakeboarding dan wusyu saling bersaing untuk menggantikannya. IOC tidak menyatakan punca lembaga eksekutifnya mahu menggugurkan gusti, tetapi rating televisyen yang rendah dan tidak ramai yang menyaksikannya dilaporkan menjadi faktor utama. Keputusan muktamad mengenainya akan dibuat apabila kesemua anggota IOC bersidang pada September ini. Madrid, Tokyo dan Istanbul masing-masing membida untuk menjadi tuan rumah kepada Olimpik 2020. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |