Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Tuah penduduk awal BangsarPADA awal tahun 1970-an, Bangsar hanyalah sebuah kawasan perumahan yang biasa. Kedudukannya yang agak jauh dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, sering dilanda banjir dan dikelilingi pokok getah yang ditinggalkan menyebabkan kos hartanah agak murah. Pada masa itu, keinginan memiliki rumah di Bangsar hanya wujud dalam kalangan pekerja dan kakitangan Malaysian Railway (Keretapi Tanah Melayu) dan Lembaga Letrik Malaysia (Tenaga Nasional Berhad) memandangkan pejabat kedua-dua syarikat itu terletak sekitar tiga kilometer sahaja dari Bangsar. Membayar deposit RM400 untuk sebuah rumah, menempah dua buah rumah sekali gus, sebuah untuk diri sendiri dan sebuah lagi untuk kakak ipar, M. Thiruchittampalam, 87, mengakui kenangan tahun 1973 itu masih segar dalam ingatannya. Dia langsung tidak terfikir Bangsar bakal melalui pelbagai fasa evolusi. Bagi Thiru, ketika projek perumahan Fasa Satu oleh Pembangunan Bandar Raya Berhad diuar-uarkan, dia dan pembeli lain dirayu membeli rumah di situ. Harga rumah ketika itu hanya RM18,750 dengan keluasan 174.2 meter persegi. Ternyata sekitar tahun 1970-an, Bangsar khususnya di Bukit Bandaraya bukan pilihan warga kota. "Kami fikir, Bangsar jauh dari Kuala Lumpur. Lebih teruk, tempat ini selalu dilanda banjir. Tetapi kerana murah, dan dekat dengan tempat kerja, Malaysian Railway ketika itu, saya menempah dan memiliki rumah ini," kata lelaki yang mesra dengan panggilan Thiru. Sejak tahun 1973, Thiru terus menetap di Bangsar. Dia berkahwin, membesarkan anak-anak dan kini hidup bahagia di samping keluarganya. Bangsar, tentu sekali sudah sebati dengan dirinya yang sudah bermaustatin kira-kira empat dekad lalu. "Banyak pengubahsuaian terhadap Bangsar dilakukan oleh Datuk Bandar ketika itu. Malah, pelan asal juga banyak yang diubah. Padang permainan kanak-kanak, sekolah, jalan raya, laluan untuk pejalan kaki dan yang paling penting, masalah banjir dapat diatasi," kata lelaki yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu. Katanya lagi, keadaan banjir di Bangsar memuncak sekitar 15 tahun yang lalu. Air naik sehingga ke paras pinggang. "Kemudian mereka membina parit besar untuk mengalirkan air kira-kira lima gelen dalam tempoh dua hari," kata Thiru. THIRUCHITTAMPALAM berdiri di hadapan rumah pertama yang dibeli di Jalan Limau Manis 40 tahun lalu. Kawasan ideal Sebagai jurutera teknik Malaysian Railway, Thiru selalu dipindahkan ke stesen-stesen lain di seluruh Malaysia. Namun, dia lebih selesa tinggal di Bangsar kerana selain tempat kerjanya dekat dan pernah lama tinggal di Sentul, Kuala Lumpur, Thiru berasa sangat selesa. Sejak memiliki rumah satu tingkat di Jalan Limau Manis hingga kini, Thiru melihat Bangsar sebagai kawasan perumahan yang ideal. "Kami semua, penduduk asal di sini, mempunyai pemahaman yang sangat akrab. Saya masih mempunyai beberapa jiran yang sama sejak 40 tahun yang lalu. Generasi muda mempunyai gaya hidup yang berlainan tetapi semuanya mengekalkan kejiranan yang sihat," katanya. Bagi Presiden Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Bangsar, Datuk Mumtaz Ali, Bangsar, bukan hanya kawasan sekitar Bangsar Baharu atau Bukit Bandaraya tetapi lebih luas termasuk kawasan sekitar Mid Valley. Membeli-belah di pasar raya TMC, berkunjung ke pasar di Taman Lucky, prasekolah anak-anak di Vila Maria, Kedai Runcit Chai Joo Seng antara kenangan Mumtaz sepanjang mendiami Bangsar. "Ketika itu, kami fikir pusat bandar Kuala Lumpur sangat jauh. Kualiti kehidupan sangat berbeza di mana kami lebih dekat. Rata-rata penghuni di sini ialah pemilik kediaman itu sendiri," katanya. Kini, Bangsar cukup sinonim dengan pembangunan. Namun, pembangunan yang sangat pesat itu menimbulkan ketidakselesaan kepada sebahagian besar penduduk. Antaranya pembinaan kondo di lereng bukit dan masalah parkir. Menurut Mumtaz, beliau mahupun penduduk di situ bukan menentang pembangunan tetapi peka dalam memastikan satu pembangunan yang seimbang dan mampan. Skuad kejiranan "Kami berjaya mengatasi pelbagai masalah, antaranya kes pecah rumah dan ragut dengan menganjurkan skuad kejiranan pada tahun 1990-an. Selain itu, kami juga terlibat dalam skim kejiranan berpagar, melibatkan agensi keselamatan swasta dan banyak lagi," katanya merujuk kepada aktiviti pada era 90-an. Berpindah ke Bangsar pada pertengahan tahun 1970-an, Mumtaz mengakui masalah atau cabaran yang mereka hadapi sekarang jauh lebih besar. Projek-projek besar seperti MRT mahupun pembinaan kondo memberi pelbagai kesan kepada keseimbangan eko, masalah pencemaran bunyi, sistem saliran dan sebagainya. "Kami masih menjalankan beberapa pertemuan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk sekitar," katanya mengulas tentang keadaan Bangsar masa kini. "Jika dahulu, sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, pemandu teksi tidak akan ke Bangsar kerana jalannya yang sempit dan mudah banjir, kini semua orang kenali hampir setiap pelosok bandar ini. Jika dahulu Bangsar hanya dipenuhi pusat komersial tradisional dan pusat beli-belah Bangsar (BSC) antara pusat beli-belah yang paling moden, kini ia dikembang dan banyak lagi pusat beli-belah baharu wujud," katanya. Kebelakangan ini, dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun yang lalu, Bangsar juga didiami golongan ekspatriat dari Barat, India dan Eropah. Seorang arkitek terkenal, pengasas Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Prof. Madya Datuk Ar. Hajeedar Abdul Majid mengetengah beberapa aspek menarik Bangsar. TMC pasar raya yang wujud sejak tahun 70-an sehingga kini. Berpindah ke Bangsar pada tahun 1974 kerana Bangsar ketika itu menawarkan kos hidup jauh lebih rendah. Seseorang boleh menyewa sebuah rumah teres tiga bilik tidur pada sewa hanya RM150. Hajeedar membeli sebuah rumah sendiri juga kerana faktor harga. Menubuhkan Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya pada tahun 1975, Hajeedar ketika itu banyak mendapat kerjasama penduduk setempat dalam menjaga dan membangunkan elemen sosial Bangsar, khususnya Bukit Bandaraya. Memasang lampu jalan, membuat memantauan pada waktu malam, saling berhubung, perpaduan kejiranan yang teguh, adalah Bangsar dahulukala, kata Hajeedar lagi. Bagaimana pun, beliau kesal dengan pelbagai pembangunan sosioekonomi yang bukan sahaja menjadikan Bangsar tenat dengan keadaan trafik tetapi kawasan tertentu yang mula dilabel Dataran Mabuk. "Sejak beberapa tahun dahulu sehingga kini, Bangsar menjadi pusat tumpuan untuk minum alkohol, sambutan hari kebesaran Barat, pub dan disko, kelab-kelab malam, majlis lewat malam dan sebagainya tanpa kawalan," kata Hajeedar. Pada lewat malam atau awal pagi, penghuni sering mengadu apabila para pemabuk menjadikan lot di hadapan rumah mereka sebagai tempat meletak kereta, membuang air kecil, membuat bising dan adakalanya bergaduh. Namun, Bangsar masih dilihat sebagai bandar yang paling ideal untuk dihuni kerana kemudahan asas, persekitaran yang maju, pembangunan serta kelas sosial masyarakatnya. Malah, Hajeedar dan Mumtaz mengakui, rumah-rumah yang pernah berharga kurang RM40,000 suatu masa dulu kini mencecah jutaan ringgit. |
Posted: Fesyen rambut wanita RomINILAH gambaran salah satu fesyen rambut wanita zaman Rom yang digayakan oleh Janet ke atas seorang modelnya. PADA siang hari, Janet Stephens mempunyai kerjaya sebagai pendandan dan penggunting rambut di salun. Pada sebelah malamnya pula, dia merupakan seorang ahli arkeologi amatur yang teliti dalam penciptaan dandanan rambut dari zaman pemerintahan Empayar Rom kuno. Janet, 54, telah menceburi bidang dandanan rambut sejak dua dekad lalu. Selain itu, dia juga mencipta dandanan rambut dari era Rom di rumahnya yang terletak di Baltimore, 65 kilometer dari Washington DC, Amerika Syarikat (AS). Dalam proses untuk mendedahkan rahsia rambut wanita pada zaman itu, dia menggabungkan bidang kerjayanya sebagai pendandan rambut dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang arkeologi. Janet mendandan rambut model mengikut gaya wanita-wanita Rom seperti isteri Maharaja Rom iaitu Empress Plotina. Gaya rambut itu mempunyai gaya gelung unik dan gegelung jalinan yang menunjukkan status mulianya sekitar tahun 110. Pakar sejarah dan ahli arkeologi percaya bahawa huraian rambut wanita zaman itu seperti gambaran ukiran arca seni marmar dalam imaginasi artistik. Selain itu, dandanan rambut tersebut juga mewujudkan perhubungan dalam kehidupan sebenar wanita dalam era berkenaan. "Apabila anda tahu bagaimana untuk melihat mereka, pasti anda akan melihat logik apa yang mereka cuba tonjolkan. Rambut merupakan salah satu gaya fesyen mereka. "Anda dapat melihat tocang rambut mereka bermula di satu tempat dan menjalar ke tempat lain. Kemudian, tocang itu akan bertukar menjadi sesuatu yang berbeza," jelasnya. Kajian Janet itu juga membantunya dalam membina teori mengenai beberapa penggayaan rambut yang rumit. Dia mengandaikan bahawa beberapa huraian rambut dibuat menggunakan jarum dan benang bagi memastikan ia terus berada di tempatnya. "Sebelum teori saya diperkenalkan, ia merupakan gaya rambut yang diperbuat daripada rambut palsu atau ciptaan lengkap daripada pengukir yang menggambarkan wanita itu. "Saya sering berpeluh untuk menggayakan rambut itu. Namun, saya sedar sekiranya menjahit rambut itu dengan jarum dan benang, ia pasti berhasil," jelasnya. Dia mengagak bahawa golongan hamba berkemungkinan menggunakan jarum dan benang untuk menjahit semula rambut yang menghurai dan ia mampu bertahan selama beberapa hari. Janet juga banyak menghabiskan masa di muzium dan perpustakaan untuk mencari bukti teori kajiannya. Bagi memantapkan lagi kajiannya, Janet turut belajar bahasa Jerman. BEBERAPA watak wanita zaman Rom dengan fesyen rambut tersendiri yang dipertontonkan di layar perak. Demonstrasi di YouTube Menerusi kajiannya yang dibantu oleh ensiklopedia tatabahasa Pompeius Festus, Janet menemui perkataan acus daripada bahasa latin diterjemahkan sebagai pin atau boleh juga dirujuk sebagai jarum. Perkataan acus banyak ditemui Janet dalam pembacaan mengenai wanita pada Empayar Rom sekali gus menguatkan kepercayaannya tentang penggunaan jarum dalam fesyen rambut zaman itu. Janet telah menerbitkan penemuannya dalam Journal of Roman Archaeology sekali gus menjadikannya salah seorang ahli bukan akademik yang mampu menulis artikel ilmiah. "Saya tidak mencari sesuatu secara melampau ke hadapan. Saya datang sebagai pendandan rambut dan saya tahu banyak perkara buruk mengenai rambut," jelasnya. Janet turut memuat naik demonstrasi yang teliti mengenai cara penjagaan rambut, anyaman dan menggulung rambut di laman YouTube. Cara itu juga merangkumi sebahagian atau keseluruhan rambut dengan pembalut kepala. Dia juga menggunakan alatan sejarah yang betul untuk mencipta reka bentuk rambut yang rumit termasuk jarum tulang, gum acacia dan alatan asas pengeriting rambut. Janet memberitahu, dia tidak meneruskan hobinya itu untuk keuntungan, tetapi menggalakkan penerbit filem Hollywood untuk melihat bagaimana dia menggayakan rambut seperti zaman purba Rom di laman YouTube miliknya. Sepanjang tahun, dia terhibur melihat gambaran khayalan penerbit dalam filem yang kebanyakannya tidak tepat. "Ada yang kelihatan pelik dan jauh daripada fesyen sebenar rambut wanita pada zaman itu," ungkapnya. Wanita itu terkedu apabila memikirkan kembali siri televisyen di British pada tahun 1970-an, I, Claudius. Siri tersebut menggambarkan wanita semasa Empayar Rom mempunyai rambut yang bergulung sahaja. "Pada masa yang singkat dalam sejarah fesyen Rom, wanita pada zaman itu mempunyai potongan rambut belah tepi. Ia bermula daripada tengah dan bersimetri. "Saya pasti Hollywood akan menonton laman YouTube saya dan mendapat semua keperluan untuk membikin filem yang menggambarkan wanita zaman Rom," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |