Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Masuk hutan pasang kamera litar tertutup Posted: Masuk hutan pasang kamera litar tertutupKELAJUAN langkah kaki mereka sentiasa tetap walaupun sudah berjalan lebih dua jam, tidak terlalu laju ataupun amat perlahan. Bertindak sebagai pemandu arah, kedua-duanya kelihatan sangat boleh dipercayai untuk diikuti dalam hutan tebal. Ketika rata-rata individu yang menyertai kumpulan sukarelawan Traffic Southeast Asia (Traffic) sudah memperlahankan langkah dengan sisa tenaga yang ada, langkah mereka sentiasa malar. Dengan parang sentiasa erat digenggam pada tangan Akia Talib, 29, dan Charang Tonel, 24, mereka terus melibas batang-batang buluh dan lalang untuk membuka laluan perjalanan kepada kumpulan sukarelawan itu. Tiada alatan elektronik moden seperti Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) di sisi, mereka terus berjalan melalui denai, menaiki bukit kemudian menuruni ke permukaan yang lebih landai. Kadangkala, mereka meninggalkan tanda di persimpangan jalan yang kelihatan tiada kesan laluan manusia dengan menakik jh9 batang pokok. Kedua-duanya mempunyai ketinggian antara 168 hingga 170 sentimeter sama seperti penduduk Asia lain. Rona kulit mereka agak gelap. Akia lebih mesra dipanggil Puyi, manakala si Charang mesra dengan panggilan Cha. Personaliti mereka agak pemalu, segan untuk berkata-kata dan setiap kali soalan diajukan, Puyi dan Cha akan tersenyum atau tergelak bergantung pada tahap keseriusan pertanyaan. Barangkali Puyi lebih berumur berbanding Cha, dia paling banyak menjawab soalan. Puyi dan Cha merupakan pemuda keturunan Temiar daripada pecahan etnik Senoi. Mereka berasal dari Kampung Semelor yang terletak di Hutan Simpan Temengor, Perak. Bilangan kaum Temiar antara 14,000 hingga 20,000 orang daripada jumlah keseluruhan Orang Asli di Semenanjung, kira-kira 100,000 orang, dipetik daripada laman web www.temiar.com. Selain kampung yang didiami oleh puak Temiar, hutan simpan itu juga menjadi kediaman bagi Orang Asli keturunan Jahai daripada pecahan Negrito. Puyi dan Cha mula meneroka hutan sejak berumur sembilan tahun. Pada peringkat awal, mereka hanya mengikut ayah atau orang yang lebih tua untuk mencari hasil hutan. Dari situ, kedua-duanya mula mengembangkan seni berjalan di dalam hutan baik dari segi mengawal kelajuan langkah mahupun mengenal pasti tapak haiwan sama ada masih baharu atau tidak. Antara yang dicari ialah sumber hutan untuk dijadikan makanan atau ubat-ubatan seperti kacip fatimah, ubi jaga dan tongkat ali. Selain itu, hasil hutan seperti rotan turut dikutip untuk dijual kepada orang luar. STEVEN (dua dari kanan) dan pasukan penyelidiknya masuk ke dalam hutan untuk melakukan kerja-kerja konservasi gajah. Rotan makin mahal Mengutip hasil hutan merupakan pekerjaan mereka sebelum ini. Dalam sebulan, Puyi dan Cha boleh mendapat hasil sekitar RM400 sebulan. Seiring dengan masa, hasil tumbuh-tumbuhan semakin sukar dicari dan mereka perlu meredah laluan sehingga ke dalam kawasan hutan tebal. Ia menjadikan harga rotan sangat mahal sehingga mencecah RM5 setiap batang yang mempunyai panjang sekitar 2.4 meter. Berbanding sedekad lalu, harganya antara RM1 hingga RM2 sahaja dengan kepanjangan yang sama. "Susah hendak cari rotan sekarang. Dalam sebulan, sekali baru dapat berjumpa dan kita terpaksa masuk jauh ke dalam hutan," kata Puyi ketika ditemui di Gerik, Perak. Menurut Puyi, Orang Asli tidak memburu haiwan seperti rusa atau kancil untuk dijadikan makanan. Mereka beranggapan kedua-dua haiwan itu mempunyai badi. Masyarakat itu juga amat takut untuk bertembung dengan gajah dan harimau. Puyi memberitahu, kebanyakan yang memburu di situ ialah orang Melayu dari kawasan berdekatan. Puyi pernah sekali bertembung dengan harimau pada tahun lalu tetapi bukan di Belum-Temengor tetapi di Tasik Kenyir. Pengurus projek lapangan, Pengurusan dan Ekologi Gajah-Gajah Malaysia (MEME), Steven Lim Boon Hock, 50, menceritakan saat-saat kali pertama membawa mereka bersama ke ekspedisi mencari gajah. Elak bertemu gajah "Apabila bertembung dengan gajah, mereka terus lari, tetapi kini kedua-duanya sudah tidak berasa terlalu takut seperti sebelum ini tetapi masih cuba mengelak untuk bertemu. "Kami perlu menunjukkan kepada mereka bahawa tujuan mencari gajah adalah untuk kajian dan menyelamatkan haiwan tersebut," cerita Steven yang turut serta dalam kumpulan sukarelawan Traffic. Kini, mereka masih lagi masuk ke dalam hutan setiap hari tetapi bukan untuk memburu atau mencari hasil hutan sebaliknya, memasang kamera litar tertutup. Kad memori kamera tersebut ditukar setiap dua minggu sekali atas faktor kos dan jarak, manakala rakaman kelakuan gajah dikaji oleh MEME. Sudah hampir dua tahun mereka bekerja dengan MEME sebagai pembantu penyelidik di lapangan. MEME merupakan sebuah projek penyelidikan dalam pengurusan dan konservasi gajah-gajah Malaysia. Rutin harian Puyi dan Cha bermula seawal pukul 8 atau 9 pagi bergantung pada laluan dan jarak yang perlu dilalui. Mereka diberi kawasan berkeluasan beberapa meter persegi di Hutan Belum-Temengor untuk memasang peranti tersebut. Jarak perjalanan yang Puyi dan Cha lalu mencapai beberapa kilometer sehari dengan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah bagi jarak 3 kilometer. Kali ini, mereka perlu membawa GPS bagi mendapatkan lokasi tepat bagi memasang kamera. Selepas segalanya selesai, kedua-duanya pulang tanpa menggunakan gajet tersebut. Gaji bulanan mereka kini sebanyak RM1,400, satu jumlah yang berlipat kali ganda berbanding dahulu. "Saya dapat melakukan perkara yang sama seperti dahulu tetapi pada masa yang sama mendapat gaji yang lebih baik," kata Cha sambil tersenyum. Paling penting, mereka dapat menjaga hutan yang menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat Orang Asli sekali gus ubat-ubatan dan haiwan-haiwan liar dapat dipelihara, ungkap Puyi. Skil semula jadi Puyi dan Cha sangat mengagumkan walaupun sukar dikesan. Ketika pasukan sukarelawan itu sampai ke suatu kawasan dipanggil Sira Tersau, mereka sempat memberi amaran kepada kami supaya tidak pergi jauh ke dalam hutan. "Bau gajah yang lalu di sini masih lagi kuat," ringkas kata Cha tetapi telah menyebabkan langkah pasukan itu terhenti untuk terus pergi lebih jauh ke dalam hutan. Apabila melihat di sekeliling, telahan mereka benar kerana najis-najis gajah yang masih segar kelihatan merata-rata di kawasan alur sungai itu. Selain menjaga rentak langkah kaki sepanjang perjalanan, mereka juga mengambil ubat-ubatan tradisional yang diajar oleh orang lama. WAJAH kanak-kanak Orang Asli suku Jahai, salah satu suku mendiami Gerik, Perak selain Temiar. Kaji tentang gajah Sambil tertawa mereka berdua bersetuju bahawa kedua-duanya ada mengamalkan herba tradisional, tongkat ali. Puyi yang masih bujang memberitahu, dia tidak pernah sesat di dalam hutan, sambil dipersetujui oleh Cha dengan menganggukkan kepalanya tanda setuju. Setakat ini, seramai lima individu Orang Asli yang tinggal di Hutan Belum-Temengor bekerja dengan MEME sebagai pembantu penyelidik termasuk Puyi dan Cha. Mereka menetap di motel penyelidik yang terletak di sebuah taman perumahan di bandar Gerik supaya mudah dipanggil apabila ada kecemasan. Menurut Steven, mengambil Orang Asli bagi mengisi jawatan tersebut merupakan sebahagian daripada program MEME kepada penduduk tempatan selain melakukan kerja-kerja kajian terhadap gajah. "Kami masuk ke kampung-kampung Orang Asli dan memberi penerangan serta mengajak mereka menyertai kami. "Kemahiran yang mereka miliki seperti berjalan dalam hutan dapat memberi manfaat untuk kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan," kongsinya lagi. Pekerjaan tersebut juga menjadi alternatif bagi masyarakat Orang Asli, mereka masih berpeluang masuk ke dalam hutan tanpa memburu atau mengutip hasil hutan. Selain kamera, MEME bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara sedang dalam kerjasama memasang kolar satelit-GPS bagi mengesan pergerakan gajah-gajah liar di Semenanjung Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |