{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Bahan sisa sawit untuk hasilkan gas

Posted: 19 May 2013 10:06 AM PDT

Oleh LAUPA JUNUS

POME dimanfaatkan bagi menghasilkan gas yang boleh menggerakkan turbin untuk janaan elektrik.

KEDUDUKAN Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia dan kawasan penanaman yang luas sehingga lima juta hektar memberi banyak kelebihan kepada negara.

Di samping penjanaan hasil minyak sawit sehingga dikatakan mencecah nilai RM90 bilion pada tahun lepas, industri komoditi terbabit juga menawarkan nilai ekonomi sampingan yang tidak kurang pentingnya.

Ramai mengetahui industri sawit juga menawarkan pelbagai peluang menjana industri hiliran hasil daripada sisa buangannya seperti bahan buangan sawit sisa kilang (POME) dan juga tandan sawit kosong.

Mereka yang berada di luar industri sawit mungkin tidak begitu memahami masalah penghasilan bahan sisa kilang ini yang mengandungi lignocellulosic, iaitu karbohidrat bercampur minyak serta mendakan koloid yang mengandungi antara 95 dan 98 peratus air, serta lima peratus pepejal.

Kehadirannya menyebabkan peningkatan COD atau chemical oxygen demand sehingga 65,500 miligram seliter (mg/L) manakala permintaan oksigen (BOD) sehingga 26,3000 mg/L..

POME juga sangat bersifat asid atau asidik pada nilai pH antara 3.8 dan 4.5 dengan warna coklat dengan suhu hampir 75 darjah Celsius.

Berdasarkan kriteria-kriteria berkenaan POME disifatkan sebagai sangat membebankan alam sekitar, serta memerlukan kawasan kolam yang luas untuk menyimpannya yang mungkin menyamai keluasan padang bola sepak.

Pada masa sama pula tempoh masa untuk menyimpan dan merawatnya hampir mencecah dua bulan dan ini menjadikan POME dianggap sangat berpotensi sebagai agen pencemar sungai di negara ini manakala keberkesanan untuk merawatnya tidak begitu konsisten.

Bayangkan pula jika terdapat sikap pemilik kilang yang tidak bertanggungjawab menyalurkan sahaja POME berkenaan terus ke sungai tanpa merawatnya terlebih dahulu yang akhirnya membawa bencana besar kepada alam sekitar khususnya persekitaran akuatik.

Sebab itulah banyak universiti yang mengambil inisiatif untuk menukarkan POME dari menjadi bebanan kepada pengilang dan seterusnya kepada alam sekitar dengan menjalankan penyelidikan bagaimana sisa kilang sawit itu sebenarnya boleh diangkat martabatnya sebagai bahan dagangan yang lebih bernilai.

POME antara yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan buangan yang boleh menjana kekayaan atau waste to wealth sama melalui satu proses kepada bentuk lain atau menukar POME itu sendiri kepada bahan berguna.

Satu daripada teknologi yang diperkenalkan oleh sebuah universiti tempatan ialah penghasilan gas metana daripada POME yang boleh menggerakkan turbin wap, sekali gus menjana elektrik yang boleh disalurkan kepada grid.

Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam UMP, Prof. Madya Dr. Zularisam Abdul Wahid yang menjalankan penyelidikan tersebut berkata, belum ada kajian yang begitu berkesan dan seumpamanya di negara ini yang mana sisa sawit tersebut dirawat untuk menjana tenaga alternatif.

Rawatan tersebut kata beliau menggunakan kalsium oksida (Cao-CKD) bagi meningkatkan granulasi enap cemar dan penghasilan gas boleh diperbaharui iaitu metana bagi rawatan POME berkenaan.

Beliau berkata, penyelidikan tersebut yang mengambil masa selama empat tahun bermula 2008 dan siap tahun lepas bertujuan memanfaatkan bahan buangan tersebut .

Penyelidikan berkenaan dijalankan dengan mencampurkan kalsium oksida sebagai bahan alkali bagi menaikkan pH (tahap keasidan) daripada debu simen buangan pada dos yang optimum bagi meneutralkan POME berkenaan.

Apabila bakteria yang sesuai dicampurkan ke dalam reaktor, gas metana akan dihasilkan.

Di samping meningkat tahap keasidan POME agar sesuai dengan aktiviti bakteria, bahan kalsium oksida yang kaya dengan pelbagai mineral seperti kalsium oksida (CaO), magnesium oksida (MgO), kalium oksida (K2O), aluminium oksida (Al2O3) dan lainnya juga mampu membekalkan nutrien tambahan kepada tumbesaran bakteria. CaO atau CKD (cement kiln dust) ialah habuk simen buangan dari kuari simen.

Penggunaan kalsium oksida ialah bertujuan untuk menggandakan formasi sel granul anaerobik melalui perkembangan granulasi enap cemar dan proses methanogenesis dengan pantas.

Hasil aplikasi teknologi hijau ini mampu merangsang pertumbuhan granulasi anaerobik sehingga tujuh kali ganda berbanding tanpa kalsium oksida.

Maka teknologi berkenaan secara tidak langsung mampu menjana gas metana sehingga lapan kali ganda berbanding kaedah konvensional dan penurunan bebanan COD, POME sehingga dua kali lebih tinggi.

Proses rawatan POME yang dulunya memerlukan satu hingga dua bulan boleh dikurangkan kepada antara empat dan tujuh hari sahaja," katanya yang menjalankan penyelidikan tersebut bersama penyelidik lain termasuk Dr. Anwar Ahmad, Dr. Mimi Sakinah dan Dr. Rumana Ghufran.

Beliau berjaya menghasilkan mesin bagi menghasilkan metana dengan kejayaan teknologi rawatan POME tersebut yang berupa sebuah reaktor ( UASB) atau Reaktor Balutan Enap Cemar, Anaerobik dengan kos yang lebih rendah lebih organik dan menghasilkan tenaga dalam bentuk biogas.

Lebih ekonomik

Mesin UASB yang dihasilkan amat menarik kerana lebih kecil, mudah alih kos efektif dan kesan penghasilan gas serta rawatan yang lebih baik berbanding kaedah konvensional yang perlu keluasan sehingga dua padang bulan dan memerlukan masa satu hingga dua bulan rawatan manakala kualiti efluen yang tidak stabil.

Dapatan kajian yang paling menarik ialah dapat meningkatkan pertumbuhan granul lebih tujuh kali berbanding kaedah konvensional serta penghasilan metana lebih lapan kali ganda.

Penghasilan metana ini boleh digunakan bukan sahaja untuk elektrik domestik tetapi juga sesuai untuk automasi, bahan bakar, dan tenaga buangan air.

Beliau berkata, pada hari ini, industri tenaga bernilai RM15 trilion manakala industri rawatan POME bernilai RM500 juta yang melibatkan 438 kilang di negara ini.

Lebih menarik, elektrik yang dijana daripada teknologi tersebut boleh dihantar ke grid utama penghantaran bekalan elektrik sebagai alternatif kepada sistem sedia ada .

Malah teknologi tersebut yang mungkin pertama di dunia lebih ekonomik dan mesra alam kerana memanfaatkan bahan buangan berkarbon.

Penyelidikan tersebut kata beliau boleh dipercayai yang pertama di dunia berdasarkan rekod penerbitan dan paten serta keputusan kajian paten.

Menurut Zularisam, hasil kajian beberapa jurnal yang berimpak tinggi menunjukkan penyelidikan tersebut adalah yang pertama dijalankan melibatkan penggunaan habuk buangan simen yang dimanfaatkan sebagai bahan penukar keasidan dan nutrien kepada bakteria penghasil metana.

Dengan penggunaan POME yang maksimum , kilang minyak sawit tidak lagi perlu menyediakan kawasan yang luas untuk menyimpan POME dan membiarkannya mencemarkan alam dengan bau serta larut resap.

Menurutnya lagi , untuk tujuan yang sama, semua jenis POME boleh digunakan selagi bahan buangan tersebut mempunyai sumber karbon yang mencukupi bagi membolehkan bakteria menukarkannya kepada gas metana iaiutu pada paras sekurang-kurangnya COD 20,000.0 mg/L dan ke atas.

Oleh itu, kata Zularizam, beliau mahu mengaplikasi teknologi tersebut di semua 438 kilang sawit yang ada di negara ini dan di peringkat awal, beliau mahu memulakannya dengan dengan sebua kilang sawit yang berpotensi.

Mana-mana kilang sawit yang berminat memerlukan kemudahan antara lain loji rawatan CaO Anaerobic Granulation-Biogas yang terdiri dari tangki pengumpulan POME , CaO-CKD , UASB, kebuk pembakaran , turbin wap dan saluran ke grid.

Kajian kelestarian sawit

Posted: 19 May 2013 10:06 AM PDT

Penubuhan SPOR di UMS mendorong kepada kajian mendalam berkaitan penyakit dan produktiviti.

BAGAIMANAPUN, di sebalik pulangan yang lumayan dijana oleh industri berkenaan, beberapa isu yang melingkari kemajuan komoditi penting negara itu perlu ditangani supaya dapat diurus secara lebih lestari.

Isu seperti penebangan hutan untuk membuka kawasan baru penanaman yang dikatakan telah menjejaskan habitat hidupan tertentu, penggunaan baja dan racun berleluasa, serta serangan penyakit dan perosak untuk tanaman monokultur ini antara yang masih membelenggu industri tersebut.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Minyak Sawit Lestari (SPOR), dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Chong Khim Phin , kajian oleh Universiti Wageningen, Belanda menunjukkan kelapa sawit merupakan tanaman pengeluaran tenaga yang paling efisien dan lestari di dunia.

Sawit berada sebaris dengan sorghum di China dan tebu di Brazil berdasarkan kepada kadar pengeluarannya hasilnya dengan keluasan tanah digunakan dan sekali gus dikaitkan dengan kadar penukaran karbon.

Menurut beliau lagi penyelidik- penyelidik di universiti berkenaan membandingkan sembilan tanaman dengan beberapa kriteria berkait dengan aspek-aspek kelestarian.

Laporan yang diterbitkan dalam Biomass and Bioenergy itu juga meletakkan biofuel dari jagung Amerika Syarikat dan gandum dari Eropah dengan skor yang rendah.

Sehubungan itu kata beliau, industri kelapa sawit merupakan tanaman komoditi yang amat penting di negara ini dan mungkin dunia kerana dapat membekalkan minyak dan lemak untuk memenuhi permintaan populasi dunia yang semakin meningkat.

Menyenaraikan cabaran panjang industri sawit itu telah mendorong Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah untuk menubuhkan Unit Penyelidikan Minyak Sawit Lestari (SPOR).

Unit tersebut telah menggembleng kepakaran dari multi disiplin di universiti berkenaan bagi memberi fokus kepada penyelidikan-penyelidikan pengurusan industri sawit secara mampan termasuklah memberi pendekatan kepada kawalan penyakit, peningkatan hasil dan pengurangan pergantungan kepada bahan kimia.

Bagaimanakah kita hendak meningkatkan pengeluaran dalam keadaan pembukaan tanah untuk penanaman tidak lagi dibenarkan. Tidak kurang pentingnya, harga minyak sawit jatuh mendadak sedangkan kos operasi terus meningkat disebabkan kos baja dan racun juga meningkat," ujarnya.

Isu lain termasuklah juga pergantungan berterusan kepada tenaga buruh asing manakala golongan muda tempatan tidak memilih industri sawit sebagai bidang yang mereka akan ceburi.

Oleh itu kata beliau, secara umumnya, kelestarian industri sawit adalah usaha menyahut cabaran utama industri sawit yang mana isunya perlu ditangani supaya memberi satu suasana harmoni dan lebih sihat kepada manusia, bumi dan juga pulangan.

Beliau berkata, untuk itu, tumpuan penyelidikan antaranya supaya pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan tanpa membuka kawasan penanaman baru.

Menekankan kepada isu-isu yang berkenaan, satu penyelidikan telah digerakkan yang mana UMS mendapat dana penyelidikan dibiayai oleh syarikat Nestle dengan menjalankan penyelidikan di Ladang Sawit Genting di Sandakan, Sabah.

Kajian terbahagi kepada dua bahagian iaitu menggunakan gabungan mikrob terpilih bagi mengurangkan penggunaan baja dan kedua, menggunakan mikrob yang sama bagi mengurangkan masalah penyakit reput pangkal yang disebabkan oleh patogen ganoderma.

Beliau menjelaskan, SPOR yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat telah mula beroperasi dan memberi fokus kepada penggunaan mikrob berkenaan.

Mikrob terbabit dianggap sebagai buruh yang membantu meningkatkan hasil tanpa penggunaan baja yang banyak berbanding sebelum ini.

Oleh itu dari laporan awal, kami mendapati pengurangan penggunaan baja sehingga 50 peratus di ladang ini tidak menjejaskan hasilnya dengan mikrob dalam tanah," ujarnya.

Data awal menunjukkan tidak ada perubahan kepada pengeluaran hasil buah segar meskipun baja telah dikurangkan tetapi katanya, kajian menyeluruh akan hanya diperoleh keputusannya hujung tahun ini.

Kajian kedua pula menggunakan kumpulan mikrob yang sama tetapi tumpuan kepada membasmi pengawalan penyakit ganoderma pada pokok sawit.

Penyakit reput pangkal yang disebabkan oleh ganoderma dikatakan begitu mengancam industri sawit ketika ini yang mana kehilangan boleh mencecah sehingga RM1.5 bilion akibat kematian pokok atau pengurangan berat tandan segar.

Menurut beliau, penyakit berkenaan sebelum ini, hanya menyerang pokok berusia 25 tahun dan tetapi menjadi lebih agresif ketika ini dengan menyerang pokok-pokok muda termasuklah anak pokok di peringkat nurseri.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penyelidikan tersebut beliau berkata, penggunaan mikrob semula jadi ini bagaimanapun akan menghadapi masalah berkaitan kemandiriannya di dalam tanah.

Ini kerana penggunaan racun rumpai dan juga baja yang berleluasa atau berlebihan akan menjejaskan populasi mikrob.

Ini kerana mikroorganisma bermanfaat sama ada semulajadi dalam tanah ataupun yang baru diperkenalkan mungkin akan bermigrasi dari lapisan tanah di atas ke bahagian bawah.

Tujuannya ialah bagi mengelakkan ketoksikan bahan-bahan kimia ini dan sudah tentunya akan mati sekiranya mereka adalah dari kategori mikrob aerobik.

Secara hakikatnya, ganoderma adalah merupakan satu saprofit atau patogen lemah dan mudah dibunuh dalam kajian makmal.

Bagaimanapun dalam keadaan di ladang sebenar dengan populasi mikrob bermanfaat yang rendah disebabkan oleh ketoksikan bahan agrokimia. Ini mungkin menyediakan satu ruang yang baik untuk ganoderma terus menjangkiti pokok sawit tanpa gangguan dari mikrob bermanfaat ini.

Selain itu, penggunaan mikrob bermanfaat ini juga boleh dianggap sebagai perangsang kepada pokok sawit untuk melawan penyakit tetapi kehadirannya mestilah pada kadar yang sesuai supaya tindakannya berkesan.

Sehubungan itu hasil penyelidikannya juga menunjukkan beberapa metabolit semulajadi dalam pokok sawit boleh ditingkatkan oleh perangsang semulajadi untuk pertahanan pokok sawit.

Selain itu beliau juga telah berjaya memformulasikan kombinasi asid fenolik (metabolit semulajadi dari pokok sawit) yang diberi jenama Lestani bagi tujuan mengawal ganoderma dengan berkesan.

Sebenarnya masalah ganoderma ini wujud sejak tanaman komoditi lain seperti koko , kelapa dan getah . Apabila penanam beralih kepada kelapa sawit, penyakit tersebut menjangkiti tanaman berkenaan," ujarnya. - LAUPA JUNUS

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat