Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 20 May 2013 11:57 AM PDT Oleh Zulkifli Jalil PEKARANGAN Masjid Negeri Shah Alam pada satu malam bebeberapa hari selepas pakatan pembangkang menang sekali lagi di Selangor, memang meriah. Kereta bersesak-sesak masuk memenuhi petak-petak letak kereta masjid. Yang meletak kereta dalam perkarangan letak kereta masjid semacam bukan gaya nak ke masjid. Yang mudanya berbaju T, berseluar separuh lutut. Hendak dikatakan seluar pendek bukan, seluar panjang pun bukan. Yang agak dewasanya, membawa anak-anak dan isteri, dengan anak remajanya pun gaya sedemikian juga. Dan yang menghairankan lelaki-lelaki dewasa yang keluar dari kereta yang diletakkan di situ, dalam kawasan masjid - ramai bukan kalangan Islam. Tidak ada kelibat pengawal keselamatan masjid di situ. Rupa-rupanya bukan masjid yang dituju oleh rombongan yang berkereta dan memonopoli petak-petak letak kereta Masjid negeri itu tetapi dataran kemerdekaan, Seksyen 10 bersebelahan - untuk meraikan majlis kesyukuran pakatan pembangkang kekal di negeri itu tadi. Di belakang pentas yang dijadikan platform berucap pada malam itu berkerumun lelaki dan wanita Pas mengambil gambar mereka yang sedang menjamah makanan di situ. Bagaikan artis, yang antaranya termasuk Teresa Kok dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang asyik menjamu selera. Sememangnya kawasan dataran kemerdekaan pada malam itu meriah. Pas khususnya menempatkan gerai-gerai sup ekor, sup gear box, sup tulangnya serta gerai wajib mereka - menjual kaset-kaset ucapan politik, akhbar-akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Rocket. Cuma, yang luar biasa kali ini dalam siri menempatkan gerai-gerai semasa ceramah pembangkang' ialah jualan baju-baju T berwarna hitam, tertera perkataan blackout - meskipun jelas tidak ada laporan terputus bekalan elektrik di pusat-pusat pengiraan undi pada 5 Mei lalu. Baju-baju serba hitam ini merata dijual di dataran berkenaan. Beberapa kumpulan kecil anak-anak muda berumur lingkungan 20-an dan 30-an seakan-akan naik syeh apabila mengenakan baju berkenaan. Kita jangan tunggu lima tahun lagi. Kita ubah sekarang...UMNO penipu, BN pembohong," kata seorang dua anak muda yang kedengaran jelas di telinga penulis dan beberapa rakan. Di dataran itu semua yang ada menjadi rakan. Yang tak kenal disapa asalkan sahaja berbaju blackout. Empat lelaki muda Cina berlilitkan kepala lambang Pas dan kalimah Allah, disalam oleh beberapa lelaki memakai baju bulan. Didakap-dakap bagaikan rakan lama yang baru ketemu. Di dataran itu, UMNO dan BN seolah-olah tidak ada sekelumit jasa walaupun telah 50 tahun memerintah Malaysia. Yang datang ke dataran itu rata-rata menghamburkan kata-kata berbaur herdikan dan tohmahan kepada UMNO. Yang menghairankan nama MCA, Gerakan dan MIC langsung tidak kedengaran daripada suara-suara yang memenuhi dataran berkenaan yang bagaikan satu pesta. Sesuatu yang nyata berdasarkan senario di dataran berkenaan pada malam itu ialah UMNO jelas menjadi musuh besar hadirin dataran berkenaan. Dan yang nyata, sebilangan anak muda yang ada di dataran itu kalau kita amati boleh dipersoalkan sejauh mana tahap pengetahuan mereka tentang politik. Politik tulen, demokrasi, kenegaraan dan terbaharu, tsunami Cina. Apakah anak-anak muda Melayu sedar akan implikasi janji-janji mi segera turunkan harga minyak, hapuskan tol, lupus PTPTN dan lain-lain kepada ekonomi negara. Walaupun apa pun telahan kita, sentimen dan jiwa anak muda Malaysia pada hari ini sudah berubah, sesuatu yang harus semua pihak akui ialah golongan inilah akan menjadi penentu masa depan negara. Pengundi baru yang akan memasuki daftar pemilih hujung tahun ini dan 2014 nanti adalah mereka yang celik IT (teknologi maklumat) dan terdedah banyak maklumat laman sosialnya. Dan mereka ada di mana-mana program di setiap perhimpunan tanpa permit anjuran Anwar Ibrahim. Atas kertas, apabila mereka ini yang dalam lingkungan 18 dan 19 tahun memasuki rekod pengundi berdaftar PRU-14, maka akan secara automatik menjadi penyokong tegar pembangkang. Tidak sokong BN. Melayu telah pecah tiga - UMNO, Pas dan PKR manakala kaum Cina tetap solid - satu, DAP. Justeru, sewajarnya perkara ini diambil iktibar oleh banyak pihak terutamanya UMNO yang menjadi tonggak BN. UMNO kena beri tumpuan serius kepada golongan muda yang penulis sebutkan tadi. Ini termasuk di dataran kemerdekaan Shah Alam tempoh hari. Daripada raut wajah mereka ini boleh penulis nukilkan yang penuh dendam dan agak liar. Jika sesuatu tidak dilakukan, maka jadilah seperti mana yang boleh dilihat semasa satu program anjuran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini yang rata-rata hadirinnya daripada kalangan orang tua. Bertitik-tolak dari isu inilah, UMNO kena menggunakan orang muda untuk menggerakkan orang muda. Bukannya menggunakan orang tua untuk mengejutkan atau mengajar orang muda tentang politik semasa tanah air. Orang muda bukan macam dulu dengar cakap. Mereka di era sekarang mahukan orang tua atau pemimpin mendekati mereka dan menyampaikan sesuatu dalam bentuk yang berseronok. Kalau untuk memberi mereka ilmu pengetahuan, mereka perlukan rakan sebaya yang mereka hormati. Dalam budaya Melayu, ada sikap orang muda kena hormat orang tua tetapi dalam konteks sekarang adalah orang tua tahu apa yang dia cakap. Dari satu segi lain, UMNO harus menggerakkan sukarelawan parti yang terdiri daripada orang muda. Yang ketara ialah peranan cybertroopers di sebelah kerajaan yang kurang nampak pada PRU-13. Apatah lagi berkesan. Padahal di pihak pembangkang termasuklah anak-anak muda tegar serta sebilangan kaum Cina sendiri sanggup langgar apa sahaja dengan merosakkan imej SPR, UMNO, BN dan kerajaan. Mereka ini tahu benda yang tidak boleh diambil tindakan oleh SKMM, SPR dan polis. Setakat denda RM2,000 atau RM3,000 tak jadi hal. UMNO perlu ada suara jitu, menyerapkan barisan sukarelawan yang sarat dengan semangat perjuangan parti dan negara tanpa bersandarkan kepada elaun semata-mata. Kerajaan boleh ambil iktibar serta mencuba pengalaman ketika bangkit semula selepas UMNO diharamkan sekitar 1988. Bagaimana kepemimpinan parti berupaya menghidupkan balik UMNO lama kepada yang baharu. Dan bagaimana selepas Anwar menggerakkan reformasi jalanannya pada akhir 1990-an tetapi berjaya dikekang kemas oleh pucuk pimpinannya masa itu. PRU-13 tempoh hari menampilkan kira-kira 2.5 juta pengundi yang pertama kali mengundi. Sentimen sebilangan anak muda waktu ini jelas amat menggusarkan. Mereka berada di pihak pembangkang semata-mata hendak menumbangkan UMNO dan BN meskipun Malaysia telah melepasi proses demokrasi tulen. Di sini letaknya peranan UMNO dan BN. Asaklah universiti dan IPTS. Jangan biarkan anak muda terkontang-kanting seorang dengan hanya diperdaya elemen demokrasi berbahaya. Apakah orang Melayu akan menjadi minoriti pada PRU-14 apabila pihak lain menjadi dominan di kertas-kertas undi? Barangkali benarlah mengapa pepatah menang sorak kampung tergadai itu muncul. Nampaknya orang tua-tua lebih maklum apa yang bakal tercetus pada masa depan. Dicetuskan oleh puak-puak Pas, PKR dan DAP ini. |
Posted: 20 May 2013 11:57 AM PDT Khabar Dari Alor Setar ANGKA 48 memberi erti persamaan antara Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Hussein Obama ketika berada di puncak kuasa. Mukhriz yang dilahirkan pada November 1964, mengangkat sumpah memegang jawatan orang nombor satu di Kedah itu pada 6 Mei lalu ketika berusia 48 tahun, enam bulan (mengikut kiraan bulan). Obama yang dilahirkan pada 1961, mengangkat sumpah memegang jawatan yang dikatakan paling berpengaruh di dunia itu, juga ketika berusia 48 tahun iaitu pada Januari 2009 selepas menang pilihan raya presiden pada November 2008. Sungguh pun begitu, dari segi usia, Mukhriz dan Obama tidak dapat menandingi kehebatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Menteri Besar Pahang dengan jayanya seawal usia 29 tahun pada 1982. Dari sudut lain, Mukhriz sebagaimana Obama, sebaik-baik sahaja memegang jawatan tertinggi masing-masing, berdepan dengan cabaran yang hampir sama iaitu mengurus krisis kewangan. Obama terpaksa menangani krisis kemelesetan ekonomi global dan krisis kewangan AS manakala Mukhriz berdepan dengan usaha mengatasi masalah kewangan negeri dan kelembapan ekonominya selepas gagal ditadbir oleh Pas Kedah. Akibat kekurangan sumber kewangan negeri, Pas Kedah terpaksa menebang balak, timbul krisis kewangan di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hingga kebajikan warganya terabai, kerajaan negeri memansuhkan rebat cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM), lesen pusat hiburan banyak dikeluarkan dan sebagainya. Warisan peninggalan Pas Kedah penuh permasalahan, contohnya kadar kemasukan pelaburan asing terlalu kecil hingga projek-projek pembangunan terbantut dan hasil pendapatan negeri tidak berkembang. Ke depan, rakyat meletakkan harapan menggunung tinggi terhadap pentadbiran Mukhriz bersama saf kepimpinan exco-exco baharu untuk membawa mereka keluar daripada belenggu itu dan seterusnya mencapai hasrat Kedah sebagai sebuah negeri maju berpendapatan tinggi. Apa yang menarik barisan Exco itu juga mencerminkan keyakinan terhadap golongan muda apabila enam daripada lapan Exco dilantik pada 15 Mei lalu adalah pemimpin berusia 40-an dan yang termuda ialah Pengerusi Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Nor sabrina Mohd. Noor, 34. Exco berusia 40-an ialah Datuk Suraya Yaacob, 44, sebagai Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan; Badrul Hisham Hashim, 44, (Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan), Aminuddin Omar, 45, (Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-Badan Bukan Kerajaan), Mohd. Rawi Abd. Hamid, 46, (Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan) dan Datuk Mohd. Tajudin Abdullah, 49, (Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan). Hakikatnya, pelantikan mereka bukan sahaja diyakini mampu membawa idea-idea baharu dan segar dalam pasukan tranformasi negeri tetapi juga dilihat berupaya menggalas tanggungjawab di portfolio masing-masing berdasarkan latar belakang dan merit. Apatah lagi, mereka digabungkan dalam kombinasi mantap pemimpin berpengalaman iaitu Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail, 60, selaku Pengerusi Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi dan Datuk Tajul Urus Mat Zain, 61, selaku Pengerusi Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya. Melihat kepada strategi dan pendekatan kepimpinan negeri dengan dibantu kesinambungan erat antara pentadbiran Kedah dengan Kerajaan Pusat, hasrat rakyat tersebut tidak mustahil untuk dicapai. Mungkin ada yang akan berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil, Kedah takkan maju, takkan mampu majukan Kedah, tapi percayalah ia tidak mustahil selagi kita fikirkan inilah masanya untuk melakar masa depan yang lebih cerah," kata Mukhriz pada majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional (BN) peringkat Jerlun baru-baru ini. Antara strategi itu ialah cadangan mewujudkan bandar getah di Padang Terap, hab aeroangkasa di Changlon, kawasan perindustrian bercampur Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dan pusat industri minyak di Jerlun dan Yan. Kerajaan negeri bakal meningkatkan jumlah pelaburan berskala besar dengan mewujudkan taman teknologi baharu seumpama Taman Teknologi Tinggi Kulim selain memajukan lagi sektor pelancongan. Melalui sektor pendidikan tinggi dengan membuka sebuah universiti penyelidikan dan pembangunan teknologi tinggi antarabangsa di Alor Setar. Mukhriz juga menggariskan agar kemajuan negeri bukanlah pembangunan infrastuktur fikizal sahaja tetapi ia juga merangkumi pembangunan sahsiah, rohani, sosial dan kebajikan rakyat. Kesemua rancangan itu dijangka dicapai dalam tempoh lima tahun sebagaimana terkandung dalam manifesto Aku Janji BN. Apa pun, di bahu kepimpinan negeri kini tergalas amanah besar untuk menjayakan segala perancangan berkenaan dan sekali gus memastikan kemajuan rakyat dan negeri Jelapang Padi ini. PENULIS adalah Ketua Biro Kedah, Utusan Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |