Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 15 May 2013 12:24 AM PDT Oleh SITI AISHAH YUSOFF JIKA melibatkan masalah wang ringgit mak cik tiada masalah untuk membantu, tambahan sudah biasa hidup senang dan susah bersama-sama suami, tetapi apabila berkaitan dengan soal hati dan perasaan memang mak cik sudah tidak mampu untuk menanggungnya lagi." Itulah luahan hati seorang ibu, Sakinah (bukan nama sebenar), 65, yang tidak sanggup melihat penderitaan dan dugaan yang ditanggung anak tunggalnya sejak dimadukan 17 tahun dahulu. Tambahan, bukan sahaja anaknya, Arfah (bukan nama sebenar), 39, terpaksa merasai derita perit dimadukan, malah situasi tersebut turut dirasai Sakinah bersama suaminya, Hassan (bukan nama sebenar), 69, apabila mereka mula tinggal serumah dengan anaknya itu sejak empat tahun lalu yang terletak di Selangor. Bercerita lanjut ketika ditemui dalam satu majlis kesyukuran, ujar Sakinah, dia bersama suami yang baharu sahaja bersara daripada agensi kerajaan di Perak, telah mengambil keputusan untuk tinggal bersama anaknya itu apabila telah dipelawa beberapa kali. "Selepas pencen, kami tinggal di kampung. Arfah yang tidak bekerja jarang pulang ke kampung kerana suaminya sibuk sebagai seorang ahli usahawan. "Tambahan Arfah terpaksa berkongsi kasih bersama madunya sejak suaminya berkahwin lain ketika usia perkahwinan mereka memasuki tiga tahun. "Pada mulanya kami tanpa berfikir panjang, bersetuju untuk tinggal dengan Arfah dan suaminya kerana hanya dengan cara itu kami berpeluang menumpang kasih dengan cucu yang seramai tujuh orang itu," katanya. Sakinah berkata, selepas setahun tinggal bersama anaknya, baharu dia mengetahui pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga Arfah. "Sebelum ini, memang kami mengetahui Arfah hidup bermadu. Tetapi apabila mula tinggal sebumbung baharu saya mengetahui perangai sebenar menantu. "Tidak dinafikan menantu kami adalah seorang yang bertanggungjawab dan adil terhadap Arfah dan anak-anaknya walaupun mempunyai isteri kedua yang juga tinggal dalam satu kawasan yang sama. "Namun, menantu kami ini sebenarnya seorang yang panas baran dan cepat naik tangan apabila berlaku pertengkaran antara mereka berdua," katanya. Jelasnya lagi, pada mulanya dia dan suami agak terkejut apabila setiap kali Arfah dan suaminya bergaduh, menantunya akan bertindak di luar kawalan seperti membaling barangan rumah yang berdekatan dengannya. "Yang paling sedih apabila saya tidak sanggup mendengar Arfah dimaki hamun. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang Arfah terpaksa menanggung kesakitan apabila dipukul oleh suaminya. "Kadang-kadang pertengkaran mereka berlaku di hadapan anak-anak yang semakin meningkat dewasa. "Walaupun saya dan suami tinggal bersama, tetapi kami tidak mampu menyelesai masalah dan menenangkan mereka setiap kali mereka bergaduh. Saya hanya mampu melihat sambil air mata berlinangan jatuh di pipi kerana terlalu sedih dengan nasib yang menimpa Arfah. "Hanya sesekali apabila keadaan terlalu teruk, suami saya akan cuba menasihati dan menghalang daripada menantu saya terus memukul Arfah. "Beberapa kali juga kami dimaki oleh menantu dan cuba menghalau kami keluar dari rumah jika masuk campur dalam rumah tangga mereka," katanya. Sakinah berkata, selalunya mereka bergaduh melibatkan isu orang ketiga yang cuba memporak- perandakan rumah tangga anaknya. "Walaupun Arfah sudah lama bersabar dengan kerenah suaminya yang suka memainkan perasaan wanita, tetapi hati isteri mana yang sanggup menanggung perasaan apabila jiran sekeliling bercerita tentang suaminya yang didakwa telah berkahwin buat kali ketiga. "Apabila dipanjangkan soalan tersebut, suaminya tidak mengaku dan mengatakan bahawa itu hanya fitnah yang bertujuan meruntuhkan rumah tangga mereka," katanya. Ujar Sakinah lagi, bukan dia dan suami tidak pernah terfikir untuk kembali menjalani kehidupan di kampung, tetapi apabila mengenangkan keselamatan dan simpati dengan nasib anak dan cucu-cucunya, mereka pendamkan sahaja hasrat tersebut dan terus bersabar untuk tinggal bersama-sama Arfah. "Dalam sebulan beberapa kali mereka akan bertengkar. Jika bertengkar, suara mereka pasti dapat didengari jiran-jiran. Mula-mula saya sangat berasa malu dengan kejadian yang menimpa, tetapi lama-kelamaan perasaan itu semakin terhakis. "Tambahan, saya menghidap penyakit darah tinggi dan saya perlu memastikan penyakit saya ini tidak membawa mudarat akibat terlalu susah hati dengan apa yang berlaku kepada rumah tangga Arfah," katanya. Sakinah mengakui, walaupun mereka tinggal bersama menantu, mereka tidak mengharap semua keperluan ditanggung oleh menantu. "Kami juga punya pendapatan sendiri hasil duit pencen suami," katanya. |
Posted: 15 May 2013 12:24 AM PDT Harun Ar Rasheed Ibrahim (barisan tengah, enam dari kiri) bersama Aznan Bakar (tengah) dan Mohd. Radzi Zin (barisan tengah, empat dari kanan) bersama para finalis Peraduan Gerbang Cinta Utusan Malaysia Musim Keempat di Rumah Seri Kenangan, Seremban, Negeri Sembilan. BIARPUN hanya sebentar dapat 'bersama' keluarga angkat masing-masing tetapi kesemua pasangan dapat melaksanakan tugasan yang diberikan sebaik mungkin. Setiap pasangan juga dilihat tidak kekok untuk melayan keluarga angkat ketika berkunjung ke Rumah Seri Kenangan, Seremban, Negeri Sembilan, dan Rumah Anak Yatim Nur Hikmah, Kajang, Selangor, baru-baru ini. Bagi tugasan pertama di Rumah Seri Kenangan, setiap pasangan diberikan tanggungjawab untuk mendekati ibu bapa angkat mereka selain melayan warga emas ini ketika menikmati hidangan tengah hari. Selain itu, setiap pasangan turut diberikan tugasan mencipta sajak serta mendeklamasikannya kepada ibu atau ayah angkat masing-masing dengan penuh perasaan. Bagi 'ibu atau bapa angkat', masa yang singkat diperuntukkan untuk mereka 'menumpang kasih' bersama finalis Gerbang Cinta tidak disia-siakan apabila turut memberikan sepenuh kerjasama. Walaupun mereka menyedari kehadiran para peserta Gerbang Cinta hanyalah untuk sementara waktu, tetapi sedikit pun tidak menghalang mereka mengenali antara satu sama lain dan menjalinkan kemesraan. Menurut Penguasa rumah tersebut, Harun Ar Rasheed Ibrahim, kunjungan para peserta Gerbang Cinta walaupun hanya untuk melaksanakan tugasan akhir tetapi sebenarnya dilihat mampu mengeratkan hubungan sesama manusia. Katanya lagi, program sedemikian merupakan salah satu cara untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan anak muda supaya dapat menilai pengorbanan yang dilakukan kedua ibu bapa mereka. "Menerusi pertemuan singkat ini, secara tidak langsung mereka juga mampu memperoleh sedikit sebanyak ilmu rumah tangga daripada penghuni rumah ini. "Walaupun penghuni di sini kurang bernasib baik tetapi sekurang-kurangnya para peserta dapat pengajaran serta iktibar daripada apa yang berlaku. GEMBIRA... finalis Peraduan Gerbang Cinta Utusan Malaysia Musim Keempat bersama sebahagian kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Nur Hikmah, Kajang, Selangor. "Apa yang diharapkan selepas ini semua ibu bapa akan lebih dihargai oleh anak masing-masing," ujarnya ketika ditemui pada program berkenaan, baru-baru ini. Tambahnya, penghuni di sini akan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang mengunjungi mereka kerana mereka jarang dikunjungi pelawat mahupun sanak saudara terdekat. Yang turut hadir pada program tugasan peringkat akhir ini ialah Pengarang Mega, Aznan Bakar, Pengarang Meja Keluarga dan Wanita, Siti Zaleha Jorimai, Pengarang Meja Prosesan, Mohd. Radzi Zin dan beberapa wakil penaja. Dalam pada itu, kesemua 10 finalis yang melakukan tugasan akhir tersebut dipilih daripada 30 pasangan peraduan berkenaan yang telah disenarai pendek. Peraduan Gerbang Cinta kali keempat anjuran akhbar Utusan Malaysia ini masih lagi mengekalkan beberapa penaja yang sama sebagai rakan strategik seperti Mastar Catering (penaja jamuan), Kampung Pengantin (lokasi dan jamuan), Afidah Khamis Makeup and Stuff (solekan), CJ Print (kad kahwin), Dios Astana Bridal (pakaian pengantin). Selain itu, turut menaja Precious Moments (pelamin), Suri Permai Spa (spa) dan D'Sayang Entertainment (sistem siar raya), Sweet and Sour Photo Design (fotografi), Poto Travel (pakej bulan madu) dan Utusan Online. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |