{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Terowong jadi 'tasik'

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

PAPAN tanda ini telah lama dipasang tetapi sehingga kini kerja menaik taraf sistem saliran berhampiran Stesen Komuter UKM di Bangi, Selangor termasuk terowong ini masih belum dilaksanakan. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHAR

BANGI 21 Mei - Biarpun hujan tidak sampai 10 minit, keadaan di dalam terowong Stesen Komuter (KTM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berdekatan Kampung Sungai Tangkas, di sini akan berubah seperti kolam air.

Malah, air yang mengalir deras di dalam terowong itu turut membawa lumpur yang didakwa berpunca daripada projek pembangunan perumahan di kawasan berdekatan yang sedang dilaksanakan.

Terowong tersebut adalah laluan utama yang menghubungkan penduduk dari taman-taman perumahan berdekatan dan Kampung Sungai Tangkas untuk ke Jalan Reko.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kerja-kerja mencuci longkang yang dipenuhi lumpur di kawasan itu baharu sahaja dilaksanakan selepas banjir kilat berlaku minggu lalu.

Difahamkan, masalah banjir kilat di kawasan itu sering berlaku sejak lebih 10 tahun lalu tetapi sehingga kini tiada kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Selain itu, longkang-longkang kecil yang tidak lagi dapat menampung aliran air dari kawasan tinggi juga dipenuhi sampah-sarap sehingga memburukkan lagi keadaan.

Utusan Malaysia turut diperlihatkan rakaman video oleh seorang pemandu teksi yang enggan dikenali di Stesen Komuter UKM itu mengenai banjir yang berlaku baru-baru ini.

Rakaman tersebut menunjukkan kawasan terowong sehingga ke tempat meletak kenderaan stesen tersebut bagaikan sebuah tasik apabila dipenuhi air dan menghalang lalu lintas sama sekali.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Stesen KTM UKM, J. Pithavadian berkata, sistem perparitan tersebut perlu dinaik taraf segera untuk mengelak kejadian banjir kilat berulang.

Ujarnya, selama sembilan tahun mengambil dan menurunkan penumpang di situ, dia mendapati air akan bertakung dengan pantas dan hanya akan surut selepas setengah jam hujan berhenti.

"Kalau air naik, laluan pejalan kaki stesen komuter ini juga akan dipenuhi air, malah kami terpaksa mengubah teksi ke kawasan lebih tinggi untuk mengambil penumpang yang baharu sampai," katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, A. Vijian, 53, berkata, di jalan tersebut juga sering berlaku kesesakan pada waktu pagi dan keadaan akan bertambah buruk sekiranya banjir kilat berlaku.

"Memang ada laluan alternatif untuk keluar dari kampung ini, tetapi penduduk lebih banyak menggunakan terowong ini kerana jalan tersebut lebih jauh," katanya.

Mahu KL selesa, bersih didiami

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor memeriksa perbarisan kehormat unit perbarisan DBKL sempena majlis Sambutan Menteri Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kementerian Wilayah Persekutuan komited dalam menangani pelbagai masalah yang terdapat di ibu kota bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang selesa dan bersih untuk didiami oleh semua lapisan masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kementeriannya melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku terutamanya isu kesesakan jalan raya dan banjir kilat.

"Kita sedia maklum bahawa masalah kesesakan berlaku hampir setiap hari disebabkan pembangunan yang pesat, sebagai contoh projek pembangunan Mass Rapid Transit (MRT), oleh itu satu pendekatan yang baharu perlu dilaksanakan bagi menangani perkara ini.

"Saya juga akan turun padang bersama penguat kuasa DBKL untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya banjir kilat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri taklimat bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi DBKL di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan berkata, kementeriannya juga telah meminta DBKL untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina rumah mampu milik bagi golongan muda.

"Selain itu kami juga akan menyediakan rumah khusus bagi pekerja-pekerja sektor perkhidmatan bagi memudahkan mereka untuk pergi dan pulang ke tempat kerja dengan selamat.

"Ia juga bagi memudahkan pekerja yang tinggal jauh untuk berulang-alik ke tempat kerja," ujarnya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menggantikan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Penduduk terasa 'kehilangan' Nong Chik

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bersalaman dengan orang ramai dalam Majlis Malam Penghargaan Kepada Jentera PRU-13 BN Bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mei - Sokongan tidak berbelah bahagi anggota jentera dan penyokong terhadap Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tetap akan diteruskan walaupun beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

Walaupun bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu gagal menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai daripada Nurul Izzah Anwar yang mewakili Parti Keadilan Rakyat, hal itu sama sekali tidak menjejaskan sokongan penyokongnya yang tahu benar mengenai komitmen beliau selama ini.

Kekalahan itu disifatkan sebagai kalah bermaruah berikutan usaha yang dilaksanakan Raja Nong Chik untuk keselesaan warga Lembah Pantai dalam tempoh empat tahun sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan sekitar Lembah Pantai mendapati rata-rata peniaga dan penduduk menerima kekalahan Raja Nong Chik dengan rasa kecewa tetapi reda.

Bagaimanapun, mereka lega apabila Raja Nong Chik memberi jaminan akan terus fokus untuk berkhidmat kepada para penduduk di kawasan itu.

Peniaga makanan, Suriyati Abdul Khalid, 38, masih berasa kecewa kerana kemenangan tidak berpihak kepada Raja Nong Chik.

"Saya memang yakin beliau akan menang tetapi jangkaan saya meleset. Bagaimanapun, beliau kalah dengan bermaruah berikutan pelbagai usaha telah dilaksanakan demi keselesaan kami," katanya ketika ditemui.

Suaminya, Khusairi Yahya, 47, menyifatkan kemenangan Nurul Izzah tidak memberi apa-apa makna berikutan tiada perubahan yang beliau lakukan sejak empat tahun sebelum ini.

"Saya tidak nampak Nurul Izzah membawa apa-apa perubahan di kawasan ini, yang beliau tahu hanya protes sahaja. Saya harap selepas ini beliau dapat menunaikan janji-janjinya," jelasnya.

Tukang jahit, Maria Md. Salim, 57, mengakui berasa sedih dan berharap Raja Nong Chik diberi peluang sekali lagi bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Beliau memang selalu turun padang membela nasib penduduk dan peniaga tidak kira kaum dan agama. Apa sahaja masalah penduduk, beliau akan selesaikan dengan segera," ujarnya.

Sementara itu, walau pun tewas Raja Nong Chik mengadakan majlis penghargaan kepada anggota jentera Barisan Nasional Lembah Pantai malam tadi.

Beliau berkata, walaupun gagal menang, beliau akan terus memperjuangkan kebajikan masyarakat di kawasan itu.

"Saya kalah dengan bermaruah kerana tidak menggunakan cara yang kotor untuk menang.

"Kita lihat apa yang dia (Nurul Izzah) buat untuk bantu rakyat selepas ini. Walaupun jarang turun padang melihat keadaan masyarakat di sini, namun beliau tetap menang kerana pandai berkata-kata dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan," katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Dalam majlis itu, Raja Nong Chik turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada jentera BN kawasan itu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat