{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Kes Mohd. Rafizi, bekas kerani disebut 10 Jun

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

SHAH ALAM 16 Mei - Kes Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, (PKR) Mohd. Rafizi Ramli dan seorang bekas kerani bank yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Jun ini.

Hakim G. Rames menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu rayuan yang dikemukakan oleh Mohd. Rafizi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Rayuan tersebut akan didengar pada 23 Mei ini.

Mohd. Rafizi, 36, dan Johari Mohamad, 42, yang hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam bela, Michelle Yesudas sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Haziq Razali.

Pada 23 November 2012, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menolak permohonan Mohd. Rafizi untuk mengetepikan pertuduhan itu selepas mendapati permohonan itu bersifat pramatang.

Mohd. Rafizi memfailkan permohonan itu pada 10 September tahun lalu atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen berkenaan bermotifkan politik.

Pada 1 Ogos 2012, Mohd. Rafizi mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun bank tiga syarikat yang terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada konsultan media, Yusof Abdul Alin dan wartawan akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa mempunyai akses kepada salinan rumusan akaun Public Bank milik National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), National Meal & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun peribadi Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Mohd. Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Johari yang merupakan bekas kerani (bahagian kredit) Public Bank Bhd. cawangan Jinjang pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Rafizi melakukan perbuatan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) akta tersebut dibaca bersama Seksyen 97(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Tiga pengarah, bekas pengarah Genneva bebas

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (GSB), daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian terhadap tiga pengarah syarikat itu iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan bekas pengarahnya, Liew Chee Wah, 59.

Keputusan tersebut dibuat setelah beliau mendapati keterangan pembelaan kesemua tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

''GSB tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.

''Keterangan pembelaan dan bukti yang dikemukakan menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaanya sememangnya wujud dan bukan rekaan semata-mata,'' ujar Rozana.

Kata beliau, pihak pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli balik atau buy back guarantee (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.

Namun katanya, mahkamah berpendapat, diskaun atau rebat dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.

Menurut beliau, GSB juga melalui BBG memberi pilihan kepada pelanggannya sama ada untuk menjual balik emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.

Rozana berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan GSB menjalankan aktiviti jual beli emas seperti yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata beliau, mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.

Katanya, transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam mahupun daripada hasil aktiviti haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Poh Weng didakwa atas 93 pertuduhan, Yuen Seng menghadapi 40 pertuduhan sementara Wai Leong dituduh atas 61 pertuduhan dan Chee Wah pula 30 pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kesemua tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesan yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di sini, antara November 2008 dan Julai 2009 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama.

Poh Weng, Yuen Seng dan Wai Leong diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Chee Wah diwakili peguam Keppy Wong.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa memohon penggantungan pelaksanaan keputusan itu agar aset syarikat tersebut kekal dibekukan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Wong bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan keputusan itu adalah penting dan BNM patut mempertimbangkan semula pembekuan aset tersebut bagi membolehkan para pelabur mendapatkan kembali pelaburan mereka.

Rozana kemudian memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan permohonan pengantungan secara rasmi hari ini supaya beliau boleh mendengar permohonan itu esok.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat