Utusan Online - Pendidikan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pendidikan |
Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT Oleh NAZARUDIN SHAHARI Mohamad Hasan bersama sebahagian warga pendidik selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Makan Malam sempena perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Padang MPS di Seremban, malam semalam. Turut kelihatan Abd. Ghafar Mahmud (dua dari kanan). - UTUSAN/ Abd. Razak Aid SEREMBAN 16 Mei - Lebih 5,000 warga pendidik dari seluruh negara diraikan pada Majlis Makan Malam Negeri sempena perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42, 2013, di sini malam tadi. Majlis anjuran kerajaan negeri itu diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dekat sini. Majlis berkenaan adalah satu daripada 10 acara utama sambutan perayaan Hari Guru yang telah diatur mulai 30 April lalu hingga hari ini. Yang turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Kalsom Khalid. Mohamad yang berucap pada majlis tersebut berkata, pengorbanan dan jasa seorang guru yang tidak pernah jemu dan penat mendidik seorang anak bangsa perlu dihargai dan diingati seumur hidup. Katanya, dedikasi dan kesungguhan para guru telah membolehkan banyak dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan yang mentadbir negara ini sejak merdeka memperoleh kejayaan. "Dasar-dasar yang membawa banyak perubahan kepada negara ini seperti Dasar Membasmi Kemiskinan dan Dasar Membasmi Buta Huruf kini menampakkan hasil apabila ramai rakyat negara ini sudah menjadi warga berilmu dan tidak lagi miskin seperti dulu," katanya. Beliau turut mengingatkan warga pendidik agar bersyukur kerana sejarah pendidikan sejak 56 tahun lalu telah mengubah negara daripada miskin kepada negara membangun. Jelasnya, peranan para guru semakin besar kerana fokus pendidikan hari ini tidak lagi mensasarkan kepada membasmi buta huruf, sebaliknya membangunkan modal insan yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa. "Tidak lama lagi iaitu pada 2015, negara ini akan menjadi sebahagian daripada blok negara ASEAN yang besar sekali gus menjadikan cabaran yang mendatang semakin sengit. "Kita perlu membuat persediaan daripada sekarang dengan melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing bagi masa tersebut," katanya. Sempena majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan anugerah kepada para guru yang telah memberi sumbangan dalam bidang kepakaran masing-masing seperti anugerah inovatif, guru cemerlang, kepimpinan dan ikon guru. Beliau turut menyampaikan Penghargaan Khas Jasa Bakti Lahad Datu kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian, Sakka Labacho; Guru Besar SK Lok Buani, Saabi Hasim dan guru SK Fajar Harapan, Catherine Gonolon Anugerah itu bertujuan menghargai komitmen para guru besar dan guru tersebut yang sanggup mengadakan kelas ketika serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Mac lalu. |
Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT KUALA LUMPUR 16 Mei - Sambutan Hari Guru bertemakan 'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda' yang diraikan hari ini bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa, disambut secara sederhana namun meriah. Tinjauan Bernama di beberapa sekolah sekitar ibu kota mendapati ada sekolah menunda sambutan Hari Guru kerana pelajar sedang menduduki peperiksaan namun ada juga yang meraikan sambutan itu hari ini. Antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Kwok, Jalan Raja Laut yang akan menyambutnya pada 23 Mei kerana mahu pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan pertengahan tahun yang sedang diadakan. Di Sekolah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan (SPKCP) Jalan Batu di sini, sambutan Hari Guru meriah dengan hilai tawa serta nyanyian lagu 'Terima Kasih Cikgu' oleh 38 pelajarnya diketuai adik Nurul Khairinna Ramlan, 8. Pengetua SPKCP, Ahmad Baki Musli memberitahu, kekurangan deria penglihatan bukanlah penghalang pelajarnya turut serta dalam acara tahunan itu, namun mereka lebih bersemangat dan persediaan dilakukan lebih awal. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Appar, Jalan Raja Laut pula menyambutnya selepas waktu rehat kerana 107 pelajarnya menduduki peperiksaan pertengahan tahun di sebelah pagi. Sambutan bermula 11 pagi dengan pelajar berhimpun di pekarangan sekolah dan menyanyikan lagu Negaraku diikuti ucapan pengetua, K. K. Peramah dan bacaan amanat Menteri Pelajaran oleh pengetua. "Semua pelajar dan guru serta ibu bapa bekerjasama menjayakan majlis hari ini dan walaupun mereka sedang menduduki peperiksaan, sambutan tetap meriah," katanya. Di GEORGETOWN, tokoh guru swasta Pulau Pinang, A. Valliammal berkata, guru sekolah pendidikan khas perlu mengamalkan sikap kerja berpasukan dan sentiasa bertukar idea antara satu sama lain bagi mencari kaedah pembelajaran untuk mendidik pelajar istimewa. "Cabaran mendidik pelajar istimewa berbeza dengan mengajar di sekolah biasa kerana itu sokongan dan bantuan daripada rakan tenaga pengajar lain amat perlu untuk meningkatkan motivasi diri dan barulah kita sentiasa bersemangat untuk bekerja," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Sukan ke-46 Sekolah Spastik Pulau Pinang di sini hari ini. Valliammal, 65, berkhidmat di sekolah itu sejak 1975 berkata, guru juga perlu sentiasa kreatif meneroka teknik pengajaran baharu selari dengan senario pendidikan sekarang yang turut dipengaruhi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |