Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 14 May 2013 11:48 AM PDT PROF. SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang. Protes remaja berbaju hitam kini nampaknya menjadi-jadi. Ia mula dengan aktiviti silent walk pada 6 Mei 2013 (antara jam 3-6 petang) di beberapa kompleks perniagaan di ibu kota Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Di Kota Kinabalu 150 remaja berbaju hitam ini bukan sekadar mengadakan protes mereka dalam bangunan (iaitu di Suria Sabah Shopping Mall) sahaja, bahkan sudah berani keluar ke jalan raya dan berarak secara berkumpulan menuju destinasi yang telah mereka tetapkan (bangunan pejabat UMNO). Bila ditanya kenapa mereka melancarkan protes jalanan ini, Sabrina Aripen (dari NGO Borneo Youth Revolution) menjawab "Apa lagi yang boleh kita lakukan selain meratapi kematian demokrasi di Malaysia". Apakah remaja berbaju hitam ini yakin demokrasi telah mati? Apa buktinya? Soalan penting yang kita mesti tanya, apakah remaja-remaja ini membuat protes secara spontan, sama macam budak motor merempit di jalan raya apabila senja tiba, sehinggalah larut malam? Atau apakah ada satu dua dalang atau puppet master di belakang mereka? Seorang sahabat berbisik kepada saya bahawa protes ini memang telah dirancang rapi sejak dari awal lagi. Notis mengenainya sudah diedarkan dalam media sosial lama sebelum tarikh itu. Menerusi media sosial seperti facebook atau twitter, mudah bagi dalang atau puppet master merancang mengumpulkan dan menggerakkan kumpulan remaja ini. Mereka digerakkan seolah-olah anak patung, robot atau puppet. Suruh datang mereka datang, suruh pakai baju hitam mereka pakai baju hitam, suruh berhimpun di suatu tempat mereka berhimpun, suruh berteriak menghina kerajaan, SPR atau siapa sahaja yang disebutkan, mereka akan berteriak sama. Mereka diberitahu inilah masa mereka. Sekaranglah mereka ada kuasa. Kuasa untuk membuat perubahan. Perubahan macam mana? Apa sahaja pun boleh, asalkan perubahan dari apa yang ada pada masa kini. Mereka diberitahu kerajaan BN telah 'mencuri' kemenangan pakatan pembangkang. Mereka diberitahu pakatan telah mendapat lebih daripada majoriti mudah undi popular. Lebih daripada separuh pengundi di negara ini telah memilih parti mereka, jadi kenapa mereka tidak boleh memerintah negara? Kumpulan remaja berbaju hitam ini tidak pula diberi maklum oleh orang yang lebih tahu bahawa selama-lamanya sejak kita belum merdeka lagi, kita tidak mengamalkan popular voting, sebaliknya majoriti kerusi yang dimenangi parti. Tidak mustahil sebahagian daripada remaja berbaju hitam ini tahu fakta ini. Tetapi demi keseronokan menyertai gelombang puluhan ribu remaja berbaju hitam lain yang seakan-akan berpesta di Stadium Kelana Jaya dan baru-baru ini di Batu Kawan, mereka turut menyertainya tanpa berfikir dua kali. Apakah tindakan boleh diambil ke atas remaja ini yang jelas sekali melanggar undang-undang? Jika boleh, apakah wajar tindakan tegas diambil terhadap mereka? Jika tidak wajar, apakah langkah alternatif yang boleh diambil? Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, apabila satu perhimpunan awam hendak diadakan, penganjurnya mesti memberi notis paling minimum 10 hari kepada pihak polis - Seksyen 9(1). Pemberitahuan ini hendaklah diberi kepada Pegawai polis di daerah berkenaan secara pos berdaftar Akuan Terima atau kiriman cepat atau dengan serahan tangan - Seksyen 9(4). Jika penganjur enggan atau gagal mematuhi subseksyen (1), ini adalah satu kesalahan; jika sabit kesalahan, penganjur boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000). Melihat situasi semasa, jelas sekali Akta ini dipandang remeh oleh pihak-pihak berkenaan, barangkali kerajaan perlu menyemak semula Akta ini dan memikirkan sama ada pindaan perlu dibuat. Sekiranya penganjur gagal mematuhi kehendak Akta ini, perhimpunan yang diadakan itu nyata menyalahi undang-undang. Jika ia diteruskan juga, pihak polis ada kuasa memerintahkan siapa sahaja yang berhimpun di tempat itu bersurai. Sesiapa sahaja yang enggan mematuhi perintah bersurai ini boleh diheret ke mahkamah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000. Tidak ada hukuman penjara di bawah Akta ini. Dalam apa jua perhimpunan (yang sah, yang mematuhi kehendak Akta ini), penganjur tidak boleh membenarkan (membawa hadir) kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Jika ada pihak membawa kanak-kanak ke perhimpunan, orang itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000. Seksyen 6 Akta ini mengandungi senarai panjang tanggungjawab setiap penganjur perhimpunan awam. Antaranya mereka perlu pastikan peserta tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat sebarang ucapan yang berkecenderungan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dalam kalangan orang awam atau melakukan apa sahaja yang boleh menggugat ketenangan orang awam. Nampaknya remaja berbaju hitam yang hadir di "Perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat" di Stadium Kelana Jaya pada malam 8 Mei 2013 itu telah tertipu bulat-bulat. Pada malam itu mereka dimaklumkan oleh penceramah yang bercakap berapi-api bahawa pakatan pembangkang telah ditipu oleh kerajaan BN dan SPR. Anehnya pada malam berikutnya, pihak yang sama mengadakan majlis kesyukuran kerana "telah berjaya" di Selangor. Remaja berbaju hitam hendaknya sedar bahawa hak berhimpun (yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan, bersama dengan hak bersuara) bukan sesuatu yang mutlak tetapi ada had dan batasannya. Satu had dan batasannya adalah Akta Perhimpunan Awam, yang menggantikan peruntukan berkaitan dalam Akta Polis. Selain itu, ada undang-undang lain, misalnya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan sebagainya. Remaja berbaju hitam ini hendaklah juga sedar bahawa mereka telah digunakan sebagai "buah catur" (pawn) dan diperalatkan dalam permainan politik oleh seorang dua grandmaster yang sungguh bijak bermain catur politik. Jangan terikut-ikut atau terpengaruh dengan apa yang diucapkan oleh mereka. Kita dimaklumkan bahawa dalam satu perhimpunan baru-baru ini, seorang pemimpin sebuah parti dalam komponen pakatan pembangkang itu ada berucap menggelarkan Perdana Menteri Malaysia sebagai "syaitan", dan ucapan ini telah disambut dengan sorakan besar oleh remaja berbaju hitam. Sedarlah bahawa PRU-13 yang baru berlalu ini telah pun diperakui sah oleh pasukan pemerhati. Keputusan pilihan raya melibatkan kerusi negeri (di semua negeri) sudah pun diterima oleh ahli dan pemimpin pakatan pembangkang. Yang masih dipertikai oleh puppet master remaja berbaju hitam ini adalah keputusan PRU-13 di peringkat Persekutuan. Sedarlah bahawa tuduhan itu sungguh tidak logik, tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali. Kalau pun masih lagi ada calon-calon yang terkilan, saluran undang-undangnya terbuka luas. Failkan petisyen pilihan raya sebaik-baik sahaja keputusan PRU-13 diwartakan oleh SPR. |
Lebih banyak pembohongan dibangkitkan Posted: 14 May 2013 11:48 AM PDT Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-13 jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi Melayu setia kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO. Dan pembangkang gagal menghasut orang Melayu membenci kerajaan. Kejayaan UMNO memenangi 88 kerusi Parlimen berbanding 79 kerusi pada pilihan raya umum lalu memperlihatkan sokongan orang Melayu terhadap parti yang menjadi tonggak orang Melayu itu semakin meningkat. Meskipun diasak dengan fitnah dan dakyah pembangkang yang disebarkan secara meluas terutama melalui media sosial, ternyata majoriti orang Melayu tidak mempercayai pembohongan pembangkang itu. Bagi sebahagian besar daripada mereka, semua itu putar belit pembangkang untuk meraih undi. Isu inilah antara perkara yang dibincang dalam Persidangan Meja Bulat Mengenai Politik dan Kerajaan Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 'Ke mana Arah Tuju Kita' anjuran Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Sabtu lalu. Ia turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman; bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Mohd. Shahrir Samad. Presiden Mubarak, Tan Sri Aziz Abdul Rahman Aziz mengakui sememangnya sukar untuk berperang dengan kumpulan cyber troopers pembangkang semasa kempen pilihan raya umum lalu. Ini kerana pakatan pembangkang telah lama mempersiapkan tentera sibernya bagi mewujudkan sentimen politik kebencian terhadap BN dan UMNO. Dan sentimen itu berjaya ditanam dalam jiwa penyokong-penyokong mereka khususnya golongan muda. Pengaruh media sosial yang begitu kuat itu kini telah mewujudkan 'perang persepsi' dalam kalangan masyarakat terutama apabila ia telah berjaya membentuk pemikiran baharu sehingga memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya umum lalu. "Bahaya perang di media baru ini ialah apabila sebegitu banyak maklumat disebarkan pembangkang dengan kebanyakannya tidak benar dan tanpa fakta sahih, tetapi masih ramai yang memilih untuk mempercayainya," katanya pada persidangan tersebut. Pemikiran masyarakat khususnya generasi muda jelas beliau, telah dimanipulasi melalui media sosial itu. Lantaran mudah mendapat akses Internet, terdapat kecenderungan untuk mempercayainya walaupun tanpa bukti yang sahih. Dalam hal ini, menurut Abdul Aziz, generasi muda perlu dididik supaya memahami sejarah agar mereka mempunyai jati diri yang kuat, sekali gus dapat menangkis segala pembohongan dan provokasi pembangkang itu. BN juga jelas beliau, harus mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dengan mewujudkan satu pasukan yang benar-benar profesional dan pakar untuk menyertai perang siber pembangkang itu sekali gus menangkis segala dakyah yang disebarkan dengan cara yang berhemah. Perkara ini turut dibimbangi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang merasakan provokasi pembangkang khususnya yang melibatkan isu perkauman di laman sosial kini boleh menggugat perpaduan negara. Katanya, provokasi sedemikian boleh memecahkan perpaduan kaum jika tidak ditangani dengan berhati-hati selain boleh menimbulkan masalah dari segi keselamatan. Selain itu, ahli panel juga mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang jurucakap umpamanya dalam kalangan menteri untuk memberi reaksi kepada isu-isu jalanan yang pada hakikatnya merupakan perkara remeh yang sengaja diperbesar-besarkan oleh pembangkang yang kecewa dengan keputusan pilihan raya . Isu-isu remeh itu dibangkitkan pembangkang atas rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, tidak wajar dilayan kerana ia ditimbulkan hanya sebagai propaganda untuk menarik sokongan dan simpati rakyat. Tindakan pembangkang mengadakan perhimpunan dan demonstrasi kononnya sebagai membantah keputusan pilihan raya yang tidak adil dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menipu, hanya mainan politik pembangkang untuk menimbulkan kekacauan. Memadai perkara itu dijawab oleh seorang jurucakap kerajaan sahaja. Hakikatnya, banyak yang perlu dipelajari dan diteliti daripada pilihan raya umum lalu. Bagi Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim, pilihan raya lalu menunjukkan peningkatan ketara sokongan bukan Melayu terutama Cina kepada parti pembangkang. Menurutnya, situasi itu sebenarnya membimbangkan kerana jika DAP berjaya mendapat lebih banyak sokongan daripada masyarakat Tionghua pada masa depan, pakatan pembangkang berkemungkinan boleh merampas lebih banyak negeri. "Tetapi jika Pas bersedia bergabung dengan BN maka hasrat pembangkang untuk mengangkat salah seorang pemimpinnya sebagai Perdana Menteri tidak akan tercapai.'' katanya. Beliau berpendapat usaha tersebut adalah jalan terbaik bagi mengembalikan kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara. Apa pun, bagi ahli panel persidangan meja bulat itu, BN mahupun UMNO perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi serangan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana lebih banyak pembohongan dijangka dibangkitkan oleh mereka. Selain itu, para pemimpin BN terutama wakil rakyat yang bakal mendapat tempat dalam Kabinet yang akan dibentuk beberapa hari lagi bersikap tegas dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Mereka perlu tegas dalam membuat keputusan, tidak teragak-agak dan dalam masa sama jangan takut untuk kehilangan sokongan jika keputusan yang dibuat dianggap tidak popular. Bagi mereka, yang penting keputusan dibuat adalah untuk kepentingan rakyat terutama orang Melayu. Keputusan yang dibuat pada hari ini akan menentukan bentuk sokongan yang bakal diterima kelak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |