{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Tanpa menteri, lebih agresif?

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Abdul Razak disambut oleh orang ramai ketika melakukan tinjauan di kawasan Parlimen P 98 Gombak di Taman Greenwood, semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, awal bulan ini. - BERNAMA

MENGAPA tiada menteri dari Selangor? Itu persoalan yang beberapa kali dilontarkan oleh rakan seperjuangan kepada penulis lewat petang kelmarin.

Bagi penulis yang berpeluang membuat liputan hampir tiga bulan proses dan perjalanan kempen 15 hari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di Selangor tempoh hari, maklum mengapa Kabinet baharu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan sedemikian.

Perdana Menteri cukup sayangkan Selangor. Sebab itu beliau sanggup menjadi Pengerusi BN negeri itu semata-mata demi memastikan Selangor kembali ke pangkuan BN pada 5 Mei lalu. Beliau turun padang menemui rakyat negeri itu, malah hatinya sayu dan gembira apabila majoriti masyarakat Cina berasak-asak memenuhi majlisnya.

Namun, malangnya impian itu tidak dapat direalisasikan oleh barisan BN negeri sama ada yang dikendalikan oleh koordinatornya, mahukan timbalan pengerusi.

Berbanding timbalan pengerusi BN negeri, tanggungjawab dan peranan lebih besar diletakkan kepada pemimpin yang menjaga 'war room' BN di Tingkat 9, Bangunan UMNO di Shah Alam yang juga timbalan pengarah pilihan raya negeri. Tetapi malangnya dia dilihat gagal membawa manifestasi Pengerusi BN negeri.

'War room' BN di Selangor bagaikan 'hak eksklusif' dan menjadi bahan rungutan bukan sahaja daripada pihak media untuk memperoleh maklumat perkembangan mutakhir BN, malahan daripada ketua-ketua bahagian UMNO negeri sendiri.

Suatu ketika sekitar Januari lalu, penulis dalam pertemuan dengan seorang ketua bahagian UMNO bertanyakan apa pandangan ketua bahagian berkenaan mengenai 'war room' di Tingkat 9 itu. Penulis sudah dua kali masuk dan diberikan taklimat ringkas carta dan data-data berkaitan statistik pengundi dan serba sedikit strategi dan perancangan BN mendepani pakatan pembangkang.

Sedang asyik bercerita, ketua bahagian berkenaan terus 'mencelah' dan memberitahu: "Kami ketua-ketua bahagian tak pernah dijemput ke sana...tak tahu bagaimana bentuk 'war room' tu. Kalau tak percaya, anda boleh tanya ketua bahagian lain."

Semua pihak di UMNO dan BN Selangor cukup sedar betapa Selangor cukup penting. Ini bukan sahaja kepada parti pemerintah dan Najib sendiri tetapi lebih menyeluruh untuk negara.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung harap kepada Selangor. Di negeri itulah berpusat dan berlegar sebahagian besar urusan dan aktiviti pelaburan, perdagangan dan perniagaan Malaysia.

Selangor di bawah pakatan pembangkang dan dengan BN mengendalikan Pusat , agak sukar untuk kedua-duanya berganding bahu yang akibatnya merencatkan kemasukan pelaburan asing.

Tanyalah Datuk Seri Noh Omar, berapa jumlah pelaburan sudah tersekat untuk pergi lebih jauh ke Selangor gara-gara 'main wayang' pakatan pembangkang mempolitikkan kelulusan loji rawatan Langat 2. Kalau tak salah, hampir 400 projek.

Tetapi ini semua kurang dihayati oleh BN negeri. Mereka kurang sedar bagaimana pertambahan pengundi muda Cina naik mencanak di Selangor. Sama ada kemungkinan ia satu strategi menerusi 'pemindahan sistematik' alamat-alamat para pengundi kaum itu, itu penulis serahkan kepada pertimbangan semua.

Namun, kalau diperhatikan 'strategi licik' menempatkan kumpulan-kumpulan penyokong parti di satu-satu tempat sebagai pengundi berdaftar, diakui taktik yang cukup berkesan dalam meraih kemenangan secara realistik dan pintas.

Kalau disemak statistik sehingga suku keempat atau Disember 2012, pertambahan pengundi Cina kedapatan di banyak kawasan di Selangor. Ia agak 'mencurigakan' meskipun mengikut saluran sah oleh SPR.

Di kawasan DUN Seri Serdang yang menyaksikan ketua pembangkang Selangor dari BN, Datuk Satim Diman menang di kerusi itu dengan 45 undi pada 2008, tiba-tiba pula menunjukkan pertambahan pengundi Cina di situ mencapai 10,638 orang.

Di DUN Subang Jaya, angka pertambahan itu mencecah 10,000 pengundi kaum itu. Di kawasan DUN Paya Jaras dalam Parlimen Subang yang mana penyandangnya dari UMNO, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor menang sekitar 600 undi pada 2008, gagal mengulangi kejayaan sama 5 Mei lalu. Lebih parah lagi Muhammad Bushro tewas lebih 5,000 undi di kawasannya yang turut memperlihatkan pertambahan pengundi Cina mencapai 6,000 orang.

Juga, sama ada sedar atau tidak, prinsip-prinsip asas seperti calon boleh menang di Selangor seolah-olah telah 'tercabul'. Ini ketara khususnya di kawasan Sepang. Orang yang layak bertanding, diserahkan kepada yang tidak berhak. Begitu sebaliknya.

Sebab itu Sepang menjadi 'ceritera penglipur lara' dengan perbuatan 'tikam dari belakang'. Itu belum termasuk sabotaj yang digerakkan oleh 'individu' terbabit sehingga calon BN tewas di tangan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Pelabuhan Klang.

Kelmarin, Najib mahukan BN setiap negeri khususnya Selangor menyematkan dalam sanubari bahawa sesuatu perlu dibuat.

BN Selangor daripada kalangan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC perlu bertindak.

Orang Cina barangkali telah terasa pada tarikan dan dividen politik DAP di Pulau Pinang dalam tiga empat tahun ini. Kerana itu kawasan-kawasan bandar besar seperti Kuching, Ipoh, Seremban serta Cheras, Bukit Bintang, Kepong merasakan MCA tidak boleh diharap dalam memperjuangkan nasib mereka.

BN Selangor harus bermuhasabah dan mencari jawapan tanda tanya tiada portfolio Kabinet untuk negeri selepas parti itu kalah teruk dalam PRU-13.

Jika telahan ini benar, sekurang-kurangnya BN Selangor khususnya UMNO perlu bangkit dan bersungguh-sungguh untuk menyarankan formula sekali gus kemenangan pada PRU-14.

Buktikan sekalipun tanpa jawatan menteri dari Selangor, perubahan secara drastik akan dilakukan untuk mengembalikan semula negeri itu ke pangkuan.

Selagi Melayu tidak bersatu, selagi BN negeri tidak merancang strategi dari sekarang, selagi itulah pihak-pihak tertentu akan lebih mudah 'memperkosa' negara bangsa.

Turunlah jenguk surau dan masjid di subuh hari atau setidak-tidaknya berjemaah semasa Maghrib mulai hari ini. Lihatlah di belakang pasar raya-pasar raya besar sekitar Shah Alam sudah ditumbuhi kondominium-kondominium mewah. Pembeli kondo yang juga penghuni di situ akan menjadi pengundi berdaftar di ibu negeri Selangor itu.

Bangkitkah dan tampillah dari sekarang agar menjelang PRU-14 tidak dianggap sekadar calon 'payung terjun'.

Jangan 'meliwat' fikiran rakyat

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Datuk Ahmad Maslan
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

SEJAK beberapa tahun lalu pembangkang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelirukan rakyat, menimbulkan keraguan dan menghasut rakyat supaya tidak mempercayai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pelbagai tuduhan. Matlamat mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menjadi pemerintah dengan slogan "Road to Putrajaya".

Terkini selepas gagal menanam keraguan dan menghasut kebencian rakyat ketika berkempen dan pengundian dalam Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13), pembangkang telah mengadakan Himpunan Bantah PRU-13 yang bakal bersambung dengan beberapa siri himpunan.

Mereka tidak sabar untuk menunggu rakyat mengundi pada PRU-14 dalam lima tahun lagi. Mereka bimbang hasutan dan kebencian itu terhakis daripada penyokongnya dan sesetengah pihak.

PERUNTUKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN:

Hak Rakyat Memilih Menerusi Pilihan Raya, Bukan Himpunan

Pendekatannya masih sama iaitu dengan mengelirukan rakyat menggunakan pembohongan dan mengelirukan konon berlaku "penipuan besar-besaran". Atas alasan itu pembangkang mengajak rakyat mengadakan bantahan, himpunan dan demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan, tetapi cara ini adalah tidak demokratik dan tidak mengikut lunas-lunas undang-undang.

Perlembagaan negara menetapkan proses menentukan parti memerintah adalah menerusi pilihan raya, bukan menerusi himpunan, bantahan atau demonstrasi.

Proses pilihan raya yang sama jugalah yang pernah membolehkan bebas rakyat memilih pembangkang memerintah Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Demikian juga sistem demokrasi ini jugalah yang memberi kebebasan rakyat memilih BN menerajui Kerajaan Persekutuan bagi mengurus tadbir negara.

Kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman adalah hak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, tetapi bukan sebagai proses pemilihan parti memerintah. Pembangkang sepatutnya memahami dengan jelas Perlembagaan negara dan proses demokrasi yang diamalkan oleh rakyat negara ini dan menghormati keputusan rakyat Malaysia menerusi PRU. Sistem yang sama digunakan di Negara-negara Komanwel, termasuk Australia yang sering menjadi rujukan pembangkang, malah Singapura dan Britain.

Petisyen Sebagai Bantahan Keputusan PRU

Himpunan aman dan demonstrasi jalanan tidak wajar disalahgunakan, sebaliknya bantahan terhadap proses pilihan raya hendaklah dibuat menerusi petisyen pilihan raya. Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang difailkan ke Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Petisyen adalah hak rakyat. Semua dakwaan dan bukti boleh dibentangkan untuk diadili oleh mahkamah. Sistem mahkamah Malaysia inilah yang selama ini pernah memberi peluang kepada pembangkang mahu pun BN untuk mendapat hak perbicaraan dan keadilan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar sudah pun menjelaskan, petisyen itu boleh dibuat dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya diwartakan. Menurutnya, SPR dijangka selesai mewartakan keputusan PRU-13 dalam masa dua minggu. Petisyen itu boleh dikemukakan di mahkamah tinggi di negeri masing-masing dan akan diselesaikan dalam masa enam bulan.

Pada PRU 2004, SPR menerima lebih 30 petisyen berhubung keputusan PRU dan petisyen paling banyak diterima pada PRU 1999 yang membabitkan 40 petisyen. Pada PRU 2008, hanya 26 petisyen dikemukakan sedangkan ketika itu berlaku tsunami politik yang tidak berpihak kepada BN.

Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab perbuatan rasuah atau sebarang salah laku yang mungkin menjejaskan pilihan raya, ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Undi Popular Bukan Penentu Keputusan PRU

Sebaliknya pembangkang kini mendakwa mereka menang dan layak memerintah berdasarkan undi popular kerana telah memperolehi jumlah undi yang lebih tinggi daripada BN. Sedangkan undang-undang Malaysia menetapkan proses pilihan raya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, bukan jumlah undi popular.

Berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi kumpulan majoriti di Dewan Rakyat layak menerajui Kerajaan Persekutuan, manakala majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri akan mengurus tadbir sesebuah Kerajaan Negeri.

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, BN berjaya menguasai majoriti Dewan Rakyat dengan memenangi 133 kerusi Parlimen dan menawan semula Kedah dan Perak apabila menguasai majoriti kerusi dua Dewan Undangan Negeri berkenaan. UMNO sendiri menambah kerusi Parlimen daripada 79 kepada 88 Parlimen.

Oleh itu, pembangkang yang sering mendakwa mereka pandai dan layak memerintah sepatutnya faham undang-undang negara ini dan jangan memalukan diri sendiri. Jangan 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri. Malulah dan hormatilah rakyat.

Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria menjelaskan, BN berjaya meraih 47% undi popular, manakala PKR 20.0%, DAP 15.4% dan Pas 14.5% (jika dijumlahkan hanya 49.9%).

Sistem PRU di Malaysia bukanlah berdasarkan undi popular, tetapi keputusan menentukan majoriti adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding. Berdasarkan sistem ini, tentulah undi popular bagi kawasan bandar lebih tinggi daripada kawasan luar bandar kerana sesebuah kawasan Parlimen di bandar mempunyai jumlah pengundi yang jauh lebih banyak daripada Parlimen di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak.

Sempadan Parlimen di bandar pula lebih kecil, jadi penduduk atau pengundinya lebih padat, maka seseorang calon boleh melawati lebih ramai pengundi ketika berkempen berbanding luar bandar yang luas dan tidak padat untuk meraih undi popular.

Sebaliknya jika cadangan pembangkang untuk menyamaratakan jumlah pengundi bagi setiap Parlimen, kesannya tidak realistik dan tidak adil kepada wakil rakyat mahu pun penduduk kawasan berkenaan. Sebagai contoh jika kawasan Parlimen di Sarawak dipuratakan mengikut 60,000 pengundi, maka berkurangan daripada 31 kerusi kini kepada 18 kerusi sahaja (PRU-13: 1,083,972 pengundi).

Bayangkan seseorang Ahli Parlimen terpaksa menjaga satu kawasan yang sama luas atau lebih luas daripada sesebuah negeri di Semenanjung . Keadaan ini tidak adil bagi Ahli Parlimen berkenaan mahu pun rakyat di kawasan itu, di dalam mana-mana pun sistem yang ada.

PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL:

Elak Bahaya Kanser & Penyakit Buah Pinggang

Antara perkara yang menjadi serangan utama pembangkang adalah penggunaan dakwat kekal yang pernah menjadi desakan mereka dahulu terhadap SPR. BN ingin menegaskan sokongan penuh kepada nasihat profesional pakar-pakar di Kementerian Kesihatan dan keputusan SPR untuk mengutamakan dan melindungi pengundi daripada bahaya kanser dan penyakit buah pinggang akibat kandungan bahan silver nitrat yang tinggi.

Dakwat kekal yang digunakan oleh SPR mengandungi 1% silver nitrat setelah menerima pakai nasihat pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan. Kadar itu memadai untuk membolehkan dakwat itu kekal 30-70% di jari pengundi selama 10 jam. Untuk kekal lebih lama, kadar sodium nitrat perlu ditambah, tetapi risiko pengundi mendapat kanser akan lebih tinggi.

Bagaimanapun baru-baru ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata SPR bersikap terbuka dan akan meminta Kementerian Kesihatan untuk menilai semula sama ada kandungan kimia dalam dakwat kekal iaitu 'silver nitrat' sebanyak satu peratus dapat ditambah agar lebih tahan lama.

Penggunaan dakwat kekal telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan termaktub dalam undang-undang pilihan raya.

Malah, kaedah asas, pemotongan nama pengundi yang sudah datang mengundi oleh kaunter semakan SPR di pusat mengundi, pemotongan nama pengundi oleh petugas SPR (senarai bercetak dan senarai dalam komputer). Demikian juga pemotongan nama pengundi secara serentak oleh ejen calon-calon bertanding daripada senarai di tangan masing-masing. Kaedah rapi ini sudah memadai untuk mengelakkan penipuan atau mengundi lebih daripada sekali.

Tidak mungkin seorang pengundi dapat mengundi lagi jika dia datang kali kedua kerana namanya sudah dipotong oleh SPR dan wakil-wakil calon di dalam bilik mengundi. Kad pengenalan MyKad pula menjadi semakan utama ketika pengundi hadir sebelum menerima kertas undi.

KHABAR ANGIN GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK:

Hanya Hasutan Supaya Rakyat Meragui SPR

Pembangkang juga menipu rakyat dengan mengedar gambar dan visual palsu bagi menuduh SPR dan menghasut orang ramai dengan dakwaan berlaku gangguan bekalan elektrik ketika pengiraan undi, menuduh Pejabat Perdana Menteri membawa masuk 100,000 orang asing sebagi pengundi, polis mengiringi pengundi hantu dari luar negara, beg kertas undi dibuang dan konon pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika pengiraan undi masih berjalan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad berkata, tiada kejadian seperti itu berlaku kerana beliau mengesahkan perkara itu dengan semua pengurus pilihan raya setiap negeri. Pengurus-pengurus pilihan raya di semua negeri melaporkan tiada insiden seperti didakwa.

Malah, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor pula menjelaskan apa yang berlaku hanya khabar angin berhubung gangguan bekalan elektrik semasa proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Polis di seluruh negara memantau proses dari awal mengundi sehingga keputusan diumumkan.

TUDUHAN WUJUD PENGUNDI HANTU:

Satu Lagi Cubaan Hasutan Jahat

Pembangkang juga terus menghasut rakyat konon wujud pengundi hantu. Kemasukan pekerja asing menerusi lapangan terbang adalah perkara biasa apabila ada permintaan, namun kehadiran mereka dieksploitasi untuk mengelirukan rakyat. Kemasukan pekerja asing yang sah di negara ini memang biasa diterbangkan secara berkumpulan oleh ejen pekerja asing. Hal ini bukan perkara baru baik di Semenanjung mahu pun bagi masyarakat Sabah atau Sarawak.

Pembangkang menuduh Pejabat Perdana Menteri membawa masuk 100,000 warga asing sebagai pengundi hantu. Hitungan biasa pun tidak munasabah sekali pun diangkut dengan pesawat Boeing 747 yang mampu membawa 400 penumpang.

Senarai penerbangan yang dihebahkan di internet juga hanya serkap jarang dan palsu. Hal ini sudah dijelaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, tiada kemasukan 'pengundi hantu' warga asing dari Bangladesh dan Filipina melalui beberapa penerbangan seperti didakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasil semakan polis, mendapati syarikat penerbangan seperti AirAsia menyediakan penerbangan tambahan atas permintaan orang ramai dan ini adalah amalan biasa seperti yang berlaku setiap kali musim perayaan.

Hanya warganegara Malaysia yang memegang MyKad yang berdaftar sahaja berhak mengundi. Pemegang MyKid belum layak mengundi, manakala warga asing yang memegang kad pengenalan pemastautin sementara dikenali sebagai MyKas tiada hak sebagai warga negara, termasuk tiada hak mengundi. Manakala gambar kad pengenalan yang bertaburan seperti dipaparkan dalam gambar di internet sebenarnya mempunyai kaitan dengan satu kes jenayah yang di Kedah pada 2011, bukan menjelang atau semasa PRU-13.

Tuduhan beg kertas undi dibuang juga tidak berasas kerana semua urusan beg dan peti undi sentiasa diawasi oleh setiap wakil calon yang bertanding. Manakala tuduhan pegawai SPR meminta ejen calon menandatangani Borang 14 ketika proses mengira undi sedang berjalan tidak pernah dibuktikan berlaku.

Menghormati Mandat Rakyat

Oleh itu, Barisan Nasional hari ini mengajak rakyat beramai-ramai menyatakan ketegasan supaya pembangkang menerima dan menghormati proses demokrasi bagi memilih kerajaan memerintah yang telah ditetapkan menerusi pilihan raya seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Cukup-cukuplah berpolitik, rakyat mahukan pemimpin menumpukan kepada usaha memajukan negara. Janganlah diheret pelbagai pihak untuk memenuhi nafsu politik mereka untuk memerintah negara ini. Semua pihak, termasuk pembangkang berpeluang menawarkan diri bertanding lagi pada pilihan raya akan datang.

Rakyat sudah memilih, tibalah masa wakil rakyat yang menang bekerja. Parti yang memenangi majoriti kerusi di Parlimen mahu pun di DUN pula hendaklah melaksanakan tugas mengurus tadbir negara dan negeri masing-masing.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat