Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Perbezaan prinsip bukan halangan Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN Ahli-ahli UMNO dan Pas bersatu membantah tindakan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam, pada tahun lalu. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu jelas menampakkan politik Malaysia condong kepada UMNO (Semenanjung dan Sabah) dan Barisan Nasional (BN) di Sarawak di mana sebahagian pengundi Melayu/bumiputera masih menyokong UMNO dan sebahagian Melayu lagi menyokong Pas dan PKR. Pola politik seperti ini memang lumrah berlaku di dalam negara demokrasi yang mana parti yang menang dengan majoriti yang diberi mandat memerintah. Di Malaysia, majoriti penduduk adalah golongan Melayu dan bumiputera (lebih 60 peratus)., maka itu ia menepati amalan demokrasi barat - cuma dalam kes Malaysia, golongan Melayu/bumiputera ialah majoriti, maka selayaknya golongan itu memerintah mengikut amalan demokrasi itu! UMNO dengan 88 kerusi parlimennya dan 133 bersama komponen BN Sabah dan Sarawak bernasib baik kali ini, di mana Melayu masih menyokongnya, kalaulah sebaliknya majoriti Melayu memberikan sokongan kepada Pas dan PKR, maka penulis tidak dapat menggambarkan apakah pola politik negara ini? Sebab itu, dirasakan adalah molek UMNO dan parti politik Melayu seperti Pas memandang jauh ke depan apakah kedudukan politik Melayu (UMNO) seperti yang ada sekarang ini boleh berterusan. Jika tidak diusahakan perpaduan antara politik Melayu dengan politik Melayu ini, maka akan berlaku di mana tiada sebuah parti Melayu pun nanti yang dominan atau majoriti seperti UMNO sekarang yang boleh memerintah negara ini. UMNO perlukan kekuatan tambahan, kerana tanpa sokongan orang Melayu berterusan terhadap UMNO, pasti UMNO tidak akan dapat bertahan, kerana saban hari orang Melayu sendiri terutama dari Pas dan PKR, termasuk sebahagian penjawat-penjawat awam serta NGO Melayu yang anti Melayu/UMNO bertubi-tubi menghentam UMNO ibarat Russian tanks in every corners in Warsaw. Suka penulis menyatakan hanya UMNO dan Pas sahaja yang boleh dibawa ketengah untuk berpakat ke arah perpaduan Melayu ini. Ini disebabkan UMNO dan Pas pernah berkongsi kuasa pada 1970an dulu. Berdasarkan rekod itu, hubungan politik antara UMNO dan Pas, tidaklah boleh dilihat sebagai tegang selama-lamanya. Ada masa kedua-kedua parti berkelahi, dan tuduh menuduh satu sama lain dan saman-menyaman. Sebagaimana air laut, hubungan Pas dengan UMNO ada pasang-surut. Begitulah keadaannya seperti yang diucapkan oleh Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak "dalam politik macam-macam boleh berlaku, dulu kita berlawan, sekarang kita berkawan." (UM 30 Julai 2008). Pokoknya kedua parti Melayu ini mempunyai banyak persamaan dari segi kaum dan puak yang sama, ugama Islam, bermazahab Shafie dan kebanyakan prinsip bernegara kedua-dua parti in juga tidak banyak berbeza, Cuma berbeza dari segi fahaman terhadap pendekatan berpolitik sahaja., Sebab itu kita perlu melihat persamaan, keistimewaan dan kekurangan setiap parti politik Melayu itu. Diperkirakan UMNO memang memperjuangkan Islam dan Melayu dan ini tidak boleh dinafikan. Cuma perbezaan menanggapi konsep perjuangan Islam dan Melayu dan nasionalisme itu tidak semuanya disepakati kedua-dua parti itu. Namun takkanlah perbezaan kecil itu menyebabkan tiada ruang untuk kedua-dua parti Melayu ini berkerja sama seterusnya menubuhkan kerajaan campuran atau perpaduan Islam dan Melayu di negara ini? Sejarah memperakui perjuangan Islam yang dibawa parti itu memang telah wujud dalam bentuk parti politik pertama Islam iaitu Hisbul Muslimin pada 1947-1948 yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Bakir. Malangnya parti itu dihapuskan oleh British. Buat sementara sesetengah ahlinya menganggotai UMNO. Sebab itu, Pas dikatakan lahir dari rusuk kiri UMNO pada 1952 dahulu apabila Pengerusi Biro Ugama UMNO ketika itu, Ustaz Ahmad Fuad keluar UMNO dan menubuhkan Parti Islam SeMalaya, dan parti itu bergerak hingga kini. Pada hemat saya apa jua manfaat atau pembangunan yang dicapai umat Islam melalui wadah UMNO sejak 1952 hingga kini sebenarnya juga merupakan perjuangan dan kejayaan orang Melayu umumnya, tidak kiralah yang berada di dalam Pas atau parti politik Melayu lain! Sebab itu dalam hati setiap orang Islam di Malaysia, percayalah, Pas masih mendapat pengiktirafan umat Islam terhadap konsep perjuangan dan prinsipnya, walaupun dalam kebanyakan pilihan raya umum, Pas tidak mendapat sokongan penuh Melayu. Tetapi dalam hal-hal lain, perjuangan Pas disokong! Sokongan tidak semestinya dalam bentuk undian dalam PRU-PRU! Cuma pendekatan politik Pas yang tidak semua orang Melayu dapat mendokongnya! Meskipun gagal memerintah Malaysia, Pas tetap turut serta dalam semua PRU yang diadakan sejak 1955 hingga kini. Untuk rekod, parti itu pernah menguasai Kelantan pada PRU 1959 hingga 1978, dan 1990 hingga PRU 2008/2013. Pas menguasai Terengganu pada 1959 hingga 1961; menguasai semula negeri itu pada PRU 1999 hingga 2004. Pada PRU 2008, Pas berjaya menonjolkan wakilnya menjadi Menteri Besar Perak dari 9 Mac 2008 hingga 4 Februari 2009 atas tiket Pakatan Rakyat. Di peringkat parlimen, Pas mengalami pasang surut. Pada PRU 1955, Pas memenangi satu kerusi (Parlimen Krian); manakala pada PRU 1959, Pas memperoleh 14 kerusi, (9 Kelantan, 5 Terengganu); PRU 1964, 9 kerusi (8 Kelantan, 1 Terengganu) , PRU 1969, 12 kerusi, (6 Kelantan, 3 Kedah, 2 Terengganu, 1 Perak); pada PRU 1974,14 kerusi , (7 Kelantan, 3 Kedah, 3 Terengganu, 1 Perak); pada PRU 1978, 5 kerusi; PRU 1982, 5 kerusi; PRU 1986, satu kerusi; PRU 1990, 7 kerusi; PRU 1995 , 7 kerusi; PRU 1999, 27 kerusi; PRU 2004, 7 kerusi; dan PRU 2008, 23 kerusi. Ternyata bilangan kerusi parlimen yang banyak sekali diperoleh oleh Pas adalah pada PRU 1999 (27), manakala dalam PRU 1986 merupakan bilangan yang sangat sedikit iaitu hanya satu kerusi sahaja. Dengan bermulanya kerjasama Pas dengan PKR dan DAP, bilangan kerusi Pas menurun daripada 27 kepada 23 , kemungkinan berkongsi dengan PKR. Dalam PRU-13 Pas hanya memperoleh 21 kerusi. Nampaknya, Pas lebih selesa bekerjasama dengan DAP dan PKR dari segi memperolehi kerusi sama ada parlimen atau DUN. Pas nampaknya lupa betapa pemimpin DAP yang menghamburkan sentimen perkauman anti Melayu dan Islam diambang peristiwa 13 Mei 1969 dan dalam menghadapi PRU-13 juga! Jika mengimbau kembali pada pilihan raya 1969, hubungan Pas - UMNO begitu tegang dan UMNO banyak kehilangan kerusi kesan daripada politik antagonistik antara kedua parti orang Melayu itu. Akhirnya Tun Abdul Razak melebarkan konsep parti Perikatan kepada BN sebaik-baik sahaja beliau menjadi Perdana Menteri pada 1971 dan pada PRU 1974, Pas menganggotai BN sekali gus menubuhkan kerajaan campuran di peringkat Pusat dan negeri. Tetapi pada 1977, Pas keluar dari gabungan BN dan mengisytiharkan "perang politik" dengan UMNO hinggalah ke hari ini! Sejarah berulang kembali, BN/UMNO sekali lagi menghadapi kekalahan yang teruk pada PRU-12 dan PRU-13 dan dilihat kekuatan dan kekuasaan politik Melayu keseluruhannya sudah terhakis. Sampai bila orang Melayu dilanda perpecahan kerana perbezaan ideologi politik? Sejak PRU-12, ada kesedaran dalam kalangan ahli UMNO dan Pas untuk mula memikirkan soal survival bangsa dan yang mana sebelum ini banyak memikirkan soal survival diri sendiri. Mereka mula sedar sampai bila hendak memikirkan survival parti dan diri sendiri, sedangkan survival bangsa Melayu semakin hari semakin pupus kerana kesan tuntutan demi tuntutan yang melanggar hak-hak Melayu di dalam Perlembagaan. Yang anehnya, PKR yang ditunjangi Anwar Ibrahim dikatakan turut serta mengiyakan sebahagian daripada tuntutan DAP itu. Di situlah kelam-kabutnya orang Melayu yang dilihat berpecah daripada dua puak (Pas dan UMNO) kepada tiga puak iaitu ditambah satu puak lagi, PKR! Inilah yang sedang difikirkan masak-masak sekarang oleh orang Melayu yang rasional dan yang sangat prihatin tentang nasib bangsanya. Terbaru ialah pandangan serius yang dilontarkan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang mula memikirkan soal perpaduan Melayu Pas dengan Melayu UMNO untuk survival bangsa Melayu. Di pihak UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memang mengalu-alukan muzakarah atau mukabalah Pas dengan UMNO. Melihat kepada pola pengundian pada PRU-13, kemungkinan besar ada perubahan sikap positif di kalangan ahli-ahli politik UMNO dan Pas ke arah perpaduan di antara dua parti Melayu itu. |
Jalur anarki anutan fahaman pasca-modenisme Posted: 27 May 2013 10:51 AM PDT TINDAKAN Anwar Ibrahim menentang undang-undang dan peraturan yang lazim terpakai dalam negara demokrasi adalah suatu jalur anarki. Anarki adalah suatu konsep bertindak di luar batas demokrasi. Apabila proses demokrasi tidak menyebabkan hala tuju perjuangan peribadinya tercapai jalan yang dipilih bukan demokrasi peti undi tetapi bertukar menjadi demonstrasi jalanan. Sifat anarki ini adalah disorderly. Fahaman pasca-modenisme antara lain menolak otoriti, baik otoriti sesebuah kerajaan sedia ada mahupun otoriti agama. Dari sebuah kerajaan yang beraja ingin ditukar kepada kerajaan republik. Dari sebuah otoriti yang berasaskan agama dan sistem nilai ingin ditukar kepada sebuah kehidupan yang berasaskan hak asasi tanpa dukungan agama. Ia juga menolak hiraki. Dari kehidupan sebuah keluarga yang ada ibu, ayah dan anak kepada suatu pola kekeluargaan berasaskan pola gay dan lesbian. Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi sesuatu yang sudah diperundangkan di Barat dan bakal mencabar kehidupan kekeluargaan masyarakat beragama termasuk di Malaysia. LGBT sedang diperjuangkan oleh pihak tertentu di Malaysia. Bermula dengan fahaman liberalisme agama kemudian kepada pluralisme agama dan kemudian kalimah Allah dan kalimah-kalimah lain boleh digunakan oleh agama lain dan akhirnya arah fahaman agama akan bercelaru dan melahirkan generasi yang keliru. Lalu orang akan mempertikaikan hadirnya agama dalam kehidupan dan memilih hidup tanpa agama atau memang agama dilihat sebagai penghalang kemajuan. Anwar sejak zaman mudanya di Universiti Malaya memilih jalan yang bercanggah dengan peraturan universiti. Demonstrasi menjadi gaya perjuangannya terhadap sesuatu. Demonstrasi besar-besaran Baling 1974 suatu testimoni anarki bagaimana dikatakan ada orang mati kebuluran di sana dan kesannya adalah politik jalanan berlaku di Kuala Lumpur dan universiti-universiti. Semasa dalam kerajaan 1982-1997, Anwar tidak menyenangi demonstrasi terutama sewaktu menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri. Dia amat tidak senang dengan pelajar-pelajar yang anti-establishment. Tahun 1998 selepas dipecat, reformasi dalam bentuk demonstrasi jalanan berada di puncak akibat tidak puas hati dipecat atas tuduhan liwat dan rasuah. Anwar menjelajah ke seluruh negara sehinggalah beliau diamankan di penjara Sungai Buloh. Sewaktu di Amerika Syarikat selepas dibebaskan dari tahanan sekitar 1986-1988 beliau dilantik sebagai Pengarah The Foundation of the Futures oleh pihak sana dan mempunyai hubungan yang erat dengan ahli-ahli kongres dan pelobi Yahudi. Selepas tsunami politik 2008, Anwar aktif semula dalam politik Malaysia dan memperkenalkan strategi Bersih politik jalanan menghadapi pihak yang berotoriti. Pendirian yang diambil semasa dalam kerajaan sama sekali tidak sama dan kenyataan terhadap DAP dan Pas jauh lebih ekstrem. Semasa dalam pakatan pembangkang pendirian itu berubah. Semuanya menjadi baik. Jalur anarki yang ada pada Anwar memang sudah sebati. Ia akan muncul bila cita-cita peribadi politiknya tidak kesampaian. Dengan bakat pidato yang dimilikinya, dia menjadi tokoh penglipurlara yang sangat hebat dan mencetuskan kebencian yang mendalam terhadap kerajaan yang memerintah. Sebelum PRU-13, sikap anarkisnya lebih menonjol. Dia sangat yakin menang dan lonjakan kempen Ini Kalilah dan UBAH menimbulkan kesedaran baru orang Cina terutama di bandar meninggalkan MCA dan Gerakan kerana Lim Kit Siang bakal ditabalkan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Telah sekian lama Anwar bercita-cita untuk menawan Putrajaya, malah dalam ceramahnya beliau menyebutkan bakal mengangkat sumpah pada 6 Mei. Malangnya, takdir tidak menyebelahinya. Lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersalahkan. Dituduhnya ada undi hantu, 40,000 pengundi Bangla diimport, lampu di pusat pengiraan padam, isu dakwat dan macam-macam lagi. Tetapi mengapa tak ditunjukkan bukti dan laporan kepada polis supaya aduan dan petisyen dapat dibawa ke mahkamah. Sekali lagi demonstrasi tanpa izin menjadi pilihannya . Mengheret generasi muda yang mudah terangsang dengan pidato panas dan mengajar mereka tidak menghormati undang-undang. Ia suatu mesej yang salah terhadap orang muda dan hari depan negara. Anwar pernah menjadi orang penting dalam kerajaan Malaysia. SPR yang sama jugalah digunakan olehnya untuk menentukan demokrasi berjalan di Malaysia. Kalau dulu semuanya kena, mengapa hari ini keadaan SPR serba tak kena. Pelik bin ajaib sekali sikap seorang manusia yang meletakkan kepentingan diri lebih dari kepentingan peraturan negara. Mungkin ada hal peribadi yang Anwar ingin perjuangkan yang tidak tertunai. Kalau berada di puncak kuasa banyak perkara yang boleh dilakukan. Ironinya, negeri-negeri yang dikuasai umumnya sudah mengangkat sumpah dan membentuk barisan kepimpinannya bagaimana bila mengangkat sumpah di Parlimen nanti akan terus berada di jalanan atau turut angkat sumpah sama atau tidak mengangkat sumpah kerana tidak mengiktiraf Pilihan Raya Umum ke-13 sah dari segi undang-undang dan perlembagaan. Sama-samalah kita tunggu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |