Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pekan Jabi jadi hab sate
- Rumah peninggalan pedagang dibuka 2016
- OKU disaran kuasai ilmu pengetahuan baiki kehidupan
Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT Oleh KAMARUDIN HAMZAH Mohd. Iskandar Jaafar (kiri) dan Norasmawati Wahab memberikan panduan kesihatan kepada Yusaziyawati Mat Junoh, 35, yang baru seminggu melahirkan anak di Kampung Tanah Merah, Kerandang, Besut, semalam. BESUT 19 Mei - Pekan Jabi yang cukup dikenali sebagai lokasi menikmati juadah sate di kalangan penggemar makanan tradisi itu bakal dimajukan sebagai hab sate di negeri ini selain menjadikannya sebagai satu lagi tarikan pelancongan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, keenakan produk yang kini diusahakan oleh lima pengusaha di pekan itu akan dijenamakan bagi membolehkan produk dikomersialkan secara lebih meluas. Katanya, untuk tujuan itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan diminta membantu pengusaha supaya keluaran masing-masing dapat dipromosi dan di bawah satu jenama dan meningkatkan nilai komersialnya. "Jenama 'Sate Jabi' dicadangkan untuk digunakan oleh pengusaha berkenaan supaya secara tidak langsung dapat mengetengah dan mempromosikan Jabi sebagai lokasi yang menjadi pilihan jika ingin menikmati keenakan sate sebenar selain tarikan alam di sini. "Secara tidak langsung ini akan membantu pengusaha meningkatkan pendapatan," katanya kepada pemberita selepas menziarahi beberapa penduduk yang uzur akibat penyakit kronik bersama isterinya, Dr. Norasmawati Wahab di Kampung Apal dekat sini, semalam. Selain itu, katanya, sejajar dengan pelan pembangunan Pekan Jabi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Majlis Daerah Besut (MDB) satu lokasi sesuai akan dibangunkan bagi membina bangunan komersial untuk perniagaan sate. Katanya, selain kemudahan bangunan untuk perniagaan, akan ada kemudahan yang sesuai dibina khusus untuk pengunjung seperti surau, kawasan letak kenderaan, taman permainan serta premis perniagaan lain. Ini jelasnya, akan membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perusahaan sate ditempatkan di satu lokasi yang sesuai supaya mudah dikunjungi. |
Rumah peninggalan pedagang dibuka 2016 Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT Mohd. Yusof Abdullah (kiri) meninjau sekitar Pameran Inovasi dan Kreativiti Tradisional 2013 di Kompleks Muzium Negeri Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 19 Mei - Rumah tradisional Terengganu peninggalan seorang pedagang Melayu di Losong Haji Su di sini yang dibeli oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dijangka dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya pada 2016. Pengarah LMNT, Mohd. Yusof Abdullah berkata, rumah usang yang dibeli dengan harga kira-kira RM3 juta pada 2011 itu bagi mempertahankan warisan silam masih lagi dalam kerja-kerja pemuliharaan. "Ini kerana rumah yang dibina dalam tahun 1850-an itu memerlukan kerja-kerja pemuliharaan yang teliti untuk memastikan dapat dikekal sebagaimana bentuk asal dan bertahan lebih lama. "Rumah tersebut yang sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu cengal merupakan satu hasil seni ketukangan Melayu yang unik dan perlu dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Inovasi dan Kreativiti Tradisional 2013 di Kompleks Muzium negeri di sini, pagi ini. Menurut Mohd. Yusof, kawasan tersebut akan menjadi tumpuan ramai pada masa akan datang kerana Kampung Losong sendiri pada masa ini terkenal dengan perusahaan keropok lekor. Malah, katanya, jika rumah tradisional itu siap dibaiki sepenuhnya, pelbagai aktiviti juga turut dirancang di kawasan berkenaan. Sementara itu, mengenai pameran tersebut, Yusof berkata, langkah pihak muzium mengadakan pameran tersebut bagi mendedahkan kepada generasi muda tentang pemikiran masyarakat silam dalam membentuk dan mencorak bahan keperluan mereka. "Kita pamerkan kepada mereka semua tahap keilmuan atau tahap keintelektualan leluhur kita ini agar mereka sentiasa menjadi manusia yang faham sejarah serta celik budaya," katanya. |
OKU disaran kuasai ilmu pengetahuan baiki kehidupan Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT KOTA BHARU 19 Mei - Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) disaran menceburkan diri dalam pelbagai bidang terutama ilmu pengetahuan untuk memperbaiki kehidupan mereka bagi menghadapi alaf baharu yang serba mencabar. Penasihat Kehormat I Majlis Intelektual Melayu (MIM) OKU Malaysia, Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob berkata, golongan tersebut tidak sepatutnya menjadikan kekurangan mereka sebagai alasan untuk tidak berusaha atau berikhtiar memperbaiki diri sendiri. Beliau yang juga Naib Canselor Quest International University Perak (QIUP) berkata, meskipun mempunyai kekurangan dalam segi fizikal, kebanyakan OKU masih dikurniakan akal yang boleh digarap untuk membina kecemerlangan dalam bidang keilmuan. Kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) itu, kerajaan sebenarnya telah menyediakan banyak peluang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan untuk golongan OKU di negara ini bagi meningkatkan kualiti diri mereka. Bagaimanapun katanya, mereka sendiri perlu bijak merebut peluang yang ada dan memanfaatkannya bagi meningkat dan memperbaiki kehidupan. "Saya tidak percaya kita yang normal berdiskriminasi terhadap OKU, cuma kadang-kadang apabila orang itu tidak dapat sesuatu, kita rasa kita didiskriminasikan. "Dalam menghadapi cabaran alaf baharu yang serba mencabar ini, golongan OKU perlu dibimbing dan mereka mesti menceburkan diri dalam usaha-usaha untuk membaiki diri, contohnya mendidik anak-anak supaya pandai dalam pelajaran dan mereka kelak boleh berjaya," ujarnya. Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Sains Kemanusiaan OKU Peringkat Kebangsaan 2013 anjuran Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama MIM OKU Malaysia di sebuah hotel di sini, semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |